Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM NEGARA, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	27/08/91 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PESTA SUKAN HARI 
			KEBANGSAAN PERINGKAT NASIONAL 1991 



 
    Saya  ucapkan  tahniah  kepada  Jawatankuasa  Pengelola
khususnya Kementerian Belia dan Sukan dan semua  pihak  yang
terlibat   dalam  menjayakan  Pesta  Sukan  Hari  Kebangsaan
Peringkat Nasional Kali Ke-2 ini.
2.   Saya ingin  mengambil  kesempatan  ini  untuk  mengalu-
alukan  kehadiran  semua  kontinjen  dari  negeri-negeri  di
seluruh negara yang akan mengambil bahagian di dalam  acara-
acara  sukan  di Ibukota Kuala Lumpur sepanjang tempoh Pesta
Sukan ini berlangsung.
3.   Pesta Sukan Hari Kebangsaan ini adalah kali  yang  ke-2
diadakan dan sambutannya amat baik sekali dengan penglibatan
yang menyeluruh daripada segenap lapisan rakyat.  Ini adalah
menggalakkan   dan   menepati   hasrat   pihak   perancangan
pembangunan sukan negara yang  inginkan  pembentukan  rakyat
yang sihat, berdisiplin dan bersatupadu.
4.   Di   dalam  perancangan  pembangunan  negara,  Kerajaan
menganggap peranan pembangunan sukan tidak kurang pentingnya
dengan pembangunan di dalam aspek-aspek yang lain.   Justeru
itu setiap tahun Kerajaan menyediakan satu  peruntukan  yang
besar  khusus  untuk pembangunan kemudahan-  kemudahan sukan
di negara ini.   Kerajaan menyedari bahawa  sukan  memainkan
peranan  yang  penting  di  dalam menyediakan tenaga manusia
yang cergas dan cerdas daripada segi mental dan fizikal yang
menjadikan aset yang penting di dalam usaha pembinaan sebuah
negara yang maju.
5.   Dalam  Rangka  Rancangan  Jangka  Panjang  Kedua   1991
Kerajaan   telah  mengambilkira  program-program  yang  akan
dilaksanakan  untuk  memupuk   nilai-nilai   positif   serta
meningkatkan mutu hidup dan kesejahteraan masyarakat dan ini
termasuklah  program-program  belia  dan  sukan  di  seluruh
negara.    Selaras  dengan  itu   adalah   disarankan   agar
Kementerian  Belia  dan  Sukan  dan  lain-lain  agensi  yang
berkaitan  akan  terus  merangka  program-program  berbentuk
pembinaan  insan  ke arah melahirkan rakyat yang sedar serta
faham akan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.
6.   Acara-acara sukan yang  akan  dipertandingkan  bukanlah
sekadar   untuk  memenuhi  tuntutan  program  atau  bercorak
rekreasi dan kecergasan semata-mata, tetapi  lebih  daripada
itu  saya  berharap Pesta ini digunakan sebagai satu peluang
untuk  membantu  melahirkan  jaguh-jaguh  sukan  yang   akan
mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.  Justeru
itu  semua  peserta  yang  bertanding  haruslah  menggunakan
peluang ini dengan sebaik mungkin  untuk  diri  sendiri  dan
untuk  negeri  yang diwakili serta negara.  Berhubung dengan
sukan  menyumpit  kebangsaan  yang  diadakan  serentak  buat
pertama  kalinya  dengan  Pesta ini, adalah diharapkan ianya
akan mencapai matlamat untuk mengembangkan sukan ini  kepada
orang ramai.
7.   Akhirnya,  saya ucapkan selamat bertanding kepada semua
peserta dalam semangat kesukanan yang  tinggi  dan  harmoni.
Dengan  ini  saya  dengan sukacitanya merasmikan Pesta Sukan
Hari Kebangsaan Peringkat Nasional Kali ke-2 1991.
     Terima kasih.

 

 



 
Google