home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : STADIUM NEGARA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 20/05/91 Tajuk/Title : PERHIMPUNAN PERPADUAN SEMPENA HARI PEKERJA 1991 Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi penghormatan kepada saya untuk berucap di Perhimpunan Perpaduan Hari Pekerja ini. 2. Saya gembira kerana buat pertama kalinya satu perhimpunan pekerja-pekerja diadakan dengan melibatkan kerajaan secara langsung. Pada kebiasaannya Perhimpunan Pekerja diadakan secara berasingan seolah-olah kerjasama dan perayaan pekerja tidak boleh dikaitkan dengan Kerajaan. Sebenarnya pengasingan ini tidak semestinya wujud terutama di zaman ini di mana penindasan pekerja oleh majikan tidak lagi dibenar dan diterima oleh Kerajaan seperti di zaman revolusi industri. Asas-asas pemikiran sosialis dan komunis seperti Karl Marx yang menekankan akan pentingnya masyarakat pekerja bersatu melawan majikan untuk melepaskan diri daripada penindasan tidak wujud lagi. 3. Syurga pekerja yang dijanjikan oleh komunis juga tidak menjadi satu kenyataan walaupun di Russia di mana pemerintahan komunis berkuasa selama 70 tahun. Sebenarnya hasil falsafah yang menekankan permusuhan di antara pekerja dengan majikan ialah kemiskinan bagi semua penduduk di negara komunis. Hari ini ideologi komunis digugurkan oleh Komunis sendiri dan pada tahun ini buat kali pertamanya pemerintahan Russia dan Parti Komunisnya tidak menganjurkan Perayaan May Day. Mereka tidak lagi menganggap perayaan ini bermakna bagi para pekerja kerana jelas ideologi sosialis dan komunis yang menjadikan 1 Mei sebagai hari yang mulia adalah ideologi yang lapuk dan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada pekerja atau negara. 4. Karl Marx dalam Das Kapital berkata bahawa agama adalah candu. Ini kononnya kerana kesengsaraan hidup dapat dipikul oleh pekerja kerana mereka dapat mencari ketenangan jiwa melalui kepercayaan kepada agama mereka. Majikan pula memperalatkan agama untuk memperhambakan pekerja. Dengan itu pekerja boleh dieksploitasi tanpa pemberontakan oleh mereka. Pada Marx jika pekerja tidak lagi percaya kepada Tuhan dan agama, maka mereka akan sedar tentang malangnya nasib mereka dan mereka akan memberontak untuk melepaskan diri dari majikan. Pemberontakan pekerja akan menghapuskan majikan dan dengan itu semua punca kekayaan akan dimiliki oleh pekerja sendiri. Oleh itu, kata Marx, pekerja akan menjadi kaya. 5. Tujuan Marx ialah untuk menggantikan kepercayaan kepada Tuhan dengan kepercayaan kepada dirinya dan teori ekonominya. Dengan itu juga ia berharap akan dapat membangkitkan pemberontakan pekerja terhadap majikan dan pemerintah dan memberi kemenangan kepada penganut ideologinya. 6. Sosialis mungkin tidak begitu keras dengan cara-cara mereka tetapi matlamat mereka adalah sama, iaitu mengguna kebencian pekerja terhadap majikan dan pemerintah untuk memberi kuasa kepada parti-parti sosialis. 7. Berkembangnya ideologi komunis dan sosialis bukanlah semata-mata kerana dirancang oleh mereka untuk merebut kuasa. Memangpun di zaman Marx dan Engel, pekerja ditindas oleh majikan. Golongan elit dan feudal dalam pemerintahan bersama-sama dengan pihak pemodal membangunkan industri di atas belakang pekerja. Oleh kerana pekerja benar-benar merasai mereka ditindas, maka amat mudah bagi mereka menerima saranan sosialis dan komunis. Mereka menubuhkan kesatuan-kesatuan sekerja serta juga parti-parti pekerja untuk menentang majikan dan Kerajaan. Revolusi komunis berjaya menumbangkan kerajaan dan menghapuskan sistem beraja di beberapa negara Eropah dan Asia. 8. Tetapi sekarang ini sumbangan pekerja kepada ekonomi dan kebahagiaan masyarakat diakui dan diterima. Masyarakat umumnya tidak lagi sanggup membenarkan apa-apa jenis penindasan terhadap pekerja. Kerajaan di mana-mana sahaja memberi hak kepada pekerja mengadakan kesatuan untuk menyuarakan hak pekerja. Dengan ini kaum pekerja menikmati hidup yang semakin selesa. 