Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM KUBU, MELAKA
Tarikh/Date : 31/05/91
Tajuk/Title : MAJLIS PERHIMPUNAN HARI BELIA
NEGARA 1991 DAN PELANCARAN PROGRAM
INDUK BELIA NEGARA
Assalamualaikum warahamtullahi wabarakatuh.
Selamat pagi dan salam sejahtera.
Yang Amat Berhormat Tan Sri Abd. Rahim Thamby Chik,
Ketua Menteri Melaka
Yang Berbahagia Senator Annuar Musa,
Menteri Belia dan Sukan, Malaysia;
Tuan-tuan dan puan-puan;
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian belia
dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia kerana menjemput saya ke
Majlis Perhimpunan Hari Belia Negara dan Pelancaran Program
Induk Belia Negara pada pagi yang berbahagia ini.
2. Perhimpunan ini mempunyai satu pengertian yang penuh
bersejarah dan bermakna khasnya kepada masyarakat belia
iaitu golongan generasi yang akan mewarisi dan meneruskan
perjuangan untuk pembangunan bangsa dan negara di masa-masa
akan datang.
3. Pemilihan negeri Melaka sebagai tempat perhimpunan ini
sudah kena pada tempatnya kerana Melaka merupakan negeri
bersejarah. Justeru itu marilah kita merenung kembali
detik-detik sejarah perjuangan bangsa dan negara kita dalam
mencapai kemerdekaan. Sejarah perjuangan ini bukanlah
perkara mudah untuk dilupai. Saya berharap generasi muda
hari ini mestilah mengetahui dan memahami bagaimana
pengorbanan yang besar yang telah diberikan oleh para
pemimpin dan para pejuang bangsa untuk memerdekakan negara
kita dari belenggu penjajah.
4. Tetapi persoalan yang besar harus difikirkan oleh
generasi muda hari ini ialah adakah kejayaan yang kita capai
ini sudah mencukupi? Adakah generasi muda hari ini sudah
bersedia untuk meneruskan perjuangan untuk membangunakn
negara dengan lebih cemerlang lagi? Adakah generasi belia
sudah matang untuk mengambil alih pucuk pimpinan negara masa
akan datang?
5. Inilah persoalan-persoalan yang harus difikirkan oleh
generasi muda hari ini jika mahu melihat kejayaan Malaysia
lebih cemerlang lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Semenjak negara mencapai kemerdekaan, dengan masa yang
singkat, negara kita telah mencapai kejayaan yang cemerlang
dan kini Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang
membangun. Pencapaian kemajuan negara ini adalah hasil
kerjasama semua pihak yang bersungguh-sungguh untuk
memajukan negara. Di samping itu, kestabilan politik,
ekonomi dan perpaduan serta kerjasama di kalangan rakyat
Malaysia yang berbilang kaum juga telah memberi kesan yang
bermakna kepada kesejahteraan negara. Banyak dasar-dasar
kerajaan telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi
kesan yang berfaedah kepada semua masyarakat.
7. Di atas kejayaan-kejayaan yang dicapai itu, telah
menyakinkan kita semua bahawa potensi pembangunan negara
kita di masa-masa akan datang begitu cerah. Keadaan ini
jelas dilihat iaitu pada tahun ini pertumbuhan ekonomi
negara dijangka terus berkembang dan menggalakkan.
Sumbangan pelaburan swasta terutama pelaburan asing juga
dijangka meningkat tahun ini. Keadaan ini telah
mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan
politik dan ekonomi negara. Kini Malaysia akan terus
bertapak dan maju sebagai sebuah negara perindustrian.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Dekad 90-an dan seterusnya merupakan dekad yang lebih
mencabar dan berdaya saing. Bagi menghadapi keadaan ini,
Malaysia akan terus membina satu strategi gerakan yang lebih
mantap, kemaskini dan berfikiran "futuristic" iaitu melihat
cabaran dan kedudukan masa depan negara dengan lebih jauh
lagi iaitu untuk menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah
negara maju menjelang tahun 2020.
9. Yang dimaksudkan maju ini bukanlah semata-mata maju
dalam bidang ekonomi tetapi merangkumi bidang politik,
sosial, pendidikan dan kebudayaan. Rakyat Malaysia perlu
berani menukar falsafah perjuangan. Pemikiran yang positif
dan mewujudkan identiti bangsa Malaysia yang lebih dinamik
dan progresif.
10. Untuk mencapai cita-cita ini, ia memerlukan rakyat yang
bersatu padu, saling faham memahami di antara satu dengan
yang lain, komited dan berjiwa patriotik serta sanggup
berkorban untuk kemajuan negara.
