home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ALOR SETAR, KEDAH DARUL AMAN Tarikh/Date : 06/08/91 Tajuk/Title : MAJLIS HARI UCAPAN DAN PENYAMPAIAN HADIAH KOLEJ DAN HADIAH ISKANDAR KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Saya mengucapkan terima kasih kepada Kolej Sultan Abdul Hamid kerana menjemput saya dan isteri ke Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Kolej dan Hadiah Iskandar Kolej ini pagi ini. 2. Saya merasa bangga dan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana sebagai seorang murid tua Kolej Sultan Abdul Hamid dapat bersama-sama dengan guru-guru dan murid-murid di Kolej ini pada pagi ini selepas lebih 15 tahun tidak memasuki compound Kolej. Dengan itu saya amat gembira berpeluang melawat dan mengenang kembali pengalaman saya sebagai penuntut di Kolej ini. Tidak ada sesuatu yang lebih mengingatkan seseorang tentang masa kecil dahulu yang mencampuri nostalgia, kegembiraan dengan kesedihan daripada balik semula ke alma mater. 3. Izinkan saya menyingkap sedikit tentang sekolah dan persekolahan di zaman dahulu. Saya diterima masuk dalam Standard I pada tahun 1932 dan guru kelas ialah Mr. Noor, bapak kepada Tan Sri Dato Murad Noor. Sekolah ini dikenal dengan nama G.E.S, iaitu Government English School, sekolah Inggeris tunggal yang terdapat di negeri Kedah. Saya tidak sedar pada ketika itu tetapi sebenarnya saya adalah antara 30 kanak-kanak yang bernasib baik yang berpeluang mendapat pelajaran menengah. Beribu-ribu kanak-kanak yang sama umur dengan saya tidak berharap dan tidak ada harapan untuk mendapat pelajaran ke peringkat ini. 4. Oleh kerana saya tinggal di Seberang Perak saya naik "langca" dengan abang saya ke sekolah. Tetapi untuk kelas petang saya terpaksa jalan balik kaki ayam. Hanya setelah naik Standard VI barulah bapak saya, selepas tangisan yang berpanjangan membeli basikal cap ayam buatan Jepun bagi saya dan abang saya. Saya hanya sedar kenapa ia enggan membeli basikal untuk kami berdua apabila ceti datang rumah untuk tuntut hutang $50.00 yang dipinjam untuk beli basikal. 5. Guru-guru sekolah SAHC terdiri daripada berbagai-bagai kaum tetapi semua mendapat gelaran Pak dari murid. Di antara mereka ialah Pak Pin, Pak Din, Pak Tong, Pak Mutu, Pak Chye, Pak Zain. Tiap kali saya jumpa Pak Zain di Kuala Lumpur terkenang semula perhubungan yang rapat dahulu dan tunjukajar yang diberi yang begitu mempengaruhi saya. 6. Penuntut sekolah SAHC diberi pelajaran supaya dapat memenuhi jawatan-jawatan daripada kerani sehingga KCS dalam Kerajaan Negeri Kedah. Apabila dapat keputusan peperiksaan Senior Cambridge mereka dipanggil mengadap State Secretary dan diarah untuk jadi kerani atau KCS atau terus belajar pertanian atau menjadi teknikal assistant yang dapat Nombor 1 mungkin pergi ke United Kingdom. 7. Semuanya mudah belaka. Tidak ada apa-apa bantahan. Jikalau dapat jadi kerani dengan gaji $60.00 sebulan, itu sudah mencukupi. 8. Tetapi zaman sudah beredar. Kita sudah merdeka, bukan ditakluk oleh British lagi. Dahulu kita boleh salahkan British jika sesuatu yang tidak baik berlaku kepada negara kita. Sepuluh tahun selepas merdeka kita masih boleh menyalahkan penjajah. Tetapi sekarang kita sudah merdeka 34 tahun. Menyalahkan orang lain tidak akan membawa kita ke mana-mana. Tanggungjawab terhadap maju-mundur negara kita terletak sepenuhnya di bahu kita. Jika kita ingin hidup bahagia, jika kita ingin betul-betul merdeka, jika kita hendak supaya dihormati orang kitalah yang perlu berusaha. 9. Sebenarnya banyak kemajuan yang telah kita capai sejak merdeka, kemajuan yang jauh lebih banyak daripada yang diusahakan oleh penjajah. Tetapi kita belum sampai ke tahap yang take-off point, tahap yang kemajuan mempunyai momentumnya yang tersendiri, yang mana usaha gigih oleh kita sudah tidak perlu lagi. 10. Sebagai penuntut, saya pasti penuntut-penuntut sekalian tidak ketinggalan mengikuti perkembangan-perkembangan semasa di dalam negeri dan luar negeri. Pada bulan Februari 1991 kita telah tentukan matlamt kita, iaitu untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Hasrat Kerajaan menjadikan Malaysia negara maju adalah berlandaskan kepada kemampuan sumber-sumber yang ada sekarang. Di antara sumber yang penting ke arah pencapaian matlamat ini ialah sumber tenaga manusia. Dalam konteks ini, penuntut-penuntut sekalian merupakan sumber tenaga manusia yang boleh membantu negara menjayakan visi 2020 ini. 11. Yang saya ingin tegaskan di sini ialah bahawa penuntut-penuntut sekalian merupakan harapan besar bagi kita semua mencapai cita-cita supaya Malaysia menduduki ditaraf pembangunan yang sudah maju, mengalami proses perindustrian yang pesat dan mempunyai rakyat yang bermoral tinggi, berdisiplin dan produktif. 