Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29/05/91
Tajuk/Title : MAKAN MALAM MERAIKAN TUAN YANG
TERUTAMA ANAND PANYARACHUN
Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Anand Panyarachun;
Tuan Yang Terutama-Tuan Yang Terutama;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dengan amat sukacitanya saya ingin mengalu-alukan
kedatangan Tuan Yang Terutama dan ahli-ahli rombongan Tuan
Yang Terutama ke Malaysia. Malah Tuan Yang Terutama
bukanlah seorang asing kepada Malaysia kerana pernah melawat
ke sini secara persendirian dan secara rasmi sebelum
memegang jawatan Perdana Menteri Thailand. Lawatan Tuan
Yang Terutama kali ini lebih menggembirakan lagi kerana kami
menyambut Tuan Yang Terutama buat pertama kali sebagai
Perdana Menteri Thailand. Sudah pasti lawatan Tuan Yang
Terutama akan mengeratkan lagi hubungan tradisional yang
rapat dan khas yang wujud di antara Malaysia dengan
Thailand.
2. Tuan Yang Terutama membuat lawatan ketika perubahan-
perubahan ekonomi dan politik yang penting sedang berlaku di
dunia hari ini. Oleh yang demikian, lawatan ini memberi
peluang kepada kita untuk bertukar-tukar pandangan dan idea
mengenai peranan yang boleh kita mainkan di rantau ini untuk
memenuhi cabaran-cabaran baru tersebut. Petang tadi kita
telah mengadakan perbincangan yang amat berguna mengenai
isu-isu dua hala dan serantau. Kita merasa bangga dengan
tahap kerjasama ekonomi, kebudayaan dan sosial yang wujud di
antara kedua-dua negara dan kita berazam untuk mengukuhkan
lagi kerjasama ini dengan menghapus sebarang halangan yang
mungkin masih ada. Mekanisma yang perlu sudahpun wujud
dalam bentuk Suruhanjaya Bersama dan beberapa jawatankuasa
yang berfungsi. Saya yakin, bahawa dengan panduan dan
sokongan Tuan Yang Terutama, kita akan berupaya mencapai
matlamat yang telah kita tetapkan bersama.
3. Jika saya menekankan keperluan untuk meningkatkan
kerjasama dua hala kita, ianya adalah untuk menarik
perhatian mengenai betapa pentingnya kerjasama sedemikian
bukan sahaja bagi kita, tetapi juga sebagai asas utama bagi
sebuah organisasi serantau yang kukuh dan mempunyai daya
ketahanan yang kita semua dukung, iaitu ASEAN. Dalam dunia
hari ini di mana negara-negara kecil akan mendapati sukar
untuk hidup dalam politik antarabangsa yang penuh dengan
kepincangan, hanya organisasi serantau yang kukuh dapat
menawarkan peraturan yang paling berwibawa untuk melindungi
kepentingan mereka. Selaras dengan semangat inilah kami
mengutarakan ASEAN dan sekretariatnya diperkukuhkan. Saya
merasa gembira bahawa laporan oleh lima orang terkemuka yang
dipilih khas untuk mengkaji dan membuat perakuan-perakuan
khusus bagi memperkukuhkan ASEAN, akan dibentangkan tidak
lama lagi untuk pertimbangan semua negara ahli.
Memandangkan Tuan Yang Terutama sendiri, sebelum ini pernah
terlibat dalam usaha yang sama, saya yakin Tuan Yang
Terutama akan memberi sokongan penuh kepada usaha-usaha
tersebut.
Tuan Yang Terutama,
4. Dalam semangat kerjasama serantau dan kolektif kita
yang sama, Malaysia telah mencadangkan penubuhan Kumpulan
Ekonomi Asia Timur atau EAEG. Sepertimana yang telah
beberapa kali kami nyatakan, EAEG adalah selaras dengan
obligasi GATT dan akan mengekalkan sistem perdagangan
berbagai hala. Ia juga akan menjadi sebuah forum bagi ahli-
ahlinya berbincang di antara satu sama lain bagi mengekalkan
perdagangan bebas. EAEG tidak akan menjadi sebuah kumpulan
perdagangan yang eksklusif. Bagaimanapun, ianya sudah tentu
ingin membantu ahli-ahlinya menjadi makmur dan meningkatkan
perdagangan di antara negara-negara serantau. Saya merasa
gembira bahawa ASEAN telah bersetuju untuk mengkaji dan
menyediakan butir-butir konsepnya. Saya percaya kami
mendapat sokongan Tuan Yang Terutama bagi menjadikan konsep
tersebut satu kenyataan.
5. Memandangkan Tuan Yang Terutama memegang jawatan pada
ketika ini dalam sejarah Thailand, Tuan Yang Terutama
mempunyai tanggungjawab untuk menjamin kestabilan,
keselamatan dan kemakmuran yang berterusan bagi negara Tuan
Yang Terutama. Saya mengucapkan kejayaan dalam usaha-usaha
Tuan Yang Terutama kerana kami di Malaysia, sebagai jiran
paling dekat, ingin melihat Thailand menjadi sebuah negara
yang stabil, selamat dan makmur.
|