Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	18/07/91 
Tajuk/Title  	: 	MENGGULUNG PERBAHASAN RANCANGAN 
			MALAYSIA KEENAM 




 Tuan Yang di-Pertua,
    Sepanjang  perbahasan  mengenai Usul Rancangan Malaysia
Keenam yang bermula pada 10 Julai  1991  yang  lalu,  banyak
pandangan, teguran dan syor-syor yang telah dikemukakan oleh
ramai  Ahli-ahli  Yang  Berhormat.    Saya ingin mengucapkan
terima  kasih  atas  perhatian  dan  sokongan   yang   telah
diberikan  bagi  membolehkan  Kerajaan melaksanakan program-
program  dan  projek-projek  di  dalam  Rancangan   Malaysia
Keenam.    Rancangan  ini  digubal  dan  dihasilkan daripada
pencernaan yang teliti dan berpandangan jauh.  Tidak  kurang
juga  terdapat kritik-kritik negatif yang dilemparkan kepada
Kerajaan, walaupun kadangkala ianya terkeluar daripada tajuk
perbahasan kita.
2.   Ramai yang telah menyuarakan pendapat,  baik  di  dalam
atau  di  luar  Dewan  ini, bahawa Rancangan Malaysia Keenam
merupakan  rancangan  pembangunan  yang   lebih   baik   dan
mengandungi   langkah-langkah   yang  berani.     Ini  lebih
menyakinkan Kerajaan bahawa Rancangan ini  merupakan  titik-
tolak  ke  arah  kejayaan  pencapaian  matlamat wawasan 2020
untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
3.   Dewan ini mengikut tradisi, dikenal sebagai Dewan  yang
Mulia dan Ahli-ahli Dewan digelar Ahli Yang Berhormat.
4.   Walau  bagaimanapun,  kita  merasa amat dukacita bahawa
Dewan yang mulia ini telah tercemar dengan  kata-kata  kesat
dan   penonjolan  sikap  kurang  pengajaran  oleh  ahli-ahli
pembangkang.  Lakonan Ahli Yang Berhormat Tanjong  selama  1
jam   56  minit  ia  bercakap  ketika  perbahasan  Rancangan
Malaysia  Keenam,  merupakan  pengotoran  yang  tidak  dapat
dibandingkan  dengan  lakonan-lakonan  Ahli  Yang  Berhormat
Tanjong sebelum ini, atau Ahli  Yang  Berhormat  yang  lain.
Dengan  izin Tuan Yang di-pertua, "the Honourable Member for
Tanjong,  has  never  descended  so  low"   dalam   usahanya
memburukkan  Kerajaan  dan  anggota  Kerajaan.   Segala yang
bersih dan suci telah menjadi busuk dan kotor apabila  ianya
keluar   daripada   mulut   Ahli   Yang  Berhormat  Tanjong.
Jarangkali Dewan yang mulia ini dapat  melihat  dengan  izin
satu   performance   yang   begitu   kekurangan   dari  segi
pengajaran.
5.   Sebagai seorang Ahli Yang Berhormat Dewan ini yang lama
dan sebagai seorang peguam yang terlatih, beliau menggunakan
segala trick dan taktik yang kotor  untuk  memberi  tafsiran
yang berbelit-belit dan membuat "innuendo" serta fitnah bagi
dengan  izin  "score  political points".   Saya hampir tidak
dapat bernafas kerana busuknya muntahan Ahli Yang  Berhormat
dari Tanjong.
6.   Ahli  Yang  Berhormat  Tanjong menggunakan dengan cekap
cara dengan izin  "guilt  by  association"  dengan  menyebut
bahawa  Lorrain  Esme  Osman  adalah  rakan saya dalam FIMA.
Saya akui bahawa Lorrain adalah pengarah  FIMA  semasa  saya
menjadi  pengerusinya.  Setakat yang diketahui pada masa itu
Lorrain belum melakukan  apa-apa  kesalahan.    Apakah  jika
seseorang  menjadi  penjenayah apabila ia tua, maka ia sudah
pun bersalah sebelum itu?   Jika inilah pegangan  Ahli  Yang
Berhormat  Tanjong  maka seorang yang baru dilahirkan adalah
dianggap salah  kerana  apabila  ia  membesar  ia  melakukan
jenayah  dan  hukuman  hendaklah  diberi  kepadanya  sebagai
penjenayah dari tarikh lahir.   Ini adalah logik  Ahli  Yang
Berhormat  Tanjong  yang padanya dengan izin is not perverse
or perverted, sedangkah dalam  sistem  undang-undang  negara
ini  seseorang  itu  tidak  dianggap  bersalah  sehingga  ia
dihukum bersalah.
