home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : INSTITUT TADBIRAN AWAM NEGARA (INTAN) JALAN ELMU, PJ Tarikh/Date : 12/08/91 Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN MESYUARAT KETUA -KETUA PERWAKILAN SERTA PELANCARAN INSTITUT DIPLOMASI DAN PERHUBUNGAN LUAR NEGERI Hari ini kita akan melancarkan satu institut baru bagi negara kita, iaitu Institut Diplomasi dan Perhubungan Luar Negeri, mengambil sempena mesyuarat Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia dari seluruh dunia. 2. Penubuhan institut ini dan mesyuarat ketua-ketua perwakilan luar negeri ini manandakan tahap kedewasaan peranan diplomasi dan perkhidmatan diplomatik dalam hal ehwal negara. 3. Perkhidmatan diplomatik sebagai agensi untuk menjayakan matlamat dan dasar negara semakin lama semakin penting. Ini kerana di zaman moden ini inter-dependence atau pergantungan antara negara-negara tidak dapat dielakkan. Tidak mungkin mana-mana negara mengasingkan diri daripada negara-negara lain. Bahkan kumpulan-kumpulan negara-negara juga tidak boleh mengasingkan diri dari negara atau kumpulan lain. Zaman 'isolationism' atau 'pemulauan diri' sudah berakhir. Setiap negara mesti mengadakan perhubungan sekurang- kurangnya dengan jirannya, jika pun tidak dengan negara yang lebih jauh. Dan kuasa besar di dunia tidak akan membenarkan mana-mana negara mengasingkan diri. Sama ada mahu atau tidak mahu, setiap negara terpaksa menerima persahabatan atau permusuhan kuasa dunia. 4. Oleh kerana semua negara mesti ada perhubungan di antara satu sama lain, maka perwakilan-perwakilan luar dan diplomasi mestilah diberi peranan penting. Supaya perwakilan dapat bertugas dengan berkesan untuk menjayakan hal ehwal luar negara dan mempertahankan maruah negara, maka kecekapan serta pengetahuan yang mendalam tentang cara-cara diplomasi dan dasar serta matlamat negara perlu ada pada mereka. 5. Institut Diplomasi dan Perhubungan Luar Negeri ini ditubuhkan dengan tujuan memberi latihan asas kepada bakal diplomat kita dan juga untuk latihan susulan kepada yang bertugas. Dahulu kita tidak ada latihan formal dalam bidang diplomasi selain daripada pengalaman yang diperolehi semasa bertugas sebagai pegawai rendah di kedutaan-kedutaan kita di luar negeri. 6. Oleh kerana pengalaman semata-mata tidak sama atau tidak mencukupi dan tidak boleh menghasilkan pencapaian yang sama, maka adalah lebih baik jika kursus yang standard diadakan meliputi semua bidang diplomasi, daripada budaya diplomasi sehinggalah kepada pendekatan, protokol, bahasa, cara negotiations dan lain-lain lagi. Sikap dan sifat tertentu mesti dipupuk supaya personaliti yang sesuai dengan diplomasi dapat dibentuk di kalangan diplomat Malaysia. 7. Untuk mewakili negara dan menjayakan hubungan negara dengan negara lain, perwakilan mestilah memahami dengan mendalam dasar-dasar negara. Tanpa pengetahuan tentang dasar yang tersurat dan tersirat, perwakilan tidak mungkin dapat menjalankan tugas dengan berkesan. 8. Harapan Kerajaan ialah dengan adanya kursus secara tersusun dan teratur, negara akan melahirkan diplomat yang lebih berkemampuan di masa-masa akan datang. 9. Bagi ketua-ketua perwakilan pula, adalah penting mereka meneliti dari semasa ke semasa perubahan-perubahan dalam prioriti dasar-dasar negara. Mesyuarat ketua-ketua perwakilan seperti yang diadakan hari ini tidak mudah diulangi. Sebaliknya tanpa pembaharuan pengetahuan tentang dasar-dasar semasa, perwakilan kita di luar negeri mungkin tidak dapat mencapai hasil yang maksima. 10. