Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SEBERANG PERAI
Tarikh/Date : 20/07/91
Tajuk/Title : PERASMIAN SONY ELECTRONICS (M) SDN
BHD DAN SONY MECHATRONICS PRODUCTS
(M) SDN BHD
Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk
merasmikan pembukaan Sony Electronics (M) Sdn. Bhd. (SEM)
dan Sony Mechatronics Products (M) Sdn. Bhd. (SMM) di
Seberang Perai hari ini.
2. Sony Corporation bukanlah asing kepada Malaysia.
Sebenarnya, termasuk kedua-dua pelaburan ini, Sony telahpun
mempunyai tujuh anak syarikatnya di Malaysia, yang
kesemuanya melibatkan pelaburan modal berjumlah $537 juta
ringgit.
3. Sony telah lama ditubuhkan dan terkenal sebagai pembuat
alat-alat audio dan video berkualiti tinggi. Jenama Sony
diakui sebagai di antara jenama yang bertaraf tinggi dari
segi mutu. Sebahagian besar alat audio yang terdapat di
pasaran, terutama yang bermutu dan berharga tinggi memakai
jenama Sony. Dengan demikian, adalah menjadi satu
kebanggaan kepada Malaysia apabila Sony memilih untuk
mendirikan off-shore manufacturing base bagi pelbagai
keluarannya di negara ini.
4. Malaysia juga berbangga kerana pelaburan Sony di negara
ini adalah yang kedua terbesar dalam Kumpulan Sony sedunia,
hanya dibelakang pelaburannya di Amerika Syarikat.
5. Pelaburan Sony di Malaysia membuktikan kepercayaan
syarikat ini terhadap kestabilan ekonomi dan suasana
pelaburan yang positif di negara ini.
6. Industri pengeluaran alat audio yang memberi pekerjaan
kepada lebih 25,000 pekerja, merupakan industri terpenting
di Malaysia. Hasil eksport industri ini meningkat dari
$653.8 juta ringgit pada tahun 1986 kepada $3.3 ribu juta
ringgit pada tahun 1990. Industri ini juga telah mewujudkan
banyak peluang bagi mengadakan "linkages" dengan sektor-
sektor lain seperti plastic moulding, metal stamping, moulds
and dies, packaging, labelling and transportation. Industri
pengeluaran alat audio ini telah juga membantu meningkat dan
meluaskan industri letronik di Malaysia, daripada hanya
ditumpukan kepada semiconductors kepada pengeluaran lebih
banyak lagi barang-barang siap.
7. Kini industri pengeluaran audio sedang berkembang
dengan pesat. Di akhir bulan Mei 1991, 89 syarikat telah
diberi kelulusan untuk mengeluarkan berbagai jenis alat au-
dio. Enam puluh daripada syarikat ini telah diberi status
perintis, lapan diberi Elaun Cukai Pelaburan, sementara 21
yang lain diberi kelulusan tanpa galakan cukai.
8. Industri ini juga telah tumbuh dengan pesatnya dalam
masa lima tahun yang lepas. Semenjak tahun 1986, sebanyak
61 syarikat telah diluluskan. Hampir semua syarikat ini
adalah berorientasikan eksport.
9. Di bidang ekuiti pula, 60.7 peratus daripada 61
syarikat yang diluluskan semenjak tahun 1986 adalah
kepunyaan asing sepenuhnya, 13.1 peratus kepunyaan
sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, 9.8 peratus usahasama,
sementara 16.4 peratus dikecualikan daripada sebarang syarat
ekuiti. Setakat ini, 31 daripada 89 syarikat yang telah
diluluskan telah beroperasi.
10. Berbagai jenis alat audio dikeluarkan oleh syarikat-
syarikat yang beroperasi ini. Bagaimanapun, kebanyakannya
adalah terdiri daripada lower and medium end products. Oleh
itu, adalah perlu lebih banyak lagi high end products
dikeluarkan. Ini memandangkan pertumbuhan masa depan
industri ini ialah di sektor high end products.
