Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MUKTAMAR PUSAT ISLAM, 
			KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	11/10/91 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PELANCARAN RASMI 
			YAYASAN UBAIDI 



 
    Bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah S.W.T. kerana dengan
izinNya dapat kita bersama-sama hadir di  Majlis  Pelancaran
Yayasan Ubaidi pada pagi ini.  Saya mengucapkan terima kasih
kepada  Tan  Sri  Ubaidullah  kerana  menjemput  saya  untuk
merasmikan pelancaran Yayasan ini.
2.   Penubuhan  Yayasan  Ubaidi,  yang  bertujuan   membantu
golongan  miskin,  meningkatkan  taraf pendidikan masyarakat
serta lain-lain kerja kebajikan merupakan satu langkah  yang
mulia  yang  digalakkan  oleh  agama  Islam serta masyarakat
umum.     Penubuhan  Yayasan  ini   menggambarkan   perasaan
tanggungjawab  pengasasnya untuk berbakti kepada masyarakat.
Pengasasnya  Tan  Sri  Ubaidullah  bin  Kadir  Basra  adalah
seorang   peniaga  yang  berjaya  dan  telah  menjadi  tokoh
dermawan yang telah banyak memberi sumbangan  kepada  agama,
bangsa  dan  negara.    Kerana sumbangannya kepada agama dan
kebajikan masyarakat, beliau  telah  dianugerah  tokoh  Maal
Hijrah.
3.   Kerajaan    sentiasa   mengalu-alukan   langkah   orang
perseorangan atau  pihak  swasta  untuk  membantu  golongan-
golongan  yang  kurang bernasib baik.   Satu daripada ibadat
yang mulia dalam Islam ialah pengeluaran zakat.  Tidak  syak
lagi  bahawa  ibadat ini bertujuan untuk keadilan masyarakat
dengan mengagih kekayaan  yang  diperolehi  oleh  umat  yang
lebih  cekap mengumpul kekayaan kepada yang miskin.  Tekanan
agama  adalah  kepada  pemberian  zakat.    Menerima   zakat
bukanlah  satu  ibadat  yang wajib.   Justeru itu kita, umat
Islam, tidak harus terlalu berminat untuk  menerima  sahaja.
Adalah  lebih baik jika kita utamakan usaha mencari kekayaan
secara halal supaya  kita  dapat  bersedekah  dan  mengeluar
zakat  daripada  terlalu mudah menerima sedangkan kita mampu
membuat sesuatu untuk diri kita.    Sekarang  ini  ada  yang
meminta walaupun untuk yang tidak mendesak.  Masyarakat yang
lebih   suka  menerima  daripada  memberi  tidak  akan  jadi
masyarakat yang bahagia.
4.   Pembentukan "welfare state" ciptaan ideologist Barat di
mana majoriti rakyat  menjadi  penerima  tanpa  usaha  telah
menyebabkan  masyarakat mereka menjadi malas dan kucar-kacir
dan pembangunan terjejas.  Negara yang maju sekalipun  telah
menjadi  lemah  kerana sikap ini.  Yang harus menerima ialah
mereka yang betul-betul tidak mampu.   Dan mereka  ini  pula
setelah  memulihkan  kedudukan  kewangan  sendiri  hendaklah
membayar balik kepada masyarakat yang memberi peluang kepada
mereka.  Dengan ini masyarakat akan dipenuhi dengan dermawan
dan sesiapa yang benar-benar memerlukan bantuan  tidak  akan
kecewa kerana sumber bantuan begitu banyak.  Masyarakat yang
seperti  ini  tetap  akan  menjadi  masyarakat yang adil dan
bahagia.
5.   Penubuhan Yayasan ini juga adalah selaras dengan  dasar
Kerajaan   supaya  pembangunan  ekonomi  negara  akan  dapat
dinikmati oleh semua rakyat.  Ada sesetengah pentafsir agama
yang berpendapat bahawa sementara orang Islam boleh menerima
derma dan bantuan daripada siapa sahaja tanpa mengambil kira
agama mereka tetapi orang Islam tidak  boleh  memberi  derma
daripada  punca tertentu kepada bukan Islam.  Walaupun tidak
ada bahagian zakat  yang  khusus  bagi  bukan  Islam  tetapi
mereka  yang  miskin  dan daif berhak mendapat bantuan tanpa
mengambilkira agama mereka.  Pandangan terhadap agama  Islam
akan  menjadi  amat buruk jika orang Islam sanggup menerima,
tetapi tidak sanggup memberi.   Melalui Yayasan seperti  ini
bantuan  boleh  diberi  kepada  siapa sahaja yang memerlukan
bantuan.  Hanya dengan bersanggupan  seperti  ini  baharulah
dapat kita bentuk masyarakat penyayang dan adil.
6.   Sejak  negara mencapai kemerdekaan dan pelancaran Dasar
Ekonomi  Baru,   ramai   rakyat   Malaysia   telah   berjaya
memperolehi  berbagai-bagai  nikmat  dan kemewahan.   Mereka
yang  berjaya  ini  mempunyai  tanggungjawab  sosial   untuk
membantu  masyarakat  yang kurang bernasib baik.  Kita tidak
seharusnya mengharapkan Kerajaan semata-mata untuk  membantu
golongan ini.
7.   Penderma  yang ikhlas tidak harus fikir bahawa penerima
terhutang budi kepadanya.  Tidak ada balasan secara langsung
yang menjadi hak kepada penderma.  Bagi orang Islam  balasan
akan diterima di akhirat kerana memberi zakat dan bersedekah
di dunia.
8.   Walaupun  penerima  tidak  harus  berasa terhutang budi
kepada  penderma,   tetapi   sekurang-kurangnya   ia   harus
berterima  kasih kepada penderma dan bersyukur dengan nikmat
yang diperolehi.  Dengan adanya sifat-sifat seperti ini pada
penderma dan penerima maka  masyarakat  akan  menjadi  lebih
tenang  dan  bahagia  dan  tidak diselubungi dengan perasaan
irihati dan  hasad  dengki.    Jika  penderma  berasa  pihak
penerima   mesti   membalas  budi  dan  yang  menerima  pula
menganggap bahawa apa yang diterima sememangnya  haknya  dan
ia  tidak  perlu  berterima kasih maka tidak ada kebahagiaan
yang akan diperolehi oleh masyarakat.
9.   Kemuliaan dan kebahagiaan sesuatu masyarakat bergantung
kepada sifat-sifat  yang  mulia  yang  terdapat  pada  semua
pihak.    Saya  anggap  sifat  murah-hati Tan Sri Ubaidullah
menepati kehendak agama Islam dan nilai yang dimuliakan oleh
masyarakat  dan  menjadi  petanda  yang  baik   yang   patut
dicontohi.  Saya harap mereka yang mendapat bantuan daripada
Yayasan ini akan menghargainya dan bersyukur.
10.  Dengan  harapan bahawa Yayasan Ubaidi ini akan menolong
ke arah pencapaian masyarakat penyayang, adil  dan  bahagia,
saya  dengan sukacitanya melancarkan dengan rasminya Yayasan
Ubaidi ini.

 



 
Google