Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KELAB KILAT, JALAN PANTAI,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 13/09/91
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC DAN
MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA
ULANGTAHUN KE-46 MIC
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MIC kerana menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan
Perhimpunan Agung MIC ini. Saya yakin Perhimpunan ini dapat
meningkatkan lagi perpaduan di kalangan ahli-ahli MIC, di
samping membolehkan ahli-ahli parti bertukar-tukar pendapat
dan pandangan mengenai isu-isu yang melibatkan kepentingan
Parti MIC dan kepentingan negara.
2. Saya merasa gembira bahawa MIC pada hari ini lebih
bersatu-padu dan kukuh setelah menghadapi sedikit masalah
kepimpinan yang hampir mengancam keutuhan parti. Kejayaan
MIC menyelesaikan masalah dalaman parti menunjukkan
kematangan dan sikap pandangan jauh pucuk pimpinan parti
ini. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk
mengucapkan tahniah kepada pucuk pimpinan MIC, terutama
Datuk Samy Vellu dan Datuk Subramaniam. Saya juga ingin
mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli MIC yang turut
menunjukkan kematangan dan kefahaman bahawa perpaduan dalam
parti adalah amat penting demi kepentingan masyarakat India
dan masa depan parti. Saya yakin semangat baru ini akan
membolehkan MIC mencapai kejayaan yang lebih tinggi di masa
akan datang.
3. Sebagai sebuah parti rakan yang telah lama menyertai
Barisan Nasional, MIC terus memainkan peranan yang positif
dalam perkembangan politik tanahair. Komitmen dan semangat
kerjasama yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan MIC telah
membolehkan Barisan Nasional selama ini menghadapi cabaran-
cabaran dengan jayanya. Semangat kerjasama inilah yang
telah membolehkan Kerajaan Barisan Nasional menumpukan
perhatian kepada usaha-usaha membangun dan memajukan negara
demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
4. Kepercayaan rakyat kepada pemerintahan Barisan Nasional
jelas terbukti apabila Barisan Nasional sekali lagi diberi
mandat dalam pilihanraya umum tahun lalu untuk memerintah
negara. Mandat yang diberikan oleh rakyat ini menunjukkan
bahawa konsep perkongsian kuasa melalui parti-parti Komponen
Barisan Nasional diterima baik oleh rakyat. Justeru itu,
usaha-usaha hendaklah sentiasa dipertingkatkan supaya konsep
Barisan Nasional ini bukan sahaja kekal bahkan juga menjadi
lebih kukuh.
5. Seperti yang diketahui, Dasar Pembangunan Nasional
(DPN) dan Rancangan Malaysia Keenam (RM6) yang menandakan
permulaan era baru dalam usaha kita menjadikan Malaysia
sebuah negara maju telahpun diterima baik oleh rakyat,
termasuk masyarakat India. Matlamat kita ialah menjadikan
Malaysia bukan sahaja maju daripada segi ekonomi, tetapi
juga maju dalam pelbagai bidang lain termasuk politik,
sosial, kebudayaan dan nilai-nilai hidup. Dalam lain
perkataan, bentuk negara maju yang hendak kita tujui ialah
dalam bentuk kita sendiri.
6. Salah satu fakta penting ke arah pencapaian matlamat
ini ialah rakyat Malaysia perlu terus bersatu padu dan hidup
dalam keadaan aman dan harmoni. Jika rakyat berbagai kaum
dan agama dapat mengekal serta meningkatkan perpaduan dan
keharmonian, tidak ada kuasa yang akan dapat menghalang
usaha kita untuk menjadi sebuah negara yang maju.
Sehubungan dengan ini, parti-parti komponen Barisan Nasional
boleh memainkan peranan yang berkesan. Mereka boleh
membantu rakyat memahami dan menghayati hasrat Kerajaan
untuk membawa negara ke peringkat kemajuan yang lebih
tinggi.
7. Parti-parti lawan akan sentiasa berusaha untuk
memburuk-burukkan Kerajaan Barisan Nasional. Mereka akan
menimbulkan isu-isu lama dan mencari serta mengada-adakan
isu-isu baru untuk mengelirukan rakyat. Harapan mereka
ialah supaya perpaduan dan kekukuhan Barisan Nasional dapat
dihancurkan. Parti-parti lawan, tidak akan peduli sama ada
cara ini akan menjejaskan pembangunan negara. Mereka hanya
mahu berkuasa. Mereka sedar bahawa jika rakyat hidup dalam
keadaan aman, makmur dan sejahtera, mereka tidak akan
memperolehi sokongan. Mereka tahu hanya rakyat yang berasa
tidak puashati dan kecewa sahaja yang akan menentang
Kerajaan. Justeru itu, kita mestilah sentiasa berwaspada
supaya tidak jatuh ke dalam perangkap parti-parti lawan.
8. Antara isu yang kerap ditimbulkan oleh mereka ialah
kononnya Kerajaan tidak berlaku adil kepada semua kaum. Di
kalangan masyarakat India pun ada cakap-cakap bahawa kaum
India tidak memperolehi "a fair share of the nation's eco-
nomic cake". Sebenarnya, Kerajaan Barisan Nasional telah
berlaku adil kepada semua kaum. Semua kaum telah menikmati
faedah daripada dasar pembangunan Kerajaan. Ini mesti kita
akui kerana ini adalah satu kenyataan.