11. Bagi mencapai matlamat wawasan 2020, kebinet telah
meluluskan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2)
yang menandakan bermulanya satu era baru. RRJP2 ini adalah
untuk menggantikan dasar ekonomi baru yang telah tamat
tempohnya. Pada dasarnya pelan ini adalah merupakan
persediaan untuk mewujudkan negara Malaysia yang maju dan
bersatu padu melalui keseimbangan semua bidang pembangunan.
12. Negara kita begitu pesat membangun dalam bidang
ekonomi. Hasil daripada ini rakyat Malaysia telah merasai
kenikmatan kekayaan hidup yang sejahtera. Bagi memastikan
masyarakat tidak begitu ghairah mementingkan kekayaan
semata-mata, kita perlulah memperseimbangkan pembangunan
ekonomi dengan pembangunan kemanusiaan atau keperibadian
rakyat Malaysia yang lebih sempurna lagi.
13. Jika kita ingin melihat negara kita maju, rakyat
Malaysia mesti berani dan mempunyai daya kesungguhan untuk
membuat perubahan daripada segi sikap, cara hidup dan cara
berfikir. Sistem kepercayaan yang menjadi khayalan dan
berunsur negatif perlu dikikis tetapi nilai-nilai yang
positif yang telah diamalkan oleh masyarakat, perlu
diperkukuhkan seperti gotong royong dan bermuafakat. Kita
berasa beruntung di mana rakyat di negara ini terdiri
daripada berbilang kaum. Setiap kaum mempunyai kekuatan
sistem nilainya. Misalannya kaum Cina terdedah dalam alam
perniagaan. Melalui pengalaman dan pendedahan ini telah
membentuk tabiat yang lebih gigih dan rajin bekerja.
14. Oleh itu, kerajaan akan memberi penumpuan dalam
melaksanakan program-program untuk membina masyarakat ke
arah sikap yang positif dan seterusnya melahirkan rakyat
Malaysia yang mempunyai nilai-nilai keperibadian yang mulia
dan berhemah tinggi yang akan melambangkan budaya dan
identiti bangsa Malaysia yang bermaruah. Saya berpendapat
maju jayanya sesuatu bangsa itu bergantung besar kepada
sistem nilai yang diamalkan. Kalau sistem nilai itu baik,
maka berjayalah bangsa itu, sebaliknya kalau sistem nilai
itu tidak sesuai, maka bangsa itu tidak akan berjaya
walaupun mereka itu pandai atau kuat.
15. Oleh hal yang demikian, saya berharap beberapa kaum
yang ada di negara ini harus saling belajar dan mempelajari
sistem nilai di antara satu dengan yang lain dan
mengenengahkan sistem nilai yang baik supaya dapat diamalkan
bersama dan dijadikan sistem nilai bangsa Malaysia.
16. Dalam menghadapi dunia yang penuh mencabar ini, sudah
sampailah masanya generasi hari ini perlu kurangkan
berfalsafah atau berteori semata-mata, tetapi haruslah
mengambil sikap yang lebih matang dan "action-oriented"
supaya tindak tanduk itu selari dengan kehendak pembangunan
negara. Dengan berfikiran secara begini, akan lahirlah satu
generasi yang kreatif dan berani membuat perubahan dan
pembaharuan demi kepentingan bangsa dan negara.
17. Bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang
maju dalam bidang perindustrian, kita memerlukan perancangan
yang teratur dalam menyediakan sumber manusia yang dinamik,
mahir dan komited. Kerajaan akan memberi penekanan dalam
bidang latihan yang bertahap tinggi sejajar dengan
perkembangan teknologi moden.
18. Satu jawatankuasa kabinet mengenai latihan telah
dibentuk dan laporannya sudah siap untuk dibentangkan dalam
kabinet. Kajian ini adalah bertujuan untuk melihat
keperluan tenaga manusia mahir dalam industri dan
keberkesanan sistem latihan perindustrian yang ada di negara
ini. Saya berharap kemudahan peluang-peluang latihan yang
disediakan oleh kerajaan ini akan direbuti oleh generasi
belia. Generasi belia yang mempunyai kemahiran sudah pasti
mempunyai peluang yang baik untuk bekerja di kilang-kilang
yang ada di negara ini.
19. Harapan kerajaan pada jangka panjang bukanlah untuk
menjadikan kita bekerja dengan syarikat-syarikat asing
semata-mata, tetapi dengan adanya kemahiran teknologi,
kepakaran dan pengalaman dalam bidang tertentu, kita
mengharapkan mereka ini akan menceburkan diri dalam bidang
keusahawanan dan perusahaan sendiri yang akan mengambil alih
teraju kepentingan pembangunan ekonomi negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20. Kebelakangan ini gejala-gejala yang kurang sihat telah
melandai generasi muda seperti keruntuhan akhlak, moral dan
penagihan dadah. Anak-anak muda telah mulai mengagung-
agungkan kebudayaan kuning. Ini merupakan penyakit yang
sungguh merbahaya. Jika keadaan ini berterusan ia akan
mengugat proses pembangunan negara. Kita tidak mahu
membelanjakan begitu banyak wang rakyat kepada memulihkan
penyakit ini. Sebaliknya kita mahu membelanjakan wang untuk
tujuan pembangunan rakyat sama ada di luar bandar ataupun di
bandar-bandar.
