Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SEGAMAT, JOHOR 
Tarikh/Date 	: 	14/12/91 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN SISTEM PENGGUNAAN GAS 
			SEMENANJUNG PERINGKAT II 



 
    Saya  mengucapkan  terima  kasih kepada PETRONAS kerana
menjemput saya ke majlis pagi ini.  Saya bersyukur ke hadrat
Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izinNya  dapat  kita
bersama-sama  di  majlis  perasmian  Sistem  Penggunaan  Gas
Semenanjung Peringkat Kedua atau PGU II ini.
2.   Dua setengah tahun dulu, iaitu pada 30 Jun  1989,  saya
telah  merasmikan  permulaan kerja-kerja pemasangan paip gas
PGU II di Kuantan, Pahang Darul Makmur.  Dan  alhamdulillah,
hari  ini semua kerja pemasangan saluran paip tersebut telah
selesai dilaksanakan.  Saya difahamkan bahawa gas asli  yang
dikeluarkan   lebih   daripada  200  kilometer  dari  pantai
Terengganu kini telahpun berada  di  Pusat  Operasi  Gas  di
Segamat  ini.    Sebentar  lagi,  gas ini akan disalurkan ke
utara ke Pelabuhan Klang dan ke  selatan  ke  Pasir  Gudang.
Paip yang telah dipasang dari Terengganu ke Kelang dan Pasir
Gudang adalah sepanjang 730 km.
3.   Pelancaran penyaluran gas ini menandakan permulaan satu
lembaran  baru  dalam  sejarah  negara kita, yakni kemasukan
Malaysia ke Era Gas yang disalurkan terus.
4.   Projek PGU II adalah antara usaha-usaha bersepadu  yang
dilaksanakan   oleh  Kerajaan  bagi  memastikan  pembangunan
sumber-sumber tenaga akan  terus  memberi  sumbangan  kepada
pertumbuhan  ekonomi  negara daripada segi pembekalan tenaga
dan bahan bakar (fuel) secara efisien kepada pengguna.    Ia
juga   adalah  selaras  dengan  dasar  untuk  mempelbagaikan
bekalan sumber tenaga dan bahan bakar.
5.   Memandangkan   ekonomi   negara   dijangka    mengalami
pertumbuhan  pesat  pada  masa akan datang, keperluan sumber
tenaga juga dijangka meningkat, iaitu pada kadar 9.5 peratus
setahun bagi tempoh Rancangan Malaysia  Keenam.    Menjelang
tahun   2005,   penggunaan  tenaga  oleh  Malaysia  dijangka
bersamaan kira-kira 600,000 tong  minyak  sehari  berbanding
dengan  bersamaan 360,000 tong minyak sehari sekarang.  Buat
masa ini minyak menyumbangkan kira-kira 60 peratus  daripada
jumlah  bekalan  tenaga utama negara.   Dengan itu, Kerajaan
telah  mengambil  langkah-langkah  dasar  untuk  mengalihkan
pergantungan kepada bahan ini.
6.   Dalam  hubungan  ini,  kita bernasib baik kerana negara
mempunyai pilihan sumber tenaga yang banyak.   Sumber-sumber
ini  termasuk gas, kuasa hidro, arang batu dan sumber-sumber
tenaga yang boleh diperbaharui seperti  suria  dan  biomass.
Antara  sumber  ini,  gas  asli  adalah  paling sesuai untuk
menggantikan minyak kerana saiz rezabnya yang  besar,  iaitu
tiga kali lebih banyak daripada rezab minyak.  Gas asli juga
lebih  "versatile"  kerana  ia boleh digunakan sebagai bahan
bakar yang lebih efisien - terutama bagi perjalanan elektrik
kitar  padu  atau  "combined  cycle",  dan  ia  juga   boleh
digunakan sebagai bahan mentah bagi industri petrokimia.
7.   Projek   PGU   ini   merupakan   usaha  kerajaan  untuk
membangunkan  satu   sumber   negara   yang   penting   bagi
perkembangan  ekonomi.    Selama  ini  sumber asli ini tidak
digunakan  sepenuhnya.    Dengan  projek  PGU  ini,   selain
daripada  membangunkan sumber gas, perlaksanaannya juga akan
membuka peluang baru bagi pertumbuhan industri di  Malaysia.
Untuk  itu  laluan  saluran  paip  PGU  II ini telah dipilih
melalui kawasan-kawasan perindustrian utama  di  negara  ini
supaya  industri-industri  di sekitar kawasan laluan saluran
paip tersebut mendapat  faedah  daripada  gas  yang  disalur
berdekatan.
