home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SHAH ALAM Tarikh/Date : 09/08/91 Tajuk/Title : PEMBUKAAN RASMI KILANG MATSUSHITA AIR-CONDITIONING CORPORATION SDN. BHD., MATSUSHITA COMPRESSOR AND MOTOR SDN. BHD. DANU PACARA MELETAKKAN BATU ASAS MATSUSHITA AIR-CONDITIONING R&D CENTRE Saya mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Matsushita kerana menjemput saya ke majlis hari ini. Nama Matsushita tidak asing lagi di negara ini, malahan di seluruh dunia, sama ada dengan jenama Matsushita, National, Panasonic ataupun Technics. Semua jenama tersebut telah dikaitkan dengan barang-barang yang bermutu lagi inovatif. 2. Kumpulan Syarikat Matsushita merupakan satu lagi "suc- cess story" syarikat asing yang bertapak di Malaysia. Ia adalah antara syarikat yang terawal yang memulakan operasinya di negara ini, iaitu dalam tahun 1967 apabila projek perintisnya, Matsushita Electric Co. (M) Bhd., mengeluarkan barang-barang kegunaan rumah untuk pasaran tempatan. Kini syarikat-syarikat Kumpulan Matsushita yang diluluskan oleh Kerajaan berjumlah 14 kesemuanya. Daripada jumlah ini, lapan buah kilang sedang mengeluarkan berbagai jenis barang elektrik dan elektronik serta komponen- komponen, manakala enam buah lagi dijangka akan beroperasi dalam jangkamasa setahun dua lagi. 3. Kejayaan kumpulan Matsushita ini dapat dilihat daripada hasil jualan lapan buah kilangnya yang beroperasi yang mencapai hampir M$1.5 ribu juta setahun. Angka ini dijangka meningkat kepada M$3.5 ribu juta apabila kesemua 14 kilangnya beroperasi. Dari segi tenaga kerja, ia menyediakan pekerjaan kepada seramai 16,000 pekerja-pekerja. 4. Jelas sekali bahawa syarikat Matsushita telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara ini serta mengharumkan nama Malaysia di pasaran dunia melalui barang- barang keluaran yang diperbuat di kilang-kilangnya di sini. 5. Malaysia kini terletak di tangga kedua selepas negara Jepun sebagai pengeksport penghawa dingin jenis window unit di dunia dengan jumlah eksportnya pada tahun 1990 mencapai 1.3 juta unit. Ini satu prestasi yang mengkagumkan apabila dibandingkan dengan angka 113,000 unit sahaja yang dikeluarkan pada tahun 1985. Saya difahamkan bahawa Syarikat Matsushita telahpun mengatasi angka pengeluaran 5 juta unit pada awal tahun ini. Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan kerana ia membuktikan keupayaan dan kebolehan pekerja Malaysia di dalam bidang pembuatan. Dengan latihan yang cukup, berdisiplin, kesanggupan untuk bekerja kuat dan komitmen, pekerja-pekerja Malaysia boleh dijadikan "tenaga" penting dalam usaha kita menjadi sebuah negara perindustrian maju. 6. Negara kini telah berjaya menukarkan asas ekonominya daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian. Kini sektor pembuatan menyumbang peratusan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Untuk menjamin ekonomi negara akan terus berkembang, Kerajaan akan terus memberi perhatian yang besar kepada perkembangan sektor ini di bawah Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2). Sehubungan dengan ini, Kerajaan akan memperkukuhkan lagi asas sektor pembuatan dan memperbagaikan eksport keluaran sektor ini. Harapan Kerajaan ialah menjelang tahun 2020, sektor pembuatan akan menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 81 peratus kepada jumlah eksport. Ianya juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada seramai 836,000 rakyat Malaysia, bersamaan 36 peratus daripada jumlah peluang pekerjaan baru yang dijangka disediakan dalam jangkamasa 10 tahun akan datang. 7. Dalam usaha kita memesatkan lagi proses perindustrian, adalah penting semua pihak yang terlibat, iaitu sektor awam, sektor swasta, institusi pelajaran tinggi dan para pekerja, memainkan peranan masing-masing dalam mempertingkatkan lagi peranan sains dan teknologi di dalam konteks pembangunan sosio-ekonomi Malaysia pada keseluruhannya. Penggunaan sains dan teknologi secara meluas akan melahirkan kaedah- kaedah yang efektif untuk menentukan kewujudan ekonomi yang lebih kompetitif dan mantap. Matlamat dasar sains dan teknologi kita ialah memastikan pembangunan saintifik dan teknologi yang berterusan agar dapat dijadikan asas kepada pengwujudan sebuah masyarakat Malaysia yang maju daripada segi teknologi menjelang tahun 2020. Secara langsung ini akan melahirkan sebuah negara yang inovatif serta berkebolehan dalam kedua-dua bidang tersebut. 