Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 27/04/91
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM MERAIKAN TUAN
YANG TERUTAMA TOSHIKI KAIFU PERDANA
MENTERI JEPUN
Tuan Yang Terutama Toshiki Kaifu,
Perdana Menteri Jepun;
Puan Kaifu;
Ahli-ahli Delegasi Jepun yang dihormati;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya dan isteri saya
mengucapkan Selamat Datang ke Malaysia kepada Tuan Yang
Terutama dan Puan Kaifu serta ahli-ahli delegasi Tuan Yang
Terutama.
2. Kami memang berharap untuk menerima lawatan Tuan Yang
Terutama ke Malaysia lebih awal lagi, iaitu pada bulan
Januari yang lepas, tetapi perang Teluk memerlukan perhatian
segera setiap anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
yang bertanggungjawab. Sepanjang sejarah PBB, hanya
beberapa kali sahaja pasukan-pasukan pelbagai negara
memberikan bantuan kepada sesebuah anggotanya yang terancam.
Adalah diharapkan bahawa tindakan-tindakan lain yang kurang
ganas akan juga mendapat kerjasama seperti ini di kalangan
ahli-ahli PBB. Sebagai contoh, dalam kerja-kerja membantu
pelarian-pelarian, kerjasama seperti ini amatlah berguna.
3. Malaysia yang berpeluang berkhidmat dalam Majlis
Keselamatan PBB pada awal Krisis Teluk telah mendapat
pengajaran secara dekat akan pentingnya suara sepakat
mengenai perkara-perkara yang boleh memberi kesan terhadap
dunia. Kami juga merasakan perlunya bagi negara-negara yang
kukuh ekonominya seperti Jepun dan Jerman, memainkan peranan
yang lebih luas dalam rangka kerja PBB.
4. Perang Teluk mungkin telah berakhir, tetapi isu-isu
politik dan ekonomi yang mencetuskan peperangan tersebut
masih tetap wujud. Sebenarnya banyak masalah baru telah
muncul. Buat masa sekarang, dua buah negara sudah hampir
hancur lebur dan ribuan manusia yang tidak berdosa telah
kehilangan nyawa. Satu kumpulan baru pelarian telah timbul,
iaitu kaum Kurdis. Sementara itu, masalah Palestin masih
jauh daripada mencapai penyelesaian.
5. Pertelingkahan yang telah tamat yang kita alu-alukan
mungkin telah menamatkan cita-cita Iraq, tetapi ia juga
telah menimbulkan satu perubahan struktur kuasa yang memberi
petanda tidak baik bagi Timur Tengah. Israel telah menjadi
bertambah angkuh sehinggakan sekutu paling rapat Israel,
Amerika Syarikat, negara paling kuat di dunia, gagal
memujuknya. Bibit-bibit konflik dan ketidakstabilan di
Timur Tengah kini telah bertapak dan akan terus berada
demikian selagi rakyat Palestin dinafikan hak mutlak mereka.
6. Seperti yang kita telah lihat, seluruh dunia boleh
terjejas oleh konflik di Timur Tengah. Oleh itu, adalah
penting bagi dunia membantu menyelesaikan masalah Palestin.
Masalah yang dibiarkan begitu sahaja tidak akan membantu
sesiapa, walau Israel sekalipun. Jika rakyat Palestin sedia
menerima negara Israel secara sah, maka Israel juga
hendaklah menerima dengan sah negara Palestin.
Tuan Yang Terutama
7. Selain daripada perkembangan dramatik di rantau Teluk,
dunia telah mengalami beberapa perubahan radikal. Daripada
terlalu sangat menumpukan perhatian kepada ideologi, negara-
negara di dunia kini telah mengubah perhatian kepada
pembangunan ekonomi. Setiap kerajaan ingin melihat
rakyatnya menikmati taraf hidup yang lebih baik.
Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi tidak boleh dicapai dengan
sendirinya. Untuk berkembang, negara-negara mesti berdagang
di antara satu sama lain, supaya kekuatan negara yang
ekonominya maju akan dapat membantu negara-negara yang
ekonominya lemah. Dalam lain perkataan, perdagangan
mestilah bebas supaya ianya akan memberi faedah kepada semua
pihak.
8. Sistem perdagangan bebas antarabangsa yang wujud
selepas perang dunia yang lalu tidak dapat dinafikan telah
bertindak sebagai alat pemulihan bagi ekonomi-ekonomi yang
musnah, sama ada ekonomi negara yang menang atau yang kalah.
Negara Jepun adalah satu contoh baik kejayaan ekonomi hasil
daripada perdagangan bebas. Negara-negara barat yang utama
juga memperolehi kekayaan besar. Jelaslah jika dasar
perlindungan berjaya, pertumbuhan ekonomi dunia akan
terjejas dan tidak ada negara baru yang akan mencapai "eco-
nomic take off".
9. Pasangan kepada perdagangan bebas ialah pelaburan
asing, satu cara mengagihkan modal dan teknologi kepada
negara-negara yang miskin dari segi kewangan dan teknologi.
