Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	28/10/91 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM TAHUNAN 
			PERSATUAN PERKHIDMATAN TADBIR DAN 
			DIPLOMATIK (PPTD) 



 
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa  Persatuan
Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik kerana menjemput saya dan
isteri saya ke majlis makan malam tahunan Persatuan ini.
2.    Seperti  tahun-tahun  yang  lepas,  di mana saya telah
mengutarakan beberapa pendapat dan  pandangan  ikhlas,  pada
kali  ini saya ingin menyentuh mengenai peranan para pegawai
pentadbir serta cabaran-cabaran pentadbiran  dan  pengurusan
yang  dihadapi  dalam  usaha  kita  membawa  negara ke tahap
pencapaian yang lebih tinggi.
3.   Pegawai Perkhidmatan Tadbir  dan  Diplomatik  mempunyai
peranan  penting  dalam  usaha membangunkan negara.  Peranan
ini menjadi lebih penting oleh kerana kita  telah  merancang
untuk  membangunkan  negara  dengan  cepat dan tersusun pada
tiap-tiap tahun supaya matlamat menjadikan  Malaysia  sebuah
negara maju pada tahun 2020 tercapai.
4.   Dibandingkan  dengan kebanyakan negara-negara membangun
yang lain, Malaysia mempunyai Perkhidmatan Awam  yang  cekap
dan  tertib.  Ini telah membantu negara mencapai pembangunan
yang pesat dan  mencatat  pertumbuhan  ekonomi  yang  tinggi
sehingga  kini.    Pencapaian  ini sudah tentu sukar dicapai
jika  pentadbir-pentadbir  Kerajaan   tidak   cekap,   tidak
bertanggungjawab dan tidak beramanah.  Pada hari ini jentera
pentadbiran  kita  bukan  sahaja mendapat sanjungan daripada
beberapa negara lain, tetapi  juga  menjadi  "model"  negara
membangun  dan  yang  mampu  menghadapi  segala  cabaran dan
rintangan dalam usaha untuk mencapai kejayaan.
5.   Namun demikian, sebagai anggota Perkhidmatan Awam  yang
mempunyai  peranan  penting,  pegawai-pegawai   Perkhidmatan
Tadbir  dan  Diplomatik  tidak  harus "rest on your laurels"
atau berpuas hati.  Sebaliknya,  dengan  penetapan  matlamat
yang  tinggi  bagi  negara  kita,  tuan-tuan  dan  puan-puan
hendaklah lebih berusaha untuk meningkatkan lagi  kecekapan,
produktiviti  dan  mutu  kerja  supaya  dapat  kita mengejar
negara-negara yang sekarang lebih maju daripada kita.   Jika
kita hanya bekerja setaraf dengan kecekapan dan produktiviti
pekerja  negara  maju  sekarang,  walaupun kita akan maju ke
hadapan tetapi kita akan kekal di  belakang  mereka  selama-
lamanya.
6.   Penduduk-penduduk  di  beberapa  buah negara Timur yang
berjaya mengejar negara maju di Barat telah  bekerja  dengan
lebih   gigih   dan  lebih  bersemangat  serta  mengutamakan
kemajuan negara lebih  daripada  apa-apa  kepentingan  lain.
Hanya  setelah  negara mereka maju baharulah mereka menuntut
hasil kemajuan ekonomi negara mereka.   Jika  kita  menuntut
hak  dan ganjaran yang sama dengan yang diperolehi di negara
yang  sudah  maju  sedangkan  kita  masih   ditahap   negara
membangun,  maka  kita  tidak  mungkin mencapai kemajuan dan
tidak akan menikmati hasil  usaha  kita  secara  berkekalan.
Apa   yang  akan  berlaku  ialah  pertumbuhan  ekonomi  akan
terjejas sementara sara hidup  kita  akan  meningkat  dengan
mendadak,   yang   akan  menjadikan  pendapatan  kita  tidak
bermakna.  Inilah yang dikehendaki oleh pekerja negara  yang
sudah maju kerana mereka tidak ingin kita mencapai kemampuan
untuk   bersaing  dengan  mereka.    Mereka  ingin  kekalkan
kehidupan mewah mereka dengan memperkudakan  pekerja-pekerja
negara-negara membangun.
