home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : CARCOSA SERI NEGARA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 27/05/91 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PANEL PENASIHAT PERPADUAN NEGARA Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato Napsiah kerana menjemput saya ke Majlis ini, dan seterusnya merasmikan persidangan pertama Panel Penasihat Perpaduan Negara untuk tahun ini. 2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah dilantik sebagai ahli Panel Penasihat Perpaduan Negara. Kerajaan menghargai kesanggupan tuan-tuan dan puan-puan untuk bertugas sebagai anggota badan yang penting ini. 3. Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatupadu adalah antara cabaran-cabaran utama dalam usaha kita menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020. Tanpa perpaduan dan keharmonian antara kaum, kita tidak akan dapat memupuk persekitaran politik, sosial dan ekonomi yang mampu membawa negara ke tahap yang lebih maju. Malah perpaduan itu merupakan prasyarat utama yang mesti wujud dalam masyarakat sebelum kita dapat memanggil diri kita sebuah negara. 4. Perpaduan yang ingin kita pupuk di negara ini ialah satu keadaan di mana rakyat berbilang keturunan dan agama di Malaysia mempunyai satu perasaan kekitaan dan beridentiti sebagai warganegara dan bangsa Malaysia yang mampu melampaui batasan identiti kaum atau negeri mereka. Perpaduan yang kita sedang usahakan juga bertujuan untuk mewujudkan satu masyarakat di mana rakyat berbilang keturunan, kebudayaan dan kepercayaan, hidup makmur dalam suasana yang aman sejahtera yang lahir daripada semangat persefahaman yang kukuh, sikap toleransi dan saling menghormati dan kesediaan untuk bertolak ansur dan bermuafakat demi kepentingan bersama. Sudah pasti, bangsa yang bersatupadu yang ingin kita bentukkan juga harus berlandaskan kepada semangat kesetiaan, ketaatan dan patriotisme yang tinggi yang tidak berbelah bahagi kepada negara. 5. Pembentukan bangsa Malaysia merangkumi banyak perkara- perkara lain. Antaranya ialah menegakkan sistem politik demokratik yang matang yang dapat memelihara hak dan kepentingan individu di samping mengimbanginya dengan hak dan kepentingan masyarakat. 6. Saya rasa kita juga harus bertanya di sini, sejauh manakah kita telah berjaya memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia? Selepas lebih tiga puluh tahun merdeka, kita dapati hampir semua rakyat sekarang dilahirkan di Malaysia. Dan oleh itu isu taat setia kepada negara tidak harus menjadi tandatanya lagi, walaupun tahap patriotisme masih boleh dipertingkatkan. Manakala anak-anak kita dahulu melalui sistem pendidikan yang berbeza yang tidak membantu mewujudkan perpaduan, anak-anak sekarang melalui sistem pendidikan yang diseragamkan yang mementingkan semangat perpaduan dan kesedaran sebagai bangsa Malaysia. Satu kebudayaan kebangsaan juga sedang beransur berkembang, dipelopori oleh pengetahuan dan penggunaan Bahasa Malaysia secara meluas serta penyertaan dan pengalaman rakyat yang sama di dalam berbagai-bagai bidang politik, ekonomi dan sosial. 