home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 08/11/91 Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM ASSALAMU ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita sekali lagi bersama-sama menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini. Sebagai Presiden Parti, saya bagi pihak parti dan Majlis Tertinggi mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan sekalian. Marilah kita bersama-sama berdoa semoga Perhimpunan kita ini direstui dan diberkati Allah S.W.T. 2. Kita juga mengalu-alukan kehadiran wakil-wakil parti- parti komponen Barisan Nasional ke Perhimpunan ini. Turut juga dialu-alukan ialah para pemerhati dan para jemputan yang telah sudi hadir bersama-sama kita di perjumpaan hari ini. 3. Hari ini juga kita mengalu-alukan kehadiran pada kali pertama para perwakilan UMNO dari Sabah. UMNO, walaupun baru di Sabah, telah memainkan peranan penting dalam menyedarkan penduduk Sabah mengenai betapa pentingnya wujud kerjasama yang erat di antara negeri-negeri di Malaysia, betapa pentingnya perpaduan dan persefahaman ditingkatkan dan lebih-lebih lagi betapa pentingnya rakyat Malaysia bersatupadu menghadapi cabaran-cabaran di masa hadapan. Kita mengalu-alukan penyertaan rakan-rakan kita dari Sabah. 4. Baru-baru ini juga rakan-rakan kita di Sarawak telah mencapai kemenangan cemerlang dalam pilihanraya negeri. Saya ucapkan tahniah dan syabas. Barisan Nasional di Sarawak telah sekali lagi diberi mandat oleh penduduk Sarawak. Kemenangan Barisan Nasional ini menunjukkan bahawa rakyat inginkan pembangunan, kerjasama dan persefahaman. Pengundi-pengundi di Sarawak menolak politik perkauman dan politik perpecahan. Mereka tidak mahu orang yang tidak laku dan kecewa di Semenanjung melepaskan perasaan iri-hati mereka di Sarawak. Syabas sekali lagi Sarawak. KUASA DAN TANGGUNGJAWAB _______________________ 5. Pada tahun ini genaplah 34 tahun UMNO mentadbir Persekutuan Tanah Melayu pada mulanya dan kemudian Malaysia, melalui Perikatan dan selepas itu Barisan Nasional. Ini bererti sepanjang kemerdekaan negara ini, UMNO tidak putus- putus berkuasa dan mendirikan Kerajaan. 6. Dalam tempoh 34 tahun ini, negara telah mencapai kemajuan demi kemajuan sehingga hari ini dunia mengiktiraf pembangunan negara Malaysia sebagai luar biasa dan mengkagumkan. Sementara banyak negara merosot setelah mencapai kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua, Malaysia bukan sahaja membangun dengan pesat tetapi juga dianggap oleh kebanyakan negara membangun sebagai model yang patut dicontohi. UMNO berhak menepuk dada kerana semua ini berlaku semasa UMNO memerintah. 7. Tetapi sebelum kita terlalu berpuas-hati dengan kejayaan kita, marilah kita mengingatkan diri kita bahawa pemisahan di antara kejayaan dengan kegagalan adalah amat tipis dan mudah ditembusi. Justeru itu, marilah kita menoleh ke belakang untuk melihat asal usul kita, menganalisa sebab-sebab kejayaan kita, dan kemudian menentukan tindakan yang perlu diambil untuk mencapai matlamat yang telah kita rancangkan untuk bangsa, agama dan negara. 8. Sebelum merdeka, kita dijajah dan diperintah oleh British dan juga lain-lain kuasa Eropah. Ada juga negeri- negeri Melayu yang bebas tetapi mereka juga terpaksa menghantar 'bunga emas' kepada Siam dan Cina. Dengan perkataan lain, negeri-negeri Melayu tidak pernah bebas daripada dikuasai oleh kuasa asing. 9. Soal yang harus kita tanya diri kita ialah kenapakah kita mudah dijajah dahulu? Apakah ianya disebabkan semata- mata kerana keganasan dan ketamakan orang Eropah dan jiran- jiran kita? Apakah kita tidak langsung bersalah? Apakah Kerajaan Raja-Raja Melayu memerintah negeri-negeri Melayu dengan baik dan menjaga ketahanan negeri masing-masing? Apakah pembesar-pembesar Melayu ketika itu menjalankan tugas-tugas mereka dengan bertanggungjawab? 10. Apakah tidak ada rebutan takhta dan kuasa di kalangan keluarga DiRaja? Apakah pegawai-pegawai istana dan pembesar-pembesar lain tidak terlibat menghasut keluarga Raja-Raja dengan tujuan mendapatkan tempat untuk diri sendiri? Apakah mereka ini tidak berusaha untuk menjatuhkan orang atasan melalui tohmah dan fitnah supaya mereka akan mendapat jawatan-jawatan tertentu dalam istana dan Kerajaan? Apakah kegiatan-kegiatan orang seumpama ini tidak melemahkan negeri-negeri Melayu? 11. Sebenarnya pemerintahan Kerajaan-kerajaan Melayu sebelum penjajahan kuasa-kuasa barat tidak merupakan pemerintahan sebuah negara atau negeri, tetapi sebaliknya adalah pemerintahan untuk kepentingan beberapa kerat golongan bangsawan. Mereka seolah-olah menganggap negeri yang mereka memerintah itu milik mereka dan segala hasil cukai adalah hak mereka dan boleh digunakan mengikut sesuka hati mereka. 12. Oleh kerana sesiapa yang berkuasa akan menikmati keuntungan untuk diri sendiri, maka rebutan untuk mendapat kuasa dan tempat berlaku sepanjang masa tanpa mengambilkira keselamatan negeri dan kesejahteraan rakyat. 13. Apakah rakyat ketika itu tidak bersalah sama sekali dalam perkara ini? Jika diteliti, rakyat juga didapati bersalah. Mereka menerima tanpa soal sistem pemerintahan yang penuh dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah kerana mereka berharap akan mendapat faedah daripada sistem itu. Mereka menyokong pemimpin dan Raja yang mahu merebut kuasa kerana berharap giliran mereka menerima rasuah akan tiba. Bahawa dengan berlakunya rebutan dan rasuah ini negeri mereka menjadi lemah, tidak sedikitpun dipedulikan oleh mereka. 