7.   Ahli Yang Berhormat  Tanjung  cuba  menggunakan  taktik
dengan  izin  "guilt  by  association" kerana saya kenal dan
biasa bekerja dengan Lorrain.   Tetapi  Yang  Berhormat  itu
enggan  menonjolkan sahabat barunya yang begitu rapat dengan
Lorrain ketika Lorrain dituduh melakukan  kesalahan.    Kita
tahu  bahawa  sahabatnya  menjadi  pengerusi Bank Bumiputera
Malaysia Berhad (BBMB) semasa Lorrain menguruskan  Bumiputra
Malaysia  Finance  Limited  (BMF).    Untuk  ini  saya ingin
sebutkan sedikit sejarah penubuhan BMF.  BMF yang  memulakan
perniagaan pada 15 Disember 1977, telah diperbadankan pada 1
Mac  1974.    Ketika  BMF diperbadankan, Pengerusi Eksekutif
BBMB pada masa itu ialah  Yang  Berhormat  Tengku  Razaleigh
Hamzah.   Tengku Razaleigh dan Lorrain merupakan orang-orang
yang menandatangani memorandum memperbadankan  BMF.    Ahli-
ahli  Lembaga  Pengarah BMF pada tarikh perniagaan dimulakan
ialah Lorrain Esme Osman dan Mohd Hashim Shamsuddin.    Kita
tahu  berapa  kali  sahabat  karib  Ahli Yang Berhormat dari
Tanjong pergi ke Hong Kong,  disambut  dengan  kereta  Rolls
Royce  dan  menghadiri parti yang dihadiri juga oleh Lorrain
dan George Tan.
8.   Jika Ahli Yang Berhormat dari Tanjong  boleh  menyindir
dan  membuat  tuduhan  serong kerana saya biasa duduk semeja
dengan Lorrain, kenapa ia tidak bangkitkan hubungan  sahabat
karibnya  dengan  Lorrain dalam acara-acara yang menimbulkan
lebih tanda tanya, iaitu semasa jenayah BMF berlaku?  Kenapa
tidak disebutkan  hubungan  sahabat  barunya  dengan  Hashim
Shamsuddin  yang  sedang  menjalani  hukuman penjara di Hong
Kong?   Kenapa tidak disebutkan tentang  Rais  Saniman  yang
telah  melarikan  diri?    Kedua-dua  orang ini bukan sahaja
sahabat dan teman bekas Pengerusi BBMB  itu,  tetapi  mereka
dilantik ke jawatan-jawatan mereka oleh bekas Pengerusi BBMB
tersebut.    Sebenarnya  seorang  pegawai yang terkanan BBMB
telah diketepikan oleh bekas Pengerusi BBMB itu apabila  dia
menerima jawatan dalam Kerajaan kerana mahu menaikkan Hashim
ke jawatan berkenaan.  Dan Hashim dikenal dan diketahui oleh
semua  dalam  bank dan di luar bank sebagai orang kanan yang
amat dipercayai oleh bekas pengerusi BBMB itu.
9.   Ahli Yang Berhormat dari Tanjong  berkata  pandangannya
terhadap  apa yang dipanggil skandal BMF sudah dirakam dalam
Hansard pada tahun 1984.  Benar, tetapi apakah keengganannya
menyebut  berkenaan  dengan  tuduhan  lama  itu   kali   ini
menunjukkan  bahawa  dia sudah menukar pandangannya terhadap
penglibatan sahabat barunya itu dalam skandal BMF.    Apakah
setelah   sahabat  barunya  menjadi  penyokong  kuatnya  dan
memberi laluan kepadanya  sebagai  Ketua  Pembangkang,  maka
Ahli    Yang    Berhormat    Tanjong    sudah   memaaf   dan
mengampunkannya?   Apakah sebabnya dalam  pilihanraya  tahun
1989  Ketua  DAP  tidak sekalipun menyebut skandal BMF dalam
kempennya?
10.  Apakah  Ahli  Yang  Berhormat  bukan   sahaja   sanggup
menggunakan   dengan  izin  "guilt  by  association"  tetapi
sanggup juga menyarankan dengan izin "Innocence  by  Associ-
ation",  iaitu oleh kerana bekas pengerusi BBMB sekarang ini
adalah dengan izin "associate" dengan  Ahli  Yang  Berhormat
Tanjong,   maka  bekas  Pengerusi  BBMB  itu  menjadi  tidak
bersalah?    Atau  jika  kita  mengikuti  logic  Ahli   Yang
Berhormat  Tanjong,  oleh  kerana ia sekarang menjadi dengan
izin "associate" kepada  orang  menjadi  "associate"  kepada
penjenayah,  maka ia juga menjadi dengan izin "guilty by as-
sociation".