21. Justeru itu, saya berharap masyarakat belia harus
berfikir lebih matang dalam menghadapi godaan hidup yang
penuh mencabar ini. Bagi memastikan penyakit ini tidak
dijangkiti dan berleluasa, saya harap pertubuhan-pertubuhan
belia yang ada di negara ini memainkan peranan penting dalam
menarik lebih ramai belia menyertai pertubuhan belia dan
melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang sihat.
22. Saya begitu yakin melalui aktiviti pertubuhan belia, ia
akan lebih terkawal di samping dapat mewujudkan semangat
integrasi di kalangan mereka. Melalui pertubuhan belia juga
akan mudah untuk merencana dan melaksanakan program-program
yang berfaedah. Di antara aktiviti yang berfaedah adalah
aktiviti pengembaraan.
23. Negara kita, mempunyai alam keindahan semulajadi.
Keindahan ini melambangkan kedamaian dan keharmonian
penduduknya. Seharusnya generasi belia hendaklah mempunyai
semangat "adventurous", iaitu suka mengembara dan melihat
keindahan negara sendiri. Ini merupakan aktiviti yang baik
di mana ia akan melahirkan pemikiran yang kreatif, sikap
bangga terhadap negara sendiri dan badan yang sihat.
24. Kerajaan juga berasa bangga terhadap kesan yang telah
dihasilkan oleh pertubuhan-pertubuhan belia di mana telah
dapat membantu melahirkan pemimpin-pemimpin yang berpotensi
yang akan mengambil alih teraju pucuk pimpinan negara di
masa-masa akan datang. Dalam bidang kepimpinan negara,
kerajaan sentiasa memberi perhatian dan tempat kepada
pemimpin-pemimpin muda untuk menyertai dalam kabinet
kerajaan.
25. Oleh hal yang demikian, pemimpin-pemimpin muda haruslah
mempertingkatkan ilmu pengetahuan, pengalaman dan berfikiran
matang.
26. Di samping itu saya ingin memberi peringatan kepada
pemimpin-pemimpin belia supaya peka terhadap perkembangan
dunia hari ini, kerana saya tidak mahu pertubuhan-pertubuhan
belia dijadikan alat untuk kepentingan pihak-pihak tertentu
yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.
27. Tetapi saya yakin di atas pengalaman dan pendedahan
yang ada di kalangan pemimpin-pemimpin belia telah dapat
melahirkan pemimpin yang matang dan bertanggungjawab.
Tuan-tuan dan puan-puan,
28. Dalam usaha untuk membangunkan masyarakat belia,
bukanlah semata-mata tanggungjawab kerajaan sahaja, tetapi
saya harap sektor swasta juga akan tampil ke hadapan untuk
memberi sumbangan yang positif dalam membina masyarakat
belia.
29. Janganlah hanya memikirkan keuntungan syarikat semata-
mata tetapi ia juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam
meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja di samping memupuk
ciri-ciri keperibadian pekerja yang berkualiti, berdisiplin
dan bertanggungjawab.
30. Menyentuh tentang program induk belia negara, saya
mengucapkan tahniah dan syabas kepada Y.B. Senator Annuar
Musa, Menteri Belia dan Sukan yang telah dapat
memperkenalkan program induk belia negara iaitu bagi membina
satu masyarakat belia yang maju dan progresif.
31. Apa yang saya mahukan pelaksanaan program berkenaan
hendaklah dirancang dengan teratur dan mengikut ke arah
matlamat wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai
negara yang maju.
32. Di samping itu juga saya mengucapkan tahniah di atas
peranan majlis belia negara ini di dalam membantu kerajaan
membina masyarakat belia ke arah yang bersatu padu.
33. Akhirnya saya mengharapkan perhimpunan ini akan menjadi
satu simbol perjuangan yang berterusan di kalangan generasi
muda yang akan menerajui kepimpinan negara di masa-masa akan
datang. Maju mundurnya negara ini adalah terletak di tangan
saudara-saudari. Oleh itu bersama-samalah berusaha untuk
mengekalkan kegemilangan Malaysia.
34. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan
perhimpunan hari belia negara 1991 dan pelancaran program
induk belia negara dengan rasminya.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|