home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN CANSELOR, UNIVERSITI MALAYA, Tarikh/Date : 07/09/91 Tajuk/Title : PERASMIAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MASEU Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dapat bersama-sama hadir di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MASEU yang ke-12 pagi ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada MASEU kerana menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agungnya serta diberi peluang memberi sepatah dua kata di majlis ini. Majlis perasmian Mesyuarat Agung ke-12 ini bermakna kesatuan tuan-tuan dan puan-puan telah aktif selama lebih sebelas tahun. Saya gembira kerana selama tempoh ini tidak ada apa-apa konflik besar yang berlaku dengan pengurusan dan sebarang perselisihan faham telah dapat diatasi dengan baik. 2. Kerajaan memang menyokong penuh penubuhan in-house un- ion seperti MASEU. Ini adalah kerana pencapaian sesebuah syarikat tidak selalu sama dengan syarikat yang lain walaupun bidang perniagaannya adalah sama. Justeru itu, pekerja sesuatu jenis perniagaan harus sanggup menerima upahan yang berbeza, walaupun tugas dan perniagaan adalah sama. Kesatuan yang berasas kepada sesuatu jenis trade biasanya menekankan persamaan upah tanpa mengambilkira kemampuan sesebuah syarikat dalam trade berkenaan. Dengan itu syarikat yang lemah tidak akan berpeluang meningkatkan kecekapan dan mungkin terpaksa gulung tikar dan menyebabkan pekerja menganggur. Sebaliknya, jika pekerja bersabar dan berusaha meningkatkan pendapatan dan saiz syarikatnya, maka ada kemungkinan mereka akan mendapat tambahan upah dan juga bonus setelah syarikat berjaya. Tidak ada sesiapa yang untung apabila syarikat gulung tikar; pelabur tidak untung, pekerja-pekerja tidak untung dan negara juga tidak untung. 3. Sementara syarikat tidak mempunyai pilihan untuk memberhentikan perniagaan kerana pemberhentian akan menyebabkan kerugian, pekerja boleh berhenti untuk bekerja di mana upahan adalah lebih baik. Dalam keadaan keamanan perusahaan atau industrial peace, pelaburan dan peluang pekerjaan akan meningkat dan pekerja akan memperolehi peluang untuk bekerja di mana upahan lebih tinggi. Sebaliknya, jika kerana desakan kesatuan yang diasaskan kepada jenis kerja, iaitu trade union, upahan adalah sama dalam seluruh industri yang sama, maka pekerja tidak mungkin mendapat pendapatan yang lebih baik jikalau berpindah ke syarikat lain yang sama tradenya. 4. Jika Kerajaan menggalakkan in-house union, ini bukan kerana kepentingan majikan atau Kerajaan. Memang diakui bahawa in-house union tidak kuat seperti trade union untuk mengugut majikan, tetapi dengan memberi peluang kepada pekerja syarikat sendiri berunding, maka mereka bukan sahaja akan lebih arif dengan kedudukan kewangan syarikat tetapi juga lebih bertanggungjawab. Menyebabkan syarikat sendiri menjadi kurang kompetitif kerana kos tinggi akan membawa kesan yang buruk kepada pekerja. Sebaliknya, jika pekerja membantu syarikat sendiri supaya maju, maka pekerja boleh berharap kepada imbuhan yang lebih walaupun prestasi industri yang sama umumnya tidak begitu baik. 5. Kesatuan yang kuat memang boleh memaksa majikan menaikkan pendapatan ahli melalui mogok dan lain-lain tindakan perusahaan. Majikan memang takut kepada mogok walaupun mereka boleh bertindak-balas melalui "lock-out". Tetapi "lock-out" juga tidak akan menguntungkan majikan. Pendek kata, berhadapan dengan ugutan mogok, majikan mungkin terpaksa tunduk dan melayan tuntutan. 6. Dalam hal ini, jika syarikat untung, maka layanan kepada tuntutan pekerja hanya akan mengurangkan dividen pemegang saham. Tetapi kerapkali untuk menampung kos pekerja yang meningkat, syarikat terpaksa menaikkan harga barang-barang atau perkhidmatannya. Jika ini berlaku maka tidak dapat tidak syarikat akan kehilangan dayasaingan dan perniagaannya akan merosot. Kemerosotan prestasi syarikat akan membawa berbagai-bagai kesan buruk kepada bukan sahaja syarikat tetapi pekerja, penganggur dan negara. 