Tuan Yang di-pertua,
11.  Kerajaan telah membentuk sebuah Jawatankuasa  Penyiasat
yang  bebas  berhubung dengan skandal BMF.  Sekarang kitapun
sudah tahu bahawa 2 daripada 3  orang  anggota  Jawatankuasa
itu   sebenarnya   bukanlah  bebas,  tetapi  memang  menjadi
penyokong pembangkang dan  penyokong  bekas  pengerusi  BBMB
itu.      Justeru  itu,  laporan  mereka  tidak  lagi  boleh
dipercayai.   Ada  kemungkinan  besar  terdapat  bias  untuk
melindung    orang-orang    tertentu,    kerana    pengerusi
Jawatankuasa itu dan seorang lagi anggotanya, Chooi Mun Sou,
telah menunjukkan sikap  anti-kerajaan  dan  memihak  kepada
bekas Pengerusi BBMB tersebut.
12.  Kita patut memberi perhatian serius tentang penglibatan
orang  tertentu  ini  yang  disebutkan  oleh  Lorrain  dalam
dokumennya.   Lorrain nampaknya marah  kerana  sedangkan  ia
merengkuk dalam penjara di United Kingdom, tuannya bebas dan
hidup dalam mahligai.
Tuan Yang di-Pertua,
13.  Cara kotor Ahli Yang Berhormat Tanjong termasuklah juga
mengheret  nama-nama  orang  yang tidak mampu mempertahankan
diri mereka di  dalam  Dewan  ini  dengan  membuat  tohmahan
terhadap mereka.
14.  Kita  tahu  bahawa  orang  yang  terlatih dalam undang-
undang cekap membuat dakwaan dengan izin "bordering  on  li-
bel"  kerana  tahu  mangsanya  tidak  dapat membuat apa-apa.
Lebih-lebih lagi  Ahli  Yang  Berhormat  Tanjong  terlindung
kerana ucapannya dibuat dalam dewan yang dengan izin "privi-
leged".    Jika  dia  membuat  tuduhan  ini di luar pun saya
percaya tindakan libel tidak  akan  diambil  oleh  mangsanya
kerana bagi peguam yang pintar bermacam-macam tohmahan boleh
dibuat semasa perbicaraan.
15.  Dengan izin Tuan Yang di-Pertua saya ingin membaca satu
laporan  dalam  Business  Time  bertarikh  7  Mac  1986 yang
menyokong pendapat saya.
16. Sebab itu Ahli Yang Berhormat Tanjong mengheret nama Tan
Sri Basir dan Ananda Krishnan.   Kononnya  PETRONAS  membeli
saham  dalam  Seri  Kuda  kerana  pemilik  Seri Kuda, Ananda
Krishnan menjadi  penjamin  kepada  Tan  Sri  Basir  apabila
beliau meminjam wang untuk membeli Syarikat FIMA.
17.  Saya tidak tahu samada benar atau tidak Ananda Krishnan
menjadi  penjamin,  tetapi cadangan PETRONAS mengambil saham
majoriti dalam Sri Kuda adalah hasil  pertimbangan  komersil
semata-mata.
18.  Tanah Kelab Lumba Kuda dijual berikutan arahan kerajaan
kepada  kelab tersebut supaya keluar dari pusat Kuala Lumpur
kerana lokasinya  meyebabkan  kesesakan  lalulintas.    Oleh
kerana  Kelab  tersebut memerlukan wang untuk membina padang
lumba kuda baru, kelab itu memutus untuk  menjual  tanahnnya
di Jalan Ampang.
19.  Mengikut  laporan  sebuah majalah asing, Encik Krishnan
membeli tanah ini pada masa resesi di waktu mana harga tanah
jatuh dengan teruk dan ramai yang bankrap  dan  tidak  ramai
yang berminat atau mampu membeli hartanah.
20.  Tanah  seluas  96  ekar ini terletak dalam Kawasan tiga
segi emas atau  dengan  izin  "golden  triangle"  yang  amat
diminati oleh pemaju-pemaju.  Sekarang apabila ekonomi telah
pulih  dan  terdapat  dengan  izin "building boom", tanah di
Kawasan tiga segi emas biasa dijual dengan harga  yang  amat
tinggi.