14. Tujuan semua pihak, daripada rakyat biasa sehinggalah kepada Raja, ialah bagaimana hendak mengaut kekayaan negeri untuk diri sendiri semata-mata. Negeri disifatkan sebagai lembu tenusu yang boleh diperah untuk diminum sendiri. Negeri tidak dibangunkan supaya berdaya maju, kuat, terselamat, dan semua penduduknya, sama ada Raja atau rakyat, dihormati dan memperolehi kebahagiaan. 15. Kerana tidak beramanah, cukai yang dipungut tidak semuanya sampai kepada Perbendaharaan. Setiap pegawai dan kakitangan yang ditugaskan mengutip cukai meraih sebahagian daripada cukai itu untuk diri sendiri. Akhirnya, kurang daripada separuh hasil yang dipungut benar-benar sampai kepada Perbendaharaan dan Raja. 16. Dalam keadaan ini datanglah tauke yang menawar kepada Raja jumlah cukai yang sekali ganda lebih daripada yang pernah didapati oleh Raja jika tauke ini diberi monopoli untuk mengutip cukai bagi Kerajaan. Tawaran ini amat menarik dan monopoli diberi kepada tauke. Apa yang dibuat oleh tauke ialah mengutip cukai dengan menggunakan orangnya sendiri tanpa sedikit pun cukai yang dipungut dicuri. Walaupun Raja memperolehi jumlah sekali ganda daripada biasa, tetapi tauke pula dapat lebih daripada itu kerana sebenarnya cukai yang dikutip amatlah besar. Namun Raja berasa terhutang budi kepada tauke dan selalu berdamping dengannya dan memberi gelaran Kapitan Cina kepadanya. 17. Demikianlah juga dengan monopoli penjualan candu di masa itu. Semasa pihak pemerintah memonopoli penjualan candu, tidak banyak hasil yang sampai kepada Perbendaharaan. Tetapi apabila monopoli diberi kepada tauke, jumlah hasil jualan candu meningkat dengan banyaknya. Dengan itu pengaruh Kapitan Cina meningkat dalam istana. 18. Mungkin tauke boleh disalahkan. Tetapi perkara ini berlaku kerana sikap orang Melayu ketika itu. Jika mereka bekerja dengan jujur dan memandang hina kepada perbuatan tidak beramanah, perkara-perkara seumpama ini tidak akan berlaku. Oleh kerana mereka bukan sahaja memandang ringan kepada amalan rasuah tetapi juga menganggapnya sebagai perkara biasa yang harus dilakukan oleh sesiapa yang berkuasa, maka akhirnya mereka hilang kuasa sebagai pentadbir, dan maruah bangsa terjejas. 19. Dalam rebutan kuasa yang sering berlaku dalam keluarga Raja, bantuan pihak asing diminta dengan menjanjikan hak monopoli berniaga kepada yang membantu. Akhirnya negeri- negeri Melayu dibanjiri oleh tentera-tentera asing yang kononnya diperlukan untuk mempertahankan trading post mereka tetapi secara tidak langsung menguasai wilayah berkenaan. 20. Kita mungkin asyik menyalahkan penjajah. Tetapi harus kita ingat bahawa British tidak merampas negeri-negeri Melayu melalui peperangan. Kerajaan-kerajaan Melayu ketika itu menjemput British kerana mereka terlalu lemah untuk memerintah dengan berkesan. 21. Alhamdulillah, hari ini kita telah merdeka dan kita boleh menentukan nasib kita sendiri. Pejuang-pejuang kemerdekaan tidak memikir dan terfikir untuk mendapatkan sesuatu bagi diri mereka sendiri. Tumpuan mereka adalah kepada maruah bangsa, agama dan tanah air. Perselisihan antara pemimpin-pemimpin politik Melayu dalam tahun-tahun sebelum merdeka bukan kerana jawatan, tetapi kerana pendekatan dalam memperjuangkan nasib bangsa. Sementara Allahyarham Dato Onn, setelah berjaya menewaskan Malayan Un- ion, ingin menjadikan UMNO sebuah parti berbilang kaum, pemimpin-pemimpin lain, termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman, ingin mengekalkan UMNO sebagai parti orang Melayu. 22. Oleh kerana perjuangan yang ikhlas, UMNO di bawah pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham- Allahyarham Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Sardon Jubir dan lain-lain tokoh berjaya menebus kemerdekaan negeri-negeri Melayu dan membentuk sebuah negara. Secara kebetulan sahaja mereka mendapat jawatan-jawatan yang tinggi dalam Kerajaan dengan pendapatan yang tetap dan kuasa tertentu. Tetapi perjuangan mereka bukanlah untuk mendapat jawatan dan kuasa. Mereka berjuang kerana bangsa, agama dan tanah air. 23. Mereka tidak taksub dengan kuasa. Mereka tidak menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Apa yang dibuat oleh mereka adalah untuk kebaikan umum, untuk orang Melayu, untuk agama dan untuk tanah air. 24. Tetapi, lama kelamaan ada yang mendapat jawatan dan kuasa dalam Kerajaan lebih mementingkan cita-cita atau ambi- tion mereka sendiri. Jawatan dalam Kerajaan bukan digunakan sepenuhnya untuk memajukan negara, tetapi juga untuk memajukan diri. Wang Kerajaan digunakan untuk mempopularkan diri dalam parti, supaya berjaya memperolehi jawatan yang lebih tinggi. Matlamat terakhir ialah untuk menjadi Perdana Menteri. 25. Pernah seorang bekas Menteri Kewangan berjanji memberi tiga ribu juta ringgit kepada Kerajaan negeri Selangor dan juga lesen bank supaya perwakilan UMNO dari Selangor menyokongnya untuk jawatan tertentu dalam Majlis Tertinggi. Dewan-dewan Perniagaan Melayu di tiap-tiap negeri diberi lesen finance company olehnya. On-the-spot grant, yang sebenarnya dikhaskan untuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sahaja, juga digunakan oleh Menteri ini untuk mempopularkan dirinya. Bermacam-macam lagi kuasa Kementerian Kewangan digunakan olehnya semata-mata untuk mendapatkan sokongan bagi diri sendiri dalam pertandingan untuk merebut jawatan tinggi dalam UMNO. 26. Amalan buruk Menteri ini sepatutnya dipandang hina dan ditolak oleh semua pihak. Malangnya ada juga yang menerima dan sanggup mengamalkan cara yang keji ini. Terdapat juga anggota-anggota Kerajaan dan pemimpin-pemimpin parti yang masih suka menggunakan pendekatan ini. 27. Demikian juga mereka yang menjadi kaya kerana Dasar Ekonomi Baru. Dengan wang yang diperolehi, pengaruh dibeli untuk mendapatkan tempat dalam parti di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka yang mendapat jawatan dalam syarikat- syarikat milik Kerajaan juga menggunakan kedudukan dan pendapatan mereka untuk mendapat sokongan dan tempat. 