7. Dalam hal ini kita boleh mengambil prestasi Britain sebagai contoh. Pada satu ketika kesatuan sekerja Britain adalah antara yang terkuat dan sering mengadakan mogok. Pekerja di Britain berpendapat mereka boleh buat apa sahaja tanpa sebarang tindakan oleh majikan. Dengan itu mereka sanggup berhenti bekerja hanya kerana cuaca baik dan mereka ingin sun-bathe. 8. Akhirnya, ekonomi Britain begitu merosot dan pengangguran meningkat sehingga prestasi ekonomi Britain jatuh rendah daripada lain-lain negara Eropah. Kemerosotan ekonomi yang teruk ini menyebabkan rakyat Britain menolak Parti Buruh dan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja, dan memilih Parti Konservatif pimpinan Margaret Thatcher. Thatcher bertindak membendung kuasa pemimpin kesatuan sekerja dan menghapuskan program sosialis. Dengan itu, ekonomi Britain dipulihkan semula dan bukan sahaja pendapatan pekerja diperbaiki tetapi juga pengangguran dapat 9. "Power Corrupts" dan kuasa pemimpin kesatuan sekerja di Britain telah mengkorapkan mereka sehingga mereka tidak memikirkan lagi tentang kepentingan pekerja tetapi tentang kuasa diri mereka sendiri sahaja. 10. Malaysia bukan Britain. Kita belumpun menjadi sebuah negara maju. Kita adalah negara membangun yang masih lemah. Jika pemimpin kesatuan sekerja di negara maju seperti Britain boleh menghancurkan ekonomi negara itu, apakah nasib yang sama atau lebih buruk lagi tidak akan menimpa kita akibat pemimpin kesatuan sekerja nasional kita yang terlalu berkuasa? Hari ini kita lihat betapa mereka ini lebih mementingkan kedudukan politik mereka dan parti mereka daripada kepentingan pekerja. Mereka sanggup mendedahkan pekerja kilang elektronik kepada pengangguran dengan meminta negara asing menjadikan produk kita tidak kompetitif hanya kerana bencikan Kerajaan. 11. Jika Kerajaan dituduh berniat untuk melemahkan kuasa national trade union melalui galakan in-house union, tuduhan itu adalah tidak benar. Sebabnya kita menggalakkan in-house union ialah kerana apabila orang politik tertentu menguasai national trade union atau trade union congress mereka akan menyalahgunakan kuasa dan tidak akan mengutamakan pekerja. 12. Hari ini kita lihat kemusnahan parti-parti dan pemerintahan-pemerintahan komunis di Russia dan Eropah Timur. Parti Komunis diasaskan kepada dakwaan bahawa apabila pekerja menyokong parti pekerja, maka pekerja akan menikmati kehidupan yang mewah dan bahagia. Tetapi yang berlaku ialah beberapa pemimpin parti hidup mewah, tinggal dalam istana, ke sana sini dengan kereta mewah dan kapalterbang, sementara berjuta-juta pekerja diperhambakan, ditindas dan terus miskin. Pekerja terpaksa menderita selama 70 tahun sebelum dapat menggulingkan sistem komunis yang kononnya berasaskan kepada "dictatorship of the proletariat", atau pemerintahan diktator rakyat bawahan. Inilah yang berlaku apabila kita terpesona dengan janji dan imej syurga di dunia. 13. Kerajaan Malaysia tidak berjanji kebahagiaan hidup yang mudah dicapai. Kita hanya berjanji kebahagiaan jika kita sanggup bekerja kuat untuk masa depan. Tanpa ketekunan bekerja, tanpa disiplin, kita tidak mungkin menambah pendapatan kita secara benar. 14. Strategi Kerajaan ialah menggalakkan pelaburan yang banyak untuk menambah peluang pekerjaan sehingga wujud lebih banyak pekerjaan daripada bilangan pekerja. Pada ketika itu kelak upah akan meningkat kerana berlaku rebutan untuk mendapatkan pekerja. Tetapi kenaikan upah mesti diimbangi dengan peningkatan produktiviti. Jika tidak, barang-barang dan khidmat kita tidak akan dapat bersaing dan membawa keuntungan. Tanpa keuntungan lambat-laun perusahaan akan gagal dan pekerja akan menganggur semula. 15. Sebenarnya kita di Malaysia mampu membuat apa sahaja yang boleh dibuat oleh orang Jepun atau orang Barat. Hari inipun kita telah membuktikan keupayaan kita. Apa yang dahulu kita tidak mimpi boleh kita buat, sekarang ini kita membuatnya dengan mutu yang tinggi. 