21.  Kerajaan  telah  mensyaratkan  kepada  Sri  Kuda bahawa
lebih dari 50 peratus tanah kelab hendaklah dijadikan public
park.  Ini bermakna bahawa harga belian  satu  kaki  persegi
tanah  boleh  meningkat  100  peratus.   Walau bagaimanapun,
PETRONAS yang memerlukan  ruang  pejabat  yang  besar  hanya
bersetuju  secara  prinsip  untuk  mengambil 51 peratus dari
saham Seri Kuda.  Sebuah firma penilai bebas  telah  ditugas
oleh PETRONAS untuk menilai tanah tersebut.  Jika harga yang
ditawarkan   kepada   PETRONAS  menguntungkannya,  baharulah
PETRONAS akan membeli saham Sri Kuda.
22.  Jika harganya akan merugikan  PETRONAS,  maka  PETRONAS
tidak  akan membelinya.  Jika PETRONAS tidak mengambil saham
ini, berpuluh syarikat lain akan  berebut-rebut  membelinya.
Mungkin Ahli Yang Berhormat tahu siapa yang berminat?
Tuan Yang di-pertua,
23.  Semua  ini  adalah urusan perniagaan.  Tetapi Ahli Yang
Berhormat  dari  Tanjong   memutarbelitkan   segala-galanya.
Apabila  seseorang  itu  mempunyai  fikiran  yang  kotor dia
memikir orang lain mempunyai fikiran yang sama kotor.   Saya
percaya  jika Ahli Yang Berhormat dilantik menjadi Pengerusi
PETRONAS ia akan menipu kerajaan sepanjang masa.
24.  Dalam parti DAP tidak ada siapa yang boleh mencabarnya.
Sejak DAP ditubuh dan dia menjadi  Setiausaha  Agong,  tidak
ada  orang lain yang boleh pegang jawatan itu.  Sesiapa yang
mempunyai  pendapat  yang  berbeza  sedikit   darinya   akan
disingkir.
25.  Jika  dia  menjadi Perdana Menteri sudah pasti sekejap-
sekejap sahaja menteri akan dibuang kerana  enggan  menerima
tanpa  soal  saranan beliau.   Orang seperti ini tidak dapat
menerima bahawa orang lain apabila memegang sesuatu  jawatan
tidak  akan menyalahgunakan kuasanya.  Oleh itu, apabila dia
nampak peluang penyelewengan boleh dilakukan oleh  Pengerusi
Petronas,  dia  tidak  percaya  bahawa orang lain tidak akan
mengambil peluang itu, kerana  jika  dia  menjadi  Pengerusi
PETRONAS dia sudah tentu akan mengambil peluang itu.  Dengan
izin Tuan Yang di-Pertua 'A crook assumes that everyone else
is a crook like him'.
26.  Tuan  Yang  di-Pertua,  saya  diberitahu bahawa Tan Sri
Osman Aroff memang menjadi rakan kongsi perniagaan dalam Sri
Kinabalu semasa dia bukan Menteri Besar.  Sebenarnya  beliau
tidak  aktif  dalam  syarikat  itu.   Seperti biasa ia telah
meminjamkan namanya dengan harapan mendapat sedikit-sebanyak
pendapatan,  seperti  juga  ramai   peniaga   bukan   Melayu
menjadikan  orang  Melayu  sebagai  pengarah syarikat kerana
ingin memberi gambaran bahawa mereka  patuhi  Dasar  Ekonomi
Baru.
Tuan Yang di-Pertua,
27.  Tugas  pengarah  bukan  untuk  memeriksa tiap-tiap hari
sama ada simen dan besi cukup atau tidak cukup semasa sebuah
bangunan dibina.   Tugas itu  diberikan  kepada  orang  yang
menjadi  penyelia daripada kedua pihak -- pemborong dan tuan
punya.
28.  Jika kerana dump peluru tidak dibina dengan baik,  maka
Tan  Sri  Osman  sebagai  Pengarah  Syarikat Pemborong harus
letak jawatan Menteri Besar, maka Ahli Yang  Berhormat  dari
Tanjong  sebagai  Pengarah Pilihanraya DAP Pulau Pinang yang
mendakwa akan mencapai kemenangan DAP di Pulau  Pinang  pada
pilihanraya  yang lepas, patutlah meletakkan jawatan sebagai
Setiausaha Agung DAP dan bersara  daripada  DAP  kerana  DAP
kalah.  Tetapi selain daripada sandiwara letak jawatan, Ahli
Yang  Berhormat  telah terus dengan jawatan Setiausaha Agung
dan Ahli Dewan  Rakyat  dan  Dewan  Undangan  Pulau  Pinang.