28. Contoh buruk bekas Menteri Kewangan ini menular ke semua peringkat sehingga ada calon Majlis Tertinggi yang sanggup memberi sogokan untuk mendapat sokongan. Sebab itulah sementara sejumlah besar daripada bahagian mencalonkan orang tertentu bagi satu jawatan, tetapi apabila para perwakilan mengundi, keputusan didapati jauh berbeza daripada keputusan yang dibuat oleh bahagian-bahagian. Kerana amalan rasuah dan mengutamakan diri sendiri ini, UMNO akhirnya diheret ke mahkamah dan dihukum tidak sah. Syukur Alhamdulillah kerana masih ramai yang secara ikhlas mencintai UMNO, UMNO dapat dipulihkan semula. 29. Ramai rakyat biasa juga tidak boleh berbangga dengan sikap mereka. Undi bukan digunakan untuk memilih pemimpin dan parti yang boleh menjayakan negara, tetapi untuk mendapatkan sesuatu bagi diri sendiri atau untuk kampung atau tempat. Adakalanya apabila sipolan-sipolan membuat kesalahan, seperti mencerobohi tanah Kerajaan, ugutan dibuat supaya tindakan tidak diambil jika parti Kerajaan ingin kemenangan. Walaupun Kerajaan telah memberi banyak bantuan, semua ini dilupakan begitu sahaja jika yang dituntut tidak dilayan. Bahawa Kerajaan mentadbir dengan baik dan adil dan membawa banyak pembangunan yang menguntungkan rakyat dan mengukuhkan negara, semua ini dianggap tidak penting. Seperti di zaman pemerintahan Raja-Raja Melayu dahulu, ramai rakyat sekarang ini mengutamakan diri sendiri lebih daripada bangsa dan negara. 30. Nampaknya kita sekarang sedang menuju ke arah keadaan di zaman pemerintahan Raja-Raja Melayu dahulu. Sepertimana rasuah dan penyalahgunaan kuasa dahulu akhirnya menyebabkan negeri-negeri Melayu ditakluk oleh bangsa asing dan orang Melayu diperhambakan, demikian juga keasyikan menyalahgunakan apa jua kuasa yang ada di semua peringkat akan melumpuhkan orang Melayu dan menyekat kejayaan mereka. Jika keadaan ini berterusan, saya khuatir, orang Melayu akan diperhambakan sekali lagi. 31. Saya sedar apa yang saya katakan ini akan menyebabkan kemarahan pihak-pihak tertentu di dalam dan di luar parti dan Kerajaan. Tetapi saya tidak akan bertanggungjawab jika saya tidak perkatakan yang benar demi menyelamatkan bangsa Melayu yang menjadi tunggak Kerajaan negara ini, bangsa yang menegakkan agama Islam, dan kedaulatan negara Malaysia. 32. Mengutamakan keuntungan hari ini bagi diri sendiri akan merugikan bangsa dengan banyak pada hari esok. Jika bangsa sudah menjadi lemah, diri sendiri tidak akan terselamat daripada padahnya. Sebaliknya, mereka yang bersabar dan sanggup menunggu kebahagiaan daripada keteguhan bangsa kemudian hari akan memperolehi kebahagiaan bagi diri sendiri secara yang lebih kekal. Menerima sedikit rasuah mungkin dianggap perkara ringan. Tetapi percayalah kesan buruk rasuah tidak bergantung kepada kecil atau besar jumlahnya. Jika rasuah dalam berbagai-bagai bentuk sudah menjadi tabiat, lambat laun bangsa akan lumpuh. Jika kita ingin menjadi bangsa yang mulia, bermaruah dan berjaya, elakkanlah diri daripada apa jua jenis rasuah, termasuk penyalahgunaan kuasa mengundi, sogokan wang dan sogokan sokongan. Rasuah adalah kotor dan jijik dan akan membawa kecelakaan kepada bangsa, agama dan negara. ISLAM UNTUK KEMAJUAN ____________________ 33. Kejayaan atau kegagalan seseorang banyak bergantung kepada dirinya sendiri. Sebab itulah walaupun peluang dan kemudahan yang sama disediakan, kejayaan yang diperolehi tidak pernah sama di antara satu sama lain. Demikian juga dengan bangsa. Bangsa yang dikelilingi oleh keadaan yang menekan boleh berjaya sedangkan bangsa yang mempunyai negara yang serba mewah mungkin lebih miskin dan lemah. Sebabnya ialah kualiti dan sifat yang ada pada bangsa-bangsa berkenaan. 34. Ada orang yang menyalahkan takdir. Kononnya Tuhan telah mentakdirkan seseorang itu miskin. Justeru itu, ia tidak perlu mencuba memperbaiki nasibnya. Masyarakat juga tidak perlu mencuba memperbaiki nasibnya. Orang Islam yang hanya menyalahkan takdir sedangkan ia boleh memperbaiki nasibnya adalah orang yang kurang percaya kepada keadilan Allah S.W.T. Allah S.W.T. tidak memberi akal fikiran, tenaga dan pancaindera kepada manusia jika mereka hanya dikehendaki menunggu dan menerima nasibnya sahaja. Segala anggota, tenaga dan akal fikiran diberi kepada makhluk Allah S.W.T. untuk digunakan bagi menyelamat dan menjayakan diri mereka. Manusia yang bermulut tetapi tidak makan dan minum akan mati. Kematiannya apabila berlaku memang ditakdirkan. Tetapi jika ia makan dan minum dan hidup serta bertenaga, itu juga takdir. 35. Guru-guru agama yang mengajar orang Islam supaya tidak berusaha bersungguh-sungguh adalah guru-guru yang jahil walaupun memiliki ijazah berjela-jela. Guru yang fasih dalam bahasa Arab dan menganggap orang yang tidak fasih dalam bahasa tersebut sebagai tidak berhak mengulas ajaran Islam adalah orang yang angkuh dan sombong, dan Allah tidak suka kepada orang yang sombong. Bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi guru yang berpengetahuan agama yang tinggi tetapi membuat perkara-perkara yang salah. Tidak akan wujud fahaman yang berbeza-beza yang memecah-belah dan mengasingkan orang Islam jika tidak kerana ajaran oleh mereka yang menyalahtafsirkan ajaran Islam secara sedar atau sengaja. 