home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT LATIHAN MENGAJAR DAN KEMAHIRAN LANJUTAN, SEKSYEN 19,SA Tarikh/Date : 12/08/91 Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH TANGAN EMAS PERTANDINGAN JOHAN KEMAHIRAN KEBANGSAAN 1991 Saya merasa gembira dan bersyukur di atas sambutan dan minat yang menggalakkan yang ditunjukkan terhadap Pertandingan Johan Kemahiran Kebangsaan pada tahun ini. 2. Saya yakin pertandingan seperti ini akan meningkatkan lagi tahap kemahiran pekerja-pekerja kita dalam semua bidang ketukangan. Perlumbaan yang diadakan akan mencanai kecekapan dalam semua bidang kerja dan peningkatan kecekapan ini akan memudahkan proses pembangunan kemahiran ketukangan yang diperlukan untuk pembangunan negara. 3. Seperti yang diketahui, Malaysia kini sedang mengorak langkah ke arah menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Untuk mencapai matlamat ini, proses perindustrian negara akan dipesatkan lagi. Ini bermakna negara akan memerlukan lebih ramai lagi tenaga pekerja yang terlatih dan mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam pelbagai bidang. 4. Bagi memenuhi permintaan industri yang bertambah bagi tenaga kerja mahir, pembangunan sumber tenaga manusia perlu dirancang dengan lebih teratur dan berkesan. Perhatian yang lebih berat perlu diberikan terhadap melengkapkan belia- belia kita dengan berbagai kemahiran yang lebih tinggi. Langkah-langkah penyesuaian wajar dilaksanakan supaya pengeluaran tenaga kerja menjadi selaras dengan perkembangan sains dan teknologi masa kini. Penggunaan teknologi yang semakin canggih dalam sektor perindustrian memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang setara dengan penggunaan teknologi moden. Di samping itu, kemahiran, sama ada kemahiran pengurusan atau kemahiran ketukangan dan teknikal, hendaklah juga berorientasikan kualiti. Kesungguhan untuk mencapai tahap kecemerlangan merupakan ciri utama dalam pengurusan sumber manusia. 5. Pelatih-pelatih dan pekerja mahir harus menyedari tentang tanggungjawab mereka dalam pencapaian matlamat perindustrian negara. Negara kita memerlukan lebih ramai tenaga mahir terutamanya di peringkat kemahiran tinggi di masa hadapan. Kemahiran, bakat, dayacipta yang ada pada pekerja mahir perlu dimajukan lagi sama ada melalui pendidikan atau latihan-latihan perindustrian yang lebih tinggi. 6. Seperkara yang patut diingati oleh semua pekerja ialah kecekapan dalam semua jenis kerja pertukangan datangnya dari mengulangi kerja itu berkali-kali. Jika pada mulanya pencapaian adalah rendah, ini tidak harus mengecewakan. Dengan ketekunan mengulang dan mengulang berkali-kali akhirnya kecekapan yang tinggi akan diperolehi. Justeru itu, kita tidak patut takut untuk memasuki sesuatu bidang. Sesiapa sahaja boleh mencapai kecemerlangan. 7. Kemahiran peringkat tinggi ini menjadi bertambah pent- ing dalam konteks kemasukan pelaburan asing ke dalam negara kita. Kekurangan tenaga mahir boleh menjejaskan minat pelabur asing untuk melabur dalam negara. Oleh itu, rakyat, khususnya belia-belia, patut melengkapkan diri dengan berbagai kemahiran memandangkan mereka yang berkemahiran akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapat pekerjaan dan pendapatan yang baik. Namun demikian, untuk mencapai matlamat sebuah negara perindustrian yang maju, kemahiran dan pengetahuan sains dan teknologi sahaja tidak mencukupi. Usaha-usaha menerapkan nilai-nilai perindustrian kepada pekerja juga perlu dilakukan. Justeru itu, sikap kerja yang betul dan nilai-nilai positif seperti ikhlas, berdisplin, keutamaan bagi kumpulan, setia kepada syarikat, tekun, dedikasi dan gigih bekerja perlu disemai dan ditanam di dalam hati para perkerja. Kejayaan jangka panjang untuk kumpulan, syarikat dan masyarakat mestilah dianggap lebih baik daripada kepentingan diri dalam jangkamasa pendek. Kesemua ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan mutu kerja, tetapi juga membolehkan kita melahirkan sebuah ekonomi yang dapat bersaing. 8. Kerajaan adalah serius dalam usaha-usaha pembangunan tenaga manusia termasuk kemahiran teknikal. Di bawah Rancangan Malaysia Keenam, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan akan menaikkan taraf beberapa buah sekolah vokasional ke tahap politeknik. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan bagi menambah bilangan tenaga mahir dalam negara ini. Kerajaan telah meluluskan sebanyak M$8,501 juta di bawah Rancangan Malaysia Keenam bagi program pendidikan dan latihan. 9. Walau bagaimanapun tanggungjawab bagi melaksanakan latihan-latihan teknikal merupakan sesuatu yang berat dan tidak mampu dipikul oleh Kerajaan semata-mata. Sektor swasta diharapkan dapat sama-sama berganding bahu dengan Kerajaan untuk memikul tanggungjawab ini. Kerjasama sektor swasta bukan sahaja dapat membantu dalam peningkatan kualiti kemahiran, malah dapat memastikan jenis kemahiran yang ditumpukan adalah bersesuaian dengan keperluan industri. Keseimbangan di antara permintaan dan pengeluaran tenaga manusia dapat mengurangkan "pembaziran" akibat "miss-match" dalam bidang latihan. Ini akan mempertingkatkan lagi kecekapan institusi-institusi latihan perindustrian dalam negara kita. Manfaat daripada "pelaburan" sektor swasta dalam latihan teknikal ini, akhirnya akan dapat dinikmati oleh sektor swasta itu sendiri melalui bekalan tenaga mahir yang mencukupi, dan yang sesuai dengan keperluan sektor tersebut. 10. Usaha-usaha kita untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separuh mahir mungkin akan lebih berjaya jika kita dapat mengubah sikap dan tanggapan masyarakat ke atas pekerjaan kolar biru. Ibu bapa dan belia-belia khususnya, perlu menyedari tentang sumbangan besar yang boleh dibuat oleh pekerja-pekerja kolar biru kepada pembangunan ekonomi negara. Pencapaian matlamat untuk menjadi sebuah negara perindustrian bergantung besar kepada kejayaan kita mewujudkan kumpulan pekerja mahir yang mencukupi di dalam berbagai bidang. Oleh yang demikian, tanggapan negatif ke atas pekerjaan kolar biru wajarlah dihakis di kalangan kita semua. Tidak ada cara yang lebih berkesan untuk menghakis tanggapan ini daripada memberi upahan yang lebih baik kepada pekerja kolar biru daripada pekerja kolar putih. Hanya pengurusan sahaja yang harus diberi penilaian yang lebih tinggi daripada kolar biru. Jika penghargaan ini dibuktikan maka bekalan pekerja kolar biru akan bertambah dan kemahiran mereka juga akan meningkat. 11. Cabaran-cabaran yang akan kita hadapi dalam tahun-tahun sembilan puluhan akan menjadi lebih hebat. Cabaran ini datangnya dari dalam negeri dan juga dari luar negeri. Di dalam negeri, ianya berkaitan dengan perubahan struktur industri itu sendiri, serta kekurangan tenaga mahir. Di luar negeri pula kita terpaksa bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Kita tidak boleh lagi mengharapkan kelebihan daya saing kita berdasarkan kadar upah yang rendah. Ini adalah kerana bertambahnya penggunaan teknologi atau jentera bagi menggantikan operasi yang melibatkan penggunaan buruh yang ramai. Dengan itu tenaga-tenaga mahir, khususnya kemahiran teknikal yang tinggi, akan memainkan peranan penting dalam menentukan kelebihan daya saing di masa-masa akan datang. Dengan adanya tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dan kecekapan yang tinggi maka produktiviti kita akan meningkat dan kita akan terus mempunyai dayasaing yang tinggi. 12. Usaha-usaha peningkatan kemahiran khususnya kemahiran teknikal harus dijalankan secara berterusan. Tema "Tingkatkan Kemahiran Anda' yang dipilih bagi Pertandingan Johan Kemahiran tahun ini adalah bertepatan sekali. Adalah diharapkan peserta-peserta pertandingan akan menjadikan pertandingan ini sebagai tempat untuk menguji kemahiran dan dayacipta mereka. Bagi saudara-saudari yang berjaya, syabas dan tahniah saya ucapkan. Bagi mereka yang gagal, jadikanlah pengalaman dan pengajaran pertandingan ini sebagai asas untuk meraih kejayaan di masa-masa akan datang. 13. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyeru majikan-majikan di sektor swasta supaya tampil ke hadapan menyokong dan menaja pekerja-pekerja mereka menyertai pertandingan seperti ini supaya pertandingan ini menjadi lebih kompetitif dan berkesan. Pertandingan seperti ini juga boleh dijadikan tempat untuk menguji kebolehan dan kemampuan para pekerja kita yang mahir. 14. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya untuk merasmikan Pertandingan ini. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan majlis Penyampaian Anugerah Tangan Emas Pertandingan Johan Kemahiran Kebangsaan 1991. |