Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TAMAN PERTANIAN, BUKIT CAHAYA SERI
ALAM, SELANGOR D.E
Tarikh/Date : 20/08/91
Tajuk/Title : SAMBUTAN HARI PELADANG, PENTERNAK
DAN NELAYAN PERINGKAT KEBANGSAAN
Saya merasa sukacita dan bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala kerana dapat sekali lagi hadir bersama-
sama dengan wakil-wakil peladang, penternak dan nelayan
seluruh negara sempena Perayaan Hari Peladang, Penternak dan
Nelayan Kebangsaan 1991.
2. Sesungguhnya, perjumpaan kita pada pagi ini membawa
erti yang besar kerana para peladang, penternak dan nelayan
merupakan golongan yang tetap penting dalam menyumbang
kepada pembangunan ekonomi negara. Sambutan majlis tahun
ini juga penting kerana ianya merupakan detik permulaan
perubahan terhadap pembangunan pertanian negara di mana
cabaran-cabaran yang lebih besar akan dihadapi oleh
peladang, penternak dan nelayan di masa akan datang.
Walaupun sektor perindustrian merupakan teras pembangunan
negara di masa hadapan, sektor pertanian akan tetap mendapat
perhatian berat daripada Kerajaan. Dengan pertumbuhan yang
pesat dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, sektor
pertanian perlu dipertingkatkan supaya kecanggihan sektor
ini tidak ketinggalan berbanding dengan sektor pembuatan.
Banyak cara pertanian dan bidang-bidang yang belum dicuba di
negara boleh meningkatkan peranan pertanian dalam menyumbang
kepada pendapatan petani dan pembangunan negara.
Memandangkan kepada kemungkinan ini, maka Revolusi menjadi
perkataan yang tepat dalam tema perayaan tahun ini, iaitu
"Revolusi Makanan dan Pertanian Menjelang 2020".
3. Dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua
(RRJP 2), sektor pertanian dijangka akan berkembang pada
kadar 3.5 peratus setahun. Walaupun kadar pertumbuhan ini
adalah lebih rendah berbanding dengan sektor-sektor ekonomi
yang lain, pertanian akan terus merupakan satu kegiatan
utama di dalam ekonomi terutamanya ekonomi luar bandar.
Sehubungan dengan ini, adalah penting produktiviti sektor
pertanian ditingkatkan lagi supaya menjadi lebih efisien
dari segi kos dan daya-saing. Usaha yang lebih gigih juga
perlu dibuat bagi meningkatkan kecanggihan kerja-kerja
ladang, mutu pengurusan dan tenaga kerja di kalangan
peladang, penternak dan nelayan.
4. Pertumbuhan dan daya maju sektor pertanian memerlukan
kita mengubah cara pertanian yang tradisional dan yang lama
kepada yang bercorak lebih komersil. Ini bermakna para
peladang bukan sahaja perlu menggunakan teknologi yang
canggih, tetapi juga perlu mengamalkan pengurusan yang lebih
tersusun dan bercorak perladangan. Di samping itu, tumpuan
harus diberikan kepada pengeluaran tanaman yang bernilai
tinggi dan berorientasikan pasaran. Dengan cara ini, para
peladang bukan sahaja akan mendapat hasil yang lebih tinggi,
tetapi juga menggunakan sumber tanah mereka dengan lebih
berkesan.
5. Perubahan-perubahan struktur dalam sektor pertanian
memerlukan pengorbanan yang besar daripada peladang,
penternak dan nelayan. Untuk berjaya tuan-tuan dan puan-
puan harus peka dan bersedia menerima dan membuat perubahan-
perubahan dalam amalan pertanian termasuk penggunaan
teknologi-teknologi baru, percantuman tanah, pengurusan
ladang secara moden dan sebagainya. Para peladang,
penternak dan nelayan harus lebih inovatif, meningkatkan
kepakaran dan berusaha dengan lebih gigih dalam merebut
peluang-peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian
berkembang. Untuk mencapai hasrat ini, kita harus terbuka
kepada idea-idea dan maklumat-maklumat yang baru dan
mutakhir serta dapat menyesuaikannya mengikut keadaan dan
masa. Kita mesti menjadi seorang peladang, penternak dan
nelayan yang serba mengetahui atau 'well-informed'. Apabila
kita mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 kita
juga mahu melihat peladang, penternak dan nelayan kita turut
sama maju. Para peladang, penternak dan nelayan juga patut
menikmati segala kemudahan yang diperolehi oleh penduduk
sebuah negara maju.