Para pelabur mungkin tidak didorongkan oleh perhitungan
sosial atau politik. Mereka mungkin melabur khusus kerana
keuntungan. Tetapi negara-negara tuan rumah yang miskin
menghargai pelaburan tersebut kerana ianya menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat
mereka.
10. Apabila negara-negara miskin ini menjadi makmur,
pasaran mereka akan menjadi lebih besar bagi barang-barang
keluaran negara-negara kaya. Jelaslah bahawa membantu pihak
lain menjadi kaya memberi hasil yang lumayan kepada
pembantu. Dunia yang dipenuhi negara-negara kaya tidak
merugikan sesiapa. Namun masih wujud sikap membiarkan jiran
menjadi miskin atau "beggar thy neighbour" di kalangan
sesetengah negara kaya dan kuat. Sekatan-sekatan
perdagangan dan dasar-dasar yang mengganggu dagangan, sama
ada secara sengaja atau tidak, yang menyekat pertumbuhan
negara-negara miskin masih digemari oleh banyak negara kaya.
11. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia amat sedar
akan kesan buruk dasar-dasar perlindungan. Bukan sahaja
dasar-dasar ini mengakibatkan kesulitan ekonomi, tetapi ia
juga menyebabkan ketidakstabilan sosial dan politik. Oleh
kerana inilah maka Malaysia, setakat yang ia mampu, cuba
membantu negara-negara jirannya dan lain-lain negara
membangun. Kita mahu melihat terutamanya negara-negara
jiran kita menjadi makmur, kerana kita benar-benar percaya
bahawa kemakmuran mereka akan juga memberi faedah kepada
Malaysia dan kepada keselamatan dan kestabilan serantau.
12. Antara sebab-sebab Malaysia menyertai ASEAN ialah
kerana tanggapan ini. ASEAN bukanlah blok perdagangan.
Secara ringkas ia merupakan sebuah kumpulan negara-negara
yang saling bantu-membantu dan sebuah kumpulan negara-negara
yang tidak eksklusif. Kami tidak menggalakkan perdagangan
eksklusif di kalangan kami sahaja. Setiap anggota bebas
menjalankan perdagangan dengan negara-negara bukan ASEAN.
Namun dengan berkumpul bersama melalui ASEAN, bukan sahaja
negara-negara anggota menjadi makmur, bahkan perdagangan di
antara mereka dan dengan yang lain di dunia telah
berlipatganda. Jelaslah ASEAN tidak mengancam sesiapa. Di
sebaliknya kemakmuran negara-negara ASEAN yang ternyata ini
telah menyumbang kepada kemakmuran mereka yang telahpun
makmur dengan ASEAN menjadi sebuah pasaran yang kaya.
13. Apabila Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG) dicadangkan,
pengalaman dalam ASEAN tidak dilupakan. Pertama, ialah
berhubung dengan faedah-faedah perdagangan bebas. Kedua,
kemakmuran dan kestabilan negara-negara jiran menyumbang ke
arah kemakmuran sesebuah negara.
14. Dengan pengalaman daripada ASEAN dan kesedaran bahawa
perdagangan bebas merupakan jentera pertumbuhan, adalah
tidak munasabah bagi mana-mana negara ASEAN, terutamanya
Malaysia, untuk mengutarakan kumpulan serantau yang
eksklusif dan mengabaikan perdagangan bebas. Dengan kira-
kira 50% daripada perdagangannya adalah dengan negara-negara
Amerika dan Eropah yang maju, adalah satu tindakan yang
boleh memusnahkan dirinya jika Malaysia berhasrat untuk
hanya berdagang dengan negara-negara Asia Timur. Justeru
itu, EAEG yang dicadangkan tidak bertujuan untuk menutup
pasaran-pasaran Asia Timur kepada Eropah atau Amerika.
Tujuannya ialah untuk membolehkan negara-negara Asia Timur
menyuarakan pendapat secara kolektif menyokong perdagangan
bebas di semua forum berhubung dengan masa depan sistem
perdagangan dunia. Penubuhan satu masyarakat ekonomi Asia
Timur atau zon perdagangan bebas eksklusif Asia Timur adalah
jauh daripada pemikiran kita.
15. Oleh itu, kita merasa terkejut diberitahu bahawa
negara-negara di rantau Asia Timur tidak seharusnya
mengadakan suatu forum di kalangan mereka atau mengenal diri
mereka sebagai orang Asia Timur. Kami diberitahu bahawa
oleh kerana Asia Timur terletak di Pinggiran Pasifik atau
Pacific Rim, maka kami dikehendakki setiap masa bertindak
sebagai anggota Pinggiran Pasifik. Sementara negara-negara
di pantai timur Pasifik boleh menubuhkan kumpulan-kumpulan
eksklusif, negara-negara di sebelah pantai barat Pasifik
tidak boleh menubuhkan walaupun suatu forum. Alasan seperti
ini tidak boleh diterima akal.
