home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOLIDAY VILLA, SUBANG JAYA, SELANGOR Tarikh/Date : 16/08/91 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KOLEJ PAKAR PERUBATAN AM MALAYSIA Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur Persidangan Kolej Pakar Perubatan Am Malaysia kerana menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-18 pada hari ini. 2. Saya merasa gembira dapat berada di kalangan keluarga doktor pagi ini. Walaupun, saya dan isteri saya tidak lagi menjalankan praktis perubatan, kami sentiasa mempunyai "soft spot" di hati kami untuk para doktor yang berkhidmat kepada masyarakat. Saya mungkin tidak lagi berhadapan dengan "pa- tients" sebagai seorang doktor. Tetapi, saya rasa terdapat persamaan di antara kita kerana "patients" saya adalah juga "as demanding as yours". Apakah tidak, kerana saya terpaksa berhadapan dengan kira-kira 18 juta rakyat yang merupakan "patients" saya. 3. Adalah diharapkan mesyuarat ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian tetapi juga akan menyumbang kepada kesejahteraan penduduk negara ini. Perhimpunan seperti ini tentu sekali dapat memelihara hubungan yang lebih mesra di antara rakan sejawatan, di samping mempereratkan lagi pertalian profesionalisme di antara satu sama lain. General Practi- tioners di negara ini akan terus memainkan peranan yang penting kerana mereka masih merupakan doktor perubatan yang pertama dikunjungi oleh pesakit-pesakit baik di kawasan bandar mahupun di luar bandar. 4. Kerajaan menggalakkan supaya kemudahan Rawatan Utama (Primary Medical Care) akan terus berkembang di negara ini dan kerajaan akan sentiasa mempertingkatkan bidang-bidang pengkhususan dalam perubatan. Ini adalah kerana "General Practitioners" akan memberi jagaan kepada semua golongan secara menyeluruh termasuk golongan bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, ibu, lanjut usia, gangguan mental, cacat dan lain-lain lagi. Primary Medical Care juga akan menitikberatkan aspek-aspek perubatan secara bersepadu, iaitu penjagaan individu dan keluarga; peningkatan kesihatan dan juga pencegahan penyakit. Tuan-tuan dan puan-puan juga diharapkan oleh pesakit dan keluarga untuk memberi jagaan bersinambungan, daripada perawatan kecemasan sehinggalah kepada jagaan paliatif dan pemulihan. 5. Dalam hal ini saya merasa bangga di atas usaha-usaha untuk memperbaiki Perkhidmatan Rawatan Utama, dengan mengadakan kursus "Sarjana Perubatan" (Perubatan Keluarga) atau "Master in Family Practice". Ini adalah supaya doktor- doktor yang terlibat sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan mereka masing-masing. Saya difahamkan kursus ini adalah atas usaha bersama Universiti Kebangsaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan College of Practition- ers. Doktor-doktor perubatan kelulusan Ijazah Sarjana Perubatan atau Perubatan Keluarga ini diharap akan mempertingkatkan lagi mutu perawatan utama di kawasan bandar, dan juga di kawasan luar bandar, serta di kalangan klinik-klinik swasta. Ini merupakan satu lagi usaha positif ke arah mewujudkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar. Saya percaya kursus-kursus seperti ini akan mewujudkan doktor- doktor perubatan yang lebih cekap dalam bidang penjagaan pesakit dan juga akan menggabungkan peningkatan kemahiran klinikal dengan pengurusan. Ini adalah penting untuk membolehkan pengurusan sumber yang berkesan supaya dapat menjimatkan kos perawatan di samping menjamin mutu perkhidmatan kepada pesakit. 6. Perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negara ini, baik dalam sektor awam ataupun swasta akan terus dirancang selaras dengan dasar-dasar sosio-ekonomi negara. Walau bagaimanapun, perancangan kita perlu flexible supaya dapat disesuaikan dengan keadaan dan masalah yang berubah-ubah. Untuk menghasilkan perancangan dan program yang baik, kita perlu bersikap inovatif dan sentiasa mencari cara-cara baru dalam memajukan perkhidmatan perubatan dan kesihatan. Dengan adanya kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, perubatan kita akan memperolehi berbagai jenis alat dan ubat-ubatan yang baru dan lebih mustajab. Di sini kita perlu sentiasa sedar tentang kos perubatan yang semakin meningkat; dan kita perlu bijak memilih perawatan yang berkesan tetapi menjimatkan. Diharap para doktor tidak menganggap ubat yang paling mahal adalah yang terbaik. 7. Pada hitung panjang, adalah lebih wajar sekiranya aspek-aspek peningkatan dan pencegahan diimbang dengan aspek-aspek perawatan dan pemulihan. Dalam masa yang sama kita perlu peka dan cekap meramal situasi yang mungkin timbul menjelang tahun 2020 supaya perancangan dan tindakan awal dapat dilakukan untuk mengawal keadaan secara proac- tive. 8. Ramalan yang selalu digunakan adalah berkenaan demografi dan jumlah penduduk. Kemajuan dalam bidang kesihatan akan meningkatkan lagi life-expectancy. Oleh itu perancangan perlu dibuat untuk memperkukuhkan perkhidmatan geriatrik di negara ini. Menjelang tahun 2020, negara kita dijangka mencapai taraf negara maju, dan banyak daripada masalah negara maju akan menimpa kita, jika kita tidak mengambil tindakan awal bagi mencegah serangan dari masalah ini. 9. Oleh itu kita harus kekalkan sistem-sistem seperti kekeluargaan dan pegangan kepada nilai-nilai yang menolak penyalahgunaan dadah, kehancuran institusi nikah-kahwin, tabiat minum arak, merokok dan lain-lain. Family doctor mempunyai peranan yang besar dalam perkara ini. 10. Kerajaan telah melancarkan kempen penggalakan cara hidup yang sihat, bertujuan menasihati rakyat supaya mengamal aktiviti-aktiviti yang baik dan menjauhi tabiat yang akan memburukkan kesihatan. Melalui kempen ini, dan dengan kerjasama semua pihak yang berkenaan, kita akan dapat mengurangkan risiko dan kejadian masalah kesihatan seperti sakit jantung, penyakit kurang dayatahanan badan atau AIDS, keracunan makanan dan penyakit-penyakit yang boleh dikurangkan melalui pelalian. 11. Saya berharap College of General Practitioners secara satu badan, dan tuan-tuan dan puan-puan secara individu akan memberi sokongan untuk menjayakan aktiviti-aktiviti kesihatan supaya rakyat negara ini akan menjadi bertambah sihat dan makmur. Umumnya rakyat yang sihat bererti mereka lebih produktif dan efisien dalam menjalankan tugas-tugas mereka. 12. Saya harap Mesyuarat Ke-18 Kolej Pakar Perubatan Am ini akan berjaya meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran para doktor di negara ini. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Ke-18 serta Persidangan Mengenai Family Practice, dan pelancaran Rangkaian Pembekal Kesihatan. |