8.   Menerusi  pembangunan  projek  PGU  juga, Kerajaan akan
memperolehi punca pendapatan  baru  untuk  negara.    Dengan
meningkatnya  penggunaan  gas  sendiri oleh sektor penjanaan
kuasa  dan  industri  tempatan,  lebih   banyak   gas   akan
dikeluarkan.    Ini  akan dapat menambahkan pendapatan dalam
bentuk royalti kepada negara dan  negeri  Terengganu  selain
daripada   pendapatan   dalam   bentuk  cukai  dan  dividen.
Pendapatan tambahan ini akan membolehkan Kerajaan  membiayai
perbelanjaan  bagi  menyediakan  kemudahan dan infrastruktur
lain untuk rakyat dan untuk perkembangan industri eksport.
Negeri Terengganu juga akan dapat dibangunkan  dengan  lebih
pesat dengan tambahan royalti ini.
9.   Di  samping itu, penggunaan gas bagi menggantikan "fuel
oil" yang diimport juga akan dapat menjimatkan tukaran asing
dan  mengurangkan  defisit  negara.     Ini   ialah   kerana
kebanyakan stesen janaelektrik negara kita bergantung kepada
"fuel  oil"  yang  diimport.   Menjelang tahun 1995 kerajaan
menjangka dapat mengurangkan pergantungan kepada "fuel  oil"
bagi  perjanaan  kuasa kepada 5.5 peratus, berbanding dengan
42  peratus  sekarang;  sementara  sumbangan  daripada   gas
dijangka  meningkat  daripada  23  peratus  dalam tahun 1991
kepada 75 peratus dalam  tahun  1995.    Adalah  dianggarkan
dengan  penggantian  daripada minyak kepada gas asli sebagai
sumber tenaga, mulai tahun ini hingga tahun  2000,  Malaysia
akan dapat menjimatkan kira-kira 18,000 juta ringgit.
10.  Sementara  itu,  penggunaan  gas  oleh sektor penjanaan
elektrik juga akan membolehkan kita memanfaatkan  sepenuhnya
faedah-faedah  daripada  teknologi  kitar  padu.    Generasi
terbaru  loji-loji  penjana  kitar   padu   mampu   mencapai
efisiensi  50  peratus  lebih  berbanding  dengan 30 peratus
efisiensi  yang  boleh  dicapai   oleh   loji-loji   penjana
konvensional  yang  menggunakan "fuel oil".  Penjimatan yang
boleh dibuat oleh  negara  dari  teknologi  kitar  padu  ini
adalah  besar  dan  dapat  membantu kita meningkatkan proses
perindustrian.
11.  Adalah  menjadi  hasrat  Kerajaan  untuk   menggalakkan
kegiatan  yang  boleh menambahkan nilai kepada sumber-sumber
asli negara.  Projek PGU ini adalah satu usaha  Kerajaan  ke
arah  mencapai  matlamat ini kerana gas boleh diproses untuk
dijadikan  bahan  sumber  atau  "feedstock"  bagi   industri
plastik di negara ini.
12.  Projek  pembangunan  gas ini juga akan membuka lembaran
baru bagi industri petrokimia yang berteknologi  tinggi  dan
"capital  intensive".    Industri  petrokimia berasaskan gas
adalah satu bidang yang berpotensi untuk diperkembangkan  di
Malaysia.    Menjelang tahun depan, negara akan mengeluarkan
MTBE dan polypropylene dari loji-loji yang sedang  didirikan
di  Gebeng,  Pahang.    PETRONAS juga sedang merancang untuk
membina loji ethylene dan polyethylene  di  Terengganu  yang
dijangka siap dalam tahun 1995.  Adalah diharapkan industri-
industri  tempatan  akan  merebut  peluang  daripada bekalan
bahan-bahan ini untuk mempertingkatkan lagi  tahap  industri
plastik  serta  menarik pengguna dari luar untuk menempatkan
kemudahan pengeluaran mereka  di  Malaysia.    Justeru  itu,
projek  PGU ini akan memberikan penekanan baru kepada proses
perindustrian negara.
13.  Dalam usaha kita membangunkan ekonomi  negara  ke  arah
perindustrian,  mahu  tidak mahu kita akan berhadapan dengan
masalah pemulihan alam sekitar.
14.  Sebagai  negara  yang  bertanggungjawab,  kita  memberi
perhatian  berat  kepada  masalah  ini.   Deklarasi Langkawi
mengenai alam sekitar yang kita  terajui  jelas  menunjukkan
betapa  prihatinnya kita kepada masalah tersebut.  Dalam hal
ini,  penggunaan  gas  asli  yang   lebih   "environmentally
friendly" menggantikan "fossil fuel" yang lain sebagai bahan
bakar   bagi  sektor  penjanaan  kuasa  dan  industri  dapat
membantu mengurangkan pencemaran udara.