9. Tetapi pemerintahan pekerja di negara komunis dan sosialis tidak berjaya memberi kehidupan yang bahagia kepada pekerja seperti yang dijanjikan oleh sosialis dan komunis. Sebaliknya pekerja di negara yang mengamalkan sistem pasaran terbukalah yang jelas hidup lebih bahagia dan mewah. Kesedaran terhadap hakikat ini akhirnya menyebabkan negara- negara komunis menggugurkan sistem komunis dan menerima sistem pasaran bebas. 10. Di Malaysia kita bernasib baik kerana percubaan komunis untuk merebut kuasa gagal. Di samping itu kita berjaya mengamalkan sistem demokrasi yang memberi kuasa kepada pekerja, sebagai golongan yang terbesar, memelihara nasib mereka melalui undi. Sistem kapitalis tidak wujud di negara kita. Yang wujud ialah sistem pasaran terbuka dan bebas di mana kepentingan pekerja bukan sahaja dipelihara melalui undi, tetapi juga mereka diberi hak untuk membentuk kesatuan-kesatuan sekerja yang boleh bertindak terhadap majikan dan kerajaan jika ketidak-adilan berlaku terhadap mereka. 11. Oleh kerana pekerja memang lebih ramai dan berhak mengundi, Kerajaan Malaysia semenjak merdeka terpaksa memberi layanan yang baik kepada pekerja. Tidak siapa boleh menafikan bahawa pekerja di Malaysia lebih bebas dan lebih bernasib baik daripada pekerja-pekerja di negara-negara membangun yang lain termasuk yang mengamalkan sistem sosialis. 12. Tetapi walaupun kerajaan mengakui hak pekerja, kerajaan tidak boleh membelakangkan hak mereka yang melabur. Pekerja tidak mungkin berpeluang bekerja dan negara tidak mungkin dibangunkan jika para pelabur dan pengusaha tidak dilindungi daripada tindakan keterlaluan dan tidak bertanggungjawab oleh pekerja, kesatuan mereka atau parti-parti politik yang ingin menggunakan pekerja untuk kepentingan politik mereka. 13. Kerajaan yang sedar bahawa sokongan kepadanya dalam negara demokratik bergantung akhirnya kepada kestabilan dan kemajuan terpaksa mengimbangkan hak pekerja dengan hak majikan. Jika keamanan industri tidak wujud, pelabur tidak akan melabur dan pekerja akan menganggur. Sebaliknya jika majikan tidak adil dan menindas pekerja, keamanan industri juga tidak akan wujud dan ekonomi tidak dapat dibangunkan. 14. Alhamdulillah, jika pertumbuhan ekonomi negara dan pendapatan pekerja Malaysia dijadikan ukuran, dasar kerajaan jelaslah tepat. Bahawa pendapatan pekerja Malaysia adalah baik boleh dibuktikan dengan terdapatnya begitu ramai pekerja asing yang sanggup menghadapi bermacam-macam masalah untuk menyeludupkan diri ke Malaysia dan dengan begitu kurangnya pekerja Malaysia yang sanggup ke negara lain untuk mencari kerja. 15. Sekarang kita telah merancang untuk menjadikan Malaysia negara maju pada tahun 2020. Negara yang maju bukan semata- mata negara yang industrialised. Matlamat kita ialah supaya rakyat keseluruhannya mendapat kehidupan yang lebih baik daripada sekarang. Pekerja dalam tahun 2020 akan menikmati kehidupan yang lebih selesa, tinggal di rumah yang sempurna, mempunyai perkakas rumah yang sekarang ini hanya mampu dimiliki oleh golongan pertengahan, mempunyai kenderaan, berupaya bercuti, melancong dan lain-lain lagi. 16. Untuk mencapai tahap kehidupan seperti ini bukan sahaja pendapatan pekerja mesti meningkat tetapi kos sara hidup juga tidak meningkat bersama dengan pendapatan. Tidak ada maknanya kepada sesiapa jika pendapatan berlipat ganda tetapi barang-barang yang boleh dibeli dengan pendapatan itu tidak lebih daripada sebelum pendapatan meningkat. 