6. Sejak merdeka, kita telah maju begitu pesat daripada
sebuah negara yang bergantung semata-mata kepada getah dan
bijih timah sebagai sumber ekonomi kepada sebuah negara yang
telah berjaya mempelbagaikan ekonominya. Sektor pertanian
merangkumi pelbagai bidang, daripada pengeluaran,
pengendalian lepas tuai, pemprosesan, pembungkusan sehingga
kepada pengeksportan. Untuk meningkatkan keupayaan
pengeluaran barangan pertanian negara, kita perlu
meningkatkan rantaian yang lebih jitu di antara industri
hiliran supaya lebih berdaya saing. Malahan, beberapa
komponen perindustrian dan pembuatan bergantung terus kepada
prestasi sektor pertanian. Dengan ini sektor pertanian,
perindustrian dan pembuatan perlu memainkan peranan 'supple-
mentary and complementary' bagi mencapai matlamat ke arah
negara maju dalam tahun 2020.
7. Untuk memudahkan pencapaian matlamat ini, kita perlu
menyusun satu cara baru dan berani melangkah jauh -- dalam
bidang-bidang pengurusan, budaya kerja dan inovasi. Yang
paling utama, Kerajaan, sektor swasta, para pekerja, pihak
pengurusan, semua institusi, para peladang, penternak dan
nelayan harus memahami matlamat dan jalan yang menuju ke
arahnya.
8. Konsep Persyarikatan Malaysia, satu konsep yang
berasaskan perkongsian di antara Kerajaan dan sektor swasta
di mana sektor awam dan swasta bersama-sama ditugaskan ke
arah memastikan kejayaan dan menikmati keuntungan bersama
adalah perlu dan akan diperkukuhkan. Penggemblengan tenaga
antara kedua sektor ini adalah penting untuk kemajuan dan
pengembangan sektor pertanian, khususnya di bidang
pengeluaran makanan dan pengintegrasian sektor pertanian dan
sektor pembuatan.
9. Dengan bertambahnya pendapatan per kapita serta
pertumbuhan ekonomi yang terus tinggi, corak permintaan
bahan-bahan makanan akan terus berubah dan penekanan kepada
aspek kualiti dan pengenalan atau presentation akan menjadi
bertambah penting. Dengan corak pemakanan yang berbeza
serta penambahan pendapatan, rakyat Malaysia dapat
membelanjakan ke atas bahan-bahan makanan yang lebih menarik
dan lebih bermutu seperti bahan-bahan yang mengandungi
banyak protin dan sebagainya. Ini secara langsung akan
menentukan corak bekalan makanan dan cara pemasaran yang
perlu diwujudkan dalam negara.
10. Penggunaan per kapita untuk daging, buah-buahan dan
sayuran dijangka akan terus meningkat. Ini bermakna bahawa
bukan sahaja bekalan makanan tersebut perlu disesuaikan
kepada permintaan, bahkan jumlah pengeluarannya perlu
ditingkatkan selaras dengan daya belanja (spending power)
yang meningkat dan jangkaan pertumbuhan penduduk. Dalam
masa yang sama, bekalan-bekalan input perlu juga
ditingkatkan, seperti bahan-bahan pemakanan kepada industri
ternakan iaitu jagung bijirin, kacang soya dan sebagainya.
11. Dengan perkembangan sektor perindustrian, pertambahan
pendapatan isi keluarga, peningkatan kadar penglibatan kaum
wanita dan perubahan amalan pemakanan, maka permintaan untuk
makanan-makanan yang sudah diproses termasuk 'fast-food'
akan terus berkembang. Dalam masa yang sama, usaha-usaha
perlu dijalankan untuk meningkatkan kesedaran dan
kepentingan rakyat memakan makanan yang berkualiti,
berkhasiat tinggi dan berzat. Dalam dekad 90-an, kesedaran
rakyat mengenai pengeluaran hasil-hasil makanan secara 'or-
ganic', tanpa mengguna baja kimia, racun dan lain-lain akan
juga meningkat. Rakyat sudahpun memilih makanan yang kurang
mengandungi kolesterol, melebihkan protin, mengurangkan
garam, gula dan sebagainya. Rakyat kini lebih mengutamakan
makanan yang mempunyai faedah kesihatan (nutritional and
medicinal values) untuk kesejahteraan hidup masa depan.
Perubahan permintaan oleh penggguna terutamanya oleh
"pengguna hijau" (green consumer) dan lain-lain akan
mempunyai implikasi kepada sistem dan kaedah pengeluaran
pertanian yang sedia ada. Inilah aspek-aspek corak
permintaan makanan yang dijangkakan dalam tahun 90-an dan
mungkin dekad yang menyusulnya.
