home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/0By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 17/05/91 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM MERAIKAN TUAN YANG TERUTAMA DR MARIAN CALFA PERDANA MENTERI REPUBLIK PERSEKUTUAN CZECH DAN SLOVAK Tuan Yang Terutama Dr Marian Calfa, Puan Calfova; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan Selamat Datang kepada Tuan Yang Terutama Dr. Calfa dan Puan Calfova serta ahli-ahli rombongan Tuan Yang Terutama ke Malaysia. Kami mengalu-alukan lawatan Tuan Yang Terutama dan peluang untuk menjalin perhubungan baru dengan Kerajaan dan negara Tuan Yang Terutama. 2. Dalam beberapa tahun yang lepas Czechoslovakia telah mengalami perubahan besar dan penting dan kini Tuan Yang Terutama melawat Malaysia sebagai pemimpin Republik Persekutuan Czech dan Slovak yang baru. Kami telah mengikuti perkembangan-perkembangan di negara Tuan Yang Terutama dengan penuh minat. Kami turut merasa gembira dan mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama serta rakyat Republik Persekutuan Czech dan Slovak kerana rakyat Republik itu kini dapat menentukan nasib mereka sendiri dan bebas untuk mengejar aspirasi dan harapan di masa hadapan. 3. Setelah berjaya di dalam perjuangan politik, Kerajaan Tuan Yang Terutama telah melaksanakan satu lagi usaha yang mungkin lebih berat, iaitu mengtransformasikan negara Tuan Yang Terutama supaya menjadi sebuah negara yang dinamis dan makmur. Ini adalah satu tanggungjawab yang asas dan amat penting, kerana akhirnya kebebasan politik hanya mempunyai erti jika terdapat pembangunan sosio-ekonomi dan rakyat merasa nikmat kemajuan. Oleh kerana inilah Malaysia memberi keutamaan kepada pembangunan ekonomi dan perhubungan ekonomi, sosial dan kebudayaan dengan lain-lain negara. 4. Berikutan perubahan besar yang berlaku di Eropah Tengah dan Timur, Kerajaan Malaysia telah mengkaji semula perhubungannya dengan negara-negara di rantau tersebut. Sekatan-sekatan perjalanan akan dilonggar dan diselaraskan dengan peraturan-peraturan yang digunakan untuk negara- negara Eropah Barat. Lebih banyak pertukaran perdagangan dan perniagaan sedang dirancang bagi membiasakan sektor swasta Malaysia dengan keadaan-keadaan baru perdagangan dua hala dan pelaburan di Eropah Timur dan Tengah. Dalam Belanjawan Malaysia bagi tahun 1991, kami telah menyediakan insentif-insentif kepada ahli-ahli perniagaan kami yang melabur dalam projek-projek di seberang laut. Kami bukanlah pengeksport modal yang besar tetapi ada bidang-bidang yang kami mempunyai kepakaran yang boleh menyumbang kepada perkembangan ekonomi dua hala dengan negara-negara seperti Republik Persekutuan Czech dan Slovak. 5. Saya sedar Tuan Yang Terutama juga sependapat dengan komitmen ini supaya hubungan ekonomi yang memberi faedah bersama dapat diperkukuhkan lagi. Dalam rundingan kita hari ini, kita telah bertukar-tukar pendapat dan mengkaji cara- cara yang berpotensi untuk menjalin kerjasama ekonomi, terutama di peringkat sektor swasta. Kita juga telah berbincang mengenai faedah menandatangani beberapa perjanjian ekonomi yang penting dan pembentukan sebuah jawatankuasa ekonomi bersama bagi mengawasi kemajuan kerjasama ekonomi dua hala di antara kedua-dua negara kita. Di masa akan datang, kita perlu menentukan perjanjian- perjanjian ini menghasilkan kerjasama yang nyata yang akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara dan membantu usaha- usaha pembangunan kita. Tuan Yang Terutama 6. Kita bertemu untuk mengukuhkan kerjasama dua hala ketika ekonomi antarabangsa berada di dalam keadaan tidak menentu. Kegagalan Rundingan Uruguay adalah berita buruk bagi negara-negara