Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : WISMA MCA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 28/07/91
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG
TAHUNAN MCA
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MCA kerana memberi penghormatan kepada saya untuk sekali
lagi merasmikan Perhimpunan Agung MCA ini.
2. Semasa saya merasmikan Perhimpunan Agung MCA tahun
lalu, mandat Barisan Nasional memerintah telah hampir tamat
dan angin bertiup kencang ketika itu bahawa pilihanraya umum
akan diadakan tidak lama lagi. Seperti yang kita sedia
maklum Barisan Nasional telah memperolehi kejayaan besar
dalam pilihanraya umum yang diadakan tidak lama daripada itu
pada tahun lalu. Parti MCA bersama-sama parti komponen
Barisan Nasional yang lain telah sama-sama memainkan peranan
penting dalam membawa kemenangan Barisan Nasional dalam
pilihanraya umum l990.
3. Perhimpunan Agung MCA kali ini juga significant kerana
ianya diadakan tidak lama selepas kita melancarkan Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) dan Rancangan Malaysia Keenam
(RM6). DPN dan RM6 merupakan rancangan pembangunan negara
ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang
tahun 2020.
4. Negara kita Malaysia aman dan stabil, tidak seperti
kebanyakan negara membangun lain yang penduduknya juga
terdiri daripada berbagai kaum. Hari ini kita lihat di
Eropah pun terdapat rusuhan, bahkan peperangan antara kaum
berlaku dan akibatnya ekonomi merosot dan rakyat menderita.
5. Keamanan dan kestabilan di Malaysia berasas dan
berpunca daripada pembentukan kerjasama Melayu-Cina di Kuala
Lumpur pada tahun 1951. Dalam pilihanraya Municipal Kuala
Lumpur pada tahun 1952, UMNO Kuala Lumpur dan MCA Kuala
Lumpur telah meneroka satu kerjasama yang amat berkesan yang
memberi kemenangan besar kepada calon-calon MCA dan UMNO.
Selepas itu, Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj dan mendiang Tun Tan Cheng Lok telah membentuk
Alliance atau Perikatan yang menggabungkan UMNO dan MCA
dalam satu Parti Coalition yang bukan sahaja memberi
kejayaan kepada kedua-dua parti bersama MIC dalam
Pilihanraya yang penting pada tahun 1955, tetapi juga
menentukan satu bentuk kerjasama antara kaum yang unik dan
yang menjamin keamanan dan kestabilan Malaysia semenjak dari
itu.
6. Saya yakin jika Perikatan tidak dibentuk, negara kita
akan menjadi seperti lain-lain negara berbilang kaum yang
selalu mengalami rusuhan dan tidak stabil.
7. Kerjasama memerlukan tolak-ansur pihak-pihak yang
terlibat. Tolak-ansur atau "give and take" mestilah adil
dan "fair" atau saksama. Jika satu pihak meminta terlalu
banyak untuk dirinya, maka ini bermakna tolak-ansur yang
tidak adil. Tetapi masalahnya ialah menentukan apakah yang
adil dan apakah yang tidak?
8. Peristiwa Mei 1969 berlaku kerana adil ditakrifkan
sebagai Melayu bekerja dengan Kerajaan dan bukan Melayu
memonopoli sektor swasta, di mana kekayaan yang tidak terhad
boleh diperolehi. Takrif adil seperti ini adalah salah
kerana orang Melayu mahu bahagian mereka dalam ekonomi dan
orang bukan Melayu juga mahu bahagian mereka dalam sektor
awam. Oleh kerana kita terlalu liberal dalam mempraktikkan
demokrasi, walaupun ada ISA pada ketika itu, cakap-cakap dan
tindakan-tindakan yang ekstrim dibenarkan sehingga keadaan
menjadi amat tegang dan rusuhan berlaku pada tahun 1969.
9. Hari ini kita lebih faham dan kita lebih matang
mengenai amalan demokrasi dalam negara kita. Kita lebih
tahu tentang apa ianya tolak-ansur atau "give and take" dan
sebanyak mana satu kaum mesti "give and take" berbanding
dengan kaum lain.
10. Pada tahun 1970 Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dibentuk
bertujuan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan
menyusun semula masyarakat supaya kegiatan ekonomi tidak
ditentukan mengikut kaum. Dasar ini diterima oleh semua
pihak. Mungkin semasa pelaksanaannya ada penyelewengan
berlaku. Tetapi hasil DEB yang tidak dapat dinafikan ialah,
pertama; rusuhan kaum tidak lagi berlaku tetapi sebaliknya
negara menjadi aman dan stabil, kedua; pembahagian kekayaan
menjadi lebih baik antara kaum walaupun matlamat 30, 40, 30
tidak tercapai sepenuhnya, dan ketiga; pertumbuhan ekonomi
Malaysia tidak terjejas bahkan mencapai tahap yang tinggi
dan jauh lebih baik dari negara-negara yang tidak perlu
disusun semula masyarakatnya.
