Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PHILIPS MALAYSIA SDN. BHD, JALAN
UNIVERSITI, PETALING JAYA
Tarikh/Date : 05/08/91
Tajuk/Title : PELANCARAN ULANGTAHUN KE-100
KUMPULAN PHILIPS
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Philips
di Malaysia kerana menjemput saya merasmikan Majlis
Pembukaan Bangunan Ibu pejabatnya serta melancarkan majlis
Ulangtahun ke-100 Kumpulan Philips. Kumpulan Philips adalah
satu contoh kejayaan sebuah syarikat yang telah berkembang
pesat dalam satu abad yang lepas, iaitu daripada sebuah
syarikat yang kecil di Eindhoven, Holland hingga menjadi
sebuah konglomorat dengan anak-anak syarikatnya beroperasi
di seluruh pelusuk dunia, termasuk di Malaysia.
2. Nama syarikat Philips tidak asing lagi di negara kita.
Jenamanya dikait rapat dengan lampu pijar, lampu
'flourescent' dan juga barang-barang 'audio' dan 'video'.
Saya merasa sukacita bahawa operasi Kumpulan Philips di
negara ini telah berkembang dengan menggalakkan. Kini ia
mempunyai lima buah operasi yang melibatkan pelaburan modal
berjumlah hampir M$50 juta ringgit.
3. Kejayaan syarikat-syarikat ternama seperti Philips di
Malaysia ini adalah juga satu lambang kejayaan bagi negara.
Ia membuktikan keyakinan para pelabur terhadap kestabilan
politik dan masa depan negara ini. Ianya juga menunjukkan
bahawa iklim pelaburan yang disediakan oleh Kerajaan untuk
para pelabur asing adalah "conducive". Malahan Kerajaan
sedar betapa pentingnya pelaburan swasta, termasuk dari luar
negeri, di dalam proses perindustrian negara. Justeru itu,
Kerajaan telah menggubal dasar-dasar yang pragmatik dan
"flexible" bagi menarik lebih banyak lagi pelaburan swasta
supaya sektor perindustrian boleh dimajukan lagi.
Sungguhpun kita kaya dengan sumber-sumber asli, Malaysia
tidak akan dapat dibangunkan ke taraf negara maju jika ia
bergantung semata-mata kepada sumber asli ini. Hanya
perindustrian sahaja yang boleh menjadikan sebuah negara,
negara maju.
4. Kini sektor pembuatan merupakan satu-satunya sektor
yang akan membawa negara ini ke arah kejayaan dan kemakmuran
yang lebih tinggi. Berpandukan kesedaran ini, Kerajaan
telah menetapkan bahawa sektor pembuatan akan memainkan
peranan yang lebih besar lagi dalam jangka masa sepuluh
tahun yang akan datang, agar matlamat pertumbuhan KDNK pada
kadar 7 peratus setahun dapat dicapai.
5. Semenjak ekonomi Malaysia mengalami kemelesetan pada
tahun-tahun 1985-86, langkah-langkah yang wajar telahpun
diambil untuk memperbetulkan struktur ekonomi negara dengan
memperkenalkan dasar-dasar yang liberal, khususnya terhadap
penyertaan rakyat asing di dalam sektor pembuatan. Tidak
dapat dinafikan bahawa pelaburan asing, seperti oleh
Kumpulan Philips, mempunyai peranan penting dalam
perkembangan ekonomi Malaysia, lebih-lebih lagi di dalam
sektor pembuatan. Malaysia telah dapat maju ke tahap yang
didudukinya sekarang kerana dasar-dasarnya adalah konsisten
dan ekonominya di antara yang terbuka di dunia. Oleh yang
demikian, ekonomi Malaysia kini telah dapat diintegrasikan
dengan ekonomi negara-negara lain secara menyeluruh dan ini
telah memesatkan lagi kemajuan ekonomi negara kita.
6. Sejajar dengan pendirian Kerajaan bagi mengadakan
dasar-dasar yang konsisten kepada pelabur-pelabur asing,
dekad 90an ini akan memperlihatkan pelaksanaan dasar-dasar
yang akan terus menggalakkan pelaburan asing. Kita harap
dengan cara ini kita akan terus mewujudkan suasana pelaburan
yang baik serta mendorongkan lebih banyak lagi penanaman
modal oleh pelabur-pelabur asing dan tempatan.
7. Industri elektronik merupakan salah satu sub-sektor
yang penting di dalam sektor pembuatan di negara ini dan
merupakan di antara penyumbang utama kepada ekonomi
Malaysia. Ini dapat dilihat daripada jumlah nilai
pengeluaran industri elektronik pada tahun 1990 yang
mencapai M$20.3 ribu juta ringgit. Di samping itu, industri
ini menyediakan pekerjaan kepada seramai 144,000 pekerja,
iaitu 12 peratus daripada jumlah pekerja di dalam sektor
pembuatan.
8. Saya merasa gembira bahawa industri elektronik yang
pada umumnya dikaitkan dengan bidang 'semiconductor' telah
mengalami perubahan dan penyesuaian semenjak tahun 1986.