7.   Tahun   ini   amat   significant   bagi  negara  kerana
pelancaran  Dasar  Pembangunan  Nasional  (DPN)  dan  Rangka
Rancangan  Jangka  Panjang  Kedua (RRJP 2).  Membentuk dasar
dan rancangan adalah  lebih  mudah  daripada  menjayakannya.
Kejayaan bergantung kepada kesanggupan kakitangan-kakitangan
Kerajaan  yang  bertindak sebagai pelaksana-pelaksana dasar-
dasar Kerajaan.  Bagi menjayakan DPN dan RRJP2, adalah pent-
ing  pegawai-pegawai  Kerajaan  daripada  peringkat   rendah
hinggalah  ke  peringkat tertinggi menghayati serta memahami
dengan  mendalam  matlamat-matlamat  yang  terkandung  dalam
dasar  dan  rancangan  tersebut.    Semua  pihak harus sedar
bahawa kejayaan dasar dan rancangan kita akan dinikmati oleh
kita semua.   Demikian juga kegagalan  akan  merugikan  kita
semua.
8.   Dalam  pelaksanaan  DEB  tumpuan  ramai  adalah  kepada
kekayaan  yang  diperolehi  daripada   pertumbuhan   ekonomi
negara.    Dengan menubuhkan ASN dan lain-lain tabung amanah
serta pemberian berbagai-bagai kemudahan, kita  telah  dapat
mengagihkan  secara  lebih  adil kekayaan negara.   Demikian
juga hasil daripada penambahan biasiswa, bantuan harga padi,
persediaan kemudahan peralatan dan  lain-lain  infrastruktur
serta  pengwujudan  peluang-peluang  kerja  melalui  galakan
pelaburan.   Sesiapapun tidak dapat  menafikan  bahawa  jika
dibandingkan  taraf  hidup kita pada tahun 1970 dengan tahun
1990, taraf hidup tahun 1990 adalah lebih tinggi bagi  semua
rakyat.    Oleh  itu  apabila kakitangan-kakitangan Kerajaan
berusaha menjayakan  DPN  dan  RRJP  2,  nikmat  tetap  akan
dirasai  oleh  mereka  sendiri, dan oleh anak-cucu mereka di
masa hadapan.
9.   Prestasi pegawai-pegawai  kerajaan  dalam  melaksanakan
DEB  adalah baik.  Tetapi kemampuan yang mencukupi untuk DEB
tidak memadai untuk  DPN.    Ini  bukan  semata-mata  kerana
falsafah  DPN  berbeza  daripada  DEB  tetapi kerana keadaan
sekitar sudah berubah.    DEB  dahulu  menekankan  peratusan
kekayaan   negara  yang  diperolehi  oleh  Bumiputera  hasil
pertumbuhan kek ekonomi.   DPN  tidak  menekankan  peratusan
sebagai   sasaran   utama   tetapi  lebih  kepada  kemampuan
Bumiputera  mengendali  dan  mengekalkan  bahagian   mereka.
Bahagian  yang  didapati  hari  ini dan dijual pada keesokan
hari tidak akan menjayakan usaha mengagih kekayaan di antara
semua kaum.  Justeru itu, Bumiputera  yang  berkualiti  amat
penting.  Pegawai-pegawai Kerajaan juga perlu kepada kualiti
ini  supaya  DPN berjaya.  Dan bagi pegawai-pegawai Kerajaan
yang terlibat dengan proses penswastaan atau  yang  berhenti
kerja  untuk  berniaga,  kecekapan mereka juga akan menolong
menjayakan DPN.