16. Kami diberitahu bahawa sesetengah pihak tidak faham
mengenai tujuan EAEG. Kami menerima bahawa penjelasan tidak
perlu diberikan kepada kami apabila pihak lain membuat
sesuatu tindakan yang memberi kesan ke atas kami, tetapi
sebaliknya kami mestilah memberi penjelasan mengenai apa
yang hendak kami lakukan. Tetapi tentulah jelas bahawa
tidak mungkin EAEG menjadi seperti Kesatuan Eropah ataupun
kawasan Perdagangan Bebas Amerika Syarikat-Kanada.
17. Kami tidak dihubungi apabila pihak lain mendirikan
sekatan-sekatan terhadap kami. Tidakkah boleh kami
dibenarkan sekurang-kurangnya menubuhkan kumpulan yang
membolehkan kami membincangkan bagaimana untuk mengekalkan
perdagangan bebas dan saling bantu membantu antara satu sama
lain untuk menjadi negara yang lebih maju? Adakah salah
untuk berhasrat menjadi maju? Jika perkembangan ASEAN telah
menjadikannya sebuah pasaran yang kaya bagi negara-negara
maju, apakah tidak sebuah Kumpulan Asia Timur yang kaya juga
akan menjadi sebuah pasaran yang lebih baik bagi Eropah dan
Amerika?
18. Kami tidak faham dengan kelantangan pihak-pihak yang
mengutuk keras Kumpulan Ekonomi Asia Timur yang dicadangkan
itu. Pada kami hanya mereka yang tidak menyokong
perdagangan bebas sahaja yang akan menentang sebuah kumpulan
yang bertujuan menjamin perdagangan bebas.
Tuan Yang Terutama,
19. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang
Terutama dan juga kepada pemimpin-pemimpin Jepun sebelum ini
yang telah melaksanakan dasar yang mantap untuk
mempertingkatkan hubungan baik di antara Jepun dengan
negara-negara serantau. Pada tahun 1977, Perdana Menteri
Takeo Fukuda, di akhir lawatannya ke negara-negara ASEAN,
telah menyeru supaya diwujudkan satu hubungan yang lebih
akrab di antara Jepun dengan ASEAN, berlandaskan keyakinan,
kepercayaan bersama dan persefahaman secara 'hati ke hati'.
Perdana Menteri Fukuda juga telah menolak kemungkinan Jepun
menjadi satu kuasa tentera, dan berikrar untuk bekerjasama
secara positif dengan negara-negara ASEAN di dalam usaha
memperkukuhkan perpaduan dan ketahanan mereka, bersama-sama
dengan negara-negara di luar rantau ini yang sehaluan
fikiran. Pendirian yang dilafazkan oleh Perdana Menteri
Fukuda itu telah menjadi terkenal sebagai "Fukuda Doctrine"
pada awal tahun lapan-puluhan dan Perdana Menteri-Perdana
Menteri Jepun selepas beliau terus mengamalkan dasar itu.
Tuan Yang Terutama,
20. Saya berasa amat gembira kerana selepas perbincangan
kita hari ini, saya dapati bahawa Tuan Yang Terutama dan
juga Kerajaan Jepun lebih komited kepada cita-cita "Fukuda
Doctrine". Seterusnya kita juga bersetuju akan perlunya
Jepun dan ASEAN bersama-sama mengeratkan lagi kerjasama dan
meningkatkan bantuan kepada semua negara Asia di
persekitaran Lautan Pasifik, demi menggalakkan perdagangan
dan perpaduan serantau.
21. Apabila Malaysia memutuskan untuk menjalin hubungan
yang lebih rapat dengan Jepun hampir satu dekad yang lalu,
Malaysia mengharapkan bahawa dalam satu jangka masa yang
tertentu, Malaysia akan mempunyai satu generasi baru belia
yang terlatih dalam teknologi dan etika industri Jepun.
Dengan keputusan itu, ada kemungkinan negara Jepun menjadi
fokus rakyat Malaysia untuk mendapat pengetahuan yang baru.
Dalam jangka masa lapan tahun, beribu-ribu belia Malaysia
telah mendapat latihan di Jepun, termasuk hampir tiga ribu
yang ditaja oleh Kerajaan Malaysia. Adalah didapati bahawa
program latihan di Jepun bukan sahaja telah mendatangkan
manfaat bagi pembangunan ekonomi Malaysia, bahkan, yang
penting lagi, telah memupuk perasaan muhibah dan
persahabatan di antara rakyat Jepun dan rakyat Malaysia.
22. Bagi meningkatkan lagi persefahaman sesama kita,
Malaysia berharap untuk menghantar lebih ramai lagi penuntut
dan pelatih teknikalnya ke Jepun. Pengwujudan pekerja-
pekerja terlatih adalah untuk memenuhi keperluan tenaga
manusia mahir Malaysia yang kian meningkat. Saya harap
masyarakat perniagaan dan perindustrian Jepun yang mempunyai
kepentingan di rantau ini akan terus memberi sokongan kepada
program latihan ini.
|