Apakah  Ahli  Yang  Berhormat  tidak  berasa,  dengan  izin,
morally responsible, terhadap kekalahan DAP setelah mendakwa
yang bukan-bukan dan  memperalatkan  orang  tua  yang  tidak
berdosa  dan  menggunakan  nama  dan  gambarnya?   Ahli Yang
Berhormat Tanjong tidak sama sekali mempunyai  morality  dan
tidak berhak bercakap berkenaan tanggungjawab moral sesiapa.
Tuan Yang di-Pertua,
29.  Dalam  dunia  perniagaan  saham,  berjuta-juta  ringgit
saham bertukar tangan setiap  hari.    Kadang-kadang  mereka
meminjam  sepenuhnya  wang daripada bank untuk pembelian dan
kadang-kadang diadakan share swap.
30.  Saya tidak arif  dalam  perkara  ini,  tetapi  bukanlah
suatu  perkara yang luar biasa bagi seseorang membeli jumlah
saham yang lebih daripada  apa  yang  difikir  kemampuannya.
Saham-saham  ini  boleh  dicagar kepada bank jika pihak bank
yakin ia akan dapat menebus saham-saham  ini  dalam  keadaan
tertentu.
31.  Ramai  yang  'main'  pasaran saham, membeli dan menjual
saham dan mendapat keuntungan daripada niaga ini -- walaupun
mereka tidak mempunyai modal yang cukup pada mulanya.
32.  UMNO tidak terlibat dengan niaga saham.    Tetapi  ahli
UMNO bebas seperti orang lain juga untuk membuat perniagaan.
Jika  orang yang kenal dengan bekas Menteri Kewangan membeli
saham, ini tidak bermakna UMNO membeli saham.    Saya  yakin
bahawa  ramai  juga  kenalan Ahli Yang Berhormat Tanjong dan
sahabat barunya membeli dan menjual saham, tetapi  saya  dan
rakan saya tidak dapat melupakan tuduhan seperti yang dibuat
oleh  Ahli  Yang  Berhormat bahawa seorang yang bernama Dato
Halim adalah dengan izin front man bagi UMNO.
33.  Saya tidur nyenyak setiap malam  kerana  tidak  khuatir
duit  UMNO  akan  hilang,  kerana  duit UMNO tidak terlibat.
Saya mengaku bahawa jika  duit  UMNO  sebanyak  $1,000  juta
ringgit terlibat, saya tidak akan tidur nyenyak.  UMNO telah
banyak  kali  ditipu dan banyak duit UMNO yang hilang kerana
orang yang diamanahkan  menjaga  duit  UMNO  tiba-tiba  kata
tidak  ada  duit sama sekali.  Justeru itu, saya tidak mudah
percaya sehingga membenarkan orang lain  menjadi  front  dan
memiliki  $1,000  juta  ringgit duit UMNO jika UMNO ada duit
sebanyak itu.
34.  Hakikatnya  ialah  oleh  kerana  tindakan  orang   yang
berpendapat  bahawa  jika ia tidak boleh dapat sesuatu, maka
UMNO perlu dihancurkan, maka hari ini harta UMNO  masih  ada
ditangan  Pemegang  Amanah  dan tidak boleh diuruskan dengan
memberi faedah kepada UMNO.  Saya dahulu percaya orang  UMNO
sampai  bila-bila akan sayang UMNO dan tidak akan merosakkan
UMNO.  Tetapi sekarang saya sedar ada orang UMNO yang  hanya
hendak  memelihara  UMNO  jika UMNO dimiliki olehnya.  Sebab
itu saya tidak mudah percaya orang.
Tuan Yang di-Pertua,
35.  Malaysia sekarang mempunyai penduduk seramai 18.3 juta.
Dalam jangkamasa 60 tahun bilangan penduduk  akan  meningkat
kepada  70 juta atau 400% lebih tinggi daripada sekarang. 70
juta orang ini memerlukan kawasan  tanah  yang  lebih  luas,
bukan sahaja untuk tempat tinggal tetapi untuk bandar-bandar
baru,   jalanraya,   laluan  paip  gas,  telefon,  elektrik,
jambatan, kawasan industry dan lain-lain lagi.