seperti Malaysia yang memerlukan suasana perdagangan yang teratur dan terbuka untuk maju dan tumbuh. Sementara negara-negara perindustrian banyak memperkatakan tentang kebebasan dan demokrasi, mereka nampaknya enggan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengekal dan memperluaskan sistem perdagangan antarabangsa yang amat penting bagi menjamin kebebasan dan demokrasi yang mereka laungkan. Program-program bantuan, walaupun penting, tidak akan dapat menggantikan perdagangan. Tanpa sistem perdagangan terbuka, ekonomi-ekonomi pasaran bebas dan seterusnya institusi-institusi pluralisma politik yang berkaitan dengannya, akan menjadi lemah. Jika Rundingan Uruguay runtuh sepenuhnya, mungkin lebih banyak yang terancam daripada hanya sistem perdagangan antarabangsa yang ada sekarang. Namun ada negara-negara perindustrian tertentu yang nampaknya tidak memperdulikan bahaya-bahaya ini. Sebenarnya, mereka nampaknya berselindung di sebalik sekatan-sekatan perlindungan dan blok-blok perdagangan serantau. Saya rasa adalah suatu keganjilan bahawa pada waktu negara-negara di Eropah Tengah dan Timur sedang menuju ke arah sistem pasaran bebas, sesetengah negara perindustrian yang berkuasa nampaknya memilih satu sistem perdagangan terurus atau managed trade di peringkat antarabangsa, yang bertentangan dengan perdagangan bebas. 7. Apabila negara-negara Eropah Tengah dan Timur menggugurkan sistem ekonomi yang dirancang dan dikawal untuk memilih pasaran terbuka, negara-negara demokrasi Barat telah menyuarakan kegembiraan mereka yang amat sangat. Negara- negara blok Timur diberi harapan untuk mempercayai bahawa ekonomi pasaran menyumbang kepada pertumbuhan dan kekayaan negara-negara demokrasi Barat. 8. Kami di Malaysia juga diberitahu mengenai kebaikan perdagangan bebas apabila kami mencapai kemerdekaan. Hampir bersendirian di kalangan negara-negara merdeka yang baru, kami enggan memilik-negarakan syarikat-syarikat perniagaan asing. Kami membuka pasaran kami kepada eksport seluruh dunia. Malahan kami menggalakkan lebih banyak penyertaan asing dalam ekonomi kami. Kami tidak pernah menyekat pengaliran keluar masuk matawang-matawang asing. Justeru itu, pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai kami dipenuhi dengan barang-barang daripada seluruh dunia. 9. Tetapi kami tidak boleh membeli tanpa menjual. Pada awalnya, kami menjual komoditi seperti getah dan timah yang tidak dikeluarkan oleh negara-negara maju. Tetapi, syarat- syarat perdagangan telah berubah dan menjejaskan kami dengan teruk. Untuk membeli barang-barang pembuatan yang sama kami terpaksa menjual lebih banyak lagi komoditi kami. Bursa- bursa komoditi yang terletak di negara-negara pengguna menyebabkan harga-harga komoditi kami terus jatuh. 10. Bagi mengatasi masalah ini, kami terpaksa mengalih kepada pembuatan. Daripada sebuah negara yang mengeksport hampir 100% bahan-bahan mentah, kini 52% daripada eksport kami adalah barang-barang pembuatan. Tetapi sementara komoditi kami terus tertakluk kepada amalan-amalan perdagangan yang tidak adil, barang-barang pembuatan kami pula kini menghadapi berbagai-bagai jenis sekatan. Sekatan- sekatan ini kononnya disebabkan kami tidak mengamalkan hak kemanusiaan, pencemaran alam sekitar, dasar-dasar buruh dan publisiti yang tidak adil. 11. Pengalaman kami ialah tidak ada benda seperti perdagangan bebas. Perdagangan hanya bebas apabila negara kita merupakan pasaran, tetapi apabila kita ingin memasuki pasaran-pasaran negara-negara kaya, perdagangan tidak lagi bebas. 12. Sekarang telah muncul pula blok-blok perdagangan yang amat berkuasa yang akan menyekat lagi perdagangan bebas. 