Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 24/04/91
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN "CLOSE-UP OF JAPAN,
KUALA LUMPUR 1991"
Yang Berhormat Dato Sabbaruddin Chik,
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan;
Encik T Yahiro,
Pengerusi
Jawatankuasa Perhubungan Awam Kumpulan Mitsui;
Yang Berbahagia Datuk K Suzuki,
Pengarah dan Pengurus Besar Mitsui
Cawangan Kuala Lumpur;
Dif-dif Kehormat;
Para hadirin sekalian,
Saya dan isteri saya amat gembira kerana dapat bersama-
sama dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian pada malam ini
untuk menyaksikan persembahan istimewa ini dari negara
Jepun.
2. Terlebih dahulu, saya ingin mengalu-alukan kedatangan
ahli-ahli Kumpulan Mitsui dan artis-artis dari negara Jepun
ke Kuala Lumpur.
3. Saya difahamkan "The Close-Up of Japan" atau "Jepun
dari Dekat" merupakan satu pesta Kebudayaan Jepun anjuran
Kumpulan Mitsui yang diadakan setiap tahun di bandaraya
terkenal di Amerika Syarikat dan Britain semenjak 1983. Ini
adalah kali kedua pesta seperti ini diadakan di benua Asia
dan saya merasa bangga Kuala Lumpur di pilih untuk
persembahan istimewa ini.
4. Seperti yang diketahui, negara Jepun ialah sebuah
negara yang maju dan berjaya daripada segi ekonomi, sains
dan teknologi tinggi. Namun demikian, orang-orangnya tetap
tidak membelakangkan kebudayaan mereka yang telah wujud
semenjak beribu-ribu tahun dahulu. Sejajar dengan kedudukan
Jepun sebagai kuasa besar selepas Perang Dunia Kedua,
masyarakat antarabangsa telah mula berminat untuk mengenali
kebudayaan Jepun. Kini restoran, gedung dan hotel Jepun
boleh didapati di seluruh dunia termasuk di negara kita.
Pelancong-pelancong Jepun juga didapati di merata-rata
tempat di dunia kerana nilai matawang Yen yang begitu
tinggi.
5. Semenjak Kerajaan melancarkan 'Dasar Pandang ke Timur',
kebudayaan Jepun termasuk nilai hidup rakyatnya tidak asing
lagi bagi kita. Ramai penuntut kita telah mendapat
pelajaran tinggi dan latihan di Jepun. Apabila mereka
kembali ke tanahair, mereka bukan sahaja boleh bertutur
dalam Bahasa Jepun, tetapi juga bekerja dengan syarikat-
syarikat Jepun yang telah menapak di negara kita. Pembukaan
kilang-kilang oleh para pelabur Jepun di negara ini telah
menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada belia-belia
kita. Kehadiran sebilangan besar masyarakat Jepun yang
bekerja di negara kita untuk menguruskan kilang-kilang ini,
bermakna pekerja-pekerja kita berpeluang mempelajari cara
pengurusan dan teknologi tinggi negara Jepun. Di samping
itu, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dan bergaul dengan
keluarga Jepun yang bermastautin di sini. Dengan cara ini,
masyarakat Malaysia dan Jepun berpeluang bertukar-tukar
pendapat dan mengenal dari dekat adat resam dan kebudayaan
masing-masing dan mempelajari daripada satu sama lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Kini kaum wanita Malaysia pandai mengatur dan menggubah
bunga mengikut cara "ikebana", melipat kertas cara
"origami", gemar dengan makanan Jepun dan suka mengikuti
siri Jepun di televisyen seperti "Oshin" dan membeli-belah
di gedung-gedung pakaian seperti Yaohan dan Isetan. Kaum
lelaki pula gemar mengguna kereta buatan Jepun, suka melihat
"Sumo wrestling" dan siri televisyen seperti "Shogun" dan
filem-filem yang mengandungi cerita "ninja" dan "samurai".
Pemuda kita pula suka menunggang motosikal besar buatan
"Yamaha" atau "Suzuki" sementara pemudi kita suka mengikuti
fesyen pakaian dari Jepun. Ini semua menunjukkan bahawa
barang-barang buatan Jepun telah mendapat tempat di
masyarakat Malaysia.
7. Sebagai jiran yang tidak jauh, Malaysia dan Jepun sering
bertukar kumpulan kebudayaan untuk memperkenalkan budaya
masing-masing. Pada malam ini, daripada aturcara yang di
sediakan, kita berpeluang melihat persembahan tradisional
dan moden daripada kumpulan yang di datangkan khas dari
Jepun. Saya percaya penonton sekalian akan terhibur dengan
persembahan artis-artis dari negara Jepun ini. Saya harap
pesta kebudayaan "Close-Up of Japan" ini akan mendekatkan
lagi kebudayaan Jepun kepada masyarakat Malaysia dan
menyumbang ke arah meningkatkan persefahaman di antara
rakyat Jepun dengan Malaysia serta merapatkan hubungan baik
di antara negara Jepun dengan Malaysia. Semoga hasrat dan
usaha baik pengelola dan penganjur pesta ini mencapai
kejayaan seperti yang diharapkan.
8. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan pesta
"Close-Up of Japan, Kuala Lumpur 1991" dengan rasminya.
|