36.  Sebaliknya   hampir   semua   tanah   di    Semenanjung
terutamanya  sudah  diberi hak milik.  Pemilik-pemilik tanah
ini biasanya tidak  sanggup  bekerjasama  untuk  menyediakan
kemudahan-kemudahan  untuk  rakyat  yang  lebih  ramai.   Di
Malaysia rumah kos murah telah ditetapkan pada harga $25,000
sejak 15 tahun yang lepas.  Dengan kenaikan harga tanah yang
tinggi  pada  masa  itu  maka   bukan   sahaja   pembangunan
infrastruktur tidak dapat diadakan tetapi juga golongan mis-
kin tidak akan dapat membeli rumah yang harga rendah ataupun
sederhana.    Pembangunan  negara  akan terbantut jika kuasa
Kerajaan untuk mengambil-alih tanah bagi pertumbuhan ekonomi
negara tidak ada.
37.  Ahli Yang Berhormat dari Tanjong dalam ucapannya  telah
memberi  notis  bahawa  ia  akan  menghasut  10,000 penduduk
Gelang  Patah  supaya  menyekat  pembinaan  jambatan  antara
Singapura dengan Malaysia.  Projek ini adalah projek ekonomi
yang penting.  Tambak Johor sudah tidak mampu lagi menampung
keperluan  lalu-lintas.    Ia menyebabkan kesesakan di Johor
Baharu.   Hanya dengan mengadakan  jambatan  baru  berjauhan
dari   Johor  Bharu  sahaja  baharu  masalah  laluan  antara
Singapura dan Malaysia dapat diatasi dan pertumbuhan ekonomi
Malaysia dapat diteruskan.
38.  Hasutan Ahli Yang Berhormat supaya diganggu projek  ini
merupakan  dengan  izin economic sabotage.   Saya ingin tahu
sama ada Ahli Yang Berhormat mewakili Malaysia  atau  tidak.
Sebenarnya  pertumbuhan ekonomi Malaysia boleh menjadi lebih
pesat jika tidak kerana tindak-tanduk  Ahli  Yang  Berhormat
mensabotaj  dan  menyebabkan  ketegangan  dalam negara untuk
menakutkan pelabur daripada melabur di negara  ini.    Sebab
itulah  pada  tahun  1987,  apabila  Ahli Yang Berhormat dan
rakan-rakannya  begitu  giat  mengancam  kestabilan  negara,
pihak   berkuasa   telah   menahan   beliau  di  bawah  Akta
Keselamatan  Dalam  Negeri  atau  ISA.    Saya  masih  ingat
bagaimana  cepatnya  ketegangan  dapat  dikendurkan  apabila
sahaja Ahli Yang Berhormat dan  rakan-rakannya  bersama-sama
dengan  beberapa  orang yang tidak bertanggungjawab daripada
parti Kerajaan telah  ditahan.    Selagi  ada  anasir-anasir
seperti ini, selama itulah negara memerlukan ISA.
Tuan Yang di-Pertua,
39.  Projek  seperti Jambatan Tinggi Singapura-Malaysia yang
dicadangkan memerlukan kajian  yang  mahal  sebelum  sesiapa
berani   menerima   tanggungjawab   untuk   melaksanakannya.
Kerajaan tidak  mampu  membina  jambatan  ini  kerana  tidak
mempunyai   cukup  wang  dan  perlu  melaksanakan  lain-lain
projek.  Sebaliknya, projek jambatan ini  perlu  disegerakan
bagi menyelesaikan kesesakan lalulintas di Tambak Johor.
40.  Dalam  keadaan ini pihak swasta mestilah mengambil-alih
tanggungjawab  membina  jambatan  ini.    Tetapi  tidak  ada
syarikat  yang sanggup membuat dengan izin feasibility study
yang  menelan  belanja  lebih  daripada  10   juta   ringgit
melainkan  mereka  diberi  jaminan  akan mendapat projek ini
jika ianya feasible.
41.  Amalan ini bukan dibuat di Malaysia sahaja.   Di  mana-
mana  juga  di dunia ini, hak ini diberi kepada yang sanggup
menerima risiko kajian, kerana jika didapati tidak feasible,
mereka akan menanggung kerugian perbelanjaan kajian.
