home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 03/08/91 Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN PARTI GERAKAN KE-20 Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN kerana menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN Ke-20 ini. 2. Sebagai salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), GERAKAN telah turut memberi sumbangan yang positif dan ini telah membantu memantap dan mengukuhkan lagi Barisan Nasional. Kerjasama yang rapat serta kefahaman yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin GERAKAN telah membolehkan Barisan Nasional menumpukan tenaga dan usaha ke arah pembangunan negara yang lebih pesat. 3. Sebagaimana yang kita semua sedar, kekuatan Barisan Nasional selama ini ialah kerana wujudnya kerjasama yang erat di antara parti-parti komponennya. Konsep kerjasama rapat ini telah menjadi asas kepada kekukuhan Barisan Nasional. Justeru itu, marilah kita bersama-sama berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kita supaya rakyat boleh terus menikmati faedah daripada pembangunan. 4. Seperti yang saya nyatakan ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA minggu lepas, kita baharu sahaja melancarkan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Rancangan Malaysia Ke-6 (RM6) untuk meneruskan usaha-usaha memaju dan membangunkan negara. Matlamat yang kita hendak tuju ialah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Sokongan yang diberikan oleh parti-parti komponen BN, termasuk GERAKAN, kepada DPN dan RM6 membuktikan bahawa DPN dan RM6 diterima baik oleh semua kaum. 5. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang wujud di negara ini. Tanpa kestabilan politik dan keharmonian kaum ini, kita tidak akan dapat melaksanakan rancangan-rancangan pembangunan kita dengan jayanya. Kejayaan kita melaksanakan Rancangan-rancangan lima tahun dan Dasar Ekonomi Baru membuktikan betapa pentingnya hakikat ini. Sehubungan dengan ini, rakyat hendaklah sedar bahawa hanya Kerajaan BN sahaja yang dapat menjamin negara ini akan terus stabil dan rakyat berbagai kaum terus hidup bersatu padu, aman damai dan menikmati pembangunan yang pesat. Tidak mungkin Kerajaan mana-mana parti pembangkang atau kombinasi parti- parti pembangkang yang mempunyai ideologi dan pendirian yang bertentangan boleh mewujudkan kestabilan dalam negara berbilang kaum ini dan memajukannya. 6. Semasa Pilihanraya Umum 1990 kita telah lihat satu jenis kerjasama DAP, Semangat 46, PAS dan beberapa parti yang kecil. Kerjasama ini ditempah sejurus sebelum pilihanraya dan juga semasa pilihanraya. Amat jelas sekali bahawa kerjasama ini bukan berasaskan kepada pendirian politik yang sama, tetapi semata-mata kerana ingin mengalahkan Barisan Nasional. Kerjasama ini adalah satu 'marriage of convenience' yang mudah retak dan pecah. Rakyat jelas tidak percaya kepada kerjasama ini dan terus menolaknya. Di Kelantan kerjasama PAS/46/DAP telah berjaya menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Tetapi hanya beberapa hari sahaja selepas Kerajaan PAS/46 dibentuk, tanda-tanda keretakan telah kelihatan. Hanya kerana paksaan melalui undang-undang sahaja yang hari ini pakatan PAS/46 kekal. Dalam hubungan ini jika PAS/DAP berjaya membentuk kerajaan, pasti mereka akan memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat lagi untuk mengekalkan kerajaan campuran mereka. Kerajaan seperti ini tidak boleh membawa kebahagiaan kepada rakyat. 7. Namun demikian, ketiga-tiga parti lawan ini akan terus bekerjasama dan sentiasa berusaha untuk memburuk-burukkan Kerajaan Barisan Nasional. Bagaimanapun, kita yakin mereka tidak akan berjaya kerana hakikat sebenarnya mereka tidak sebulu dan sehaluan. Kerjasama mereka adalah palsu dan penuh dengan kepura-puraan. Tujuan mereka hanyalah untuk mendapat kuasa. 8. Justeru itu, adalah penting kita dalam BN mendedahkan kepalsuan dan kepura-puraan yang terdapat dalam gabungan DAP-46-PAS. DAP sanggup bekerjasama dengan 46 dan PAS kerana DAP sedar mereka memerlukan sokongan orang Melayu untuk memenuhi cita-cita mereka membentuk Kerajaan. Semangat 46 pula sanggup bekerjasama dengan DAP, parti yang satu ketika dahulu sangat dibenci dan dikecam hebat oleh pemimpin-pemimpin 46, hanya kerana ingin melihat UMNO hancur. Tetapi kita semua tahu bahawa DAP adalah sebuah parti yang chauvinistik dan menentang segala rancangan Kerajaan membantu orang Melayu. Selagi DAP merupakan sebuah parti chauvinistik dan suka memainkan sentimen kaum Cina, selagi itulah ia tidak akan mendapat sokongan orang Melayu dan akan gagal. 9. Begitu juga, adalah mustahil DAP boleh bekerjasama dengan PAS sedangkan pendirian mereka mengenai penubuhan Kerajaan Islam ala PAS jauh berbeza. Kita pun tahu bahawa seorang pemimpin DAP pernah menyatakan bahawa Kerajaan Islam akan dapat didirikan hanya setelah melangkah mayatnya. Jelaslah antara pemimpin-pemimpin parti-parti lawan ini, tidak wujud kerjasama. Kita khuatir kalau ditakdirkan mereka memerintah, rakyat akan menderita dan negara akan hancur kerana mereka akan bertelingkah di antara satu sama lain. 10. Hari ini ramai daripada anggota 46, bahkan PAS, yang sudah sedar dan meninggalkan parti-parti itu atau hilang semangat untuk bergerak lagi. Di Prai pula, kita lihat penyokong-penyokong kuat DAP sudah berpaling tadah. Rakyat semakin sedar bahawa apa yang diperjuangkan oleh pemimpin- pemimpin parti-parti lawan ialah untuk mendapat kuasa bagi diri mereka sendiri. 