36. Agama Islam sepatutnya membawa kejayaan kepada umatnya. Orang Arab yang jahil, setelah menerima agama Islam telah menjadi bangsa yang berjaya di dunia pada masa itu. Islam adalah Ad-deen atau cara hidup. Dengan bangganya kita mendakwa kepada dunia bahawa Islam bukan sebarang agama, tetapi adalah Ad-deen - Cara hidup - a way of life. Tetapi ajaran yang kerap disampaikan kepada umat Islam tertumpu semata-mata kepada kebahagiaan di akhirat. Jika ada sesiapa yang bercakap atau berusaha untuk kebahagiaan di dunia, maka ada sahaja orang yang mendakwa diri mereka sebagai ulama yang akan menuduh orang itu bersalah dan tidak Islam. Bagi mereka Ad-deen bermakna cara bersedia untuk menghadapi kematian semata-mata. 37. Ajaran "ulama" inilah yang menyebabkan umat Islam menghabiskan hayat mereka semata-mata membuat persediaan untuk akhirat. Dan untuk ini berbagai-bagai ibadat dicipta dan ditokok-tambah untuk memenuhi masa hidup mereka. Dan jika ada sesiapa yang tidak mengikut ibadat tambahan ini, mereka dianggap sebagai kurang Islam atau tidak Islam. Kerana takut dituduh tidak Islam atau kurang Islam, ramai orang Islam yang membisu atau ikut mengamal ibadat-ibadat yang dicipta ini sehingga tidak ada masa lagi untuk mengejar kejayaan di dunia atau menjalankan dengan sempurna tugas biasa yang diamanahkan kepada mereka. Jika mereka penuntut, mereka tidak belajar dan jika mereka pekerja, mereka abaikan kerja yang diamanahkan kepada mereka. 38. Kerana ajaran pentafsir-pentafsir ini, orang Islam hari ini menjadi masyarakat yang mundur dan jahil dalam berbagai- bagai ilmu. Mereka menjadi lemah sehingga tidak mampu mempertahankan diri sendiri. Apabila sebuah negara Islam yang kaya, kerana hasil bumi kurniaan Tuhan, diserang oleh sebuah negara Islam yang tamak, negara yang diserang itu terpaksa meminta pertolongan bukan daripada negara Islam lain tetapi daripada negara bukan Islam. Dan negara-negara Islam yang menjadi jiran negara yang diserang terpaksa bekerjasama dengan orang bukan Islam untuk mempertahankan diri. Secara langsung dan tidak langsung, ini meletakkan negara-negara Islam ini di bawah telunjuk bukan Islam. Dan negara yang tamak tadi telah dikalahkan dengan teruk, dilumpuh dan dihina oleh dunia. 39. Dengan ini umat Islam dan dunia Islam terhina, berpecah dan bermusuh-musuhan. Kerana peperangan sia-sia ini, semua negara Islam yang kaya sudah menjadi miskin dan papa dan terpaksa tunduk kepada kuasa asing yang bukan Islam. Tidak ada satu pun keuntungan bagi agama Islam atau umat Islam daripada peperangan ini. 40. Umat Islam diwajibkan bersedia untuk mempertahankan diri. Di zaman Nabi Muhammad s.a.w. ini bermakna mengadakan kuda, pedang dan panah. Tetapi kerana penguasaan ilmu moden tidak ditekankan, sebaliknya dianggap tidak penting, hari ini umat Islam tidak mampu mempertahankan diri. Hanya dengan berdoa sahaja tidak akan menyelamatkan umat Islam selama-lamanya. Doa perlu disertai dengan usaha yang sesuai. Tetapi kerana tekanan hanya kepada ibadat-ibadat, termasuk yang dicipta kononnya untuk akhirat, maka umat Islam menjadi jahil dalam bidang pertahanan moden dan perlu meletakkan diri mereka di bawah kuasa bukan Islam. Kerana ajaran sesat, ada umat Islam telah membelakangkan Al-Quran. 41. Hari ini kita telahpun melihat peristiwa yang amat memalukan. Sebuah negara Islam yang bebas dan kuat terpaksa tunduk kepada kuasa-kuasa asing kerana bertindak melulu tanpa perhitungan. Apabila kalah dalam peperangan, askar- askar negara Islam ini melutut dan mencium kaki musuh bukan Islam kerana ketakutan. Di manakah semangat dan maruah orang Islam? Apakah ini hasil ajaran agama Islam yang sebenar atau hasil ajaran yang salah oleh mereka yang kononnya lebih berhak mentafsir agama Islam? 42. Dalam Perang Teluk ini, tidak ada sesiapa yang boleh menganggap diri mereka tidak bersalah. Negara-negara Islam yang berperang sesama sendiri bersalah. Negara yang mendapat senjata daripada orang bukan Islam untuk menakluk negara Islam lain bersalah. Negara yang mendapat pertolongan negara bukan Islam untuk melindungi diri dan kemudian menyerang negara Islam lain bersalah. Negara Islam yang tidak kuat dan dengan itu tidak sanggup meleraikan negara-negara Islam yang berperang sesama sendiri bersalah. Negara-negara Islam yang tidak mampu mempertahankan negara Islam yang lemah daripada ditakluk oleh jiran gergasi Islam juga bersalah. 43. Tetapi yang lebih bersalah ialah mereka yang mentafsir dan membawa ajaran yang dikatakan Islam yang menyebabkan umat Islam dan negara-negara Islam menjadi semakin lama semakin lemah, mundur, jahil dan mudah diperalat dan dipermainkan oleh musuh-musuh Islam. Mereka yang mengajar bahawa bagi umat Islam hidup di dunia hanyalah untuk persediaan bagi akhirat adalah orang yang bersalah besar. Umat Islam dan agama Islam tidak akan dihina jika tidak kerana ajaran seperti ini. Dan apabila kita menyoal mereka ini, jawapan mereka ialah "Takdir". Tuhan kononnya telah mentakdirkan supaya umat Islam melutut dan menyembah musuh- musuh Islam. Benarkah Tuhan menjadikan orang Islam supaya mereka dihina di dunia ini? Apakah Tuhan benci kepada orang Islam dan mentakdirkan mereka dihina, atau apakah semua ini berlaku kerana tafsiran yang berkepentingan orang tertentu? 