Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KOMPLEKS STUDIO MERDEKA, HULU 
			KELANG, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	01/06/91 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN KOMPLEKS STUDIO MERDEKA 
			FINAS DAN FESTIVAL FILEM MALAYSIA 
			KE-9 




 Yang Berbahagia Dato' Mohamad Rahmat,
     Menteri Penerangan;
Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Samad Idris,
     Pengerusi FINAS;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
    Saya  mengucapkan  tahniah  kepada  Perbadanan Kemajuan
Filem   Nasional   Malaysia   (FINAS)    kerana    menyambut
ulangtahunnya yang ke-10.  Upacara hari ini bertambah meriah
kerana  perasmian Kompleks Studio Merdeka FINAS ini diadakan
serentak dengan  perasmian  Festival  Filem  Malaysia  ke-9.
Saya  ucapkan  syabas  kerana semenjak penubuhannya 10 tahun
dahulu,  FINAS  telah  berjaya  mengadakan  Festival   Filem
Malaysia tiap-tiap tahun kecuali tahun 1990.
2.   Adalah  wajar  dalam  menyambut hari ulangtahunnya yang
ke-10, FINAS mengimbas  kembali  dan  mengkaji  sumbangannya
kepada   industri   perfileman  tempatan.     Apakah  dengan
penubuhan FINAS industri perfileman hari ini  telah  menjadi
lebih   maju   atau  lebih  mundur,  ataupun  tidak  berubah
berbanding dengan keadaan  10  tahun  lalu?    Seperti  yang
diketahui  penubuhan FINAS pada asasnya ialah untuk membantu
menghidupkan semula dan memberi nafas baru  kepada  industri
perfileman  tempatan,  kerana  ianya pada satu ketika dahulu
berada dalam keadaan amat lemah dan hampir tidak wujud lagi.
Penilaian seperti ini penting bagi semua pihak yang terlibat
kerana pandangan serta kritikan yang konstruktif akan  dapat
membantu   kita   memperbaiki   serta   memperkemaskan  lagi
kedudukan industri filem tempatan kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Kerajaan ingin melihat industri perfileman negara terus
berkembang.     Proses  pemikiran   yang   sealiran   dengan
kebudayaan   negara   adalah   penting   dalam   pembentukan
masyarakat yang sihat.    Adalah  tidak  wajar  sama  sekali
sekiranya   orang   ramai  khususnya  muda-mudi  kita  hanya
terdedah kepada filem-filem yang diimport kerana  ini  akan,
dengan cara tidak sengaja, mempengaruhi cara-cara pemikiran,
tingkah-laku dan kebudayaan kita.
4.   Untuk   menggalakkan   aliran   pelaburan  ke  industri
perfileman di negara ini, kerajaan telahpun memberi insentif
dalam bentuk taraf perintis dan  elaun  cukai  pelaburan  di
bawah  Akta  Penggalakan  Pelaburan,  1986  ke atas aktiviti
pengeluaran filem  dan  video.    Pengeluar-pengeluar  filem
tempatan  juga  menikmati  galakan  kewangan  di bawah Sekim
Pemberian Galakan melalui Cukai Hiburan.  Mereka juga  boleh
mendapat  bantuan  berbentuk  kemudahan  pinjaman dan sewaan
alat  kelengkapan  penggambaran  serta  kemudahan   produksi
filem,  dewan  pratonton  dan  studio  yang  disediakan oleh
FINAS.   Kementerian Penerangan juga  memberi  potongan  50%
kepada  iklan-iklan  di  televisyen  kerajaan untuk membantu
pengeluar-pengeluar filem.   Selain  daripada  itu,  Akademi
Filem  telah  ditubuhkan  oleh  FINAS  semenjak  1987, untuk
memberi latihan formal jangka pendek,  peringkat  sijil  dan
diploma kepada mereka yang berminat dalam bidang perfileman.
5.   Kerajaan juga telah menguatkuasakan syarat Wajib Tayang
mulai   Januari   1991  dalam  usaha  membangunkan  industri
perfileman kita.    Dengan  adanya  peraturan  syarat  Wajib
Tayang  ini,  adalah diharapkan pengeluar filem dan penayang
filem dapat bekerjasama demi kepentingan industri perfileman
tempatan.  Saya difahamkan setakat ini, 19 buah filem  telah
didaftarkan  untuk  syarat Wajib Tayang.   Adalah diharapkan
pengeluar filem tempatan  tidak  terlalu  bergantung  kepada
syarat ini kerana pihak penayang mungkin akan menayang hanya
sebanyak   yang  diwajibkan.    Sebaliknya  jika  pengeluar-
pengeluar filem  mengeluarkan  filem  yang  berkualiti  yang
boleh  menarik  penonton  dengan  ramai, pihak penayang akan
berlumba-lumba  untuk  menayangkan  filem-filem  ini  dengan
bilangan yang lebih daripada yang diwajibkan.
6.   Kesemua  ini  membuktikan bahawa Kerajaan adalah serius
untuk memajukan  industri  perfileman  tempatan.    Walaupun
banyak galakan dan insentif telah diberi, nampaknya industri
perfileman,  khususnya sektor pengeluaran filem, masih belum
mencapai tahap kemajuan yang  diharap-harapkan.    Kegagalan
filem  terbitan Malaysia merangkul anugerah filem terbaik di