7. Ciri demografi yang berbilang kaum telah menjadi satu realiti yang tidak dapat diketepikan. Dalam hubungan ini, kita bernasib baik kerana kebanyakan masalah perpecahan di kalangan masyarakat kita kurang disebabkan oleh perbezaan kaum yang amat sukar untuk diatasi, tetapi lebih berpunca daripada perbezaan taraf sosio-ekonomi di antara kaum dan wilayah yang mana ini lebih mudah untuk dirancang dan diatasi. Itulah sebabnya semenjak merdeka, Kerajaan telah memberi banyak tumpuan terhadap isu-isu pembangunan sosio- ekonomi. Kemajuan yang telah dicapai oleh Kerajaan setakat ini untuk mewujudkan satu masyarakat yang lebih homogeneous daripada segi taraf sosio-ekonomi di antara kaum dan wilayah akan diterus dan dipertingkatkan lagi. 8. Walaupun kita telah memperolehi kejayaan yang boleh dibanggakan, namun kita harus akui bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan oleh semua pihak untuk mencapai cita-cita kita bagi membina satu bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu menjelang tahun 2020. Perpaduan rakyat tidak bermakna bahawa kebudayaan, agama dan bahasa-bahasa kaum dan suku kaum akan dihapuskan. Tetapi adalah penting kita memiliki satu bahasa kebangsaan dan satu budaya yang teristimewa bagi bangsa dan negara kita Malaysia. 9. Untuk ini kita harus kurang menekan dan menonjolkan aspek-aspek yang membezakan kaum-kaum di Malaysia. Sebaliknya kita hendaklah tumpukan kepada persamaan yang terdapat di antara kita. Sebenarnya jika kita teliti, semua kaum di Malaysia sudah pun menyerap aspek-aspek kebudayaan kaum-kaum lain. Janganlah kita sengaja menghapuskan apa yang telah diserapkan ini, kerana ingin mengasingkan diri. 10. Di sinilah terletaknya peranan asas-asas tertentu dalam Perlembagaan dan Rukunegara. Pengetahuan tentang kedua- duanya amatlah penting bagi warganegara negara ini. 11. Perlembagaan menentukan kedudukan Raja-raja sebagai Raja Berperlembagaan; mengiktiraf dan menjamin kedudukan kaum-kaum bumiputera dan bukan bumiputera dalam bidang pembangunan sosio-ekonomi; menetapkan bahasa Melayu sebagai asas bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sementara lain-lain bahasa tidak boleh dihapuskan dan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Persekutuan serta kebebasan beragama oleh orang bukan Islam. Semua ini telah dipersetujui oleh semua pihak semasa Malaya dan kemudian Malaysia dibentuk. Kita tidak lagi harus menyoal perkara-perkara ini. 12. Rukunegara pula merupakan kata sepakat yang menjadi asas dan panduan kepada semua rakyat Malaysia. Rukunegara dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 di waktu mana jelas kelihatan bahawa rakyat tidak mengenali institusi-institusi yang merupakan lambang keistimewaan Malaysia dan dengan itu tidak tahu apakah yang harus dihormati dan dijunjung oleh mereka secara bersama. Dengan menentukan lima rukun yang diterima dan dimiliki oleh semua, maka rakyat sekarang tahu akan apa dianya yang dimiliki dan harus dipertahankan bersama. Oleh kerana semua rakyat memiliki rukun yang sama, maka tidak ada sesiapa yang harus berasa tersisih kerana memikir pihak lain lebih berhak atau kurang berhak. 13. Dengan demikian, Rukunegara menjadi tiang yang menjulang negara dan setiap rakyat bertanggungjawab menegakkan tiang-tiang ini. Negara akan jatuh dan hancur jika kelima-lima tiang ini tidak ditegakkan oleh rakyat. 14. Panel Penasihat Perpaduan Negara dibentuk dan dianggotai oleh ahli-ahli yang tahu akan kandungan Perlembagaan dan Rukunegara. Kita semua sedar juga bahawa Perlembagaan dan Rukunegara memang tidak sunyi daripada kecacatan. Semuanya adalah ciptaan manusia biasa. Tetapi jika diambilkira prestasi negara dalam bidang keamanan dan pembangunan, prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukunegara tidaklah begitu cacat. 