44. Kita patut mengambil iktibar daripada ajaran dan amalan Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada sesuatu yang lebih mulia disisi Nabi Muhammad s.a.w. daripada amanah. Baginda mendapat gelaran "Al-Amin" kerana beramanah. Kerana amanah, Baginda telah menyampaikan ajaran Islam yang benar. Ajaran Islam yang disampaikan oleh Baginda begitu baik sehingga bangsa Arab yang jahil dan suka berperang antara kabilah- kabilah mereka telah dapat didamaikan, dan dalam jangkamasa dua ratus tahun bangsa yang hanya tahu merayau-rayau di padang pasir telah menjadi bangsa yang kuat, berpengetahuan dan mulia. Dalam masa yang singkat, mereka bukan sahaja berjaya mendirikan sebuah empayar yang terbesar dan gemilang di dunia, tetapi juga dalam semua bidang ilmu duniawi mereka mendahului bangsa-bangsa dan penganut-penganut agama lain. Mereka berjaya menerokai bidang-bidang sains yang baru. Demikian juga orang lain yang memeluk agama Islam di zaman itu mencapai kejayaan yang besar di dunia. Penduduk Asia Tengah yang menjadi orang yang terawal memeluk agama Islam berjaya mengembangkan lagi bidang ilmu sambil memperluaskan lagi wilayah Islam. Demikian kesan Al-Amin Nabi Muhammad s.a.w. yang beramanah. 45. Kecekapan belayar dengan berpandukan gerakan matahari dan bintang membolehkan orang Islam ke negeri-negeri Melayu dan mengembangkan Islam di kalangan orang Melayu yang pada masa itu menganuti agama Hindu atau tidak beragama. 46. Semua ini adalah kejayaan duniawi yang diimbangi dengan amalan-amalan ibadah untuk akhirat. Jika orang Arab yang menerima Islam hanya asyik menyediakan diri sendiri untuk akhirat, dan ini lebih mudah dibuat di Mekah dan Madinah di mana mereka tinggal, hari ini orang Melayu akan terus menyembah busut dan pokok-pokok kayu. Tetapi kerana penerima-penerima agama Islam di zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan juga di zaman selepasnya beramanah dan menganggap mereka bertanggungjawab menjayakan diri mereka supaya mampu mengembangkan agama Islam, orang Melayu hari ini semuanya Islam. 47. Malangnya orang Melayu di zaman ini tidak menganggap mereka diamanahkan untuk menjayakan diri mereka supaya lebih mampu mengembangkan agama Islam. Mereka lebih asyik menentukan tempat untuk diri sendiri di akhirat. Dengan ini mereka tidak menumpukan kepada kejayaan di dunia dan mereka menokok kepada tuduhan bahawa Islam adalah agama yang menghalang kejayaan. Secara langsung ini menyekat perkembangan agama Islam dan pemulihan zaman kegemilangan Islam. Harus diingat bahawa zaman kegemilangan Islam yang disebut-sebutkan ialah pencapaian duniawi. 48. Semua ilmu boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Kebolehan menulis boleh digunakan untuk menyebar penulisan yang kotor dan fitnah. Tetapi ia juga boleh digunakan untuk mengembangkan agama dan ajaran yang baik. Yang menjadikan sesuatu ilmu itu baik atau buruk bukanlah ilmu itu tetapi cara manusia menggunakannya. Pisau di tangan seorang doktor pembedah akan memulih pesakit. Pisau yang sama di tangan pembunuh membawa lain akibatnya. Justeru itu, yang salah bukanlah pisau tetapi orang yang menggunakannya. 49. Islam tidak cacat. Islam tidak menghalang mengejar kejayaan di dunia. Yang cacat ialah mereka yang membuat tafsiran yang menyebabkan umat Islam mengamalkan cara hidup yang menyekat kejayaan mereka. Amatlah penting bagi umat Islam dan orang Melayu berhati-hati dengan ajaran-ajaran yang boleh menghalang kejayaan di dunia dan yang menekankan semata-mata syurga di akhirat. Imbangan di antara dunia dengan akhirat hendaklah dijadikan pegangan kita semasa hidup di dunia ini. Hanya dengan berpandukan kepada tafsiran ajaran Islam yang benar, yang tidak menolak kejayaan di dunia baharulah segala rancangan untuk memajukan orang Melayu akan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berdaya maju. DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL (DPN) ________________________________ 50. Pada tahun ini kita telah melancarkan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB telah dilaksanakan oleh Kerajaan dengan bersungguh- sungguh. Jika DEB tidak mencapai sepenuhnya matlamat yang ditentukan sebabnya bukanlah kerana dasar atau kelemahan Kerajaan. Jika dijumlahkan semua agihan kekayaan yang dibuat oleh Kerajaan selama 20 tahun DEB dilaksanakan, mungkin Bumiputera hari ini akan memiliki lebih daripada 30 peratus ekonomi negara. 51. Tetapi kerana ada yang tidak cekap atau kurang amanah, maka sebahagian daripada apa yang diperolehi telah terlepas daripada tangan Bumiputera dan kembali kepada pihak lain. Ada kemungkinan bahawa apa yang ada di tangan Bumiputera sekarang inipun akan terlepas juga jika apa yang dimiliki melalui badan-badan amanah dipindahkan ke tangan individu atau syarikat Bumiputera. 52. Jika kita ingin mendapatkan bahagian kita dan mengekalkannya, adalah penting kita mempunyai sifat-sifat tertentu dan juga kecekapan bukan sahaja untuk mengekalkan apa yang sudah diperolehi, tetapi juga melipatgandakannya. Harus diingatkan bahawa ekonomi berkembang sepanjang masa. Jumlah kekayaan yang memenuhi tiga puluh peratus hari ini boleh menjadi kurang daripada tiga puluh peratus pada tahun depan. Jika ekonomi berkembang pada paras tujuh peratus setahun harta kekayaan milik Bumiputera juga perlu meningkat sekurang-kurangnya purata tujuh peratus setahun hanya untuk mempertahankan kedudukan yang telah dicapai. 53. Justeru itu, kemampuan Bumiputera menambah apa yang sudah dimiliki dan melipatgandakan harta kekayaan mereka selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara adalah amat pent- ing. 54. Di bawah Dasar Pembangunan Nasional, Kerajaan akan terus memberi peluang dan mengagihkan sebahagian daripada punca kekayaan negara kepada Bumiputera. Tetapi Kerajaan tidak boleh menentukan bahawa bahagian yang diperuntukkan kepada Bumiputera akan kekal dan bertambah. Bumiputera sendirilah yang harus berusaha dan bertanggungjawab untuk memelihara dan melipatgandakan harta kekayaan mereka. 55. Untuk mencapai ini, orang Melayu dan Bumiputera perlu kepada budaya dan nilai hidup yang sesuai dengan pengurusan harta kekayaan di dunia. Oleh kerana ada bukti-bukti bahawa budaya orang Melayu tidak sesuai dengan persaingan hebat dalam dunia ekonomi moden, maka Kerajaan akan berusaha untuk membentuk dan menyemai budaya dan kecekapan yang diperlukan untuk kejayaan orang Melayu dalam rancangan-rancangan ekonomi negara. 56. Untuk menentukan peluang yang diberi oleh Kerajaan tidak disalahgunakan atau diuruskan secara tidak cekap, di bawah DPN peluang akan hanya diberikan kepada mereka yang cekap dan beramanah, yang telah melalui latihan, mempunyai bakat dan sanggup bekerja keras dan tidak tahu penat-lelah, dan tidak berharap untuk mencapai kekayaan dengan segera. Jika setelah diberikan peluang, ianya tidak digunakan dengan baik, atau janji tidak ditunaikan atau terbukti tidak ada kecekapan dan ketekunan, maka peluang tidak akan diberi lagi sehinggalah syarat-syarat tertentu dipenuhi. 57. Hanya kerana seseorang itu Melayu atau Bumiputera tidak akan menjamin ia akan dapat apa yang dipohonnya. Sebaliknya jika seseorang itu menunjuk sifat-sifat yang baik, beramanah, cekap dan sering berjaya, Kerajaan akan menambahkan lagi peluang kepadanya mengikut kemampuannya walaupun tuduhan dilempar bahawa ada pilih kasih. Yang dipilih dan dikasihi ialah mereka yang boleh menjayakan matlamat DPN dan bukan Bumiputera yang membazirkan harta kekayaan negara. 58. Kerajaan bercadang untuk membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera atau Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC). Siapa sahaja boleh menganggotai kumpulan ini, tetapi syaratnya ialah mereka terlatih dan mampu menjayakan perniagaan dan perusahaan mereka. Tidak ada gunanya kita membentuk peniaga yang cekap dan mampu berjaya jika setelah ianya berjaya peluang kepadanya diberhentikan. Jika ini dilakukan maka kejayaan juga tidak akan kekal dan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera tidak akan wujud. Dalam lain perkataan, usaha mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera akan gagal kerana yang berjaya akan disekat daripada mencapai kejayaan berterusan. 59. Namun demikian, mereka yang berjaya tidak harus mengharapkan peluang daripada Kerajaan semata-mata. Kecekapan mereka tidak bermakna selagi mereka tidak mampu bersaing dalam pasaran terbuka. Jika mereka benar-benar cekap, ujian yang bermakna ialah apabila mereka mampu menembusi pasaran terbuka. Bumiputera yang hanya boleh berniaga dengan Kerajaan bukanlah peniaga yang tulin. Keistimewaan yang diperolehi di bawah DPN bukanlah satu perkara yang patut dibanggakan kerana ia adalah satu pengakuan bahawa orang Melayu dan Bumiputera adalah lemah. Apakah yang hendak dibanggakan dengan pengakuan bahawa diri sendiri adalah lemah? Ini bukan keistimewaan tetapi adalah satu penghinaan terhadap bangsa. 60. Kita tidak ingin kepada peniaga Bumiputera yang hanya menjadi front kepada bukan Bumiputera, atau hanya berminat untuk mendapatkan lesen daripada Kerajaan untuk dijual kepada bukan Bumiputera. Kita sedar bahawa ini adalah satu cara menjadi cepat kaya dan kononnya memenuhi kehendak dasar pembangunan ekonomi Bumiputera. Tetapi cara ini tidak akan menjadikan pemilikan Bumiputera kekal dan mampu bersaing dengan orang lain. 61. Ini tidak bermakna bahawa kita tidak ingin melihat kerjasama di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera. Tetapi dalam perniagaan Ali dan Baba ini, Ali hendaklah mengambil bahagian yang cergas dalam segala urusan dan kerja. Bumiputera hendaklah tekun mempelajari daripada rakan bukan Bumiputera semua aspek perniagaan. 62. Seseorang Bumiputera tidak perlu mendapat banyak projek Kerajaan bagi menghasilkan keuntungan sepenuh daripada projeknya jika ia berusaha bersungguh-sungguh. Mereka yang meminta banyak projek Kerajaan biasanya bertujuan untuk menyerahkannya kepada bukan bumiputera dan menjadi sleeping partner yang terus jahil dalam selok-belok pengurusan perniagaan. Orang seperti ini tidak berguna dalam usaha mengekalkan kekayaan Bumiputera. Jika orang Melayu tidak bersungguh-sungguh mempelajari cara-cara pengurusan perniagaan, maka usaha mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera akan gagal. Jika sesuatu berlaku kepada kuasa politik orang Melayu sebelum matlamat DPN dicapai, maka mereka akan lumpuh buat selama-lamanya. Harus diingat bahawa hari ini sudah ada orang Melayu yang sanggup mengkhianati kepentingan orang Melayu. 63. Kerajaan berpendapat bahawa bagi menjayakan DPN, satu dua projek yang maju dan berjaya oleh seseorang Bumiputera adalah lebih bermakna dan memenuhi dasar tersebut daripada memberi banyak projek yang semuanya gagal dan merugikan atau diserahkan kepada orang lain. 64. DPN tidak mempunyai had masa. Tekanan adalah kepada penyertaan Bumiputera secara yang bermakna, iaitu kecekapan Bumiputera dalam bidang pengurusan ekonomi sehingga mampu mengekal dan melipatgandakan kekayaan mereka tanpa bergantung kepada kuasa politik Bumiputera dan Melayu. 65. Apakah ini mungkin dicapai? Sebenarnya, orang Melayu dan Bumiputera tidak kurang bakat ataupun kemampuan jika dibandingkan dengan bukan bumiputera. Sebab itulah orang Melayu yang berhijrah ke negara lain sering berjaya. Yang menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera gagal ialah sikap dan pendekatan mereka kepada pengurusan perniagaan, iaitu budaya niaga mereka. 66. Amanah, berjimat-cermat, tekun dan kuat bekerja adalah sifat-sifat yang penting dalam mencapai kejayaan. Jika sifat-sifat ini dan lain-lain nilai yang mulia ada pada seseorang Bumiputera di samping kecekapan mengurus, kejayaan dalam bidang perniagaan hampir boleh dijamin. Jangan percaya bahawa keuntungan daripada perniagaan hanya boleh didapati melalui penipuan. Keuntungan daripada penipuan bukan sahaja tidak kekal, tetapi juga akan membawa akibah yang buruk. 