home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KAMPUNG JIMAH BARU, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN Tarikh/Date : 26/05/91 Tajuk/Title : UPACARA PELANCARAN KAMPUNGKU Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah kerana dapat menemukan kita di majlis yang mulia ini, projek Kampungku yang saya sarankan di Angkasapuri pada Disember 1990 yang lalu telah menampakkan hasil, contohnya bagi penduduk Kampung Jimah Baru ini. 2. Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh penduduk kampung yang telah berusaha sehingga kampung ini berjaya dijadikan contoh bagi Negeri Sembilan Darul Khusus sebagai memenuhi konsep Kampungku. Tuan-tuan dan puan-puan, 3. Struktur pentadbiran negara kita dari Persekutuan, kepada negeri, kemudian ke daerah, ke mukim dan seterusnya ke kampung telah membawa rahmat dan nikmat pembangunan yang digerakkan dengan lancar dan teratur. Rakyat telahpun mengecap nikmat pembangunan ini secara langsung atau secara tidak langsung. 4. Kita rakyat Malaysia, telahpun melafazkan kalimah syukur ini kepada Allah di atas nikmat yang diberikan kepada kita semua. Ramai lagi manusia lain di dunia ini di waktu ini yang tidak merasai nikmat sepertimana yang kita rasai sekarang ini seperti keamanan, kemewahan, kemajuan dan perpaduan. Lihat sahaja di Afrika Selatan di Habshah, di Timur Tengah, khasnya Iraq, Kuwait dan hatta di USA sendiri. Tuan-tuan sekalian, 5. Kalau kita imbas kembali ingatan kita semua, selain dari kudrat dan iradat Allah yang diberikan kepada kita menyebabkan banyak kemewahan dan kemajuan yang kita perolehi. Sebagai mewakili kerajaan, boleh saya katakan ianya adalah berpunca daripada kepercayaan tuan-tuan, penduduk-penduduk kampunglah yang telah tidak berbelah bagi memilih kerajaan ini (Kerajaan BN) atau UMNO sejak tahun 1946 hingga ke hari ini, sehingga segala nikmat yang kita perolehi ini terus berpanjangan. 6. Sebenarnya kekuatan mutlak bangsa Malaysia ialah perpaduan; saling hormat menghormati, patuh kepada ketua, di semua peringkat adalah asas budaya dalam kelompok norma masyarakat kita. 7. Sebagai contoh, penduduk Kampung Jimah Baru ini telah mempraktis sistem patuh kepada ketua dan amalan gotong royong telah mendorong tuan-tuan mencapai kejayaan ini, syabas kepada semua yang terlibat. Tuan-tuan dan puan-puan, 8. Pada 28 Februari 1991, dalam majlis perasmian Majlis Perdagangan Malaysia di Kuala Lumpur, saya ada menyarankan Wawasan 2020 (Malaysia Ke arah Negara Membangun). Satu matlamat yang harus kita tuju mulai sekarang. 9. Tugas agensi kerajaan dan swasta haruslah menjurus ke arah ini, kita mahukan sesuatu berbentuk peribadi. Kita tidak boleh terus berada dalam tahap keperluan diri, kita mahu bergerak dari petani sara diri kepada petani berbentuk komersial. 10. Oleh itu, agensi-agensi yang terlibat dengan sektor tani, seperti Felcra, Felda, Mada dan seumpamanya, mestilah berusaha mencapai matlamat ini. 11. Negara ini memiliki 25 juta hektar tanah yang sesuai untuk pertanian yang boleh diusahakan dan terus diusahakan. 12. Kita akui banyak kampung-kampung kita di seluruh negara telah jauh lebih maju jika dibanding 30 ke 40 tahun dahulu. Banyak kemudahan asas telah ada. Tetapi budaya kampung tetap wujud dan masih segar, walaupun kampung hampir tak tumpah seperti bandar, tetapi semangat kampung tetap hidup. 13. Saya berseru, kalau masyarakat Malaysia tetap dan terus mengekalkan budaya kampung seperti Kampung Jimah Baru, saya percaya dan penuh yakin tugas Kerajaan akan lebih mudah lagi untuk memandu atau memimpin Malaysia ke Wawasan 2020 dengan lebih bermakna. 14. Saya berharap, kemajuan yang dinikmati oleh penduduk Kampung Jimah Baru ini akan dirasai dan ditauladani oleh kampung-kampung lain di seluruh negara. Kita mahukan seluruh kampung di negara ini akan jadi seperti Kampung Jimah Baru, konsep Kampungku ini boleh dijadikan contoh sebagai kampung hala cara baru oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Sekian dan dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya rasmikan Majlis Perasmian Projek Kampungku, Kg. Jimah Baru dengan rasminya. |