Festival Filem Ke-8 pada tahun  1989  mungkin  memberi  satu
gambaran tentang kedudukan industri perfileman kita sembilan
tahun  selepas  FINAS ditubuhkan.  Mungkin juga ianya adalah
kerana tahap pencapaian  yang  diharapkan  oleh  para  hakim
adalah terlalu tinggi untuk dicapai oleh industri perfileman
kita.    Tetapi  hakikatnya  ialah  ada pengeluar filem dari
negara lain yang mampu mencapai tahap ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Saya difahamkan bahawa industri  perfileman  kita  pada
tahun  1990  hanya  mengeluarkan  12 filem cereka.   Juga di
masa-masa  yang  lalu,  tiada  filem  Malaysia  yang   mampu
memungut  'gate  collection' yang melebihi $500,000 ringgit.
Bagaimanapun nampaknya keadaan ini telah berubah kerana pada
tahun  1990,  sudah  ada  satu  filem  Malaysia  yang  mampu
mengutip  'gate collection' sehingga $1.5 juta ringgit.  Ini
satu petanda  yang  menggalakkan  bagi  industri  perfileman
tempatan.
8.   Saya  juga  diberitahu bahawa di Malaysia, jumlah 'gate
collection' bagi pawagam-pawagam ialah sebanyak lebih kurang
$124  juta  ringgit.    Jikalau  hanya  12  filem   tempatan
dihasilkan,  dan  tiap-tiap  satu mengutip $500,000 ringgit,
ini bermakna hanya $6 juta ringgit  adalah  bahagian  filem-
filem  tempatan,  dan $118 juta ringgit lagi itu adalah bagi
filem luar negeri.  Oleh itu usaha-usaha  yang  lebih  gigih
perlu  dijalankan  bagi  meningkatkan  bahagian  filem-filem
tempatan daripada jumlah 'gate collection'.
9.   Dalam hal ini industri perfileman hendaklah  memikirkan
cara-cara  bagaimana  hendak  meningkatkan  lagi pengeluaran
filem tempatan dan mutunya.   Para  penonton,  seperti  yang
telah  terbukti,  akan  menonton  filem-filem  Malaysia yang
bermutu tinggi.  Memang benar membuat  filem  bukanlah  satu
perkara  yang mudah.   Ia memerlukan daya kreatif, komitmen,
dedikasi dan disiplin.   Selain daripada itu,  citarasa  dan
selera  para  penuntun  juga  mesti  diambilkira  di samping
sensitiviti-sensitiviti masyarakat majmuk  Malaysia.    Juga
penting ialah kaedah dan teknik yang digunakan.
10.  Filem-filem  yang  bermutu  tinggi  bukan  sahaja dapat
bersaing dengan filem-filem  bermutu  yang  diimport  tetapi
juga  boleh  mengenalkan  lagi  kebudayaan kita.   Pengarah,
penerbit, jurukamera, artis dan kakitangan teknik  mempunyai
peranan  yang  sama  penting menyumbang kepada memperkayakan
kebudayaan kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11.  Pengeluar-pengeluar  filem  Malaysia  seharusnya   juga
mempunyai   pandangan   yang  jauh  bagi  menjamin  industri
perfileman kita terus berkembang  dan  maju.    Memandangkan
pasaran tempatan bagi filem-filem keluaran negara ini adalah
terhad,  kita  patut  juga  memikirkan  dan  berusaha  untuk
mengeluarkan filem-filem  untuk  pasaran  yang  lebih  luas.
Walaupun filem-filem Malaysia juga ditayangkan di Indonesia,
Brunei dan Singapura, apakah ini memadai?  Kenapa tidak kita
mengeluarkan  filem-filem  yang  boleh dipasarkan ke negara-
negara ASEAN yang lain, malah untuk penonton-penonton  dunia
yang  lain?    Apakah  ini boleh dilakukan melalui usahasama
dengan  pengeluar-pengeluar  filem   luar   negeri,   dengan
mengeluarkan  filem yang menggabungkan bintang-bintang filem
tempatan dan luar negeri  atau  filem-filem  yang  mempunyai
tema    yang   universal?      Industri   perfileman   harus
mempertingkatkan usahanya untuk memainkan peranan yang lebih
besar daripada masa ini selaras  dengan  pencapaian  bidang-
bidang yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Saya   difahamkan   bahawa  berbagai-bagai  usul  telah
dikemukakan oleh kumpulan-kumpulan yang  terlibat  di  dalam
industri  perfileman.  Antara  cadangan-cadangan  ini  ialah
mewujudkan satu perkampungan filem seperti yang terdapat  di
Taiwan dan Singapura.
13.    Kerajaan  sedia  menimbangkan usul-usul dan cadangan-
cadangan  yang  dibuat.     Walau   bagaimanapun,   perlulah
ditegaskan   bahawa   Kerajaan   dalam   usahanya   membantu
membangunkan  industri  filem  tempatan   perlu   melihatnya
daripada berbagai-bagai dimensi dan secara menyeluruh.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14.  Akhir  kata,  saya  berharap kita semua berganding bahu
dan  bekerjasama  dalam  semangat  'Persyarikatan  Malaysia'
untuk terus membangunkan industri perfileman kita.
15.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kompleks
FINAS  serta  melancarkan  Festival  Filem Malaysia ke-9 dan
Perayaan 10 Tahun FINAS.

 

 



 
Google