10.  Banyak  telah  diperkatakan  mengenai   wawasan   2020.
Kejayaan  wawasan  ini  memerlukan  kerjasama  semua  pihak,
termasuk pegawai-pegawai Kerajaan.  Justeru  itu,  tuan-tuan
dan  puan-puan hendaklah memahami dengan sepenuhnya matlamat
dan falsafah  wawasan  ini  serta  cara-cara  menjayakannya.
Hanya  dengan kefahaman dan penghayatan matlamat wawasan ini
serta usaha yang gigih baharulah matlamat kita untuk menjadi
sebuah negara maju menjelang tahun 2020 boleh dicapai.
11.  Untuk  menjadikan  wawasan  2020  satu  realiti,   para
pentadbir  dan  pengurus  perlu  memikir dan mengesan secara
terperinci   implikasi-implikasi   sosial,    ekonomi    dan
persekitaran  berikutan  proses pembangunan.     Tidak semua
"policy decision"  Kerajaan  membawa  kesan  positif  kepada
satu-satu    masyarakat    kerana    sebab-sebab   tertentu.
Adakalanya niat dan tujuan yang baik mungkin  membawa  kesan
yang   negatif   ataupun  "unintended  consequences"  kerana
pelaksanaan yang tidak cekap dan tidak berhati-hati.
12.  Kita  mahukan  Malaysia  menjadi  sebuah  negara  maju,
bermoral  tinggi  dan bersatu-padu.   Kita tidak mahu negara
kita  maju  tetapi  mempunyai  maruah  yang  rendah.    Kita
perlukan   pembangunan   perindustrian   yang  pesat  tetapi
tidaklah dengan cara  pengorbanan  nilai-nilai  yang  mulia.
Apakah kita mampu mencapai taraf negara maju dan masih boleh
membekalkan  rakyat  kita  dengan  keselesaan  yang  sejajar
dengan pembangunan  pesat  di  samping  berjaya  mengekalkan
moral dan etika yang tinggi?  Bolehkah kita jauhkan masalah-
masalah  sosial  seperti  penagihan  dadah,  penyakit  AIDS,
penderaan kanak-kanak  dan  isteri,  domestic  violence  dan
sebagainya  yang  didapati semakin meningkat?  Tuan-tuan dan
puan-puan   sebagai   pengurus,   pentadbir   dan   pemimpin
organisasi-organisasi    masing-masing,   mampu   menentukan
matlamat negara kita tercapai.  Inilah antara cabaran  pent-
ing bagi kita semua dalam usaha mencapai Wawasan 2020.
13.  Kita  kini  tinggal  dalam dunia yang sentiasa berubah.
Antara perubahan yang pesat dan radikal adalah dalam  bidang
pengurusan dan pentadbiran.  Sebagai pentadbir dan pengurus,
pegawai-pegawai   PTD   perlu   mengetahui  akan  perubahan-
perubahan yang  berlaku  di  dalam  bidang-bidang  ini,  dan
mempelajari  serta  menguasai  pendekatan dan cara-cara baru
ini.
14.  Mereka yang ingin kekal dengan routine  dan  cara  yang
sudah  lapuk  tidak  akan  menjadi efektif sebagai pentadbir
moden.    Jika  kita  gagal  untuk  "keep  abreast"   dengan
perubahan-perubahan  yang berlaku di sekeliling kita, usaha-
usaha bagi meningkatkan kecekapan jentera pentadbiran negara
tidak akan berjaya.   Dalam hal  ini  juga,  pegawai-pegawai
Tadbir  dan Diplomatik hendaklah sentiasa bersedia mengikuti
kursus-kursus berkenaan pendekatan dan cara-cara pentadbiran
yang baru  serta  melengkapkan  diri  dengan  berbagai-bagai
pengetahuan  mutakhir.    Kerja-kerja routine yang berulang-
ulang dari 8 pagi hingga 4 petang  semata-mata,  tidak  akan
dapat  menjayakan  cita-cita  negara.    Komitmen yang lebih
adalah diperlukan.