Ini adalah selaras dengan kehendak Kerajaan supaya industri
ini tidak bergantung hanya kepada pengeluaran 'semiconduc-
tor'.
9. Pada tahun 1986, 81 peratus daripada pengeluaran
industri elektronik adalah komponen-komponen elektronik,
12.3 peratus barang-barang elektronik dan 6.2 peratus 'in-
dustrial electronics'. Tetapi, menjelang tahun 1990,
struktur pengeluaran ini telah berubah di mana pengeluaran
bahagian komponen-komponen elektronik menurun kepada 57
peratus, manakala pengeluaran barangan-barangan elektronik
dan 'industrial electronics meningkat kepada 23.2 peratus
dan 19.2 peratus masing-masing.
10. Seiring dengan aliran penyusunan semula ini, bilangan
projek-projek yang diluluskan juga menunjukkan peningkatan.
Pada tahun 1986, sembilan belas projek diluluskan bagi
mengeluarkan komponen-komponen elektronik, sebelas projek
bagi mengeluarkan barang-barang elektronik dan hanya lapan
projek bagi 'industrial electronics'. Jumlah pelaburan yang
dicadangkan ialah M$117.5 juta ringgit. Sebagai
perbandingan, tahun 1990 mencatatkan prestasi yang
mengkagumkan di mana 164 projek bagi mengeluarkan komponen-
komponen elektronik, 30 projek bagi barang-barang elektronik
dan 51 projek 'industrial electronics' telah diluluskan.
Jumlah pelaburan yang dicadangkan pada keseluruhannya
melebihi M$4.5 ribu juta ringgit.
11. Komitmen Kerajaan terhadap penyediaan infrastruktur
yang cukup bagi memenuhi keperluan para pelabur yang
beroperasi di Malaysia jelas kelihatan daripada peruntukan
perbelanjaan pembangunan sektor pengangkutan yang puratanya
berjumlah 18 peratus di bawah setiap Rancangan Pembangunan
Lima Tahun yang telah lalu. Kerajaan percaya bahawa
penyediaan kemudahan infrastruktur yang cukup pada setiap
masa adalah amat perlu bagi menarik pelaburan. Di bawah
Rancangan Malaysia Keenam, sektor-sektor pengangkutan dan
komunikasi di beri peruntukan yang terbesar, berjumlah
M$10.8 ribu juta ringgit atau bersamaan 19.6 peratus
daripada peruntukan keseluruhannya. Bagi tenaga elektrik
dan telekomunikasi, lebih daripada M$20 ribu juta ringgit
akan dibelanjakan oleh Tenaga Nasional Berhad dan Telekom
Malaysia Berhad bertujuan mempertingkatkan lagi perkhidmatan
masing-masing kepada pengguna mereka.
12. Ini adalah di samping segala kemudahan lain yang
disediakan oleh Kerajaan seperti galakan-galakan cukai yang
menarik serta bekalan tenaga pekerja mahir yang sentiasa
diberi perhatian serius kerana Kerajaan juga sedar tanpa
faktor-faktor ini, segala rancangan, strategi dan dasar yang
digubalkan tidak akan berjaya.
13. Oleh itu, saya amat bangga sekali bahawa syarikat
ternama seperti Philips telah bertapak sedemikian lama di
Malaysia dan telah mengorak langkah untuk memperbesar dan
mempelbagaikan operasinya. Satu ciri yang menarik ialah
usahasamanya dengan syarikat JVC dari Jepun bagi
mengeluarkan 'video cassette recorders' dan 'printed circuit
board assemblies' untuk eksport seratus peratus. Ini adalah
satu perkembangan yang menggalakkan dan seharusnya menjadi
contoh kepada syarikat-syarikat lain kerana ianya merupakan
sebahagian daripada strategi 'globalization' yang pada masa
kini giat dipraktiskan oleh syarikat-syarikat 'multina-
tionals'.
14. Memandangkan pasaran dunia semakin membesar pada dekad
90an, strategi sedemikian adalah tepat dan saya amat gembira
terdapatnya contoh 'perkahwinan korporat' dua syarikat
ternama dalam bidang 'audio/video' di Malaysia. Saya rasa
keputusan untuk menempatkan projek ini di Shah Alam
mencerminkan keyakinan penuh kedua-dua belah pihak kepada
masa hadapan negara ini. Pihak Kerajaan akan terus memberi
sokongan positif kepada projek-projek seperti ini yang
mengeluarkan barang-barang yang bernilai tinggi, mengandungi
input teknologi yang terbaru serta menyumbang kepada
peningkatan teknologi di kalangan pekerja tempatan.
15. Akhir sekali saya mengucapkan tahniah kepada syarikat-
syarikat di bawah Kumpulan Philips di atas sumbangan mereka
kepada pembangunan negara Malaysia selama ini dan saya juga
berharap usaha-usaha mereka akan berjaya dan menyumbang lagi
kepada kemajuan Malaysia.
16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Bangunan
Ibu Pejabat Kumpulan Philips di Malaysia dan perayaan Hari
Ulangtahun Ke-100 Kumpulan Philips.
|