home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : WISMA MCA, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 05/10/91 Tajuk/Title : MAJLIS KONVOKESYEN KOLEJ TUNKU ABDUL RAHMAN Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kolej Tunku Abdul Rahman kerana menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua kata di Majlis Konvokesyennya pagi ini. 2. Saya sedar ini adalah kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia menghadiri konvokesyen kolej ini. Sudah tentu masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbagai- bagai kaum dan mengikuti dasar-dasar tertentu akan tertanya- tanya apakah maksud dan tujuan saya menerima jemputan ini. 3. Mungkin ada yang akan bertanya sama ada Kerajaan sudah menukar dasar pendidikannya. Apakah kehadiran saya di konvokesyen ini bermakna satu pengakuan bahawa kedudukan masyarakat Cina Malaysia memerlukan pendekatan yang istimewa bagi mereka? Dan banyak lagi soalan-soalan lain akan timbul dan tafsiran dibuat. 4. Saya ingin menjelaskan bahawa kehadiran saya adalah untuk melihat pencapaian Kolej Tunku Abdul Rahman dan juga untuk menilai peranannya dalam sistem pendidikan negara dalam konteks Malaysia di masa ini yang berbeza daripada keadaan semasa Kolej ini ditubuhkan. 5. Dalam mana-mana masyarakat, perubahan sering berlaku. Masyarakat yang tidak mengambil kira perubahan ini dan tidak mengambil tindakan untuk mendapat manfaat daripada perubahan yang berlaku akan menjadi mundur dan kurang kompetitif. Justeru itu, masyarakat yang progresif mestilah sentiasa bersedia untuk membuat perubahan dan mengambil langkah- langkah tertentu. 6. Kolej Tunku Abdul Rahman ditubuhkan kerana desakan daripada masyarakat Cina Malaysia pada tahun-tahun awalan Malaysia merdeka. Ketika itu perbezaan pencapaian di antara kaum amat ketara. Kaum Bumiputera pada masa itu begitu ketinggalan dalam bidang pelajaran sehingga Kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas untuk memberi seberapa banyak peluang pelajaran kepada Bumiputera supaya mereka dapat mengejar kaum-kaum lain di bidang ini. 7. Dengan itu kuota diberikan kepada kaum Bumiputera dalam universiti dan lain-lain institusi pengajian tinggi dalam negeri. Ini memberi gambaran bahawa seolah-olah kepentingan pelajaran kaum lain dibelakangkan oleh Kerajaan. Pada masa itu juga tidak banyak peluang belajar di luar negeri. Bilangan penuntut Malaysia di luar negeri juga terhad. 8. Oleh sebab itu, desakan telah dibuat supaya diadakan sebuah institusi khas untuk kaum Cina. Tidak dapat dinafikan juga bahawa pada masa itu perasaan perkauman amat tebal, dan ada educationists Cina yang mahu supaya sistem pelajaran Cina dilaksanakan oleh Kerajaan bagi orang Cina, walaupun ini akan menjejaskan perpaduan kaum di Malaysia. Sebenarnya penubuhan sebuah universiti Cina dituntut oleh ekstremis Cina ketika itu. 9. Penubuhan Kolej ini adalah solution yang dipilih oleh Kerajaan dan pendekatan ini adalah satu pendekatan yang dirasakan sesuai dengan keadaan di masa itu, di mana hubungan kaum begitu tegang sehingga tercetus peristiwa 13 Mei. 10. Lebih 20 tahun telah berlalu dan keadaan di Malaysia telah berubah. Kini Malaysia sudah mencapai banyak kemajuan. Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) berjaya meningkatkan pencapaian Bumiputera, kedudukan bukan Bumiputera sebenarnya telah menjadi lebih baik. Hakikatnya ialah pada masa ini pencapaian Bumiputera dalam bidang pelajaran masih ketinggalan. Peratusan profesional Bumiputera masih terlalu rendah berbanding dengan peratusan Bumiputera dalam masyarakat. 11. Justeru itu kita masih perlu memberi peluang yang lebih kepada Bumiputera. Kuota dalam universiti masih diperlukan dan institusi, seperti ITM, masih penting. 12. Walaupun demikian keadaan sudah berubah. Peluang pelajaran untuk bukan Bumiputera sudah bertambah kerana kemampuan mereka dan peluang yang lebih luas untuk menuntut di luar negeri. Sungguhpun Kerajaan memberi banyak biasiswa kepada Bumiputera, peratusan mereka di luar negeri hanya rata-rata 15 peratus sahaja daripada jumlah penuntut Malaysia. Keadaan ini menjejaskan usaha mengimbangkan bilangan penuntut Bumiputera dengan bukan Bumiputera. 13. Di samping itu institusi pelajaran bukan Kerajaan dalam negeri telah bertambah. Ini diikuti dengan program twinning dengan universiti-universiti luar negeri yang membolehkan lebih ramai rakyat mendapat pelajaran tinggi dengan mudah dan kos yang lebih rendah. 14. Untuk mengurangkan lagi kos pelajaran, Kerajaan akan membenarkan universiti-universiti luar negeri mengadakan kampus tempatan. Dengan ini adalah diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat peluang pelajaran tinggi. Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan bahawa penuntut bukan Bumiputera akan menikmati peluang pelajaran yang lebih. 15. Inilah scenario yang terdapat sekarang. Soal yang perlu ditanya ialah apakah peranan yang harus dimainkan oleh Kolej Tunku Abdul Rahman? Keadaan sekarang daripada segi peluang pelajaran bagi semua kaum sudah banyak berubah. Apakah exclusivity dan pendekatan Kolej ini masih diperlukan? 