15. Yang perlu sekarang ialah bagaimana menambahkan keberkesanan Perlembagaan dan Rukunegara dalam pembentukan perpaduan di kalangan rakyat. Panel Penasihat Perpaduan Negara harus bergerak dalam konteks ini. Walaupun Panel yang lama telah memberi nasihat yang jelas berkesan, namun masih banyak lagi yang boleh difikir, dicipta dan disarankan dalam usaha mencari jalan dan ikhtiar untuk meningkatkan lagi perpaduan di kalangan rakyat majmuk Malaysia. 16. Keadaan yang ideal untuk perpaduan tidak terdapat di mana-mana. Jika keadaan yang ideal boleh diwujudkan, maka tidak perlu lagi kita berusaha untuk memupuk perpaduan, kerana dalam keadaan sedemikian perpaduan akan wujud dengan sendirinya. Kita mengadakan Panel Penasihat Perpaduan Negara ini kerana kita sedar kita tidak perfect dan tidak mungkin perfect. Dalam keadaan serba cacat ini, kita memerlukan nasihat tentang apakah yang harus dibuat lagi untuk mencapai perpaduan yang lebih erat. 17. Orang asing mungkin mendakwa bahawa mereka tahu masalah kita dan bagaimana untuk mengatasinya. Sebenarnya, mereka tidak tahu kerana masalah di negara mereka sendiri pun tidak dapat mereka selesaikan. Keadaan di negara mereka jauh lebih buruk daripada negara kita walaupun mereka sudah tentukan bahawa orang yang tidak daripada jenis mereka tidak dapat menduduki negara mereka, ataupun bilangan yang tidak sanggup menyerap kebudayaan nasional mereka tidak ramai. 18. Justeru itu janganlah kita mudah terpengaruh dengan dakwaan orang asing ini bahawa apa yang dilakukan oleh kita akan menggagalkan kita. Kita lebih arif akan masalah kita. Kita telah buktikan bahawa dasar-dasar dan prinsip-prinsip kita lebih berjaya mengatasi masalah masyarakat majmuk dan keadaan tidak seimbang yang terdapat dalam negara kita. Yang penting ialah kita kurangkan tekanan emosi. Kita hendaklah bersifat sederhana dan berpandu kepada akal fikiran dalam menyelesaikan masalah kita. 19. Kita telah merancang, dengan izin Tuhan, bahawa negara kita akan menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Pencapaian negara kita semenjak merdeka meyakinkan kita bahawa matlamat ini boleh dicapai. Namun kita tidak boleh lalai dan menunggu masa berlalu begitu sahaja. 20. Strategi ekonomi dan politik adalah tanggungjawab mereka yang berperanan dalam bidang-bidang ini. Tetapi strategi politik dan ekonomi yang tepat sekalipun tidak akan menjayakan perjuangan kita jika sekiranya negara kita dilanda oleh rusuhan kaum kerana tidak ada perpaduan. Justeru itu Panel Penasihat Perpaduan Negara ini mempunyai peranan yang amat penting dalam usaha mencapai visi 2020. Negara dan Kerajaan menaruh harapan yang tinggi terhadap Panel ini dan juga kepada agensi-agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menyumbang kepada pencapaian wawasan negara kita ini. 21. Perpaduan merupakan satu proses yang memakan masa. Setelah satu generasi berlalu keadaan di negara kita sudah berubah. Walaupun ada yang berkata bahawa kaum-kaum di Malaysia semakin jauh terpisah, tetapi sebenarnya kita adalah lebih rapat di antara satu sama lain. Jika 34 tahun dahulu ada orang yang tidak pernah bercampur dengan orang daripada kaum lain, tetapi sekarang bukan sahaja mereka lebih dekat tetapi juga bahasa Kebangsaan tidak lagi begitu asing kepada sesetengah kaum seperti di masa dahulu. 22. Kita harus bersabar semasa kita berusaha. Akhirnya akan berjaya juga usaha kita. Dengan usaha yang akan dibuat oleh Panel Penasihat ini, saya yakin, perpaduan yang lebih erat akan menjadi kenyataan dengan lebih awal lagi. 23. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan mesyuarat pertama Panel Penasihat Perpaduan Negara bagi tahun 1991. Wabillahitaufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |