Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 31/10/91
Tajuk/Title : HARI KEBANGSAAN YANG KE-34
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam
bahagia.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan izinNya dapat kita sekali lagi menyambut Hari
Kebangsaan -- Hari Kemerdekaan negara kita.
2. Kini genap 34 tahun negara kita merdeka dan dalam
tempoh lebih dari tiga dekad ini, banyak peristiwa dan
perkembangan yang telah dialami oleh negara. Perayaan Hari
Kebangsaan memberi peluang kepada kita untuk merenung dan
mengimbas kembali perkembangan serta pencapaian-pencapaian
kita selama ini dengan penuh kesedaran bahawa negara kini
bebas daripada penjajahan, baik penjajahan fizikal mahupun
politik. Meskipun demikian, kita hendaklah sentiasa
berwaspada kerana penjajahan dalam bentuk lain masih boleh
berlaku dalam dunia sekarang, iaitu melalui penguasaan
ekonomi dan pemikiran.
3. Kita juga harus bersyukur kerana dengan kebebasan dan
kekuatan ekonomi yang telah kita capai serta kestabilan
politik, kita mampu memilih dan menentukan hala, bentuk,
serta kepesatan kemajuan yang kita mahukan untuk kita dan
generasi akan datang. Yang penting bagi kita sekarang ialah
menggunakan sepenuhnya kesetabilan dan sumber-sumber yang
ada pada kita, terutamanya sumber manusia, supaya matlamat
menjadikan Malaysia sebuah negara maju akan menjadi satu
realiti. Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bebas,
tidak ada sebab hasrat kita ini tidak boleh dicapai jika
kita semua bekerjasama dan berusaha dengan gigih dan tekun.
4. Memang benar tidak semua rakyat faham serta dapat
menghayati erti kemerdekaan sebenarnya. Ini lebih-lebih
lagi dengan peningkatan bilangan penduduk yang dilahirkan
selepas merdeka. Generasi yang lahir selepas merdeka ini
tidak merasai pahit-maung kehinaan sebagai bangsa dan negara
yang dijajah. Tetapi sekurang-kurangnya rakyat, terutama
generasi muda, perlu sentiasa disedarkan serta memahami akan
sejarah sebelum dan selepas merdeka. Dengan adanya
kesedaran dan kefahaman ini, mereka akan lebih menghargai
dan bersyukur di atas kestabilan, kesejahteraan dan
kemakmuran yang dinikmati sekarang.
5. Kemerdekaan yang bermaksud hanya kebebasan tidak
bermakna jika ianya tidak disertai dengan pembangunan dan
kemajuan. Kemerdekaan hanya bermakna apabila rakyat turut
sama menikmati pembangunan dalam erti kata sepenuhnya.
Pembangunan yang dimaksudkan di sini ialah pembangunan
daripada segi politik, ekonomi, sosial, moral, etika dan
lain-lain yang menjadikan kehidupan lebih bahagia.
Janganlah kita fikir bahawa kemerdekaan tetap akan membawa
kebahagiaan kerana banyak negara-negara yang mencapai
kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua, mengalami keadaan
tidak stabil dan merosot prestasi mereka.
6. Kini kita telah sampai ke satu persimpangan jalan
dengan berakhirnya tempoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan
bermulanya era Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang akan
menentukan arah dan matlamat negara di masa hadapan. Di
samping itu, kita juga telah melancarkan Rancangan Malaysia
Keenam (RM6) yang merupakan fasa pertama DPN dalam usaha
kita untuk mencapai taraf sebuah negara maju menjelang tahun
2020. Dengan pelancaran DPN dan RM6, maka asas utama bagi
negara menuju ke tahap sebuah negara yang maju, telahpun
didirikan.
7. Walaupun Wawasan 2020 telah banyak diperkatakan, namun
masih ada yang belum betul-betul faham akan matlamat sebenar
Wawasan ini. Ramai yang berpendapat bahawa menjelang tahun
2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara industri dengan
pendapatan sekepala rakyat Malaysia meningkat kepada
US$10,000 dolar setahun. Industri dan pendapatan memang
menjadi ukuran pembangunan, tetapi negara maju yang
dimaksudkan juga bermakna rakyat lebih berilmu, memiliki
nilai-nilai dan sifat-sifat yang mulia, bersikap penyayang
dan bertimbangrasa, menghargai dan memelihara alam sekitar
dan beragama. Pendapat bahawa penderitaan di dunia bermakna
kebahagiaan di akhirat dan sebaliknya kebahagiaan di dunia
bermakna penderitaan di akhirat tidak berasas. Imbangan
antara dunia dan akhirat adalah perlu dalam Negara Maju
Malaysia yang menjadi Wawasan kita. Oleh yang demikian,
adalah amat wajar sekali Hari Kebangsaan tahun ini
bertemakan 'Wawasan 2020'. Melalui tema ini, rakyat boleh
disedarkan mengenai hala tujuan negara di masa hadapan,
maksud dan makna negara maju, dan cara-cara bagaimana kita
boleh mencapai matlamat kita.