16. Galakan pelaburan oleh Kerajaan tidak bergantung kepada insentif dan infrastruktur sahaja. Galakan yang terpenting ialah kestabilan politik dan "industrial peace". Sebab itu para pekerja janganlah mudah mengambil tindakan perusahaan kerana dalam jangka panjang ia akan merugikan pekerja. Kita lihat bagaimana negara yang mempunyai "industrial peace" cepat maju tetapi apabila, kerana hasutan dari Barat yang irihati, pekerja mogok sepanjang masa dan membuat tuntutan demi tuntutan, kos melambung naik dan pengusaha rugi. Kemudian para-pelabur mencari negara lain untuk melabur dan pekerja tempatan menganggur. 17. Ini tidak bermakna pekerja harus menerima upahan yang tidak berpatutan. Pekerja harus dilayan dengan baik dan adil terutamanya apabila perkhidmatan mereka begitu baik untuk kejayaan sesuatu usaha. Tetapi cara membuat tuntutan hendaklah melalui rundingan, dan jika ini gagal, dengan cara "arbitration" pula. Ugutan dan ujian tentang siapa lebih kuat adalah cara yang primitif, sama seperti menyelesaikan masalah di antara dua orang dengan bertinju atau masalah di antara dua negara dengan berperang. Di zaman revolusi industri dalam abad ke-19 di waktu mana majikan menganiayakan pekerja dan tidak ada undang-undang untuk mengawal mereka, dan pemerintah pula memihak kepada majikan, memanglah sesuai bagi pekerja berkonfrantasi dan mogok. 18. Sejak zaman itu masyarakat sudah berubah. Dalam demokrasi, seperti di Malaysia, di mana parti-parti politik terpaksa bergantung kepada undi ramai untuk memenangi pilihanraya, Kerajaan yang didirikan tidak boleh membelakangkan kepentingan pekerja. Oleh itu undang-undang untuk melindungi pekerja daripada majikan yang menindas digubal, dan Kerajaan terpaksa mengambil berat tentang masalah pekerja dan berlaku adil kepada mereka. Berlaku adil bukan bermakna memihak kepada pekerja semata-mata. Sungguhpun bilangan majikan tetap kecil berbanding dengan pekerja, dan undi mereka kurang berkesan tetapi tanpa pelaburan oleh mereka ekonomi akan merosot, pekerja akan menganggur dan tidak akan menyokong Kerajaan. Oleh itu, keadilan bermakna juga memelihara kepentingan majikan dan pelabur supaya mereka boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan pekerja tidak gelisah dan tidak bencikan Kerajaan. 19. Sementara para pelabur boleh bermurah hati, mereka tidak melabur semata-mata kerana kebajikan. Mereka juga perlu keuntungan. Keuntungan penting kerana dengan keuntungan ini mereka boleh melabur lagi serta menambah peluang pekerjaan dan membuat penyelidikan sebagai simpanan bagi menghadapi kemelesetan. Kerajaan pula ingin melihat syarikat-syarikat memperolehi keuntungan kerana Kerajaan memerlukan hasil untuk membayar gaji kakitangan Kerajaan dan menyediakan kemudahan-kemudahan seperti sekolah, klinik dan lain-lain lagi yang membantu rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. 20. Di zaman di mana perusahaan dan perniagaan dimiliki oleh orang ramai melalui saham syarikat "public limited", harga saham dalam pasaran memainkan peranan penting dalam menambahkan modal. Pasaran saham sangat sensitif. Terdengar sahaja sesuatu masalah menyerang sesebuah syarikat, harga saham akan turun dengan mendadak. Secara langsung ini merugikan perniagaan terutamanya ketika perniagaan sedang berkembang dan perlukan penambahan modal untuk peralatan dan lain-lain lagi. Syarikat yang tidak berupaya membangun akan merugikan pekerja-pekerja terutamanya dari segi kenaikan pangkat dan upahan. 