Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 28/05/91
Tajuk/Title : PERASMIAN PAMERAN PENDIDIKAN BRITISH
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur
kerana memberi peluang kepada saya untuk merasmikan Pameran
Pendidikan British pada hari ini.
2. Pameran seperti ini memberi peluang kepada ibu bapa,
penuntut-penuntut dan badan-badan yang membiayai para
pelajar ke seberang laut untuk meninjau dan mengetahui
dengan lebih dekat lagi berbagai-bagai peluang pendidikan
yang terdapat di Britain. Seperti mana yang diketahui,
Malaysia dan Britain telah lama menjalinkan hubungan rapat
dalam bidang pendidikan. Semenjak sebelum merdeka lagi,
Malaysia telah menghantar para pelajarnya menuntut di
Britain. Oleh kerana faktor sejarah inilah, maka sehingga
hari inipun, Britain masih menjadi tumpuan bagi penuntut
Malaysia mendapatkan pelajaran tinggi mereka.
3. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, Malaysia
sentiasa memberi perhatian berat terhadap pendidikan.
Semenjak merdeka, perbelanjaan besar telah diperuntukkan
untuk meninggikan mutu pelajaran negara ini. Pada hari ini,
rakyat Malaysia boleh berbangga bahawa mutu pendidikan kita
adalah antara yang terbaik di kalangan negara-negara
membangun. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk terus
memberi perhatian yang berat terhadap bidang pendidikan.
4. Oleh kerana kekurangan tempat di institusi-institusi
pelajaran tinggi di negara ini, ramai pelajar Malaysia
meneruskan pelajaran mereka di seberang laut. Di samping
itu, Kerajaan juga menghantar sebilangan besar penuntut yang
tidak dapat ditempatkan di institusi-institusi pelajaran
dalam negeri untuk meneruskan pendidikan di institusi-
institusi pelajaran tinggi di seberang laut. Oleh kerana
pada hari ini ramai penuntut Malaysia belajar di luar negeri
maka banyak negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat,
Australia, Kanada dan New Zealand berminat untuk menarik
penuntut-penuntut kita belajar di negara mereka.
5. Mungkin ada ibu bapa di Malaysia yang berpendapat
bahawa amat malang bagi mereka kerana tidak dapat memasukkan
anak mereka ke institusi tempatan, dan dengan itu harus
menanggung perbelanjaan yang tinggi untuk menghantar anak
mereka ke luar negeri. Sebenarnya ibu bapa di Malaysia amat
bernasib baik kerana pendapatan mereka di Malaysia yang maju
ini, mencukupi untuk menanggung perbelanjaan yang
diperlukan. Selain daripada itu, banyak negara membangun
lain menegah penghantaran pelajar ke luar negeri untuk
menyelamatkan tukaran asing atau kerana lain-lain sebab. Di
Malaysia tidak ada sekatan dikenakan terhadap pelajar yang
ingin belajar di luar negeri, walaupun ini menyebabkan lebih
daripada seribu juta ringgit mengalir keluar setiap tahun.
6. Kekurangan tempat dalam institusi pelajaran tinggi
dalam negeri bukanlah disengajakan. Sebenarnya penubuhan
institusi pelajaran tinggi oleh Kerajaan memerlukan
perbelanjaan yang besar. Ia juga memerlukan ramai tenaga
pengajar yang berkebolehan yang sukar didapati. Kesukaran
mendapat tenaga pengajar ini menjadi faktor utama mengapa
Kerajaan tidak dapat mengadakan tempat yang mencukupi bagi
semua yang ingin meneruskan pelajaran tinggi di dalam
negeri.
7. Untuk mengatasi masalah ini dan untuk menjimatkan
tukaran asing, Kerajaan telah membenarkan kursus-kursus
tahun pertama dan kedua universiti-universiti asing diadakan
di dalam negeri melalui kerjasama di antara institusi
tempatan dengan beberapa universiti asing. Kerajaan juga
sedang menimbang kemungkinan universiti-universiti asing
mendirikan cawangan milik mereka di Malaysia, jika kurikulum
mereka disesuaikan dengan dasar pendidikan kebangsaan.
Dengan itu peluang-peluang mendapat pelajaran tinggi akan
bertambah.