17. Untuk menambahkan pendapatan tanpa kenaikan kos sara hidup, setiap pekerja mestilah meningkatkan daya pengeluarannya. Ini mungkin dicapai dengan peningkatan alat-alat yang digunakan, tetapi tambahan alat-alat juga akan meningkatkan kos. Walau apapun yang dibuat, akhirnya yang menentukan daya pengeluaran meningkat ialah usaha pekerja sendiri. Pekerja mestilah bekerja lebih kuat, lebih rajin, lebih teratur dan lebih disiplin. Di sinilah peranan kesatuan sekerja perlu dikaji dan arah dan caranya ditentukan. Apakah kesatuan sekerja hanya untuk mendesak majikan meningkatkan upahan pekerja melalui tindakan perusahaan? Tidakkah kesatuan sekerja boleh menolong meningkatkan pendapatan pekerja dengan menolong meningkatkan daya pengeluaran mereka? Tidakkah keharmonian industri, dengan mengurangkan gangguan terhadap keluaran barang-barang atau khidmat akan menolong meningkatkan daya pengeluaran dan menjayakan ekonomi? Apakah negara yang selalu mengadakan mogok berjaya memberi kehidupan bahagia kepada pekerjanya? Tidakkah negara yang maju sekalipun mengalami kemerosotan ekonomi apabila keharmonian industri tidak wujud? 18. Kesatuan-kesatuan sekerja negara-negara maju sekarang amat berminat untuk mengadakan perhubungan yang rapat dengan kesatuan-kesatuan sekerja di negara-negara yang pesat membangun. Mereka tidak memperdulikan nasib pekerja dan kesatuan sekerja di negara-negara yang amat mundur. 19. Sebab mereka ingin menjalinkan perhubungan rapat dengan kesatuan-kesatuan sekerja di negara-negara yang cepat membangun bukanlah kerana mereka bersimpati dengan pekerja di negara-negara ini. Sebabnya ialah kerana mereka ingin mengurangkan daya saingan barang-barang dari negara-negara ini dengan barang-barang keluaran mereka. Dan ini dapat mereka buat dengan menghasut pekerja di negara-negara tertentu mengadakan tuntutan yang keterlaluan dan menyekat keluaran barang-barang melalui mogok dan lain-lain tindakan perusahaan. 20. Malangnya ada pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja yang tertarik dengan layanan yang diberikan kepada mereka oleh kesatuan-kesatuan sekerja dari negara-negara maju ini dan sanggup membelakangkan kepentingan negara dan pekerja sendiri dengan mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin kesatuan asing. Pemilihan pemimpin-pemimpin kesatuan-kesatuan sekerja dari negara-negara membangun untuk mengetuai gabungan kesatuan antarabangsa adalah bertujuan mempengaruhi iklim ekonomi di negara membangun yang tertentu. Ia bukan satu penghormatan. 21. Negara-negara yang sudah maju sekarang berada jauh dihadapan. Sementara pendapatan per kapita kita ialah US$2,000 setahun, mereka sudah meningkat kepada US$24,000 setahun. Semasa mereka membangun dengan pesat, kita bukan sahaja tidak menganggu mereka bahkan bahan-bahan mentah kita yang murah, kerana pekerja-pekerja kita dibayar upah yang amat rendah, menolong membantu kemajuan mereka. 22. Tetapi sekarang, selain daripada berbagai-bagai sekatan, mereka juga menghasut kesatuan-kesatuan sekerja kita supaya barang-barang kita tidak dapat bersaing dengan barang-barang mereka dan kita terus kekal sebagai negara membangun. Dengan itu pekerja mereka akan menikmati kekayaan, sementara pekerja kita mendapat upahan yang amat rendah atau menganggur. 23. Sementara kita harus sedar tentang kepura-puraan simpati yang ditunjukkan kepada pekerja kita oleh kesatuan- kesatuan sekerja negara-negara maju, kita pula tidak boleh lupa bahawa keharmonian industri kita mungkin disalah- ertikan oleh majikan di Malaysia. 24. Pihak majikan tidak boleh diberi kesempatan daripada industrial peace yang wujud ini untuk menindas para pekerja dan tidak memberi upahan yang berpatutan. 25. Di sinilah tanggungjawab kerajaan menjadi amat penting. Kerajaan tidak suka melihat para pekerja dibayar upah yang rendah. Pembayaran upah yang selaras dengan peningkatan daya pengeluaran akan diberi perhatian yang serius oleh Kerajaan. Perbelanjaan yang dilakukan oleh para pekerja yang merupakan sebahagian besar anggota masyarakat juga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi. Ini adalah kerana tiap satu sen yang dibelanjakan oleh mana-mana anggota masyarakat akan menolong membantu pertumbuhan ekonomi, dan jumlah pendapatan pekerja adalah besar. 