11. Pencapaian ini adalah hasil kerjasama kaum melalui
Barisan Nasional, terutama di antara UMNO dengan MCA.
Sepertimana juga MCA dikecam oleh parti chauvinis DAP, UMNO
juga dikecam kerana bekerjasama dengan MCA oleh parti
ekstremis PAS.
12. Ada kalanya MCA berasa begitu terancam oleh DAP
sehingga ada dalam MCA orang-orang yang cuba menjadi lebih
chauvinistik daripada DAP. Mereka berpendapat bahawa dengan
menunjukkan bahawa mereka mengutamakan kaum Cina lebih
daripada DAP, mereka boleh mengalahkan DAP. Pendirian ini
tidak secocok dengan konsep Barisan Nasional, dan pada satu
ketika hampir memecahkan pakatan UMNO/MCA yang menjadi
tunggak Barisan Nasional. Tetapi kepimpinan MCA berjaya
membendung sentimen dan pendekatan ala DAP ini.
13. Hari ini apa yang berlaku ialah DAP yang berasa
terancam kerana kerjasama Melayu/Cina melalui UMNO/MCA lebih
berkesan dalam memberi kejayaan kepada MCA. Walaupun DAP
kadang-kadang memenangi lebih banyak kerusi, tetapi DAP
tidak berjaya memerintah walaupun di peringkat negeri.
Justeru itu perjuangan DAP bagi pihak orang Cina tidak
pernah berhasil. Hanya yang dapat dibuat oleh DAP ialah
mengeruhkan suasana dalam negara.
14. DAP juga sudah berputar 180 darjah dan bukan sahaja
sanggup bekerjasama dengan Semangat 46 dan berjanji menerima
kepimpinan Semangat 46 jika berjaya membentuk Kerajaan,
tetapi DAP sanggup juga bekerjasama dengan PAS, parti yang
begitu ekstrem yang mendakwa kononnya akan membentuk
pemerintahan Islam ala PAS.
15. Apakah yang DAP tawar kepada kaum Cina yang lebih baik
daripada MCA? Yang akan diperolehi oleh kaum Cina jika DAP
berjaya ialah hanya Ketua Menteri Pulau Pinang akan terdiri
daripada Lim Kit Siang dan bukan Dr. Koh Tsu Koon. Perdana
Menteri dan Menteri-menteri Besar akan terdiri daripada
orang Melayu juga -- Melayu daripada Semangat 46 atau PAS.
Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh DAP bagi pihak
orang Cina, yang tidak dapat lebih dijayakan oleh MCA dan
GERAKAN. Masyarakat Cina Malaysia patut sedar akan hakikat
ini. Sebagai parti pembangkang pun, tidak ada apa yang
boleh dibuat oleh DAP.
16. Justeru itu, MCA tidak harus terikut-ikut dengan cara-
cara DAP. Sebenarnya DAP yang terpaksa mengikut MCA dan
strateginya. Tetapi sekarang ada orang Melayu yang terpikat
dengan kerjasama DAP-PAS sehingga ada kemungkinan DAP
mempengaruhi lebih ramai lagi orang Melayu. Dalam
pilihanraya yang lepas memang ada bukti penyokong PAS
memberi undi kepada DAP. Jika orang Melayu menganggap MCA
terlalu chauvinis, sukar bagi calon MCA mendapat undi
mereka. Daripada segi perhitungan politik sokongan pengundi
Melayu masih berkesan kepada parti-parti bukan Melayu.
17. Saya menarik perhatian kepada "about turn DAP" ini
kerana ingin menekankan bahawa sebenarnya strategi kerjasama
UMNO/MCA dan BN adalah lebih baik bagi kestabilan, keamanan
dan pembangunan ekonomi Malaysia daripada chauvinisme ala
DAP atau PAS dalam menjayakan masa depan orang Cina atau
orang Melayu.
18. Oleh itu MCA tidak harus takut dikecam oleh orang Cina
kerana kononnya tidak memperjuangkan hak mereka. Sebenarnya
kerjasama Melayu/Cina dan UMNO/MCA lebih menguntungkan
masyarakat Cina daripada konfrontasi Melayu/Cina yang
dianjurkan oleh DAP. Tidak ada keuntungan bagi orang Cina
dalam sebuah negara di mana mereka menghadapi ketegangan
dengan bumiputera.