12. Penuntut-penuntut hari ini akan menjadi orang dewasa pada tahun 2020, dan akan menikmati kemajuan yang akan dicapai pada masa itu. Visi 2020 bukan untuk mereka yang menciptanya pada tahun 1991. Hampir semua mereka akan tidak ada lagi, tidak akan mengecapi hasil rancangan dan usaha yang dimulakan dan terus diusahakan oleh mereka. Visi 2020 adalah untuk anak dan adik yang ada di sekolah sekarang. Anak dan adik yang ada di bangku sekolah sekarang bukan dikehendaki tunggu sehingga pagi 1 Januari 2020 kerana pada hari itu negara akan menjelma menjadi negara maju. Penuntut-penuntut sekarang dikehendaki melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kecekapan dan juga semangat supaya mereka akan dapat memainkan peranan yang berkesan dalam membangunkan negara sedikit demi sedikit sehingga sampai ke tahap yang ditentukan. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 13. Asas-asas ke arah kemajuan yang pesat dan berterusan sudahpun diadakan. Yang pertama kita sudah cipta dan uji sistem pemerintahan yang mampu menstabilkan dan membawa keamanan kepada negara. Kita sudah berjaya mengubah asas ekonomi dari pertanian kepada perindustrian. Kita telah kenalpasti dasar dan sistem yang boleh memajukan negara dengan lebih pesat daripada negara-negara membangun yang lain. Namun kita masih kaji pendekatan kita dan kita sanggup membetulkannya atau mencipta pendekatan yang baru untuk memberi lebih kejayaan kepada kita. Yang diperlukan sekarang ialah generasi yang baru akan teruskan usaha ini. Walau bagaimana baik asas yang dibina, kemajuan tidak akan berterusan jika usaha membina di atas asas ini tidak terus diusahakan dengan gigih. 14. Dalam konteks ini sukalah saya menasihati para penuntut Kolej ini bahawa maruah bangsa banyak bergantung kepada semangat perjuangan dan kerelaan untuk menghadapi cabaran. Bagi umat Islam memang kita dikehendaki percaya dan yakin kepada Qada dan Qadar, tetapi janganlah kita menyalahi takdir jika kita sengaja tidak berusaha dan dengan itu kita lemah dan gagal. 15. Saya ingin mengingatkan penuntut-penuntut bahawa faktor yang paling asas dan utama yang perlu wujud di kalangan penuntut sekalian ialah sikap mahukan pembaharuan, bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan juga untuk masyarakt dan negara. Sikap ini bukan dapat ditanam dalam sekelip mata. Ianya memerlukan perubahan terhadap nilai-nilai lapuk yang telah berakar umbi begitu lama. Yang penting ialah kita perlu menanamkan nilai-nilai yang murni seperti kawalan diri (self discipline) rajin, beramanah dan sentiasa bersedia menempuhi sebarang cabaran. 16. Justeru itu, kejayaan masa depan negara kelak banyak bergantung kepada kemampuan generasi muda yang ada sekarang yang akan memikul tanggungjawab serta kepimpinan negara ini ke arah negara yang bukan sahaja maju daripada segi ekonominya tetapi yang sama penting ialah rakyatnya hidup dengan berlandaskan kepada prinsip-prinsip yang tinggi, mempunyai quality of life yang baik serta mempunyai kebudayaan yang mengikuti tamadun dan nilai-nilai spiritual yang tinggi. Contoh-contoh kejayaan dan kegagalan mudah didapati di mana-mana sahaja. Terpulangkah kepada kita untuk menentukan yang mana harus kita teladani. Hasrat Kerajaan ialah supaya negara kita maju daripada aspek perindustrian seperti juga majunya negara-negara barat dan timur dalam bidang ini. Tetapi dalam mengejar kemajuan ini kita tidak mahu rakyat di negara ini terturut-turut meniru cara hidup di barat yang semakin hari semakin keterlanjuran dan semakin kekurangan tata-susila. 17. Dalam hal ini adalah penting kita tekankan atau beri keutamaan kepada pembangunan kerohanian yang konsisten atau selari dengan pembentukan peribadi yang mulia. Peribadi yang mulia akan menentukan kejayaan dan kebahagiaan hidup kita semua. Harapan saya ialah supaya murid yang akan "interface" ataupun menjadi perantara di antara generasi sekarang dengan generasi-generasi akan datang, akan dapat memainkan peranan masing-masing dalam menempuh hidup masa hadapan yang penuh dengan cabaran dengan lebih berkemampuan. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 18. Negara kita Malaysia pada satu hari harus setanding dan harus mampu bersaing dengan negara-negara maju lain di dunia. Tetapi kita harus mampu mengekalkan ciri-ciri kebudayaan dan adat serta kesopanan orang-orang timur. Cara hidup kita kaya dengan kesenian dan ketertipan dan seharusnyalah kita bangga dengannya kerana ia merupakan khazanah turun-temurun yang menentukan identiti kita. Janganlah kita cepat dan mudah sangat meniru dan menuruti tanpa memeriksa terlebih dahulu baik buruknya cara hidup orang-orang asing kerana ia banyak bertentangan dengan kehidupan masyarakat majmuk negara kita. Kita mestilah pandai memilih yang baik sahaja supaya rakyat Malaysia akan menjadi satu masyarakat yang lebih resilient. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 19. Akhir sekali saya ucapkan terima kasih dan syabas kepada pemenang Hadiah Kolej dan Hadiah Iskandar semoga dengan semangat mengejarkan ilmu itu akan sentiasa berusaha. Saya dengan sukacita merasmikan Majlis Hari Ucapan pada pagi ini. |