42.  Orang ramai tahu akan perlunya jambatan ini  dan  siapa
sahaja   boleh   membuat   tawaran   untuk  mengkaji  secara
bersyarat.  Tidak ada perkara luar biasa yang berlaku  dalam
pemberian  kajian  feasibility dan hak dengan izin first re-
fusal kepada UEM.  Tidak ada syarikat lain yang mengemukakan
proposal yang lebih baik daripada  UEM.    Tidak  ada  sebab
Kerajaan mesti dengan izin black list UEM semata-mata kerana
tuduhan oleh Yang Berhormat bahawa syarikat ini adalah milik
UMNO.   Dengan UMNO mempunyai 1,500,000 ahli tidak hairanlah
jika ada orang UMNO  dalam  Syarikat  UEM.    Tidak  menjadi
jenayah  jika  orang  UMNO  memiliki  syarikat atau mendapat
kontrak  Kerajaan  asalkan  tawaran  mereka  munasabah   dan
memenuhi keperluan dan dasar Kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua,
43.  Saya  ingin  memberi peluang kepada Ahli Yang Berhormat
Tanjong  membuat  keputusan  dalam  soal   Jambatan   Tinggi
Singapura-Malaysia.    Yang  pertamanya beliau putuskan sama
ada Jambatan ini hendak dilaksanakan atau tidak.  Jika tidak
Ahli Yang Berhormat boleh  umumkan  DAP  menentang  sebarang
Jambatan  baru  dibuat  antara  Singapura  dan Malaysia, dan
menerima  tanggungjawab  menyelesaikan   masalah   kesesakan
lalulintas di Tambak Johor.
44.  Jika  pendirian  DAP  ialah  kepentingan ekonomi negara
memerlukan sebuah jambatan baru dibina antara Singapura  dan
Malaysia, tentukan di mana jambatan ini harus dibina dan DAP
bertanggungjawab  untuk  mendapatkan  persetujuan  parti dan
kerajaan  PAP  di  Singapura  dan  sanggup  membayar  segala
tambahan  perbelanjaan  yang  diperlukan.    DAP  juga harus
membayar gantirugi dan penempatan semula penduduk yang perlu
dipindahkan daripada kawasan baru pilihan DAP.
Tuan Yang di-Pertua,
45.  Saya amat kagum dengan kesanggupan Ahli Yang  Berhormat
dari  Tanjong mempertahankan Kelantan sejak sahabat karibnya
PAS memerintah.   Sementara  Ahli  Yang  Berhormat  Jelutong
berkata  PAS  akan hanya dapat mendirikan Pemerintahan Islam
dengan izin  "over  my  dead  body",  tetapi  bossnya  masih
sanggup melamar PAS.
46.  Saya  yakin  ahli-ahli  PAS  bersetuju dengan Ahli Yang
Berhormat Tanjong bahawa penambahan kakitangan Kerajaan dari
orang  bukan  bumiputera  tidak   perlu   diimbangi   dengan
pengambilan  lebih  ramai  bumiputera  oleh syarikat swasta.
Inilah keadilan DAP "Hak engkau hak aku, hak aku  hak  aku".
Perkahwinan  ganjil  dan  tersembunyi  PAS-DAP  adalah  satu
dengan izin marriage  of  convenience  yang  berasas  kepada
kepercayaan  bahawa  "musuh  kepada  musuh kami adalah kawan
kami" atau dengan izin "The enemy of my enemy is my friend".
Sama-samalah kita lihat kebahagiaan kongsi hidup ganjil ini.
Tuan Yang di-Pertua,
47.  Antara kejayaan  DAP  dan  pemimpinnya  ialah  memecah-
belahkan  bumiputera  khususnya orang Melayu sehingga mereka
ini sanggup mengecam dasar dan tindakan untuk  mengimbangkan
mereka dengan kaum-kaum lain.
48.  Kita  semua  tahu  terdapat ramai jutawan daripada kaum
Cina di dalam negara kita.  Oleh kerana ada  beberapa  kerat
orang Melayu dan bumiputera menjadi kaya disebabkan DEB, DAP
menuduh  bahawa  DEB  hanya  menguntungkan  segelintir orang
Melayu sahaja.  Dengan ini ada orang Melayu  yang  menyertai
DAP dan di luar DAP yang mengecam pelaksanan DEB.
49.  Saya  ingin  tanya  apakah  bumiputera dan orang Melayu
boleh puas hati  jika  DEB  berjaya  hanya  dengan  membasmi
kemiskinan di kalangan mereka, tetapi semua orang kaya dalam
negara  ini  terdiri  daripada  orang bukan Melayu?   Apakah
makna imbangan jika ia berlaku di peringkat bawahan sahaja?