15.  Kerajaan sedar pentingnya negara mempunyai perkhidmatan
awam yang cekap, bersih dan amanah.   Atas kesedaran  inilah
maka  Kerajaan  sentiasa  menjaga  kebajikan anggota-anggota
perkhidmatannya.   Jika dibandingkan  dengan  banyak  negara
membangun  yang  lain, taraf hidup anggota perkhidmatan awam
kita adalah jauh lebih baik.    Mereka  tidak  perlu  kepada
"moonlighting"    untuk    menambah    pendapatan    seperti
dikebanyakan negara membangun  yang  lain.    Saya  berharap
kenaikan  gaji kakitangan-kakitangan Kerajaan yang diumumkan
baru-baru ini disambut  baik  dan  akan  mendorong  anggota-
anggota  perkhidmatan  awam untuk bekerja dengan lebih kuat,
tekun dan dedikasi.
16.  Tidak  ada  faedah  bagi  kita  semua  membuat  desakan
kenaikan  gaji yang terlalu tinggi jika gaji yang diperolehi
itu tidak dapat membeli lebih  banyak  barang  atau  khidmat
daripada  sebelum  ini.   Apa gunanya kita menerima kenaikan
gaji yang tinggi jika akhirnya kuasa membeli atau purchasing
power kita tidak meningkat tetapi sebaliknya menurun seperti
yang berlaku di banyak negara lain.  Oleh itu, adalah  lebih
baik  kita  menerima kenaikan gaji yang munasabah yang tidak
akan  menimbulkan  tekanan  inflasi  dan  menyebabkan  harga
barang-barang  keperluan  melambung  tinggi.   Dengan sistem
baru ini jika prestasi kita dan kemajuan  negara  meningkat,
kita  akan  berpeluang  merasai  nikmat  daripadanya  secara
langsung dan tidak langsung.
17.  Dalam hal ini, saya berharap dengan kenaikan gaji  ini,
kakitangan-kakitangan  Kerajaan tidak akan berbelanja dengan
sewenang-wenangnya.   Mereka hendaklah  berbelanja  mengikut
keperluan  dan kemampuan dan menabungkan wang lebihan mereka
secara yang menguntungkan.  Dengan cara ini, kita akan dapat
membantu mengawal kenaikan harga atau kadar inflasi.
18.  Kesemua   perubahan   yang   sedang    berlaku    dalam
perkhidmatan  Kerajaan  adalah  berikutan daripada peralihan
tekanan  dalam  pendekatan  Kerajaan  terhadap   pentadbiran
negara,    khususnya    penciptaan   konsep   "Persyarikatan
Malaysia".  Justeru itu, para pegawai PTD haruslah  menerima
hakikat  ini  dan bersedia menyumbangkan tenaga dengan penuh
keazaman dan kegigihan demi kepentingan masyarakat kini  dan
generasi  akan datang dan yang mana, tidak dapat tidak, akan
menguntungkan diri  sendiri  akhirnya.    Para  pegawai  PTD
mempunyai  tanggungjawab  moral  dan  ethical untuk menjamin
bahawa    adanya    perasaan    komitmen,    dedikasi    dan
bertanggungjawab   supaya  sebarang  kekecewaan  diri  tidak
dijadikan sebagai  sebab  untuk  merosotkan  nama  dan  imej
perkhidmatan.    Para  pegawai  PTD    juga  hendaklah sedia
meningkatkan sumbangan mereka demi  kepentingan  bangsa  dan
negara.    Dalam  apa juga bidang, pengurusan yang cemerlang
haruslah dijadikan matlamat yang utama.   Dengan  pengurusan
dan  pentadbiran yang cemerlang bukan sahaja pegawai-pegawai
PTD akan dapat mempertahankan maruah khidmat PTD tetapi juga
Kerajaan dan negara.
19.  Sekali lagi saya dan  isteri  saya  mengucapkan  terima
kasih atas jemputan ini dan saya berdoa semoga kita mencapai
kejayaan  dalam  tanggungjawab dan usaha kita ke arah negara
yang bahagia dan maju, Insya-Allah.

 
 



 
Google