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan tumpuan kita ialah untuk mempertahankan kemerdekaan dan menyelamatkan wilayah- wilayah kita daripada ancaman komunis dan pencerobohan oleh negara lain. Justeru itu, kita lebih mengutamakan perhubungan politik melalui persahabatan dengan negara- negara blok anti-komunis. 11. Pakatan pertahanan dan perhubungan Komanwel menjadi penting. Kita menjadi ahli kumpulan Barat dan mendokong Barat dalam perang dingin Timur-Barat. 12. Semasa konfrontasi perhubungan politik juga menjadi penting. Kita ingin mendapat sokongan dalam usaha kita memelihara wilayah kita. Gerakan pengganas komunis di dalam negeri juga mempengaruhi perhubungan luar negeri kita. 13. Kita juga beransur-ansur sedar bahawa kita boleh mencapai matlamat pertahanan bukan semata-mata dengan menjadi ahli pakatan tentera atau menyertai blok politik yang secucuk dengan kita, tetapi juga melalui diplomasi yang berkecuali. Dengan itu kita adakan hubungan dengan negara- negara berkecuali dan juga negara-negara komunis yang tidak terlibat secara langsung dengan keganasan komunis di Malaysia. Kita menjadi ahli Pergerakan Negara-negara Berkecuali atau NAM. 14. NAM mempunyai peranan penting sebagai pengimbang antara keterlaluan Barat dengan Timur. Sementara kita berusaha melemahkan kegiatan pengganas komunis dalam negeri, kita juga telah menjalin perhubungan dengan negara-negara komunis yang terlibat. Melalui diplomasi kita cuba menghentikan sokongan mereka kepada Parti Komunis Malaya, baik daripada segi material mahupun daripada segi moral. 15. Diplomasi juga memainkan peranan yang penting untuk mengelakkan peperangan antara kita dengan jiran-jiran kita. Maphilindo dan ASA telah dianjurkan untuk mengatasi masalah ketegangan perhubungan dengan jiran. Akhirnya, ASEAN dibentuk apabila konfrontasi tamat tanpa peperangan terbuka. 16. Demikian juga usaha telah diadakan melalui diplomasi untuk merapatkan perhubungan dengan negara-negara Islam. Sebuah Komanwel Islam telah disyorkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pertama, dan hasilnya ialah pembentukan Organisation of Islamic Con- ference (OIC) ketika itu dengan Almarhum Tunku menjadi Setiausaha Agong, Sekretariat Islam yang pertama. 17. Jelas sekali bahawa diplomasi memainkan peranan yang penting dalam bidang pertahanan dan politik. Tetapi setelah masalah politik dan ancaman terhadap kemerdekaan Malaysia menjadi reda, negara menumpukan perhatian kepada soal pembangunan dan peningkatan taraf hidup rakyat. Kemerdekaan tidak akan bermakna jika kehidupan rakyat menjadi lebih buruk daripada sebelum merdeka. 18. Dasar-dasar dan rancangan-rancangan ekonomi digubal untuk tujuan pembangunan dan juga untuk membebaskan negara daripada bergantung kepada sebarang bantuan dari negara asing. Hubungan kita dengan negara-negara lain hendaklah berasaskan kepada hubungan antara 'equals' iaitu negara yang setaraf, sekurang-kurangnya dari segi kedaulatan. 19. Dengan perubahan haluan ini, perwakilan Malaysia di luar negeri dikehendaki menumpukan perhatian kepada soal- soal ekonomi, terutamanya soal dagangan. Oleh kerana pasaran dalam negeri terlalu kecil, pertumbuhan ekonomi yang pesat bergantung kepada dagangan luar negeri. Malaysia bersama-sama negara lain perlu menentukan bahawa dagangan antarabangsa adalah bebas dan adil. 20. Tugas menjaga kepentingan ekonomi negara dalam perhubungan antarabangsa jauh lebih rumit daripada hanya mencari sahabat politik. Dalam arena dagangan antarabangsa, kawan dan lawan tidak mudah diasingkan. Kadang-kadang kawan politik boleh menjadi musuh ketat ekonomi. 