11. Dalam usaha untuk mendapat sokongan dan pengaruh, kemungkinan besar sesetengah parti lawan akan menggunakan sentimen kaum dengan lebih meluas. Kita sudahpun melihat bagaimana dengan memainkan sentimen kaum, parti-parti lawan telah menang di beberapa kawasan pilihanraya dalam Pilihanraya Umum l990. Dalam pilihanraya kecil Prai, kita telah melihat bagaimana parti lawan memburuk-burukkan Kerajaan dengan tuduhan-tuduhan palsu dan mengeksploitasikan isu-isu perkauman. 12. Langkah Kerajaan meminda Akta Pengambilan Tanah 1960 telah diputar-belitkan untuk kepentingan parti lawan. Dalam hal ini, ada pihak yang menuduh bahawa tujuannya ialah hendak merampas tanah kepunyaan bukan Bumiputera. Tuduhan ini tidak berasas sama-sekali. Tindakan seperti ini adalah tidak bertanggungjawab dan merbahaya. Dalam pengambilan apa jua tanah, Kerajaan tidak mengambilkira sama ada ianya kepunyaan Bumiputera atau bukan Bumiputera. Kerajaan tidak akan menggunakan sentimen perkauman. Ini bukan cara pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional. Sebenarnya, memandangkan tanah merupakan aset yang kian susut, adalah penting Kerajaan diberi kuasa mendapatkan tanah untuk tujuan pembangunan yang berterusan. Pindaan tersebut adalah untuk kebaikan bersama rakyat memandangkan bilangan penduduk yang bertambah dan juga kerana keperluan pembangunan. Kerajaan akan memberi pampasan yang berpatutan dan jika rakyat tidak puashati dengan jumlah pampasan, mereka boleh membawa hal ini ke mahkamah. Seperti yang diketahui tidak banyak lagi tanah yang masih tinggal. Jika Kerajaan gagal melaksanakan rancangan pembangunan kerana kekurangan tanah, rakyatlah yang akan mengalami kerugian. Rakyat juga akan menderita apabila Kerajaan tidak dapat mendirikan rumah, hospital, jalan, sekolah dan lain-lain kemudahan disebabkan tidak ada lagi tanah. 13. Menuduh pindaan dibuat bermotivasikan perkauman untuk mengambil tanah daripada sesuatu kaum adalah tuduhan yang tidak logik dan tidak bertanggungjawab. Sebagai Kerajaan yang dipilih oleh rakyat, ia tidak akan mengambil tanah rakyat jika tidak atas sebab kepentingan nasional. 14. Tuduhan parti-parti lawan bahawa Kerajaan tidak bertanggungjawab dan adil sudah menjadi satu tabiat kepada parti lawan. Mereka mengulangi tuduhan-tuduhan ini setiap kali mereka berucap. Walaupun penyiasatan dibuat oleh tokoh-tokoh yang memihak kepada mereka, dan penyiasatan menunjukkan bahawa tuduhan mereka tidak benar, namun mereka akan terus mengulangi tuduhan yang sama. Hanya apabila orang yang dituduh oleh mereka menjadi kawan mereka barulah mereka akan hentikan tuduhan itu. 15. Rakyat sekarang sudah bosan dan tidak percaya lagi kepada mereka. Anggota Barisan Nasional mestilah mendedahkan pembohongan mereka habis-habisan dan jangan sekali-kali terperangkap dengan cuba menjadi juara dalam isu ciptaan parti lawan. Jika ini dibuat maka anggota Barisan Nasional pula akan tidak dipercayai. 16. Rakyat Malaysia bernasib baik kerana mempunyai Kerajaan yang bertanggungjawab dan komited kepada pembangunan. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sentiasa memikirkan cara- cara untuk membawa pembangunan yang lebih pesat kepada rakyat. Itulah sebabnya, Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Visi 2020 ini dirancang supaya rakyat Malaysia akan dihormati dan disanjung tinggi serta boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan penduduk negara-negara maju. Pemimpin-pemimpin Kerajaan yang ada sekarang merancang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju bukanlah untuk kepentingan diri mereka. Ianya ialah untuk faedah generasi akan datang. Ini kerana apabila Malaysia mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020, kebanyakan pemimpin yang ada sekarang sudah tidak ada lagi. Kita perlu membuat permulaan dan ianya perlu dilakukan dari sekarang. Jika kita tidak memulakan dari sekarang, masa akan berlalu tanpa apa-apa kemajuan dan apabila tiba tahun 2020 kita akan berada ditakuk yang lama. 17. Saya percaya banyak perkara yang akan dibincangkan di Persidangan ini. Adalah diharapkan para perwakilan akan membincangkan perkara-perkara ini dengan rasional serta mengambilkira kepentingan negara. Saya yakin sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional yang bertanggungjawab, GERAKAN akan terus memberi sumbangan yang positif kepada Barisan Nasional dan negara. Saya juga berharap Persidangan ini akan berjalan dengan baik dan akan mengekalkan GERAKAN sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional yang kukuh dan berkemampuan. 18. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan Ke-20 Parti GERAKAN. |