26. Sebagai contoh, Kerajaan sahaja sebagai majikan membayar sejumlah kira-kira $1,616 juta setahun sebagai gaji kepada pegawai-pegawai tingginya. Jumlah gaji yang dibayar kepada kakitangan Kerajaan yang lain pula ialah kira-kira $6,440 juta setahun. Wang ini dibelanjakan oleh para pekerja yang membolehkan perniagaan kecil dan besar mendapat langganan, memberi keuntungan kepada mereka, memenuhi secara tidak langsung tabung cukai kerajaan dan meneruskan pelaburan yang mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat yang belum bekerja. Lebih tinggi pendapatan pekerja, lebih banyak mereka akan berbelanja dan lebih cergas kegiatan ekonomi dan pertumbuhannya. Sebab itulah Kerajaan mahu melihat pendapatan pekerja meningkat asalkan tidak sehingga merugikan majikan atau menyekat majikan daripada melabur sebahagian daripada keuntungan mereka dalam perusahaan dan perniagaan yang boleh menambahkan peluang-peluang pekerjaan bagi rakyat yang bertambah seramai 400,000 setahun. Sebab itu jugalah Kerajaan tidak akan membiarkan pengusaha dan peniaga menikmati keharmonian industri dan peningkatan produktiviti tanpa membalas budi pekerja. 27. Teori Marx bahawa pekerja akan menjadi kaya jika mereka memiliki semua punca kekayaan terbukti tidak tepat sekarang. Demikian juga teori sosialis yang berpendapat jika kerajaan buruh (labour government) memiliki kilang-kilang, maka pekerja akan bekerja kuat kerana kononnya mereka akan memperolehi semua keuntungan. Sebenarnya apabila kerajaan sosialis memiliknegarakan semua punca kekayaan, pekerja terpaksa mogok juga untuk mendapatkan upahan yang lebih. Dalam pada itu, industri milik negara sosialis biasanya rugi dan tidak dapat membayar cukai untuk menampung pembangunan infrastruktur negara. 28. Kita di Malaysia telah menolak komunis dan sosialis awal-awal lagi. Kita tidak memilih apa yang dipanggil sebagai sistem kapitalis. Yang kita pilih ialah sistem pasaran bebas dalam mana sesiapa sahaja boleh berniaga walaupun sekadar menjadi penjaja. Mereka yang ingin bekerja boleh bekerja sebagai pekerja upahan yang berhak menubuhkan kesatuan sekerja. Pekerja juga boleh berhenti kerja pada bila-bila masa. 29. Sistem kita jelas berjaya kerana pekerja Malaysia menikmati kehidupan yang lebih bahagia daripada pekerja di negara-negara membangun yang lain. Namun kita ingin meningkatkan lagi taraf hidup pekerja kita. Dengan itu, kita sedang menswastakan syarikat-syarikat dan agensi-agensi Kerajaan. Sekali lagi adalah jelas dasar ini menguntungkan pekerja. 30. Kita berpendapat bahawa pekerja Malaysia harus mendapat taraf hidup yang sama dengan pekerja di negara-negara maju. Untuk tujuan ini kita merancang supaya negara kita mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. 31. Rancangan dan matlamat mudah dicipta, tetapi mencapainya adalah satu perkara lain. Namun kita yakin kita boleh mencapai matlamat ini sepertimana kita mencapai hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara industri. 32. Secara ringkas untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 apa yang diperlukan ialah kefahaman dan kerjasama semua pihak - pekerja, majikan dan Kerajaan. Contoh negara miskin menjadi maju dalam 30 tahun sahaja ada di kawasan Timur ini. Kita hanya dikehendaki mencontohi pendekatan- pendekatan mereka yang berjaya. Insya-Allah kita juga akan berjaya. 33. Pada hari yang mulia ini marilah kita semua -- pekerja, majikan dan Kerajaan -- berikrar untuk bekerja ke arah mencapai matlamat ini. Kita bukan bertujuan untuk berbangga dalam usaha kita mencapai taraf negara maju, tetapi kita ingin mendapat kehidupan bahagia, setaraf dengan bangsa- bangsa lain. 34. Kita mesti yakin bahawa kita boleh berjaya. Kita harus berusaha dan bersabar. Hanya dengan kesanggupan memperbaiki taraf hidup kita secara tersusun dan tertib barulah kita akan berjaya. 