21. Di samping itu perwakilan-perwakilan kita mestilah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang undang-undang dagangan antarabangsa, perjanjian berbagai-hala, perjanjian dua-hala dan dasar-dasar kumpulan-kumpulan negara tertentu. Demikan juga dasar-dasar politik dan ekonomi dalam negara dan luar negara mesti difahami dengan mendalam oleh perwakilan-perwakilan Malaysia. 22. Semakin lama semakin kompleks rejim dagangan dunia. Bukan sahaja amalan negara-negara rakan dagang dan undang- undang mereka perlu diketahui oleh perwakilan kita tetapi sikap rasmi dan bukan rasmi mereka juga perlu difahami. Lindungan dagangan melalui sekatan non-tarif harus diketahui sehingga dapat berhujah tentangnya dalam rundingan dua-hala dan berbagai-hala. 23. Perwakilan juga harus mengenali dan mempunyai maklumat mengenai pasaran untuk barang-barang Malaysia di negara di mana mereka ditauliahkan. Mereka dikehendaki berusaha meningkatkan nilai eksport Malaysia dan mengenalpasti barang-barang yang boleh diimport. 24. Perkembangan baru yang kita hadapi dewasa ini ialah peranan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan atau Non- Govermental Organisations (NGO) dalam mempertahankan kepentingan ekonomi negara-negara maju. Sekatan yang berlandaskan environment, human rights, demokrasi dan lain- lain perkara yang dahulunya tidak dikaitkan dengan dagangan, sekarang dikaitkan. Dalam pada itu, setelah negara Eropah dan Amerika hilang kuasa politik mereka kerana berakhirnya empayar mereka, mereka cuba menggunakan kuasa ekonomi mereka untuk mengembalikan semula penjajahan kolonial. 25. Kegiatan Kumpulan Hijau atau Greens yang muncul sejak dekad lapan puluhan, sekarang berjaya menggunakan berbagai- bagai taktik bukan semata-mata untuk menjaga alam sekitar tetapi bertujuan kolonial. Mereka cuba sabotaj prestasi negara-negara membangun yang mencabar ekonomi mereka dengan berbagai-bagai cara, termasuk menghasut dan melanggar undang-undang negara sasaran. Mereka juga berjaya memperalatkan kumpulan-kumpulan dalam negeri untuk menyekat pertumbuhan ekonomi kita terutamanya export barang-barang yang boleh bersaing dengan barang-barang negara mereka. 26. Dalam arena politik antarabangsa, perkembangan yang menakjubkan ialah keruntuhan ideologi komunis di Eropah Timur dan Soviet Union. Daripada segi politik kita mengalu-alukan perkembangan ini. Tetapi kita belum dapat meramalkan dengan tepat kesannya ke atas ekonomi. Apakah penerimaan sistem pasaran bebas oleh negara- negara blok Komunis ini tidak akan menjejaskan aliran modal dan eksport kita? Perkara ini perlu diberi perhatian oleh perwakilan kita supaya dapat kita menyusun langkah untuk menghadapi sebarang kemungkinan. 27. Dalam usaha kita untuk membangunkan negara melalui dagangan antarabangsa, kita merancang dan berusaha menjalinkan hubungan yang lebih berkesan dengan negara- negara Selatan, termasuk negara-negara Amerika Selatan. Ini adalah satu perkembangan baru dan perwakilan kita akan diperluaskan supaya hubungan politik dan dagangan akan dapat ditingkatkan dengan negara-negara Selatan. 28. Walaupun kita sekarang mengutamakan soal ekonomi, hakikatnya ialah pergolakan politik antarabangsa tetap mempunyai kesan terhadap politik dan ekonomi negara. Ini dilihat semasa Perang Teluk. Sebagai anggota Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu, kita terpaksa membelakangkan kepentingan ekonomi supaya dapat kita memberi keadilan kepada mereka yang terlibat dalam peperangan yang sia-sia itu. 29. Untuk menentukan keadilan dicapai, kita memilih untuk tidak memihak kepada sesiapa. Akibatnya kedua-dua belah pihak memandang serong kepada kita. Namun begitu, ini tidak akan mengecewa atau melumpuhkan pendirian tegas kita terhadap keadilan. 