12. Dalam mengrevolusikan industri makanan ke arah tahun
2020, beberapa faktor perlu diambilkira yang akan merupakan
asas atau garispanduan dalam menentukan dasar pengeluaran
negara pada masa akan datang. Antara faktor-faktor ini
termasuklah keselamatan makanan atau food security dan
faedah bandingan atau comparative advantage.
13. Pengeluaran makanan perlu mengambilkira aspek
keselamatan makanan, meliputi 'staple food' iaitu makanan
asas seperti nasi, ke paras yang sesuai selaras dengan
peningkatan perubahan jumlah penduduk negara dan komponen-
komponen penting makanan. Pengeluaran bahan-bahan tersebut
akan didasarkan kepada struktur pengeluaran yang lebih
efisien, moden dan berbentuk komersil serta memerlukan
sokongan Kerajaan yang minima.
14. Beberapa jenis komoditi makanan yang dikeluarkan oleh
negara ini menunjukkan bahawa kos 'factors of production'
seperti upah, sewa tanah dan target margin pulangan kepada
pengusaha kian bertambah. Malaysia adalah sebuah negara
yang mempunyai ciri-ciri 'high cost producer' dalam
pengeluaran beberapa bahan makanan. Usaha-usaha harus
dijalankan dengan lebih berkesan untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara yang mampu mengeluarkan bahan-bahan pertanian
termasuk komoditi makanan pada harga yang kompetitif, yang
bukan sahaja dapat bersaing dengan bahan-bahan import
malahan juga di pasaran antarabangsa.
15. Dalam memajukan pengeluaran komoditi makanan serta
corak permintaan makanan yang dijangkakan di masa akan
datang, peranan makanan yang diproses harus dijadikan
sebagai satu fakta penggerak kepada proses perindustrian
(agro-based industry) di masa akan datang. Hubungan 'for-
ward' dan 'backward linkage' yang boleh diwujudkan oleh
industri pengeluaran makanan kepada pembangunan sektor
pembuatan perlu diterokai dan digunakan sepenuhnya termasuk
dengan menggunakan bahan-bahan makanan mentah dari luar yang
diproses di sini.
16. Pelaburan asing juga penting dan berkait rapat dengan
usaha memodenkan pertanian dan mencari pasaran antarabangsa.
Bagi kegiatan-kegiatan pertanian yang memerlukan pelaburan
yang tinggi serta pengurusan projek yang cekap, khususnya
jika ia melibatkan pengeluaran untuk luar negeri dan yang
mana risikonya adalah tinggi, seperti perusahaan perikanan
laut dalam, maka perlulah diwujudkan dengan jelas satu
'business and investment environment' yang sesuai untuk
menarik pelabur-pelabur, termasuk pelabur-pelabur tempatan.
17. Dalam masa yang sama, pengeluaran makanan juga perlu
mengambilkira pertimbangan mengenai alam sekitar dan kos
kepada masyarakat. Antara persoalan yang timbul ialah
sejauh mana pencemaran perlu dititikberatkan dalam dasar
pengeluaran makanan pertanian dan sejauh manakah pula
kepentingan rakyat melebihi kepentingan pengusaha
persendirian? Apakah kemungkinan-kemungkinan teknologi yang
ada dan akan ada serta perlu diwujudkan yang akan
membolehkan pencapaian aspek "sustainability" iaitu yang
boleh dikekalkan tanpa menjejaskan daya persaingan kita?
Kesemua kita yang ada hari ini perlu mencari jawapan kepada
persoalan-persoalan ini.
18. Kesemua strategi dan program yang diusahakan oleh
Kerajaan tidak akan dapat dicapai hanya dengan cetusan idea-
idea sahaja. Ianya perlu dirancang dengan rapi, dijalankan
dengan baik dan diawasi perkembangannya. Ianya perlu kepada
semangat dan dedikasi serta penggemblengan tenaga seluruh
lapisan masyarakat termasuk pegawai-pegawai Kerajaan, sektor
swasta, peladang, penternak dan nelayan serta orang
perseorangan. Kejayaan untuk memajukan dan mengtransformasi
sektor pertanian supaya bergerak sama cepat dengan sektor-
sektor lain adalah tanggungjawab kita bersama.
19. Dengan ini, saya dengan kata-kata Bismillahir rahmanir
rahim dengan sukacitanya merasmikan Hari Peladang, Penternak
dan Nelayan 1991.
|