35. Bagi pekerja yang beragama Islam, berusaha ke arah kejayaan adalah sebahagian daripada ibadat dan bukti keimanan. Mereka yang berkata kemiskinan orang Islam adalah ditakdirkan untuk menguji keimanan, sebenarnya ingin menyalahkan Tuhan kerana mereka tidak berusaha dan dengan itu gagal. Mereka ini hanya ingin memberi alasan terhadap kegagalan mereka menunaikan janji. 36. Orang Islam yang rajin, tabah, sabar dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan gigih bagi mengatasi masalah mereka adalah orang yang percaya dan beriman kepada Tuhan. Kemiskinan akan membawa kepada kekufuran. Justeru itu, sebarang usaha untuk mencari kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia adalah usaha untuk menjauhkan diri daripada kekufuran. Ia juga akan menyelamatkan kita daripada dikongkong oleh orang-orang politik yang memperalatkan Islam. 37. Agama Islam tidak menegah kita daripada berusaha untuk mencapai kemajuan, dan agama kita tidak melarang kita bekerjasama dengan penganut agama-agama lain dalam kerja- kerja yang tidak bertentangan dengan ajaran agama kita. Oleh itu, pekerja Islam mestilah membuktikan bahawa mereka boleh mencapai kejayaan sama seperti orang lain. Kejayaan sebuah negara yang menerima Islam sebagai agama rasmi, yang mempunyai penduduk yang majoritinya Islam dan sebahagian besar pemerintahannya dianggotai oleh orang Islam, akan menghapuskan kepercayaan bahawa orang Islam tidak mungkin berjaya sendiri dan terpaksa meminta-minta dari orang lain, walaupun untuk mempertahankan diri. 38. Kita merayakan Hari Pekerja pada hari ini. Yang merayakannya bukanlah semata-mata pekerja, tetapi juga majikan dan Kerajaan dan seluruh rakyat. Ini adalah kerana semua pihak harus menghargai peranan pekerja dalam menentukan kebahagiaan kehidupan mereka. Bahawa pekerja- pekerja di Malaysia telah berjaya bekerjasama dengan lain- lain kumpulan masyarakat dalam usaha membangunkan negara harus diberi penghargaan oleh semua pihak, bukan sahaja dalam acara-acara perayaan, tetapi juga dalam layanan yang diberi kepada mereka. 39. Dalam pada itu, pada Hari Pekerja ini, pekerja-pekerja juga harus merenungkan peranan yang dimainkan oleh lain-lain anggota masyarakat dalam memberi kehidupan yang lebih selesa kepada pekerja. Jika Kerajaan, majikan dan pihak-pihak lain membalas budi, pekerja juga harus membalas budi. 40. Masyarakat yang bahagia ialah masyarakat yang tahu menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak. Masyarakat seperti ini bukan sahaja akan menjadi tenteram, tetapi akan mencapai kemajuan dengan lebih cepat dan memberi kebahagiaan kepada semua pihak. 41. Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju dalam masa 30 tahun. Ini bukan satu khayalan. Ada negara- negara lain yang telah mencapai kemajuan sepantas ini. Orang Malaysia juga tidak kurang keupayaan dan kemampuan untuk berjaya seperti orang lain. Kita boleh berjaya. Insya-Allah, dengan pencapaian kemajuan yang diidamkan, pekerja dan semua pihak akan mendapat nikmat yang sewajarnya sebagai rakyat sebuah negara maju. 42. Saya telah mengambil masa yang panjang untuk mengulas perkara yang serius walaupun pada hari perayaan. Ini adalah kerana saya jarang-jarang berpeluang untuk bercakap secara langsung dengan golongan pekerja. Saya berharap apa yang saya sebutkan ini akan dinilai secara positif. Kerajaan tidak berniat untuk menindas atau membelakangkan mana-mana pihak. Apa yang kita inginkan ialah memberi kehidupan yang bahagia kepada semua rakyat dan menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang dihormati oleh dunia. 43. Kepada seluruh masyarakat pekerja, saya mengucapkan selamat merayakan Hari Pekerja. Seperti juga dengan lain- lain perayaan di Malaysia, semua pihak hendaklah turut sama merayakan Hari Pekerja ini. |