67. Kecekapan boleh diperolehi melalui latihan dan pendedahan yang mencukupi dalam bidang pengurusan dan perniagaan. Adalah lebih baik jika proses ini dibenarkan mengambil masa daripada membiarkan Bumiputera mendapat bahagian kekayaan dalam jangkamasa yang singkat, tetapi tidak kekal dan tidak mampu tumbuh bersama dengan pertumbuhan ekonomi negara. Seperti kata pepatah, "Biar lambat asalkan selamat". Mereka yang ingin cepat kaya tidak akan selamat. Begitu juga pepatah Mat Salleh, "Easy come, easy go", atau "Mudah datang, mudah hilang". Inilah yang kita lihat semasa kemelesetan ekonomi pada tahun-tahun 1985-1986 di waktu mana Bumiputera lebih daripada memenuhi kuota bankrap mereka. 68. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Emas di dalam bumi pun perlu digali dan dikeluarkan sebelum ia berharga. Tidak ada yang mudah untuk dunia atau untuk akhirat. Segala-galanya memerlukan kepada pelaburan. Ibadat untuk dunia tidak kurang perlunya dengan ibadat (iaitu pelaburan) untuk akhirat. 69. Bumiputera perlu bekerja lebih kuat daripada bukan bumiputera jika kita ingin mengejar mereka. Kerajaan boleh menolong tetapi akhirnya usaha sendiri yang akan menentukan pencapaian bahagian Melayu dan Bumiputera dan penebusan maruah mereka. 70. Dengan mengamalkan nilai-nilai Islam, dengan kepercayaan bahawa kegagalan orang Islam bukan sudah ditakdirkan, dengan keyakinan bahawa orang Melayu Islam tidak kurang kebolehannya daripada bukan Islam, dengan menolak ajaran tok-tok guru yang berkepentingan, insya-Allah orang Melayu akan berjaya -- percayalah. CABARAN MENJELANG ABAD KE-21 ____________________________ 71. Zaman beredar dan semuanya beredar dan berubah dengannya. Mereka yang tidak sanggup berubah akan ketinggalan zaman. Tidak ada bangsa atau negara yang boleh mengasingkan diri daripada perubahan yang berlaku di seluruh dunia moden ini. 72. Sehingga tahun 1511 orang Melayu hidup dalam dunia yang terhad dan mereka berjaya mempertahankan negeri-negeri mereka dengan lembing, tombak dan gajah perang. Tetapi kedatangan Portugis membuka dunia baru dengan senjata dan alat-alat yang lebih berkesan. Semenjak daripada itu pengasingan orang Melayu daripada dunia luar tidak mungkin lagi. 73. Oleh kerana orang Melayu tidak mengubah cara hidup mereka dengan cepat, mereka ditewas dan ditakluk. Hampir empat ratus lima puluh tahun berlalu sebelum mereka dapat membebaskan diri mereka. Tetapi kemerdekaan yang diperolehi bukan terjamin selama-lamanya. Jika kita tidak sedia mengikut perubahan zaman, pihak yang dahulu menjajah akan menjajah kita semula. Hanya kali ini pendekatan penjajah berbeza. 74. Mereka tidak lagi perlu menempatkan tentera dan pentadbiran mereka untuk menakluk kita. Melalui ilmu dan kepintaran serta kekayaan, mereka dapat menguasai kita. Di zaman selepas perang dingin atau Cold War ini, nilai dan falsafah baru telah dicipta oleh pihak yang menjadi kuasa tunggal dalam apa yang dikenal sebagai Dunia Unipolar, dunia yang mempunyai satu kuasa sahaja. 75. Falsafah baru anjuran Barat ialah mereka berhak campurtangan dalam hal ehwal negara asing jika mereka berpendapat negara berkenaan tidak demokratik, atau mengabaikan hak asasi manusia; atau tidak memberi kebebasan berakhbar atau bersuara, atau mencemar alam sekitar dan berbagai-bagai lagi. Dengan falsafah ini kemerdekaan negara-negara kecil tergugat. 76. Campurtangan kuasa besar ini adalah dalam berbagai- bagai bentuk; daripada sekatan dagangan dan bantuan sehingga kepada penghantaran pasukan tentera untuk menangkap dan membicarakan pemimpin-pemimpin negara yang didakwa oleh mereka bersalah. Lebih lemah sesebuah negara, lebih berkemungkinan kemerdekaannya dicabul. 77. Jika Malaysia ingin mempertahankan kemerdekaannya, negara ini mestilah mempunyai kekuatan tersendiri. Yang dimaksudkan bukanlah kekuatan ketenteraan walaupun kekuatan ketenteraan mempunyai peranan. Yang dimaksudkan ialah kekayaan ekonomi dan kemampuan membangunkan negara sendiri. Hanya jika kita dapat menjadi negara maju, barulah kita akan dapat bertahan jika sekatan dagang dan lain-lain ancaman bukan tentera dilancarkan terhadap kita. WAWASAN 2020 ____________ 78. Kita telah membentuk Wawasan 2020 yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Negara maju yang dimaksudkan bukan semata-mata negara industri yang pendapatan per kapitanya adalah sekian banyak. Yang dimaksudkan dengan negara maju ialah negara yang berupaya membangunkan diri sendiri melalui penguasaan ilmu, kecekapan dan moral yang tinggi yang akan membolehkan kita bersaing dengan negara maju yang lain dalam semua bidang. 79. Untuk mencapai Wawasan 2020 kita perlu pertumbuhan ekonomi di paras tujuh peratus setahun atau sekali ganda setiap sepuluh tahun. Ini bermakna pada tahun 2020 ekonomi kita akan menjadi lapan kali lebih besar daripada sekarang. 80. Apakah ini mungkin dicapai? Jawapannya ialah ia tidak mustahil kerana purata pertumbuhan dalam dekad 70 dan 80an ialah hampir tujuh peratus. Lagipun segala infrastruktur sudah atau sedang disediakan. 81. Sistem politik dan pentadbiran yang kukuh dan cekap sudah terbentuk. Sistem kewangan, urusan bank, pasaran saham dan modal sudah wujud dan mampu menampung segala keperluan. Demikian juga dengan peningkatan kebolehan dalam bidang industri dan dagangan. Pendekatan baru dalam semua bidang boleh diterima dan diamalkan dengan cepat. 82. Telekomunikasi, sistem jalan, lapangan terbang, pelabuhan, penyaluran gas dan minyak, bekalan air dan elektrik dan lain-lain kemudahan asas yang diperlukan oleh ekonomi yang pesat membangun sudah diadakan dan mampu dikemaskinikan. 