16. Satu perkara yang penting bagi kita ialah perpaduan kaum dan identiti bangsa Malaysia. Sudah banyak kemajuan dicapai setelah 34 tahun merdeka. Rakyat Malaysia daripada semua kaum sekarang lebih fasih dalam Bahasa Malaysia. Kebudayaan dan keseniaan Malaysia juga sudah terbentuk yang berteraskan kebudayaan Melayu serta mengandungi unsur-unsur kebudayaan dan seni berbagai-bagai kaum. Di samping itu, Bahasa ibunda masing-masing masih terselamat, tidak seperti di negara-negara lain termasuk negara-negara maju, yang begitu angkuh dengan liberalisma mereka tetapi berusaha menghapuskan bahasa dan kebudayaan kaum yang terasing daripada kaum asli, iaitu definitive people. 17. Dalam hal ini, apakah kaum bukan Bumiputera perlu curiga dengan masa depan mereka dan bahagian mereka dalam kemajuan negara ini? 18. Kini kita telah merancang dan berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Langkah- langkah permulaan ialah pelancaran Rancangan Malaysia Keenam (RM6) dan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) untuk dekad ini. Kita juga telah membentuk Dasar Pembangunan Nasional (DPN) bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB). 19. DEB telah berjaya meningkatkan sedikit pencapaian Bumiputera walaupun matlamat 30% tidak tercapai. Oleh itu DPN bertujuan untuk meningkatkan lagi pencapaian Bumiputera supaya agihan kekayaan di negara ini akan menjadi lebih adil. Ke arah ini kita berkehendakkan kualiti dan bukan kuantiti. Dan kali ini kita memerlukan kerjasama yang lebih bermakna daripada bukan Bumiputera. Jika DPN berjaya, bukan Bumiputera tidak akan rugi seperti juga DEB tidak merugikan bukan Bumiputera. Sebenarnya DEB adalah satu-satunya sosio- economic engineering yang berjaya berbanding dengan pencapaian sosialisma dan komunisma dalam pengagihan kekayaan negara di kalangan semua rakyat. Oleh itu adalah berfaedah bagi bukan Bumiputera menjayakan DPN dengan jujur dan ikhlas. 20. Jika RM6, RRJP2 dan DPN dijayakan oleh semua kaum, negara kita akan berjaya mengorak langkah pertama ke arah Wawasan 2020. Dengan pertumbuhan kek ekonomi pada tahun 2020 menjadi 8 kali ganda lebih besar daripada sekarang, semua kaum akan mendapat nikmat yang bertambah. Tetapi agihan kekayaan antara kaum hendaklah adil. Bahkan adalah diharapkan bahawa keadilan yang akan berlaku akan mengurangkan jarak perpisahan antara kaum sehingga ia tidak lagi menjadi isu. Pada tahun 2020 isu keturunan sepatutnya menjadi irrelevant kerana masing-masing berupaya bersaing tanpa handicap. 21. Bangsa Malaysia pada tahun 2020 akan mempunyai identitinya yang tersendiri, tidak bercorak negara asal mana-mana kaum. Kita akan mempunyai budaya dan seni yang khusus berbentuk Malaysia. Confidence semua warganegara akan kebolehan mereka adalah sama dalam semua bidang. Pencapaian juga tidak lagi dapat dikaitkan dengan kaum. 22. Kearah Wawasan 2020 ini apakah Kolej Tunku Abdul Rahman masih perlu mengekalkan falsafahnya? Perkembangan yang sudah berlaku sekarang ini memerlukan perubahan pandangan Kolej ini. Apatah lagi dengan Wawasan 2020. 23. Daripada sekarang Kolej Tunku Abdul Rahman perlu mengkaji semula peranannya dalam konteks Malaysia yang sudah berubah dan dengan perubahan-perubahan yang akan berlaku. Falsafah Kolej ini yang digubal pada tahun enam puluhan sudah lapok dan perlu dikaji semula dan ditukar. 24. Kerajaan tidak bermaksud untuk memaksa. Kerajaan lebih suka kepada tindakan sukarela. Terpulanglah kepada Kolej Tunku Abdul Rahman memikirkan masa depannya. 25. Integrasi kaum yang berkesan sekali berlaku di bangku sekolah. Ramai daripada ibu bapa bukan Bumiputera yang menghantar anak mereka ke Sekolah Rendah Kebangsaan. Perbuatan ini tidak menjadikan anak mereka orang Melayu tetapi sebaliknya membentuk peribadi Malaysia tanpa menghapuskan unsur keturunan. 26. Mereka lebih mudah bercampur gaul, sesuai dengan masyarakat Malaysia yang diidam-idamkan. Lebih ramai rakyat Malaysia yang terdiri daripada mereka ini di masa depan, maka lebih selamat dan lebih berjayalah Malaysia. 27. Justeru itu, kita semua hendaklah membendung sedikit sentimen yang tidak sealiran dengan matlamat negara untuk membentuk Malaysia yang bersatu-padu, beridentiti Malaysia dan berdaya-maju ke tahap yang ditujukan pada tahun 2020. 28. Hari ini mempunyai makna yang besar bagi graduan- graduan yang akan menerima ijazah. Di samping bergembira dengan kejayaan ini, saudara-saudari juga harus bersyukur kerana di Malaysia kita mempunyai peluang untuk meningkatkan taraf hidup kita dalam masyarakat. Masa depan kita adalah cerah dan tidak ada limit bagi kita mengejar cita-cita kita. 29. Saudara-saudari terhutang budi kepada masyarakat yang memberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran. Saudara- saudari seharusnya membalas budi kepada masyarakat. Saya yakin saudara-saudari akan menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Saya harap saudara-saudari akan bersama- sama dengan rakyat Malaysia yang lain daripada semua keturunan berusaha menjayakan negara ini supaya menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. 30. Saya mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan berharap saudara-saudari semua akan mencapai kejayaan. |