19. Sokongan MCA, bersama-sama dengan MIC dan GERAKAN serta
parti-parti komponen Barisan Nasional kepada Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) adalah secocok dengan kerjasama
antara kaum ini. DAP pun tidak berani menolak bulat-bulat
DPN kerana penolakan akan ditentang oleh rakannya daripada
Semangat 46 dan PAS. DPN daripada segi prinsipnya tidak
boleh dijadikan isu politik untuk mengecam MCA. Apa yang
dibuat oleh DAP ialah apa yang dikatakan "nit-picking" atau
mencari kutu, satu-satunya tabiat DAP.
20. MCA mesti kekalkan kerjasamanya dengan UMNO dan lain-
lain anggota BN. Kerjasama inilah yang menjadikan Malaysia
stabil daripada segi politik dan menyebabkan pertumbuhan
ekonomi yang diakui oleh dunia sebagai yang tertinggi sekali
dalam dunia dan yang mana hasilnya banyak dinikmati oleh
masyarakat Cina. Hari ini banyak negara lain ingin tahu
apakah rahsia kejayaan Malaysia. Mereka kagum dengan
harmoni antara kaum yang terdapat di Malaysia berbanding
dengan ketegangan antara kaum di lain-lain negara berbilang
kaum. Mereka kagum dengan dasar-dasar yang dibentuk oleh
kita bersama dan kejayaan kita melaksanakan Rancangan-
rancangan lima tahun kita.
21. Kita percaya bahawa pembahagian kekayaan hanya boleh
dibuat daripada "the enlarged portion of the economic cake."
Hanya apabila ekonomi tumbuh baharulah pembahagian dibuat.
Dengan adanya kestabilan politik maka ekonomi negara telah
tumbuh dengan pesat dan kita dapat membahagikan kepada semua
kaum apa yang kita rancang untuk mereka.
22. Dalam sistem BN kita menyelesaikan masalah melalui
rundingan, bukan melalui demonstrasi atau "public debate"
yang tegang. Inilah cara yang terbaik dan inilah rahsia
kestabilan negara.
23. Semakin lama semakin ramai ahli MCA yang terdiri
daripada golongan muda. Golongan muda ini harus faham
sejarah, asal-usul, tradisi dan sistem yang telah dibentuk
oleh pengasas-pengasas MCA. Jika mereka tidak termaklum
akan perkara-perkara ini, maka mungkin mereka akan
mengenepikan asas-asas yang sehingga kini menjadikan negara
kita Malaysia begitu stabil dan makmur.
24. Adalah lebih baik kita membahagi-bahagikan kekayaan
yang bertambah daripada kita berebut-rebut apa yang ada
sehingga mencetuskan rusuhan dan ketidakstabilan yang
mengakibatkan kemerosotan ekonomi.
25. Justeru itu semua pihak harus berusaha dengan gigih
untuk menjayakan Dasar Pembangunan Nasional, Rancangan
Malaysia Keenam dan Wawasan 2020.
26. Ke arah mengekalkan kestabilan politik ini, adalah amat
penting pemimpin-pemimpin Barisan Nasional menerus serta
meningkatkan kerjasama rapat yang terjalin di antara mereka.
Pihak-pihak lawan yang tidak senang melihat Barisan Nasional
menjadi bertambah kukuh dan stabil akan terus cuba dan
berusaha untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan parti-
parti komponen Barisan Nasional. Mereka sedar bahawa selagi
perpaduan di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional
kukuh dan kuat, selagi itulah mereka tidak akan dapat
memperluaskan pengaruh politik mereka. Justeru itu, dari
semasa ke semasa, mereka akan cuba menimbulkan isu-isu lapuk
dan yang tidak relevan yang mereka harap dapat digunakan
untuk mengelirukan orang ramai. Kita akan dapat menangkis
dakyah-dakyah mereka jika kita mengutamakan kepentingan
negara daripada kepentingan diri sendiri. Kepentingan
negara mendahului segala kepentingan yang lain.
27. Negara kini telah melangkah ke era baru yang mana
matlamat kita ialah menjadikan Malaysia sebuah negara maju
dalam semua bidang menjelang tahun 2020. Tanggungjawab ini
adalah tanggungjawab semua kaum. Oleh yang demikian, kita
semua mestilah menumpukan hati, usaha serta tenaga dengan
bersungguh-sungguh untuk mencapai segala matlamat yang telah
kita tetapkan bersama.
28. Saya difahamkan banyak perkara akan dibincangkan di
Perhimpunan ini. Saya harap perbincangan dan perbahasan
yang akan diadakan kelak akan berlangsung dengan penuh
tanggungjawab dan tata-tertib dan mencerminkan kematangan
politik parti-parti komponen Barisan Nasional.
29. Saya berharap Perhimpunan Agung MCA ini akan
berlangsung dengan baik dan berakhir dengan menjadikan MCA
lebih teguh dan kuat yang boleh membantu Barisan Nasional
mengukuhkan kedudukannya di arena politik negara.
30. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MCA bagi tahun 1991.
Terima kasih.
|