21. Apa yang saya telah perkatakan adalah berasaskan kepada perhatian dan kajian yang ikhlas. Mungkin ianya tidak sedap didengar dan tidak akan menjadikan saya popular. Tetapi orang yang hanya ingin menjadi popular adalah tidak bertanggungjawab dan akan membawa kepada kerosakan. Dahulu di Amerika Selatan terdapat apa yang dikenali sebagai "Populist Government". Pemerintahan ini akan membuat apa sahaja yang popular kepada majoriti rakyat. Apabila tuntutan kenaikan gaji dibuat pihak memerintah bersetuju. Orang yang bergaji hanya 300 hingga 400 unit matawang sebulan akhirnya dibayar gaji 1 juta unit matawang. Tetapi inflasi meningkat beribu peratus setahun dan pekerja yang menjadi jutawan tidak dapat membeli lebih daripada yang dibelinya dahulu dengan pendapatan 300 hingga 400 unit. Mereka menjadi jutawan, tetapi mereka adalah jutawan miskin dan merana. Apakah maknanya duit banyak jikalau tidak boleh membeli lebih daripada duit yang sedikit? Di masa yang sama negara menjadi bankrap, tidak dapat membangun dan tidak dapat membayar hutang. 22. Justeru itu, saya lebih sanggup menjadi tidak popular untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat, termasuk para pekerja sendiri. 23. MAS adalah syarikat penerbangan negara. Ia berperanan mempamirkan bendera Malaysia di seluruh dunia. MAS bukan dimiliki semata-mata oleh pemegang sahamnya tetapi dimiliki oleh negara Malaysia dan rakyatnya. Apabila MAS berjaya, seluruh rakyat Malaysia berasa bangga. Dan mereka yang menjayakan MAS, sama ada pekerja biasa atau pengurusan atau lembaga pengarah, perlu disanjungi dan diberi imbuhan secara moral dan material. 24. MAS adalah antara beberapa sahaja syarikat penerbangan di dunia yang maju dan berjaya. Di waktu ini hampir semua syarikat penerbangan di Amerika dan di Eropah mengalami kerugian dan banyak pula yang bankrap. PAN-AM, yang dahulunya adalah syarikat penerbangan yang terbesar di dunia, hari ini bankrap dan terpaksa dijual. 25. Kenapakah nasib ini menimpa syarikat-syarikat penerbangan gergasi dunia? Mereka mempunyai pesawat yang lebih banyak dan lebih besar, bilangan penumpang yang berjuta-juta, dan pungutan sewa beribu-ribu juta setahun. Tetapi mereka gagal. Sebabnya ialah pengurus dan pekerja lebih mengutamakan kepentingan diri dan tidak kepentingan syarikat. Sementara upahan melambung naik, prestasi perkhidmatan menurun. Penumpang sudah tidak dipentingkan lagi. Syarikat juga tidak dipentingkan. Yang dipentingkan ialah kakitangan sahaja. Mereka mesti diberi bukan sahaja upahan yang tinggi tetapi layanan yang sentiasa meningkat oleh syarikat, sama ada syarikat untung atau rugi. 26. Pendek kata, mereka menganggap syarikat wujud untuk mereka sahaja dan bukan untuk penumpang, atau syarikat dan masa depannya. Dengan peningkatan kos dan kemerosotan perkhidmatan, syarikat gergasi pun akhirnya menjadi lemah dan bankrap. 27. Kita bernasib baik kerana pekerja-pekerja MAS mengutamakan pelanggan dan perkhidmatan kepada mereka. Justeru itu MAS berjaya. 28. Dengan kejayaan ini apakah pekerja yang menjayakan MAS tidak berhak mendapat layanan yang baik? Sudah tentu mereka berhak. Soalnya ialah apakah yang dianggap layanan yang adil dan saksama? 29. Saya yakin pengurusan MAS tidak akan menghampakan kakitangan MAS. Jika ternampak pengurusan tidak berlaku adil, maka cara yang terbaik ialah melalui rujukan kepada pihak ketiga -- iaitu kepada "arbitration". Sementara itu perkhidmatan MAS hendaklah diteruskan dengan kualiti yang tinggi. Percayalah, perkhidmatan yang baik tidak akan merugikan sesiapa. Sebaliknya perkhidmatan yang buruk akan merugikan semua, walaupun terdapat keuntungan jangka pendek. 30. Kita telah merancang untuk menjadikan negara Malaysia negara maju menjelang tahun 2020. Dalam hal ini kita sahaja yang boleh menentukan sama ada kita dapat mencapai matlamat ini atau tidak, dan bukannya orang lain. 31. Saya yakin para pekerja MAS dan MASEU sebagai kesatuan, tidak akan membelakangkan harapan negara. Sebaliknya dengan usaha-usaha gigih pekerja-pekerja MAS, MAS akan menjadi syarikat penerbangan yang termaju di dunia, syarikat yang melambangkan kecekapan bangsa kita. 32. Dengan harapan supaya MASEU akan menjaga kepentingan ahli-ahlinya secara berkekalan, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MASEU yang kedua belas ini. |