8. Pendidikan merupakan faktor penting dalam usaha kita
membangunkan negara. Rakyat yang terpelajar dapat memberi
sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi dan
pembangunan negara yang pesat serta mewujudkan masyarakat
yang mampu bersaing dengan negara-negara yang maju. Untuk
mencapai matlamat 2020 rakyat mestilah memiliki tahap
pengetahuan yang sama dengan negara-negara yang maju. Tidak
mungkin Malaysia menjadi sebuah negara maju jika penduduknya
tidak berpelajaran tinggi dan mempunyai pengetahuan yang
cetek. Justeru itu, Kerajaan akan menggunakan apa juga cara
dan kaedah untuk menyediakan kemudahan pendidikan yang
secukupnya kepada rakyat.
9. Di Malaysia nilai yang tinggi diberi kepada ijazah
terutamanya dalam bidang-bidang sastera dan sains tulin.
Pendapat umum ialah sesiapa yang mempunyai ijazah mampu
membuat apa sahaja. Mereka dianggap mampu menjadi pentadbir
atau pengurus. Ini tidak semestinya benar. Pemegang ijazah
belum boleh dikatakan berkebolehan melainkan setelah mereka
mempunyai pengalaman yang cukup dan ijazah mereka sesuai
dengan tugas mereka. Justeru itu, nilai yang tinggi perlu
diberikan kepada pengalaman. Kadang kala pengalaman harus
dinilai lebih tinggi daripada ijazah. Sudah tiba masanya
penghargaan kepada ijazah dan penghormatan yang tinggi yang
diberikan kepada pemegangnya dinilai semula dalam penentuan
jawatan, taraf dan gaji. Penghargaan yang tinggi harus
diberikan kepada pengalaman dan prestasi dan tekanan
hendaklah diberikan kepada bidang-bidang khusus yang berkait
rapat dengan bidang tugas seseorang. Dalam perkara ini,
Kerajaan akan menentukan pendiriannya supaya ia boleh
menjadi contoh kepada pihak-pihak lain.
10. Kebolehan bertutur dalam bahasa-bahasa lain, selain
daripada bahasa ibunda, adalah penting dan perlu dalam zaman
serba kemajuan ini. Dalam hal ini, agak ketinggalan jika
seseorang itu hanya boleh bertutur dalam bahasa ibundanya
sahaja. Ini adalah kerana sesuatu bangsa atau negara tidak
dapat memisahkan diri sepenuhnya daripada bangsa dan negara
lain dalam dunia. Jika perhubungan antara negara-negara
hendak diadakan, baik dalam bidang politik atau perdagangan,
kebolehan bertutur dalam bahasa lain selain daripada bahasa
ibunda adalah penting dan perlu. Jika tidak, adalah amat
sukar untuk mengadakan rundingan dan membuat perjanjian.
Sebagai contoh, perjanjian dalam bahasa kebangsaan mana-mana
negara tidak akan diterima oleh sebuah negara lain yang
mengadakan perjanjian atau treaty, kecuali bahasa yang
digunakan diiktiraf dan difahami oleh kedua-dua negara. Ini
bermakna perjanjian mesti dibuat dalam satu bahasa yang
mungkin bukan bahasa kebangsaan bagi kedua-dua negara, jika
mereka mempunyai bahasa kebangsaan yang tidak sama.
11. Perdagangan antarabangsa memainkan peranan penting
dalam pembangunan ekonomi Malaysia. Di samping itu,
Malaysia memainkan peranan aktif dalam politik antarabangsa.
Dalam hal ini, penguasaan bahasa lain selain daripada bahasa
Malaysia adalah mustahak. Oleh itu, Malaysia mesti
mempunyai pegawai-pegawai dan pedagang-pedagang yang bukan
sahaja tahu bahasa asing, tetapi juga fasih dalam bahasa
tersebut sehingga boleh menggunakannya untuk perbahasan,
rundingan dan menyediakan teks perjanjian. Dengan ini
apabila diperlukan kita boleh menyediakan orang yang
berkebolehan dalam urusan tertentu.
12. Antara bahasa-bahasa asing ada beberapa bahasa yang
lebih kerap digunakan. Antaranya ialah bahasa Inggeris yang
banyak diguna dalam perhubungan antarabangsa. Demikianlah
luasnya penggunaan bahasa Inggeris sehingga dalam perjanjian
antara negara-negara yang bahasa kebangsaannya bukan
Inggeris, teks dalam bahasa Inggeris diterima sebagai teks
yang sah bagi maksud perjanjian.