13. Tuan Yang Terutama kini mendokong sistem pasaran bebas. Kami harap Tuan Yang Terutama akan memperolehi pengalaman yang lebih baik. Pasaran kami akan tetap terbuka kepada negara Tuan Yang Terutama. Kami akan berdagang mengikut peraturan-peraturan GATT. Kami akan terus menganjur dan mengamalkan prinsip saling pergantungan ekonomi. Kami percaya tidak ada sebarang manfaat yang akan diperolehi sekiranya negara-negara jiran miskin, sama ada yang dekat atau jauh. Kami percaya jika sesebuah negara itu menjadi lebih kaya, lain-lain negara di dunia juga akan mendapat manfaat. Oleh itu, dasar kami tidak bertujuan untuk memperkayakan diri kami dengan merugikan pihak-pihak lain. 14. Oleh kerana kami percaya kepada perkongsian kekayaan di kalangan negara-negara, kami merasa sedih dengan usaha-usaha untuk menyekat sesetengah negara di Asia daripada menjadi maju. 15. Bagi negara-negara seperti Malaysia yang memperolehi sehingga 72% Keluaran Negara Kasarnya (KNK) daripada eksport, perkembangan ini adalah merbahaya. Oleh kerana kami menghargai sistem perdagangan terbuka dan bergantung kepadanya, kami sedang mencari jalan untuk memperkukuhkannya dengan membentuk kerjasama yang lebih rapat di kalangan negara-negara Asia Timur bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini. 16. Kumpulan Ekonomi Asia Timur atau EAEG yang sedang dibincangkan oleh negara-negara ASEAN sekarang tidak akan menjadi kumpulan yang eksklusif. Ianya adalah selaras dengan obligasi-obligasi GATT dan akan memelihara sistem perdagangan berbagai hala. Ia sebenarnya akan menjadi forum perbincangan ekonomi serantau bagi mengekalkan perdagangan bebas. Ia akan berusaha untuk memaksimakan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan di kalangan ahli-ahlinya dan dengan lain-lain negara perdagangan. Justeru itu, negara- negara membangun dan negara-negara lain seperti negara- negara Eropah Timur dan Tengah yang kini sedang cuba mengintegrasikan ekonomi mereka dengan ekonomi antarabangsa tidak perlu bimbang kawasan pertumbuhan yang pesat ini akan ditutup kepada mereka. Tuan Yang Terutama, 17. Usaha bersama kita untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dua hala adalah selaras dengan langkah untuk memajukan Kumpulan Ekonomi Asia Timur. Adalah menjadi harapan kami agar kerjasama dua hala kita dapat dijadikan jambatan bagi memperluaskan hubungan ekonomi di antara Eropah Timur dan Eropah Tengah dengan negara-negara rantau Pasifik. Saya rasa Kerajaan Tuan Yang Terutama boleh menyumbang ke arah proses ini, bukan sahaja dengan meningkatkan eksport ke rantau ini tetapi juga dengan menyumberkan sebahagian daripada keperluan-keperluan untuk program pembangunan semula negara Tuan Yang Terutama daripada rantau ini. Dengan cara ini, hubungan yang boleh memanfaatkan kita bersama akan dapat diwujudkan dan ini akan meningkatkan kerjasama ekonomi dan seterusnya keperluan kita di antara satu sama lain. Hubungan seperti ini saya percaya akan dapat mengatasi sebarang tekanan yang mungkin ditimbulkan oleh regionalisma di masa hadapan. Tuan Yang Terutama, 18. Lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia merupakan satu peristiwa penting dalam hubungan dua hala kita kerana lawatan ini merupakan lawatan yang pertama oleh seorang Perdana Menteri dari Republik Persekutuan Czech dan Slovak. Dengan adanya kesefahaman antara kita bersama dan kesungguhan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi seperti yang jelas terbukti dalam perbincangan kita hari ini, saya yakin lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia juga akan menandakan permulaan satu era baru yang produktif dalam hubungan di antara kedua-dua negara kita. Terima kasih. |