50.  Namun kerana hasutan DAP,  sudah  ada  bumiputera  yang
mengecam  DEB kononnya menguntungkan hanya segelintir sahaja
daripada bumiputera  yang  menjadi  jutawan.    Mereka  yang
mengecam   ini   lupa  bahawa  mereka  sendiri  telah  dapat
pelajaran, biasiswa, jawatan tinggi  dan  kelayakan  profes-
sional kerana DEB.  Bahawa kemiskinan bumiputera telah dapat
dikurangkan  dengan  banyaknya, iaitu satu daripada matlamat
DEB, tidak dihiraukan.  Perasaan iri hati yang dipupuk  oleh
DAP berjaya mempengaruhi mereka daripada kalangan bumiputera
ini  sehingga  sanggup  mengecam  dasar  yang  begitu banyak
menolong mereka.
51.  Dan sekarang ini  DAP  pula  berjaya  mempengaruhi  PAS
supaya mendalamkan lagi perpecahan di kalangan Melayu.  Saya
ucapkan  tahniah  kepada  Ahli  Yang  Berhormat Tanjong yang
berjaya memperalatkan  PAS  sehingga  PAS  tidak  meletakkan
calon  menentang  DAP  tetapi sebaliknya bekerja sama dengan
DAP untuk menjayakan DAP.   Syabas saya ucapkan  kepada  PAS
kerana  lebih  utamakan  kebenciannya  kepada  UMNO sehingga
sanggup berganding bahu dengan orang-orang yang begitu tidak
sebulu dengan mereka.  Musuh PAS ialah UMNO dan sesiapa yang
memusuhi UMNO adalah sahabat PAS.
Tuan Yang di-Pertua,
52.  Saya tidak berhajat menjawab satu persatu tuduhan  Ahli
Yang   Berhormat  Tanjong.    Yang  jelas  ialah  Ahli  Yang
Berhormat Tanjong amat cekap dalam  bidang  putar-belit  dan
apa  sahaja  boleh  dijadikan bahan oleh Ahli Yang Berhormat
untuk memburukkan negara sendiri.
53.  Walau apapun yang diperkatakan oleh Ahli Yang Berhormat
hakikatnya  ialah  Malaysia  adalah   sebuah   negara   yang
membangun  pesat dan dapat menarik pelaburan yang besar dari
dalam dan luar negeri.  Negara yang mempunyai kerajaan  yang
corrupt dan tidak cekap tidak mungkin berjaya, tidak mungkin
meyakinkan  pelabur, tidak mungkin mencapai pertumbuhan yang
tinggi.  Jika benar Kerajaan ini  sebagai  yang  digambarkan
oleh  Ahli  Yang  Berhormat,  mustahil  Malaysia  mendahului
hampir  semua  negara  membangun  yang  lain  daripada  segi
kemajuan dan pencapaiannya.
54.  Kita  tidak  masuk  bakul dan angkat diri kita sendiri.
Laporan World Bank berkali-kali  menyebut  tentang  kejayaan
Malaysia  yang  harus dicontohi oleh negara-negara membangun
yang lain.
55.  Tetapi kalau kita dengar  ucapan  Ahli  Yang  Berhormat
dari   Tanjong   seolah-olah  Malaysia  adalah  negara  yang
terburuk sekali, dan pemerintahannya tidak cekap  dan  semua
anggota  Kerajaan  terlibat dengan rasuah.   Jikalau pelabur
mendengar Ahli Yang Berhormat, mereka tidak akan melabur  di
Malaysia.   Mungkin inilah tujuan Ahli Yang Berhormat kerana
negara Malaysia yang makmur, aman  dan  maju  tidak  mungkin
memberi  kemenangan kepada DAP yang bergantung kepada hasad-
dengki orang untuk mendapatkan sokongan.
Tuan Yang di-Pertua,
56.  Ahli Yang Berhormat dari  Tanjong  mengucapkan  tahniah
kepada  saya  kerana  menyampaikan  bil-bil lebih awal untuk
diteliti oleh Ahli Dewan sebelum perbahasan  dibuat.    Saya
tidak  memerlukan  tahniah  Ahli Yang Berhormat apabila saya
menjalankan tugas mengikut budi  bicara  saya.    Ahli  Yang
Berhormat   tidak  perlu  mengambil  kredit,  jika  Kerajaan
membuat sesuatu.  Kerajaan ini lebih cekap dan  lebih  sedar
akan  tanggungjawabnya  daripada  Ahli  Yang  Berhormat dari
Tanjong.
57.  Dasar  dan  Rancangan  Pembangunan  kita  dibuat   atas
kesedaran ini.  Walaupun DAP berusaha menggagalkan Rancangan
Malaysia  Ke-6  dan  Dasar Pembangunan Nasional, RM6 dan DPN
akan berjaya mencapai matlamatnya, insya-Allah.

 
 



 
Google