8. Dalam konteks ini, setiap anggota masyarakat daripada
pemimpin-pemimpin Kerajaan, Eksekutif-eksekutif dan pekerja-
pekerja sektor swasta, Pegawai-pegawai dan kakitangan
Kerajaan, para peniaga, serta rakyat keseluruhannya perlu
berganding bahu, bekerjasama dan berusaha bersungguh-sungguh
supaya matlamat menjadi sebuah negara maju menjelang tahun
2020 tercapai.
9. Untuk mencapai matlamat ini juga, satu faktor yang
perlu wujud ialah perpaduan masyarakat. Perpaduan hendaklah
berasaskan dan bermakna persefahaman di antara dan di dalam
kaum dan perwujudan sifat penyayang atau "caring" di antara
satu sama lain. Justeru itu, amatlah penting dipraktiskan
prinsip hidup bertoleransi dan sikap bantu-membantu sesama
kita. Kita perlu mengelakkan kegiatan-kegiatan yang boleh
mengancam keamanan dan keharmonian negara. Bersatu juga
bererti mendokong bersama konsep demokrasi serta sehati dan
sejiwa dalam menghadapi cabaran-cabaran di masa akan datang.
Yang penting ialah kita perlu berusaha dengan gigih, tekun,
berdisiplin, serta sanggup mendahulukan kepentingan negara
daripada kepentingan diri. Sebenarnya mengutamakan
kepentingan negara, dalam jangka panjang akan membawa lebih
banyak nikmat kepada diri sendiri.
10. Untuk menjamin negara akan terus mencapai pertumbuhan
ekonomi yang pesat, Kerajaan akan meneruskan dasar-dasar
yang liberal dan pragmatik yang mampu menarik lebih banyak
lagi pelaburan dari dalam dan dari luar negeri. Kita juga
akan meluaskan lagi asas pembuatan kita dengan menggalakkan
industri yang berteknologi tinggi dan canggih serta
meningkatkan lagi kegiatan Penyelidikan dan Pembangunan atau
R & D. Para pengusaha dan pengeksport kita juga perlu
meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti supaya negara
menjadi lebih kompetitif. Pekerja juga mempunyai peranan
yang penting untuk mewujudkan suasana yang sesuai untuk
pertumbuhan ekonomi. Jika sengketa majikan - pekerja kerap
berlaku, maka pelaburan akan terjejas dan pengangguran tidak
akan dapat diatasi. Dalam keadaan ini pendapatan pekerja
tidak mungkin meningkat.
11. Daripada segi pembangunan akhlak pula, adalah penting
kita menyediakan bagi generasi muda kita kemudahan
pendidikan dan ajaran yang dapat melahirkan perwatakan atau
personaliti yang mana nilai-nilai seperti amanah,
bertanggungjawab, hormat-menghormati antara satu sama lain
dan semangat untuk berdaya maju merupakan falsafah hidup.
Selain daripada itu, yang harus dijadikan teras utama hidup
rakyat kita menjelang tahun 2020 ialah kekukuhan institusi
kekeluargaan. Ini akan dapat menghindarkan dari timbulnya
masalah sosial seperti penderaan kanak-kanak dan isteri,
penyalahgunaan dadah, penyakit AIDS dan sebagainya.
12. Petunjuk-petunjuk yang ada sekarang menunjukkan kita
berada di arus yang betul. Pencapaian ekonomi kita boleh
dibanggakan kerana kita bukan sahaja mampu mencatat kadar
pertumbuhan yang tinggi sehingga sebanyak 10 peratus bagi
tahun 1990, tetapi juga kadar inflasi kita adalah di antara
terendah di dunia, dengan kadar sebanyak 3 peratus. Di
samping itu, Kerajaan telah dapat mengurangkan kemiskinan di
kalangan rakyat, dan dengan tindakan-tindakan yang dirancang
termasuk latihan dan peluang pekerjaan, ianya dijangka
menurun lagi menjelang dekad-dekad akan datang. Meskipun
begitu, kita tidak harus berpuas-hati dengan pencapaian kita
kerana pertumbuhan ekonomi harus dikekal dan ditingkatkan
jika kita ingin menjadi sebuah negara maju menjelang tahun
2020. Kita semua harus sanggup menggugurkan cara-cara lama
yang tidak sesuai dan menggantikannya dengan cara-cara baru
yang lebih mampu membantu pencapaian matlamat kita.
13. Janganlah tema ini menjadi hiasan sahaja. Kita
haruslah bersama-sama menerapkan semangat tema sambutan Hari
Kebangsaan ini serta menghayati makna dan semangatnya.
Insya-Allah akan kita berjaya.
|