home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 09/09/91 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PAMERAN DAN PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN FOTOGRAFI MUHIBAH Saya mengucapkan terima kasih kepada Nanyang Siang Pau kerana menjemput saya untuk merasmikan Majlis Pameran dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Muhibah pagi ini. 2. Syabas diucapkan kepada penganjur pertandingan ini, iaitu Nanyang Siang Pau dan penganjur bersama, iaitu The Photographic Society of Malaysia, Country Heights (M) Sdn. Bhd. dan MAS atas usaha-usaha mereka menjayakan pertandingan ini. Saya yakin pertandingan seperti ini akan menyumbang ke arah meningkatkan lagi semangat muhibah dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan kebudayaan. 3. Pertandingan seperti ini juga memberi kesempatan kepada masyarakat tempatan untuk mengenali dan memahami cara hidup berbagai kaum di negara ini dengan lebih mendalam. Ia juga merupakan satu daya tarikan kepada para pelancong asing kerana foto-foto tersebut dapat memberi gambaran jelas mengenai masyarakat majmuk negara ini. Adalah diharapkan foto-foto yang dipertandingkan benar-benar "capture the im- ages of togetherness" supaya menepati tema pertandingan ini, yakni harmoni, perpaduan, kerjasama dan kemesraan rakyat berbilang kaum negara ini. Seperti yang sering diperkatakan "A picture is worth a thousand words". 4. Saya merasa gembira pertandingan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Saya difahamkan lebih daripada 600 foto telah diterima daripada berbagai-bagai kaum untuk pertandingan ini. Ini menunjukkan bahawa fotografi boleh dijadikan satu medium yang berkesan bagi rakyat Malaysia memupuk persefahaman dan menjalin hubungan yang lebih erat. Seperti yang diketahui fotografi merupakan satu hobi yang melampaui batasan kaum, ideologi dan agama. 5. Kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan negara yang Ke-34. Tidak dapat dinafikan bahawa semangat muhibah dan perpaduan di kalangan semua kaum telah memainkan peranan penting dan membolehkan kita mencapai kemerdekaan. Oleh kerana wujudnya perasaan muhibah, rakyat berbagai-bagai kaum telah dapat bersatu-padu dan hidup aman damai. Keadaan ini juga telah membolehkan negara membangun dan mencapai kemajuan dengan pesat. Kini kita boleh berbangga bahawa negara kita aman, maju dan makmur kerana wujudnya semangat muhibah yang kental di kalangan rakyatnya. Bagi menjamin masa depan yang lebih cerah adalah penting bagi rakyat, terutama generasi sekarang, sentiasa mengekalkan perasaan muhibah di kalangan mereka. Perpaduan rakyat yang timbul daripada semangat muhibah adalah prasyarat penting dalam usaha kita memajukan lagi negara. 6. Antara cabaran utama kita di masa hadapan ialah mewujudkan sebuah negara yang lebih bersatu-padu di mana rakyat berbilang kaum sentiasa hidup dalam keadaan harmoni. Matlamat kita ialah mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bukan sahaja taat dan setia kepada negara tetapi juga mempunyai masa depan yang sama. Ke arah mencapai matlamat ini, kita perlu meningkatkan usaha menyatupadukan rakyat di samping menghapuskan perasaan syak wasangka dan prejudis di antara satu sama lain. Kita juga perlu mengkaji apakah punca kepada "racial bias" yang masih wujud? Adakah kita memandang serong terhadap seseorang kerana kaumnya? Jika ya, apakah yang harus kita buat untuk mengelakkan daripada "racial bias" ini, terutama kepada anak-anak kita yang terpisah kerana persekolahan yang berlainan. 7. Satu penilaian harus dijalankan supaya kita dapat sentiasa mewujudkan semangat perpaduan di dalam masyarakat kita. Tiap-tiap kaum mempunyai nilai-nilai dan ciri-ciri kebudayaannya yang tersendiri dan langkah yang harus dijalankan sekarang ialah dengan memahami cara hidup kaum- kaum ini. Fahaman yang lebih baik ini boleh dilakukan melalui aktiviti seperti ini kerana ia akan membantu kita memupuk semangat masyarakat penyayang; masyarakat yang bersedia menghormati cara hidup mereka yang berlainan daripada cara hidup kita. 8. Kini, kita hidup dalam masyarakat yang menunjukkan ciri-ciri muhibah, persefahaman dan bertolak ansur di antara satu sama lain. Keadaan ini telah banyak berubah daripada keadaan dua dekad yang lalu. Ini adalah hasil daripada kerjasama individu-individu dalam masyarakat yang tidak mengira kaum. Organisasi-organisasi dan negeri-negeri telah turut memberi kerjasama yang mana telah berjaya memupuk semangat perpaduan melalui program-program tertentu. 9. Sehubungan dengan ini berbagai-bagai dasar telah diperkenalkan seperti Dasar Ekonomi Baru yang telahpun tamat tempohnya. Walaupun begitu, dasar yang diperkenalkan baru- baru ini iaitu Dasar Pembangunan Nasional antara lain juga mempunyai objektif mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat di negara ini. Ini adalah oleh kerana perbezaan taraf hidup jika terkait dengan perbezaan kaum akan menghalang perpaduan. Dasar Pembangunan Nasional, seperti juga Dasar Ekonomi Baru bertujuan untuk mengurangkan perbezaan taraf hidup antara kaum. 10. Di samping itu lain-lain usaha juga perlu dibuat. Pertandingan foto yang bertujuan muhibah adalah antara usaha yang boleh merapatkan hubungan antara kaum, bahkan antarabangsa. 12. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada para pemenang pertandingan fotografi ini. Saya berharap pihak swasta yang lain akan dapat mengadakan program-program yang boleh meningkatkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pameran dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Muhibah. |