13. Malaysia bernasib baik kerana bahasa Inggeris bukanlah
asing kepada penduduk negara ini. Negara-negara yang dahulu
dijajah oleh bukan Inggeris dan dipaksa menerima bahasa
penjajah berkenaan mendapati penggunaan bahasa penjajah
mereka tidak begitu berguna. Kebanyakan daripada negara-
negara ini terpaksa mempelajari bahasa Inggeris dan
menggunakannya untuk perhubungan dengan negara-negara asing.
Sebaliknya rakyat Malaysia memahami bahasa Inggeris kerana
ramai yang mempelajarinya di bangku sekolah dahulu, dan
ramai juga yang mendapat pelajaran tinggi dalam bahasa
Inggeris. Seperkara lagi, oleh kerana familiariti dengan
bahasa Inggeris, maka banyak daripada perkataan-perkataan
baru dalam bahasa kebangsaan diasaskan kepada bahasa
Inggeris. Oleh itu amat tepatlah dasar menjadikan bahasa
Inggeris bahasa kedua bagi Malaysia. Dasar ini bukanlah
berasas kepada sentimen atau ikatan sejarah, tetapi oleh
kerana bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa. Faktor
sejarah adalah kebetulan sahaja. Seperti juga beberapa
negara lain yang dahulunya dijajah oleh bukan Inggeris,
tetapi sekarang mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris,
Malaysia, jika pun tidak ada faktor sejarah kaitan dengan
Britain, akan terpaksa memilih bahasa Inggeris sebagai
bahasa kedua pentingnya bagi negara ini.
14. Saya berharap sikap dan dasar Kerajaan terhadap bahasa-
bahasa asing khasnya bahasa Inggeris, difahami oleh rakyat.
Rakyat hendaklah memberi perhatian yang serius terhadap
penguasaan bahasa kedua. Mereka yang meringan-ringankan
penguasaan bahasa kedua tidak boleh menganggap diri mereka
sebagai juara bangsa atau nasionalis. Sebenarnya bahasa
Kebangsaan telah berkembang maju dan menjadi bahasa yang
lebih lengkap selaras dengan zaman moden ini kerana sikap
terbuka kita kepada bahasa-bahasa lain. Justeru itu, yang
sepatutnya dianggap sebagai juara bangsa ialah mereka yang
boleh membantu menjayakan bangsa. Mereka yang enggan
mempelajari bahasa-bahasa lain, sehingga menghalang usaha
memperkayakan bahasa kebangsaan dan peningkatan ilmu
pengetahuan serta kemajuan negara, tidak boleh berbangga
dengan sikap mereka.
15. Negara ini adalah komited terhadap meningkatkan taraf
pembangunannya supaya pada tahun 2020 kita boleh ditakrif
sebagai negara maju. Untuk mencapai matlamat ini kita perlu
menguasai semua jenis ilmu dan teknologi yang kebanyakannya
boleh diperolehi dalam bahasa asing, terutama dalam bahasa
Inggeris. Kebanyakan daripada ilmu baru dan juga yang lama
telah dialihbahasakan kepada bahasa Inggeris. Justeru itu,
penguasaan bahasa Inggeris akan membuka pintu kepada hampir
semua ilmu lama dan moden. Adalah tidak merugikan jika kita
menguasai bahasa Inggeris di samping penguasaan bahasa
ibunda.
16. Adalah diharapkan orang ramai, terutama ibu bapa dan
penuntut-penuntut, akan mengambil kesempatan melawat pameran
ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi kemudahan-
kemudahan pendidikan yang disediakan di Britain. Saya
percaya pameran ini akan dapat membantu ibu bapa yang
berhasrat untuk menghantar anak-anak mereka belajar di luar
negeri membuat perbandingan mengenai pelbagai kolej,
politeknik dan universiti yang mengambil bahagian dalam
pameran ini.
17. Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
penganjur kerana menjemput saya untuk merasmikan majlis ini.
18. Dengan ini, saya dengan sukacitanya membuka Pameran
Pendidikan British ini dengan rasminya.
|