30. Soal Palestin dan Afrika Selatan juga tidak harus dipandang daripada segi ekonomi tetapi mestilah dilihat daripada segi keadilan. Dan pendirian Malaysia untuk mencapai keadilan kepada rakyat Palestin dan rakyat kulit hitam di Afrika Selatan akan diteruskan walaupun kita akan mengalami kerugian kerana 'lost opportunities'. 31. Jalinan hubungan yang rapat dengan jiran adalah satu daripada prinsip yang utama bagi kita. ASEAN telah membuktikan kebaikan, hasil daripada persahabatan yang baik antara negara-negara jiran. Sementara organisasi formal seperti ASEAN tidak boleh diperluaskan dengan sewenang- wenangnya, konsep berjiran baik atau 'good neighbour' secara tidak formal masih boleh diusahakan. Dengan itu kita telah mengesyorkan Kumpulan Negara-negara Asia Timur atau EAEG. Kita percaya jika kita boleh menolong jiran-jiran kita di Asia Timur mencapai kemajuan, kita akan memperolehi manfaat daripadanya. 32. Idea yang baik dan "harmless" ini rupa-rupanya tidak disukai oleh kuasa-kuasa tertentu kerana kepentingan geo- politik mereka. Dengan itu kita menghadapi kesulitan untuk menjayakan EAEG yang bertujuan mempertahankan sistem dagangan bebas antarabangsa. 33. Kita tidak harus kecewa kerana tentangan yang tidak berasas ini. Sebaliknya perwakilan kita di seluruh dunia hendaklah mempertingkatkan lagi usaha menerangkan tujuan sebenar EAEG dan mendapat sokongan antarabangsa untuknya. 34. Daripada ringkasan sejarah perhubungan kita dengan negara-negara asing di dunia sejak kita merdeka, adalah jelas bahawa peranan yang perlu dimainkan oleh diplomat Malaysia sudah menjadi amat kompleks di samping menjadi lebih penting. Pengetahuan yang mendalam tentang cara-cara diplomasi dan penggunaannya untuk menjayakan dasar-dasar negara serta hal ehwal luar tidak boleh dipandang ringan. Walau bagaimana cekap sekalipun pegawai-pegawai yang mewakili Malaysia di negara asing, pengetahuan mereka masih perlu dicanai dan dikemaskini sepanjang masa. 35. Di samping itu diplomasi tertutup tidak mungkin lagi diamalkan. Amalan mengadakan perjanjian secara rahsia tidak lagi diterima oleh masyarakat dunia. Ini menambahkan lagi masalah perhubungan antara negara-negara dan tugas perwakilan luar. Dalam keadaan terbuka ini, kecekapan para diplomat mesti ditingkatkan lagi. Segala pendekatan yang sesuai mestilah diketahui oleh kita dan digunakan secara bijak. Malaysia sebagai sebuah negara kecil yang masih membangun, perlu memahami menggunakan diplomasi dengan lebih berkesan daripada kuasa-kuasa besar. 36. Dengan tertubuhnya Institut Diplomasi dan Perhubungan Luar ini, kita harap dapat melatih bakal-bakal diplomat kita dengan cara yang tersusun dan berkesan. Pengalaman bekas- bekas duta kita harus digunakan untuk memandu pegawai- pegawai baru kita supaya mereka tidak hanya bergantung kepada pendedahan kepada pengalaman. Perkongsian pengetahuan yang telah diperolehi oleh mereka yang telah berkhidmat dahulu akan mengurangkan kos pelajaran melalui 'trial and error' yang merupakan cara lama kita melatih dip- lomat kita. 37. Bukan sahaja kerja yang harus dilaksanakan oleh diplo- mat kita perlu diperkenalkan, tetapi cara membawa diri semasa di luar negeri dan di majlis-majlis juga harus dijadikan sebahagian daripada kursus di institut ini. Ini adalah kerana dalam diplomasi, personaliti diplomat memainkan peranan yang penting dalam menjayakan sesuatu urusan. 38. Saya harap ketua-ketua perwakilan di luar negeri akan mendapat manfaat daripada perjumpaan ini. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia dan melancarkan Institut Diplomasi dan Perhubungan Luar Negeri. |