11. Pada hari ini terdapat trend yang meningkat bagi
penggunaan otomasi di dalam industri ini. Antara sebabnya
ialah masalah kekurangan tenaga buruh. Syarikat yang lebih
besar yang mempunyai pengeluaran yang besar sedang
menggunakan insertion automatic soldering machine dan alat
ujian berkomputer.
12. Industri pengeluaran audio di Malaysia seperti juga
industri letronik yang lain, dikuasai oleh syarikat-syarikat
dari Jepun, Amerika Syarikat, Taiwan, Perancis, Hong Kong
dan sedikit sebanyak dari Singapura. Syarikat-syarikat ini
adalah anak-anak syarikat multinational seperti Sony, JVC,
Sanyo, Sharp-Roxy, Philips, Grundig dan Thomson. Saya
difahamkan Matsushita dan AIWA juga akan mengadakan
operasinya tidak lama lagi.
13. Industri ini merupakan industri yang sangat kompetitif.
Oleh itu, kualiti pengeluaran dan teknologi pengeluarannya
perlu sentiasa dipertingkatkan melalui aktiviti Penyelidikan
dan Pembangunan (R & D). Harga jualan juga perlu kompetitif
memandangkan persaingan yang hebat daripada pengeluar-
pengeluar yang begitu banyak.
14. Kerajaan merasa gembira bahawa syarikat-syarikat Jepun
sedang giat melabur di negara ini. Saya berterima kasih
kerana syarikat-syarikat Jepun memberi sumbangan besar ke
arah pembangunan industri di Malaysia. Sungguhpun begitu,
lebih banyak lagi perlu dilakukan. Sebagai contoh,
syarikat-syarikat Jepun patut berusaha dengan lebih giat
lagi untuk mendapatkan bahagian dan alat komponen mereka
daripada punca tempatan, terutama daripada syarikat-syarikat
Malaysia. Kilang-kilang di Malaysia patut mencontohi Proton
yang berusaha untuk mendapat kepakaran dan joint venture
partner supaya syarikat tempatan mampu mengeluarkan komponen
yang berkualiti. Dalam hal ini, saya rasa lebih banyak lagi
syarikat yang beroperasi di Malaysia patut mencontohi
syarikat-syarikat seperti Sony yang mana saya diberitahu
telahpun mencapai 50 peratus penggunaan barangan tempatan
dalam pengeluarannya. Ini adalah penting kerana ia akan
menyumbang ke arah pembangunan industri sokongan yang kukuh
dan viable dan seterusnya menjalin hubungan dan integrasi
bawahan.
15. Syarikat-syarikat Jepun juga patut meningkatkan usaha
untuk melaksanakan kegiatan R & D di negara ini. Pada masa
ini aktiviti R & D ini sungguh kecil. Kerajaan sedang
bersungguh-sungguh menggalakkan lebih banyak aktiviti R & D
dan ke arah ini telah menawarkan insentif khas untuk R & D.
Selain daripada insentif yang sedia ada seperti potongan dua
kali terhadap perbelanjaan R & D yang telah diluluskan,
insentif tambahan juga telah dicadangkan dalam Belanjawan
1991. Ini termasuk pengecualian cukai selama lima tahun dan
membawa ke hadapan kerugian terkumpul yang dialami dalam
tempoh pengecualian cukai kepada tempoh selepas pengecualian
cukai.
16. Saya difahamkan bahawa Sony Electronics dan Sony
Mechatronics bercadang mewujudkan R & D termasuk
rekaciptanya sendiri. Ini bukan sahaja akan menguntungkan
Malaysia secara keseluruhannya tetapi ia juga akan
meningkatkan competitive edge syarikat-syarikat ini dalam
industri yang memang kompetitif.
17. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan kilang
Sony Electonics (M) Sdn. Bhd dan Sony Mechatronics Products
(M) Sdn. Bhd. dengan ucapan selamat maju jaya kepada
kakitangan dan pengurusan kedua-dua syarikat ini.
|