83. Tahap pelajaran juga sesuai dengan keperluan ekonomi dan boleh ditingkatkan lagi dan dipelbagaikan. Demikian juga dengan lain-lain infrastruktur yang diperlukan untuk pembangunan negara secara pesat. 84. Walau bagaimanapun, ada masalah yang boleh mencacat pencapaian Wawasan 2020. Masalahnya ialah sama ada pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus setahun akan disertai dengan pertumbuhan bahagian Bumiputera dengan paras yang sama ataupun lebih. Tentulah orang Melayu dan Bumiputera akan kecewa jika dalam negara yang maju pada tahun 2020 mereka menjadi kelompok yang mundur dan miskin. 85. Ini tidak akan berlaku jika orang Melayu khususnya faham betapa pentingnya mereka melibatkan diri dalam usaha- usaha untuk meningkatkan pencapaian mereka. Yang pertama mereka tidak harus membenarkan diri mereka dipengaruhi oleh kumpulan-kumpulan yang mendakwa bahawa yang penting bukan Wawasan 2020 tetapi wawasan akhirat. 86. Sekali lagi percubaan dibuat untuk melemahkan semangat orang Melayu dengan tafsiran agama Islam yang tidak berasas dan berbau politik. Mereka ini menuduh bahawa Wawasan 2020 adalah untuk dunia semata-mata, dan patut ditolak oleh orang Islam Malaysia. Orang seperti inilah yang menyebabkan orang Islam sesat, lemah dan dihina kerana terpaksa bergantung kepada orang lain. Apabila ada sahaja usaha untuk membangunkan orang Islam supaya mampu bersaing dengan sesiapa sahaja dalam dunia moden ini, maka akan muncullah orang yang suka orang Islam kekal dengan kelemahan mereka dan dihina di dunia ini. 87. Sebenarnya jika orang Islam tidak dapat mengejar kemajuan di dunia dan berjaya seperti orang bukan Islam, ada kemungkinan mereka akan kecewa sehingga hilang kepercayaan kepada agama Islam. Kemiskinan dan kedaifan akan membawa kepada kekufuran. Dengan itu tidak akan ada akhirat bagi mereka. Dengan perkataan lain mereka yang mencanang wawasan akhirat inilah yang mungkin kehilangan tempat di akhirat. Sebaliknya mereka yang mengimbangkan dunia dengan akhirat, seperti yang dikehendaki oleh agama Islam, akan bahagia di dunia dan di akhirat, insya-Allah. Ini jugalah yang kita tekankan dalam Wawasan 2020. 88. Kita percaya jika orang Melayu tidak diganggu lagi dengan dakwaan yang karut daripada pihak-pihak yang ingin mengkhianati orang Islam, mereka berupaya mencapai kejayaan di paras yang sama dengan kaum-kaum lain. Yang perlu ialah pembentukan sikap dan budaya yang sesuai dengan kemajuan seperti yang disarankan dalam Dasar Pembangunan Nasional. Insya-Allah, jika orang Melayu mengamalkan nilai-nilai yang mulia seperti yang dituntut oleh agama Islam, tidak akan cacat pencapaian Wawasan 2020 disebabkan orang Melayu ketinggalan. TANGGUNGJAWAB UMNO __________________ 89. UMNO dan ahli-ahli UMNO mempunyai tanggungjawab yang amat berat menjelang abad ke-21. Lebih daripada orang Melayu dan Bumiputera lain, kita perlu tingkatkan usaha kita untuk menjadikan diri kita orang yang mampu mengambil tempat yang wajar dalam dunia moden ini. Untuk ini kita perlu kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang baru, yang mempunyai budaya yang sesuai dengan aliran zaman, yang sanggup menghadapi segala cabaran, yang dapat bersaing tanpa bantuan, yang terpelajar dan berilmu, canggih, jujur, disiplin, beramanah dan cekap. 90. Ahli-ahli UMNO di semua peringkat mestilah menganggap tugas mereka ke arah pembentukan Melayu dan Bumiputera abad ke-21 ini sebagai satu perjuangan atau jihad, kerana ia adalah perjuangan yang mulia yang akan menyelamatkan iman dan agama Islam mereka di kalangan Bumiputera, dan secara tidak langsung orang Islam lain. Hanya jika ada bangsa yang beragama Islam yang berdayamaju dan dapat bersaing dengan jayanya dengan bangsa bukan Islam, barulah anggapan bahawa Islam membawa kelemahan, kemunduran dan kemiskinan dapat dikikiskan. Orang Melayu mampu menebus maruah orang Islam dan menjadi contoh bagi orang Islam lain dan mereka mesti bertanggungjawab terhadap usaha ke arah ini secara serius. 91. Zaman orang Islam bertelagah sesama sendiri dan bermusuh dengan orang bukan Islam secara buta tuli sudah berakhir. Ada pihak yang menolak sebarang usaha untuk mencapai keamanan antara orang Islam dengan bukan Islam. Mereka menolak kedamaian kerana mereka terselamat di negara ini. Jika mereka begitu yakin berperang secara membuta-tuli boleh membawa kejayaan dan kebahagiaan kepada orang Islam, mereka patut tinggalkan negara yang aman ini dan pergi berperang. Bagi kita, yang penting ialah melengkapkan diri dengan ilmu, kecekapan, kekayaan dan kekuatan dahulu sebelum kita menghadapi peperangan sekiranya terpaksa. Ini adalah ajaran Islam dan orang Melayu yang menuntut kejayaan di dunia dikehendaki menunaikan kewajipan sebagai orang Islam. 92. Sebab itulah sekali lagi saya ingin tegaskan akan tanggungjawab orang Melayu, khususnya ahli-ahli UMNO, ahli- ahli parti yang menjadi teras pemerintahan Malaysia. Kita tidak mempunyai masa untuk tafsiran yang karut mengenai Islam. Kita tidak mempunyai masa untuk berebut-rebut tempat bagi diri sendiri. Kita tidak perlu tanya siapa akan mengganti siapa. Kita tidak perlu kepada klik dan team. Kita tidak perlu kepada pembaziran masa dengan berbagai- bagai ramalan. 93. Yang diperlukan menjelang abad ke-21 ini ialah UMNO yang kukuh dan penuh disiplin, yang tersusun rapi untuk menjayakan cita-cita agama dan bangsa dan pencapaian Wawasan 2020. 94. Insya-Allah, UMNO dan ahli-ahlinya tidak akan mengecewakan harapan bangsa, harapan negara dan harapan umat Islam amnya. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |