home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 19/08/91 Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM SEMPENA ULANGTAHUN KE 25 PUBLIC BANK BERHAD Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Public Bank Berhad yang sudi menjemput saya untuk memberi sepatah-dua kata sempena ulangtahun ke-25 Public Bank Berhad. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Tan Sri Thong dan Tan Sri Teh dan juga Lembaga Pengarah Public Bank atas kepimpinan mereka yang telah membawa kejayaan yang cemerlang kepada Public Bank. 2. Saya merasa sukacita mendapati bahawa dalam masa 25 tahun kewujudannya, Public Bank Berhad telah mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan dan telah berjaya meletakkan kedudukannya sebagai sebuah "Conglomerate" kewangan di negara ini. Selaras dengan falsafah korporatnya sebagai sebuah bank yang mengambil berat, bukan sahaja kepada pelanggan-pelanggannya, tetapi juga kepada kakitangannya, komunitinya dan pemegang-pemegang sahamnya, Public Bank telah mencerminkan imejnya sebagai sebuah bank untuk orang ramai, yang mana ini menepati namanya iaitu Pub- lic Bank atau Bank Orang Ramai. Berpandukan kepada misi korporatnya untuk wujud sebagai institusi kewangan yang pal- ing cekap, menguntungkan dan dihormati di negara ini, Public Bank telah membuktikan kekuatan dan kestabilannya di tahun- tahun yang lampau. Prestasi yang memberangsangkan oleh Kumpulan Public Bank adalah hasil daripada pertumbuhan yang berterusan yang ditunjukkan oleh pengurusan dan kakitangan yang sabar, tekun serta tabah, yang tidak dapat dinafikan akan membawa kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Potfolio korporat Public Bank telah berkembang melebihi peranan asalnya sebagai sebuah bank perdagangan yang memenuhi keperluan dan kehendak rakyat, ke dalam bidang fac- toring, broker saham, bank luar persisir atau off-shore bank dan syarikat-syarikat amanah. 3. Pengluasan sejagat pasaran kewangan atau 'globalisation' membawa persaingan hebat di antara bank-bank tempatan dan luar negeri. Dengan persaingan yang sengit, bank-bank seharusnya bersikap dan berfikiran 'universal' di dalam aktiviti perniagaan operasi mereka. Oleh itu, mereka seharusnya menawarkan produk-produk merangkumi kepelbagaian khidmat untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang luas di dalam suasana yang cepat berubah. Saya merasa bangga yang Public Bank telah mengambil langkah ke arah ini apabila ia menubuhkan anak syarikat luar pesisirnya atau off-shore sub- sidiary di Labuan. Langkah ini bertujuan mengambil kesempatan yang sedia wujud di rantau Asia-Pasifik dan juga memberi perkhidmatan kewangan kepada syarikat-syarikat yang dikuasai oleh bukan-pemastautin dan juga memberi perkhidmatan kepada pemastautin Malaysia. 4. Pelancaran Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa adalah sebahagian daripada strategi Kerajaan untuk membangun dan meluaskan perkhidmatan kewangan Malaysia untuk menyokong teras negara ke arah Wawasan 2020. Labuan dijangka akan menjadi jendela kepada Malaysia untuk menarik lebih banyak modal baru asing supaya dapat membiayai program perindustrian negara kita. Labuan juga merupakan satu jendela untuk menarik idea dan kepakaran baru dalam bidang pengurusan bank dan ia dapat menambahkan kematangan di dalam sektor kewangan. Sesungguhnya apabila bank-bank antarabangsa dari luar negara bertapak di Labuan, bank-bank tempatan akan dapat menandingkan kemahiran mereka dengan beberapa bank terkemuka di dunia. Ia akan merupakan ujian di antara 'gergasi-gergasi' dan hanya bank yang terbaik sahaja yang akan mencapai kejayaan di Labuan. Dengan demikian, bank-bank tempatan seharusnya berusaha untuk memperolehi kemahiran yang tinggi dan kecekapan di dalam perniagaan untuk mengurus operasi mereka dengan tujuan mengekalkan kedudukan mereka di Labuan. Bank tempatan yang memiliki anak syarikatnya di Labuan seharusnya berusaha untuk menjadi 'pasaraya kewangan' setempat supaya Malaysia dan negara-negara jirannya tidak perlu memandang lebih jauh dari Labuan untuk memenuhi keperluan kewangan luar pesisir mereka. Di samping Labuan, sukacita saya mendapati bahawa selaras dengan dasar Kerajaan mengenai hubungan Selatan- Selatan dan Kerjasama Serantau, Public Bank akan mengembangkan rangkaiannya ke Sri Lanka. Ia juga sedang menuju ke arah kemungkinan untuk bekerjasama dengan sebuah bank di Vietnam di mana terdapat peluang pelaburan yang luas. Selain daripada menawarkan perkhidmatan kewangan, penglibatan Public Bank di kedua-dua negara tersebut akan dapat membantu dalam bidang sosio-ekonomi dan juga mengeratkan hubungan perdagangan di antara kedua-dua buah negara tersebut. 5. Institusi-institusi bank di Malaysia telah ditubuhkan pada dasarnya untuk memenuhi fungsi penting bagi pengumpulan simpanan dalam negeri yang cekap dan untuk menyalurkan sumber-sumber ini untuk pelaburan yang produktif bagi meningkatkan keluaran negara dan pendapatan pada jangka masa yang panjang. Tambahan lagi, mereka merupakan 'operator' sistem pembayaran dan lebih penting lagi, mereka bertindak sebagai penghubung di antara dasar moneteri dan keseluruhan ekonomi. Dalam masa tiga dekad yang lepas, secara amnya sistem bank telahpun mencapai matlamat ini dengan memuaskan. Walau bagaimanapun, peranan industri bank telah menjadi begitu kompleks pada hari ini, memandangkan sektor swasta kini dijangka akan menerajui dan mengambil peranan sebagai jentera utama pertumbuhan di dalam tempoh 'Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua'. Oleh yang demikian, sistem bank perlu berperanan lebih efektif sebagai pengguna dana dalam negeri untuk membiayai dan menggalakkan inisiatif persendirian, dan untuk memenuhi peranan yang dijangkakan. 6. Kerajaan menyedari bahawa asas yang diperlukan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi ialah aktiviti sektor swasta yang lebih tinggi, perkembangan yang cergas oleh sektor perkilangan untuk eksport, peningkatan produktiviti, dan juga peningkatan mutu kemudahan infrastruktur. Oleh itu, teras utama Rancangan Malaysia Keenam, yang mengandungi fasa pertama Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua ialah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang cepat dan seimbang. Kita mesti terus meningkatkan keupayaan bersaing kita dan muncul sebagai negara yang dinamik di dunia. Kita tidak boleh lagi bangga atau bergantung kepada hanya pengeluaran sumber-sumber asli yang dieksport. Ini adalah kerana bahan-bahan utama bukan sahaja terdedah kepada pasaran yang naik-turun secara tidak menentu, tetapi juga kerana pandangan liar environmentalis semakin menjadi-jadi. 7. Sebaliknya, dagangan barang-barang buatan terpaksa menghadapi saingan yang hebat dan sekatan-sekatan seperti yang didirikan oleh blok-blok dagangan di Eropah dan Amerika. Sekatan-sekatan ini termasuk tekanan protectionisme dan managed trade dengan berbagai-bagai jenis tarif dan non-tarif barriers yang semakin bertambah. Ini semua adalah realiti pasaran dan dagangan di zaman ini dan kita hanya boleh menembusi pasaran melalui peningkatan effi- ciency dan kecekapan dalam semua industri termasuk banking industry. 8. Saya ingin mengambil peluang ini untuk bercakap sedikit berkenaan dengan inflasi. 9. Negara kita hingga sekarang tidak ditimpa tekanan inflasi yang tinggi. Inflasi kita adalah di paras 3 peratus setahun sahaja berbanding dengan sesetengah negara di mana inflasi meningkat hingga 20,000 peratus setahun. Kita hairan kenapa ini boleh berlaku. 10. Sebenarnya inflasi yang tinggi hingga 20,000 peratus ini disebabkan oleh Kerajaan yang hanya ingin menjadi popu- lar dengan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang menjadi majoriti daripada penduduk. Dalam keinginan untuk menjadi popular, apabila barang-barang naik harga sedikit, maka Kerajaan akan bersetuju dengan kenaikan upah supaya kononnya pekerja akan dapat membeli sebanyak yang dahulu dibelinya. 11. Ada negara yang mengikatkan harga barang-barang dengan kenaikan upah, iaitu jika harga naik 10 peratus, maka gaji akan naik dengan peratusan yang sama. Oleh kerana upah naik, maka kos pengeluaran, pengangkutan dan pemasaran juga naik. Ini menyebabkan barang-barang naik harga lagi. Sekali lagi upah pekerja dinaikkan dan kesan yang sama berikut. 