home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 05/06/91 Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah, Ampun Tuanku, Dengan hormat dan penuh takzimnya, patik bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat, serta diri patik sendiri, mohon menyembah setinggi-tinggi tahniah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku hari ini. Patik sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga Duli Tuanku serta Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayahNya, mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua sentiasa berada dalam kandungan sihat dengan penuh kesejahteraan dan kedaulatan. Ampun Tuanku, 2. Syukur alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah Subhanahu wa Ta'ala, negara terus berada dalam keadaan tenang, aman dan damai. Keadaan ini adalah kerana wujudnya Kerajaan yang kukuh dan stabil serta rakyat berbilang kaum yang terus bersatu padu dan hidup saling hormat-menghormati di antara satu dengan lain. 3. Keamanan dan kestabilan ini telah membolehkan negara terus mengalami pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan. Ekonomi negara tahun ini dijangka mencapai kadar pertumbuhan melebihi 8%, iaitu bagi empat tahun berturut-turut. Bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara, Kerajaan akan terus mengamalkan dasar-dasar yang menggalakkan pertumbuhan. Dalam hal ini, Kerajaan akan sentiasa berusaha mewujudkan iklim pelaburan yang baik untuk menarik lebih banyak lagi pelaburan swasta. Kesungguhan Kerajaan supaya sektor swasta memainkan peranan penting sebagai jentera pertumbuhan utama dapat dilihat melalui dasarnya untuk mempergiatkan lagi penswastaan. Beberapa agensi lagi telah dikenalpasti untuk diswastakan, termasuk yang paling besar tahun ini, iaitu Tenaga Nasional Berhad. Kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah bagi mengatasi masalah- masalah yang dibawa oleh pertumbuhan pesat ekonomi, iaitu kekurangan pekerja dalam sektor-sektor tertentu dan tekanan ke atas kemudahan infrastruktur. 4. Bagi memastikan kedudukan kewangan negara tetap kukuh, Kerajaan juga akan terus mengamalkan dasar jimat cermat dan berbelanja mengikut hasil pendapatan negara. Dasar ini telah mendatangkan kebaikan kepada negara. Ampun Tuanku, 5. Kerajaan telah merancang untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020. Rancangan ini telah disambut baik oleh rakyat. Negara yang maju yang dihasratkan ini bukanlah semata-mata sebuah negara yang telah mencapai tahap perindustrian yang tinggi. Matlamat Kerajaan ialah supaya rakyat negara ini akan menikmati kehidupan yang lebih baik dari sekarang. Patek yakin cita- cita ini bukanlah di luar kemampuan kita untuk mencapainya. Apa yang perlu ialah semua pihak hendaklah memahami konsepnya dan melaksanakannya dengan berkesan. Patek juga yakin dengan bimbingan dan nasihat daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta kerjasama daripada semua pihak -- Kerajaan, sektor swasta dan rakyat -- matlamat ini akan tercapai. Ampun Tuanku, 6. Tahun 1991 amat penting bagi negara kerana pada tahun ini Kerajaan akan membentangkan Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) atau Outline Perspective Plan (OPP) yang ke-2 yang mengandungi Dasar Pembangunan Baru atau New Development Policy, serta Rancangan Malaysia ke-6. Rangka Rancangan Jangka Panjang yang ke-2 ini akan memandu pembangunan negara dalam dekad yang akan datang, iaitu tahun 1991 hingga tahun 2000, dengan lebih berkesan. Melalui dasar ini, Kerajaan akan melaksanakan program-program bagi mencapai pembangunan ekonomi yang seimbang supaya wujud satu masyarakat yang lebih bersatupadu dan adil. Kerajaan juga akan meneruskan usaha-usaha membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Rancangan Malaysia ke-6 yang merupakan sebahagian daripada RRJP akan menggariskan rancangan pembangunan Kerajaan bagi tempoh 1991 - 1996. 7. Dengan sukacitanya, patek juga ingin memaklumkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa keadaan keselamatan negara pada keseluruhannya adalah terpelihara dan terkawal. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan terus berwaspada bagi menjamin keselamatan negara tidak terancam oleh mana-mana pihak. 8. Patek bagi pihak Kerajaan berasa bangga bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengambil berat serta menunjukkan minat yang mendalam terhadap fungsi berbagai Kementerian, jabatan dan agensi-agensi Kerajaan dengan membuat lawatan- lawatan dan mendengar taklimat. Minat yang ditunjukkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku sudah tentu meninggikan lagi semangat kakitangan Kerajaan dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada orang ramai. Di sini sukalah patek memberi jaminan bahawa seluruh kakitangan Kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggikan lagi kecekapan jentera pentadbiran Kerajaan demi kebaikan rakyat dan kemakmuran negara. Ampun Tuanku, 9. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patik sendiri patik dengan penuh hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Raja Yang Memerintah. Ampun Tuanku. |