9. Kita akui walaupun kita telah berjaya menurunkan
peratusan kemiskinan di dalam negara ini, kemiskinan masih
wujud. Tetapi kemiskinan ini tidak terhad kepada satu kaum
sahaja -- ada kaum Melayu, kaum Cina, kaum India, kaum Iban,
kaum Kadazan dan kaum-kaum lain yang masih miskin. Dalam
hal ini, penekanan akan diberi oleh Kerajaan untuk membasmi
kemiskinan yang masih wujud. Perlu ditegaskan bahawa di
bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2),
Kerajaan akan memberi tumpuan terhadap membasmi kemiskinan
tanpa mengira kaum. Begitu juga dalam usaha menyusun semula
masyarakat, Kerajaan melalui tindakan administrative akan
memberi perhatian yang sewajarnya kepada keperluan
masyarakat-masyarakat lain.
10. Di samping itu, negara kita mempraktikkan sistem
ekonomi bebas. Dalam sistem ini semua orang dan pihak,
tidak mengira kaum, mempunyai peluang untuk memperbaiki diri
mereka. Kerajaan menyediakan peluang yang luas untuk rakyat
yang mempunyai inisiatif, sanggup bekerja keras dan
mempunyai semangat keusahawanan untuk memajukan diri.
11. Justeru itu, tidak ada kaum yang patut merasa mereka
telah diketepikan di dalam pembahagian kekayaan negara.
Juga tidak timbul soal 'tidak adil' atau perasaan "econom-
ically deprived". Kerajaan Barisan Nasional akan menentukan
bahawa semua kaum akan menikmati faedah daripada
pembangunan. Untuk ini "economic cake" yang sedia ada yang
mencukupi untuk semua kaum akan diagihkan dengan saksama.
Yang penting ialah kita perlu mengekalkan kestabilan politik
dan perpaduan supaya pertumbuhan ekonomi dapat dikembangkan
lagi. Jika kestabilan dan perpaduan antara kaum tergugat,
maka sukarlah bagi kita untuk mencapai pertumbuhan. Tanpa
ada pertumbuhan, semua kaum tidak akan dapat menikmati
faedah.
12. Hanya Barisan Nasional yang dapat menjamin masa depan
masyarakat India di negara ini. Barisan Nasional adalah
parti yang dapat menjaga kepentingan semua kaum, termasuklah
masyarakat India. Ini telahpun terbukti di masa yang lepas.
Semenjak MIC menjadi rakan Perikatan lagi, kepentingan
masyarakat India telah dijaga dengan baik oleh pakatan
UMNO-MCA-MIC dan kemudian Barisan Nasional.
13. Kejayaan Barisan Nasional menjaga kepentingan semua
kaum ialah kerana wujudnya semangat kerjasama dan sikap
tolak ansur di kalangan pemimpin-pemimpinnya. Segala
masalah telah dibawa ke meja rundingan dan diputuskan
melalui "consensus". Inilah satu keunikan yang terdapat di
dalam Barisan Nasional dan keunikan inilah yang telah
menjamin negara terus stabil, makmur dan maju.
14. Oleh yang demikian, adalah penting masyarakat India
terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional dan tidak
terpengaruh dengan taktik parti lawan yang sentiasa
menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat.
Parti lawan seperti DAP tidak akan teragak-agak
mengeksploitasikan sentimen perkauman supaya rakyat benci
kepada Kerajaan.
15. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli MIC tidak harus
terpengaruh dengan dakyah-dakyah dan tuduhan-tuduhan parti
lawan seperti DAP. Sebarang masalah yang dihadapi oleh
masyarakat India hendaklah dibawa ke meja perundingan.
Tidak ada faedahnya kita mengemukakan masalah kita
dikhalayak ramai. Ini akan hanya memberi peluang kepada
musuh-musuh Barisan Nasional untuk mengambil kesempatan
membesar-besarkan lagi masalah tersebut. Seperti yang telah
kita alami, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan
oleh Barisan Nasional melalui kerjasama dan tolak ansur.
16. Tanggungjawab yang besar di hadapan kita ialah
menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju, aman dan
makmur. Ke arah mencapai matlamat ini, kita tidak boleh
membuang masa dengan isu-isu yang remeh-temeh yang boleh
menghalang kita daripada menumpu kepada usaha-usaha positif
yang diperlukan untuk menjayakan matlamat negara. Untuk
menghadapi cabaran-cabaran yang mungkin timbul dalam usaha
kita menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020,
kita semua perlu mengukuhkan lagi perpaduan kaum dan
kestabilan politik negara. Hanya melalui perpaduan kaum dan
kestabilan politik sahaja yang dapat menjamin masa depan
rakyat Malaysia.
17. Saya harap Perhimpunan Agung MIC ini akan berjalan
dengan baik dan menghasilkan resolusi-resolusi yang bukan
sahaja akan memberi manfaat kepada ahli-ahli MIC, tetapi
juga kepada negara.
18. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MIC.
|