home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN MUKTAMAR, PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 30/08/91 Tajuk/Title : PERLANCARAN SETEM POS KENANG- KENANGAN BEKAS-BEKAS PERDANA MENTERI Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos kerana memberi penghormatan kepada saya untuk melancarkan setem pos kenang-kenangan bagi memperingati bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia pada hari ini. 2. Pada hari ini kita boleh berbangga bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berjaya mempraktikkan demokrasi dengan pilihanraya, penukaran kepimpinan dan penukaran Kerajaan diadakan tanpa keganasan atau rusuhan. Dengan itu, negara bukan sahaja stabil daripada segi politik tetapi dasar-dasar pentadbiran tidak berubah secara radikal. Bertolak daripada kestabilan politik dan pemerintahan, maka ekonomi telah dapat tumbuh dengan pesat. Tiada siapa dapat menafikan bahawa asas pendekatan politik Malaysia dicipta dan dibangunkan oleh ketiga-tiga Perdana Menteri Malaysia terutama Allahyarham Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia. 3. Memandangkan esok adalah hari ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-34, maka adalah wajar bagi kita semua mengenang kembali akan sumbangan ketiga-tiga bekas Perdana Menteri kita ini melalui setem-setem peringatan. Setem- setem ini bukan sahaja bertujuan untuk menghormati bekas- bekas Perdana Menteri kita, tetapi juga untuk memperingati kita semua akan kepimpinan, pengorbanan dan jasa mereka. Generasi muda dengan ini akan lebih mengenali mereka dan diharap akan sedar bahawa apa juga nikmat yang diperolehi oleh generasi sekarang adalah hasil usaha dan pemikiran tokoh-tokoh yang terdahulu ini. 4. Justeru itu, usaha mengeluarkan Setem Pos Kenang- Kenangan Sempena Memperingati Para Bekas Perdana Menteri Malaysia oleh Jabatan Perkhidmatan Pos ini adalah satu usaha yang tepat dan wajar. Pengeluaran setem ini juga membolehkan kita memperkenalkan bekas-bekas Perdana Menteri kita kepada masyarakat luar negeri. 5. Seperti yang kita sedia maklum, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah seorang negarawan yang telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara kita 34 tahun dahulu. Atas usaha dan kegigihan Almarhum Tunku negara telah mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah, seperti yang terpaksa dialami oleh banyak tanah jajahan yang lain. Ini dilakukan oleh Almarhum Tunku dengan mempengaruhi ketiga-tiga kaum di Malaya supaya bersama-sama berjuang menuntut kemerdekaan. Jika kaum-kaum di Persekutuan Tanah Melayu tidak sependapat, maka pihak British tidak akan memberi kemerdekaan. Dengan itu, rebutan kemerdekaan secara bersenjata terpaksa diadakan. Di bawah kepimpinan Almarhum juga, Malaysia telah ditubuhkan dengan kemasukan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Semasa menerajui pemerintahan negara, Almarhum Tunku telah banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk membangun dan menyatupadukan negara. Memandangkan kepada jasa dan pengorbanan Almarhum kepada negara dan masyarakat, Almarhum Tunku telah digelar "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia". 6. Allahyarham Tun Abdul Razak pula, sebagai Perdana Menteri yang kedua, terkenal sebagai seorang negarawan yang mempunyai pandangan jauh serta semangat nasionalisme yang tinggi. Perjuangan beliau untuk membangunkan negara, terutama kawasan luar bandar bukan sahaja unik tetapi juga berkesan. Daripada ilham dan pandangan jauh beliau untuk menyatu-padukan rantau Asia Tenggara maka ASEAN telah dilahirkan pada tahun 1967. 7. Allahyarham Tun Abdul Razak adalah seorang pentadbir yang cekap. Dasar pelajaran negara banyak diasaskan kepada pemikirannya. Untuk membangunkan kawasan, Allahyarham telah mencipta sistem "Buku Merah" dan penggunaan maklumbalas dan Ops Room atau Bilik Gerakan. Berhadapan dengan rusuhan kaum pada 1969, beliau menggubal strategi politik yang berkesan, iaitu dengan menjemput parti-parti lawan menyertai Kerajaan dengan penubuhan Barisan Nasional. 8. Allahyarham Tun Abdul Razak adalah seorang pemimpin pembaharuan yang dinamik. Disebalik perwatakan yang lemah lembut dan pendiam, Allahyarham adalah seorang pemimpin yang tegas, gigih serta telah berjaya mengubah corak masyarakat khususnya luar bandar, sehingga menjadikan Malaysia terkenal di peringkat antarabangsa kerana kemajuan luar bandar. Memandangkan sumbangan beliau terhadap pembangunan negara adalah besar, Allahyarham telah digelar "Bapa Pembangunan". Sumbangan beliau kepada masyarakat luar bandar dan negara telah mendapat pengiktirafan dari Filipina dengan pengurnian "Magsaysay Award" dalam tahun 1967. 9. Allahyarham Tun Hussein Onn pula, semasa menerajui pemerintahan negara, adalah seorang tokoh yang berwibawa. Beliau telah memberi banyak peluang kepada tokoh-tokoh politik muda untuk memegang jawatan-jawatan penting di dalam kabinet. Beliau meneruskan dasar luar negeri yang telah diamalkan oleh negara sehingga kini untuk mengadakan hubungan baik antara Malaysia dengan negara-negara ASEAN dan juga negara-negara luar daripada ASEAN. Semasa melancarkan Rancangan Malaysia Ketiga bagi mencapai Dasar Ekonomi Baru, beliau menekankan tentang peluang-peluang orang Melayu dan kaum bumiputera dalam pemilikan saham-saham di sektor syarikat. Semasa beliaulah Amanah Saham Nasional ditubuhkan sebagai usaha untuk mengagih kekayaan koporat kepada lebih ramai rakyat bumiputera. Sepanjang perkhidmatannya, beliau sentiasa menitikberatkan kerukunan hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan kesejahteraan untuk setiap rakyat. Atas pengorbanan yang sedemikian, Allahyarham Tun Hussein Onn telah digelar sebagai "Bapa Perpaduan". 10. Ketiga-tiga bekas Perdana Menteri adalah negarawan- negarawan yang mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi untuk membangunkan negara, mewujudkan keharmonian hidup sebagai satu keluarga yang besar serta menaikkan nama Malaysia dalam arena antarabangsa. Pengeluaran setem-setem kenangan ini merupakan pengiktirafan yang kecil berbanding dengan jasa mereka. 11. Saya berharap asas yang telah ditanamkan oleh para bekas Perdana Menteri Malaysia, akan membawa kita semua ke tahap kemajuan yang kita cita-citakan. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Setem Pos Kenang- kenangan Bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia. |