Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN NIRWANA, HOTEL HILTON, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	29/08/91 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN BUKU DAFTAR HARI 
			MERDEKA DAN JAMUAN MAKAN MALAM 





 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan salam sejahtera.
    Saya  mengucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan
untuk menyampaikan  sepatah  dua  kata  di  Majlis  ini  dan
seterusnya  melancarkan  Buku Daftar Hari Merdeka bagi tahun
1990.    Inilah  kali  ketiga   saya   diberi   penghormatan
melancarkan buku ini.
2.   Terlebih  dahulu,  saya  mengucapkan tahniah dan syabas
kepada   Ahli-ahli   Jawatankuasa   Pusat   Perayaan    Hari
Kebangsaan,  terutama Pengerusinya Yang Berhormat Dato' Seri
Sanusi Junid, atas usaha gigih mereka menjayakan  penerbitan
buku ini buat kali ketiganya.
3.   Buku  ini  amat  penting daripada segi nilai sejarahnya
kerana ia dapat dijadikan bahan rujukan  yang  amat  berguna
kepada  generasi  akan  datang.   Melalui buku ini juga kita
dapat memahami aspek sejarah, ekonomi, sosial dan kebudayaan
penduduk negara ini.  Bagi para pelancong dari  luar  negeri
buku  ini  dapat  memberi  gambaran  sepintas  lalu  tentang
suasana dan cara kehidupan di negara ini.
4.   Daripada segi kandungan, ianya amat sesuai  sekali  dan
memenuhi  hasrat  penerbitannya.    Buku ini turut memuatkan
rakaman   peristiwa-peristiwa   sambutan    Perayaan    Hari
Kebangsaan   pada   tahun-tahun  yang  lepas,  sama  ada  di
Peringkat Kebangsaan mahupun di Peringkat Negeri.
5.   Buku ini juga dimuatkan  dengan  pelbagai  artikel  dan
rencana berkaitan dengan perkembangan dan kemajuan negara di
bidang  ekonomi,  sosial  dan hubungan antarabangsa.   Ianya
juga merekodkan nama syarikat-syarikat yang telah berjaya di
dalam beberapa aspek pertandingan.  Rekod ini  amat  penting
kerana  ianya  merupakan  pengiktirafan negara kepada sektor
swasta   yang   telah   memberi   sumbangan   besar   kepada
perkembangan dan kemajuan negara.
6.   Penerbitan  buku  ini sendiri membawa makna yang begitu
besar bagi kita.   Bahan-bahannya disediakan  oleh  Jabatan-
jabatan  Kerajaan  daripada sumber-sumber Kerajaan dan bukan
Kerajaan.  Ianya diterbit dan dicetak oleh  syarikat  swasta
dengan  kos  penerbitannya  dibiayai  daripada  hasil jualan
iklan kepada syarikat-syarikat swasta.
7.   Saya  merasa  sukacita  dan  bangga  bahawa   syarikat-
syarikat   swasta  telah  menyumbang  wang  untuk  membiayai
penerbitan  Buku  Daftar  Merdeka  ini.    Memang   wajarlah
syarikat-syarikat  swasta  memberi sumbangan kerana kejayaan
dan kemajuan yang  mereka  perolehi  sekarang  adalah  hasil
daripada  nikmat kemerdekaan.  Semangat kerjasama ini adalah
penting dan perlu sentiasa wujud dalam usaha  kita  mencapai
Wawasan 2020.
8.   Setiap 31 Ogos, rakyat Malaysia menyambut Perayaan Hari
Kebangsaan  dengan  berbagai-bagai  acara  untuk menunjukkan
kesetiaan  dan  semangat  patriotisme  kepada  negara.    Di
samping  bergembira,  kita  juga  hendaklah memperingati dan
mengenang kembali jasa-jasa  pemimpin-pemimpin  negara  yang
telah  berjuang  untuk mencapai kemerdekaan.  Kemakmuran dan
kemewahan yang kita  nikmati  pada  hari  ini  adalah  hasil
daripada perjuangan pemimpin-pemimpin tersebut.
9.   Untuk  memastikan  masa  depan negara yang lebih cerah,
generasi muda sekarang perlu sedar dan  menghargai  semangat
perjuangan   pemimpin-pemimpin  dan  rakyat  dalam  menuntut
kemerdekaan.   Dengan cara ini kita  akan  dapat  melahirkan
generasi  semasa  yang bukan sahaja sanggup berkorban tetapi
juga berusaha dengan gigih dan tekun  demi  menjamin  bahawa
negara  akan  terus  maju, aman dan makmur.   Adalah menjadi
tanggungjawab kita bersama memastikan bahawa  generasi  muda
kita  mengikut  haluan  yang  betul  dan  terhindar daripada
gejala-gejala yang tidak  diingini  yang  mungkin  menggugat
matlamat  kita  menjadikan  Malaysia sebuah negara maju pada
tahun 2020.
10.  Sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan  terima  kasih
dan  tahniah  kepada Pengerusi Perayaan Hari Kebangsaan atas
kejayaan menerbitkan buku  ini.    Kepada  syarikat-syarikat
swasta  yang  telah  sama-sama membantu menerbitkan buku ini
dan menjayakan majlis malam  ini,    saya  juga  mengucapkan
terima kasih dan berharap kerjasama ini akan diteruskan.
11.  Dengan  lafaz  Bismillahirrahman  nirrahim, saya dengan
sukacitanya Melancarkan Buku Daftar Hari Merdeka 1990.
     Wabillahi    taufik     walhidayah     wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google