Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	IBU PEJABAT, JABATAN PENDAFTARAN 
			NEGARA, PETALING JAYA 
Tarikh/Date 	: 	13/08/91 
Tajuk/Title  	: 	PELANCARAN KAD PENGENALAN 
			BERMUTU TINGGI 



 
    Bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah  Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama di majlis hari
ini.   Saya juga mengucapkan  terima  kasih  kepada  Jabatan
Pendaftaran  Negara  kerana memberi penghormatan kepada saya
untuk melancarkan Kad Pengenalan Baru  yang  bermutu  tinggi
ini.
2.   Pelancaran  kad pengenalan baru ini merupakan satu lagi
detik penting dalam sejarah negara.  Oleh kerana bentuk  kad
pengenalan plastik sekarang ini telah berusia lebih daripada
30   tahun,   langkah  mengemaskini  sistem  kad  pengenalan
sekarang  melalui  Kad  Pengenalan  Bermutu  Tinggi,  adalah
wajar.    Kad  pengenalan  diperkenalkan  pada mulanya untuk
membanteras ancaman komunis.  Walaupun Parti Komunis  Malaya
telah  meletakkan  senjata, kad pengenalan wajib dikekalkan.
Ini perlu dari sudut iktisad, sosial dan pentadbiran.
3.   Sistem Kad Pengenalan baru ini adalah lebih canggih dan
melibatkan penggunaan komputer.  Sebagai mengganti cara man-
ual  yang  mempunyai  serba  kelemahan,  rangkaian  komputer
digunakan  untuk meningkat kecekapan dan keberkesanan proses
mengumpul data penduduk negara ini.
4.   Kad Pengenalan baru ini merupakan fasa  pertama  projek
pengkomputeran Jabatan Pendaftaran Negara.  Fasa kedua, yang
akan  dimulakan  pada  tahun  hadapan, merupakan pengwujudan
sistem  pengumpulan  data  penduduk  negara  dan   bertujuan
membina  "data  base" yang akan membolehkan Kerajaan membuat
perancangan dan mengurus masalah negara  dan  rakyat  dengan
lebih  tepat  dan berkesan.  Melalui penggunaan komputer dan
mesin-mesin  pengeluaran  yang  moden,  kita   yakin   dapat
membaiki   kelemahan-kelemahan   sistem  lama  dan  memenuhi
keperluan dan cabaran-cabaran semasa dan masa hadapan.
5.   Walaupun   projek   Kad   Pengenalan   ini   melibatkan
perbelanjaan  yang besar, iaitu $64 juta, Kerajaan mendapati
faedahnya amat luas.  Teknologi yang digunakan  adalah  yang
termoden.    Kad  Pengenalan  baru  ini  mempunyai ciri-ciri
keselamatan yang bermutu tinggi.
6.   Sehaluan dengan projek Kad Pengenalan ini, satu  sistem
pengumpulan dan pengemaskinian yang lengkap dengan data-data
penduduk  negara  akan  juga  dibentuk.   Melalui sistem ini
maklumat-maklumat penting individu akan dapat  disimpan  dan
dikumpulkan  di dalam komputer, dengan itu mengwujudkan satu
Pengkalan  Data  (Data  Base)   penduduk   yang   kemaskini.
Pengkalan  Data  ini juga akan dapat dimanfaatkan oleh semua
agensi Kerajaan yang  berkaitan.    Sistem  ini  akan  dapat
dijadikan  asas kepada pembinaan daftar penduduk negara yang
amat penting dalam mengendalikan pentadbiran awam.    Daftar
tersebut  akan  berguna  kepada  semua  agensi Kerajaan bagi
maksud perancangan operasi atau  pembangunan  masing-masing.
Ianya juga akan menjadi sebagai pusat rujukan informasi bagi
mendapatkan maklumat untuk mengetahui kedudukan penduduk dan
petaburan mereka.
7.   Oleh   kerana   Malaysia  sedang  pesat  membangun  dan
peluang-peluang pekerjaan dan  perniagaan  bertambah  dengan
pesatnya, maka ramai warganegara asing yang berminat bekerja
di  Malaysia.   Penghijrahan dari satu negara ke satu negara
lain sudah berkembang sehingga menjadi masalah besar  kepada
banyak   negara   yang  lebih  maju  daripada  negara  jiran
terutamanya.   Masalah ini  perlu  dibendung  jika  hak  dan
kepentingan warganegara kita hendak dipelihara.
8.   Cara yang terbaik untuk menjaga kepentingan warganegara
kita  ialah dengan mendaftarkan mereka dan mengadakan sistem
kad  pengenalan.  Dengan  itu  kita  dapat  pastikan   siapa
warganegara dan siapa pendatang haram.
9.   Ramai  rakyat  asing berminat untuk mendapat kerakyatan
Malaysia.  Ini adalah kerana sebenarnya menjadi  warganegara
Malaysia  dianggap sebagai satu keistimewaan, satu privilege
yang besar  yang  memberi  banyak  manfaat  kepada  pemegang
kerakyatan   itu.    Sekaligus  ini  bermakna  pemegang  kad
pengenalan Malaysia adalah orang yang istimewa,  dan  privi-
leged.      Justeru  itu  pemegang-pemegang  kad  pengenalan
mestilah menjaga kad pengenalan mereka dengan  baik,  kerana
ia adalah harta yang tinggi nilainya dan ramai yang berminat
untuk mendapatkannya dengan apa cara sekalipun.
10.  Demikian  juga kad pengenalan mestilah selamat daripada
ditiru atau dipalsukan.  Kad yang baru ini mempunyai  banyak
ciri-ciri  keselamatan  atau  safety features untuk mengelak
daripada dipalsukan.  Janganlah kerana soal wang yang  lebih
sedikit   dan   masa  yang  diperlukan  untuk  mendapat  kad
pengenalan baru, yang  begitu  diminati  oleh  bukan  rakyat
Malaysia, dijadikan masalah.
11.  Kad   pengenalan   memudahkan   pengenalan  rakyat  dan
warganegara.    Oleh  itu  ia  boleh  menentukan   seseorang
warganegara  mendapat  haknya,  umpamanya hak mengundi dalam
menentukan  politik  negara,  hak  mendapat  pasport   untuk
keluar-masuk  negeri,  hak mendapatkan bantuan Kerajaan, hak
menggunakan  kemudahan  seperti  persekolahan  dan   khidmat
kesihatan  dan  banyak lagi.   Tetapi hak ini tidak percuma.
Tidak ada apa-apa  yang  percuma,  baik  di  dunia  atau  di
akhirat.    Hak kerakyatan mestilah dibayar dengan kesetiaan
kepada negara dan bertanggungjawab terhadapnya.
12.  Ada orang yang begitu taksub dengan  nilai-nilai  Barat
sehingga   mereka  memikirkan  kerakyatan  tidak  memerlukan
kesetiaan.  Mereka ini sanggup diperalatkan oleh orang asing
yang berniat buruk terhadap  kita.    Mereka  menerima  wang
daripada  orang  asing  untuk sabotaj negara mereka sendiri.
Kononnya mereka berjuang untuk hak asasi manusia  dan  untuk
alam   sekitar.      Hak   asasi  dan  alam  sekitar  adalah
tanggungjawab rakyat negara ini  dan  rakyat  Malaysia  yang
sepatutnya menentukan apa dianya yang perlu dipertahankan.
13.  Apabila  kita  mulakan  pengeluaran kad pengenalan baru
ini kepada orang ramai, banyak  masalah  dan  rungutan  akan
didengari.  Ini memanglah perkara biasa apabila sesuatu yang
baru   diperkenalkan.      Mungkin  akan  kedengaran  bahawa
perkhidmatan Pejabat  Pendaftaran  tidak  cekap,  dan  tidak
memuaskan.   Sungutan-sungutan tertentu mungkin berasas, dan
mungkin juga tidak.  Tetapi apabila orang ramai berinteraksi
dengan kakitangan Kerajaan, banyak perkara dan masalah  akan
timbul.    Dalam hal ini, orang ramai berpendapat kakitangan
Kerajaan yang bersalah, dan kakitangan  Kerajaan  pula  akan
mendakwa orang ramai yang bersalah.
14.  Sebenarnya dalam kebanyakan kes-kes salah faham seperti
ini,  kedua-dua  pihak  bersalah.   Jika kakitangan Kerajaan
bersalah sekalipun, bukan dalam semua kes  mereka  bersalah.
Demikian  juga  jika orang ramai bersalah, bukan dalam semua
kes mereka bersalah.
15.  Rakyat  Malaysia  perlu   selalu   bertimbangrasa   dan
menghormati  perasaan  orang  lain.    Tidak  ada salah jika
kakitangan Kerajaan  berlemah  lembut  semasa  bertugas  dan
senyum   selalu,  walaupun  kadangkala  terdapat  pelanggan-
pelanggan yang kasar.  Sebenarnya lebih ramai yang  bersopan
daripada yang kasar.  Kita hendaklah menganggap siapa sahaja
yang  menjadi  pelanggan  kita  sebagai orang yang baik budi
pekerti, dan kita melayan mereka dengan baik.
16.  Setiap pegawai dan kakitangan Kerajaan harus  beringat-
ingat  bahawa  mereka  juga  akan menjadi pelanggan di waktu
yang lain.  Sepertimana mereka tidak  ingin  dilayan  dengan
kasar  apabila  mereka  sendiri menjadi pelanggan, janganlah
mereka berkasar semasa giliran mereka melayan pelanggan.
17.  Negara yang  mempunyai  penduduk-penduduk  yang  selalu
berhati-hati dan bersopan santun akan membuat kehidupan diri
sendiri  lebih tenang dan lebih selesa.  Sebagai bonus, kita
semua akan mendapat pendapatan yang kian meningkat jika kita
semua, sama ada pihak swasta atau awam, memberi layanan yang
baik dalam menjalankan tugas.  Sebaliknya pembangunan negara
dan pendapatan kita juga akan  terjejas  jika  kita  menjadi
satu bangsa yang perongos, yang tidak tahu senyum, dan tidak
tahu berbahasa.
18.  Justeru  itu  saya  menyeru  semua  kakitangan Kerajaan
termasuk anggota Jabatan Pendaftaran Negara  supaya  memberi
khidmat   yang   cemerlang,  disertai  dengan  senyuman  dan
kesopanan semasa menjalankan tugas.  Insya-Allah, kita semua
akan mendapat nikmat dan ganjaran daripadaNya.
19.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya  merasmikan  Majlis
Pelancaran Kad Pengenalan Bermutu Tinggi ini.

 
 



 
Google