8. Hingga kini aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dijalankan kebanyakannya oleh sektor awam, iaitu melalui institusi-institusi pengajian tinggi dan institusi-institusi penyelidikan Kerajaan seperti RRIM, FRIM, SIRIM, PORIM, MARDI dan sebagainya. Kegiatan R & D yang dijalankan oleh sektor swasta adalah masih kecil. Aktiviti-aktiviti R&D pada lazimnya tertumpu kepada sektor pertanian. Ini berpunca daripada asas sektor pembuatan sendiri yang sempit serta kekurangan kakitangan yang mempunyai latarbelakang akademik dan latihan yang khusus dalam bidang R&D. Pada tahun 1989, tenaga kerja dalam bidang R&D di negara ini berjumlah 13,605 orang. Dari jumlah ini hanya 1,835 orang atau 13.48 peratus adalah daripada sektor swasta. Justeru itu, sektor swasta perlu memberi perhatian yang lebih besar kepada bidang R&D. 9. Kerajaan memang menggalakkan sektor swasta meningkatkan penglibatan mereka dalam aktiviti R&D. Dalam usaha kita menjadi sebuah negara perindustrian yang maju, usaha-usaha R&D amat penting. Kejayaan banyak syarikat dan negara di dalam berbagai bidang industri ialah kerana keutamaan yang diberikan kepada R&D. Walaupun R&D memerlukan kita mengeluarkan perbelanjaan yang besar, pada jangka panjang ianya memberi faedah kepada kita. R&D bukan sahaja dapat meninggikan mutu keluaran barang-barang Malaysia, tetapi juga dapat meningkatkan "competitive advantage" negara di pasaran antarabangsa. Justeru itu, kita perlu berpandangan jauh ke hadapan dalam usaha-usaha R&D. Bagi pihak Kerajaan, ia akan terus menyediakan infrastruktur asas dan "environ- ment" yang sesuai bagi pembangunan R&D. 10. Research atau penyelidikan memerlukan sikap yang istimewa daripada mereka yang terlibat dengan kegiatan ini. Seseorang tidak boleh menjadi penyelidik jika ianya tidak sanggup menyoal segala-gala yang ia tahu atau telah pelajari. Pendekatan dan ciptaan yang baru tidak boleh dilakukan jika penyelidik percaya bahawa hanya pendekatan dan cara yang ada sahaja yang boleh digunakan. 11. Penyelidik mesti sanggup menukar secara tidak orthodox, iaitu secara yang tidak diasaskan kepada pengetahuan yang sedia ada. Dan pemikiran ini mesti disusuli dengan percubaan secara praktikal, kerana tidak ada teori yang begitu tidak cacat atau perfect sehingga tidak akan ada apa- apa masalah apabila dilaksanakan. 12. Jaya atau tidaknya sesuatu program research bergantung kepada ketekunan penyelidik yang sanggup meneruskan penyelidikan walaupun berkali-kali ujiannya gagal. Setelah berjaya sekalipun, usaha untuk memperbaiki prestasi perlu diteruskan selama-lamanya. Segala alat yang dikatakan moden atau state of the art hari ini akan menjadi lapuk setelah masa berlalu. Sebab itu R&D atau Penyelikan dan Pembangunan harus menjadi kegiatan yang penting dan kekal dalam semua perusahaan. 13. Langkah syarikat Matsushita mendirikan Pusat R&D ini menunjukkan keyakinannya kepada penyelidikan tempatan dengan mengguna kakitangan dari negara ini. Ini adalah satu langkah positif oleh sebuah syarikat asing untuk membolehkan Malaysia mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi. Dengan tertubuhnya nanti Pusat R&D ini, Malaysia mungkin menjadi pengeluar dan pengeksport penghawa dingin yang terulung di dunia. Adalah juga diharapkan syarikat-syarikat swasta lain akan mencontohi Syarikat Matsushita untuk mendirikan Pusat R&D mereka di dalam bidang-bidang lain. 14. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Matsushita Air-Conditioning Sdn. Bhd., Matsushita Compressor and Motor Sdn. Bhd. dan Matsushita Air- Conditioning R&D Centre. |