12. Cycle ini berulang dan berulang dengan tiap satu pusingan menambah harga barang-barang sehingga harga meningkat bukan sahaja tiap-tiap hari, tetapi juga pagi dan petang. Dengan itu, maka berlakulah kenaikan sara hidup yang tidak boleh dikawal oleh sesiapa dan inflasi sehingga 20,000 peratus. 13. Saya ulangi perkara ini walaupun kita semua tahu bagaimana inflasi yang tinggi boleh berlaku. Walaupun kita tahu sesuatu dan ianya tidak baik bagi kita, tetapi ada pihak yang akan melakukannya juga. Saya berharap penduduk Malaysia tidak termasuk dalam golongan ini. 14. Saya harap penduduk Malaysia tidak akan menuntut secara buta-tuli kenaikan upah. Kenaikan upah hanya bermakna jika ia tidak menyebabkan kenaikan harga. Dan ini boleh berlaku hanya jika produktiviti meningkat lebih tinggi daripada kenaikan upah. 15. Strategi Kerajaan ialah menambah peluang pekerjaan dengan banyaknya sehingga bilangan pekerja hampir tidak mencukupi. Dengan itu, majikan akan berlumba-lumba untuk mendapatkan pekerja dan mereka akan menawarkan upahan yang lebih tinggi. Ini sudahpun berlaku sekarang. 16. Mogok atau ugutan untuk mogok bukanlah caranya untuk menambah pendapatan pekerja. Memang benar pekerja boleh mengugut untuk merosakkan sesuatu perniagaan jika mereka tidak memperolehi apa yang dituntut. Tetapi perniagaan yang rosak tidak mudah dipulihkan. Di negara yang maju sekalipun, perniagaan yang rosak tidak dapat dipulihkan terutama dalam dunia yang memaksa persaingan yang hebat diadakan sepanjang masa. 17. Memang benar apabila sesebuah syarikat memperolehi keuntungan, pekerja berhak mendapat sebahagian daripada keuntungan tersebut melalui kenaikan gaji atau bonus. Tetapi pemegang saham juga berhak. Harus diingat bahawa peluang pekerjaan tidak akan wujud jika tidak ada pemodal yang sanggup melabur. Pekerja adalah penting tetapi pelabur juga penting. 18. Oleh itu, janganlah mengugut apabila pekerja mempunyai kesatuan dan kuasa untuk merosakkan perniagaan melalui mogok. Mogok bukanlah cara untuk menyelesaikan masalah. Cara ini sudah usang. Cara ini telah dibuktikan bahawa ianya boleh menghancurkan ekonomi sesebuah negara. Jika ekonomi hancur, pendapatan pekerja juga akan hancur. 19. Majikan juga perlu sedar akan hakikat ini dan perlu berlaku adil kepada pekerja. Jika rundingan tidak berhasil maka jalan yang baik ialah arbitration oleh pihak tertentu. Keputusan arbitration mesti diterima oleh kedua-dua pihak. 20. Pengadil juga mesti adil dan mengambilkira masa depan perniagaan. Pengadil yang hanya memikir berkenaan dengan hak, bersimpati dengan pekerja dan membuat keputusan yang akhirnya akan menyebabkan kos naik dan inflasi berleluasa sebenarnya tidak menyelesaikan masalah. Kenaikan sara hidup akan membawa tuntutan lagi. Kenaikan inflasi yang tidak dapat dikawal disesetengah negara adalah disebabkan politi- cian yang ingin popular dan misplaced sympathy oleh orang- orang tertentu. 21. Kerajaan Malaysia sekarang tidak kurang simpatinya kepada pekerja tetapi Kerajaan mesti mengambilkira keseluruhan ekonomi negara. Tidak ada sesiapa yang jika ia sanggup merebut peluang daripada pertumbuhan ekonomi negara, yang boleh berkata bahawa kehidupannya tidak menjadi lebih baik hasil daripada dasar-dasar negara. Justeru itu semua pihak -- majikan, pekerja dan Kerajaan -- mestilah mengelakkan semua jenis konfrontasi yang sudah usang, sepertimana ideologi komunis dan sosialis juga telah menjadi usang. 22. Dunia sekarang memilih rundingan dan tolak-ansur untuk menyelesaikan masalah. Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa inilah cara yang terbaik. 23. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pihak supaya mengelakkan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan pembangunan negara. 24. Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kumpulan Public Bank atas sumbangan dan kejayaan mereka. Saya berharap Public Bank akan terus memperolehi kejayaan di tahun-tahun akan datang dan memberi sumbangan secara langsung kepada pembangunan negara kita. Terima kasih. |