15.  Keadaan  jerebu  yang  serius  baru-baru  ini,   selain
berpunca   daripada   kebakaran   hutan   di  negara  jiran,
diburukkan lagi oleh  pencemaran  asap  kenderaan.    Ekoran
daripada  pembangunan  pesat  yang  berlaku sekarang, jumlah
kenderaan  bermotor,  khususnya   di   bandar-bandar,   juga
bertambah.   Daripada jumlah kenderaan baru yang dikeluarkan
hampir 75 peratus tertumpu di  Lembah  Klang.    Konsentrasi
kenderaan  seperti  ini telah mengakibatkan kadar pencemaran
udara begitu meningkat.    Dalam  hal  ini,  Kerajaan  telah
mengambil  keputusan  untuk mengawal pencemaran udara akibat
asap kenderaan dengan mengurangkan  kandungan  plumbum  atau
"lead"  dalam  petrol  daripada 0.4 gram seliter kepada 0.15
gram seliter mulai tahun lalu.  Kita gembira kerana beberapa
buah syarikat minyak,  termasuk  PETRONAS,  telah  mengambil
daya  inisiatif sendiri memperkenalkan petrol tanpa plumbum.
Dalam belanjawan  negara  yang  dibentangkan  baru-baru  ini
kerajaan  telah  mengumumkan  penurunan duti eksais dan duti
import bagi petrol tanpa plumbum mulai tahun ini.   Langkah-
langkah   akan   juga   diambil   untuk  tidak  menggalakkan
penggunaan petrol berplumbum, termasuk  menghentikan  import
kereta  yang boleh atau perlu mengguna petrol yang mempunyai
plumbum.
16.  Sehubungan  dengan  ini,  PETRONAS   akan   melancarkan
rancangan   untuk  menggalakkan  penggunaan  gas  asli  bagi
kenderaan, atau NGV, sebagai alternatif  kepada  petrol  dan
diesel.    Kenderaan-kenderaan  yang boleh menggunakan bahan
bakar ini  termasuklah  "fleet  vehicles",  teksi,  bas  dan
kenderaan-kenderaan  pengangkutan barang.   Sebagai insentif
bagi rancangan gas asli untuk kenderaan ini, Kerajaan  telah
bersetuju  untuk  menetapkan  harga  jualan  NGV  pada kadar
separuh daripada harga minyak.   Di  samping  itu  NGV  juga
adalah lebih selamat dan lebih efisien daripada petrol.
17.  Untuk  memperluaskan lagi penggunaan gas di negara ini,
sebuah syarikat usahasama bagi  membekalkan  gas  ke  rumah-
rumah  dan  industri  di  seluruh  negara  telah ditubuhkan.
Langkah ini akan mewujudkan pilihan bagi sumber  tenaga  dan
bahan  bakar  di  samping mengurangkan penggunaan "fuel oil"
dan diesel oleh kilang-kilang dan dengan cara itu sekali gus
dapat kita mengurangkan pencemaran.
18.  Bagi projek PGU II ini saya gembira  melihat  kemampuan
anak-anak  tempatan,  terutama bumiputera, menyiapkan projek
sebesar ini.   Mereka ini telah  membuktikan  bahawa  rakyat
Malaysia   jika   diberi   peluang  mampu  menyahut  cabaran
menggunakan kebolehan mereka menangani projek-projek canggih
dan  berteknologi  tinggi.      Adalah   diharapkan   dengan
pengalaman   yang  ditimba  dan  teknologi  yang  diperolehi
daripada  perlaksanaan   projek   PGU   ini   mereka   dapat
mempelbagai dan memajukan lagi lain-lain teknologi, misalnya
teknologi   pendingin  udara  yang  menggunakan  kuasa  gas,
teknologi NGV yang lebih canggih ataupun lain-lain teknologi
yang seumpamanya.   Syarikat tempatan  juga  perlu  berusaha
melibatkan  diri  dalam  projek-projek saluran gas di negara
ini.    Ini  sudah  tentunya  akan  dapat  membantu   negara
memperluaskan  lagi  "skill  basenya" bagi menghadapi proses
perindustrian yang dijangkakan lebih pesat pada masa depan.
19.  Kejayaan  melaksanakan  projek  PGU  Ini  juga   adalah
sebagai  lambang  kebolehan  kita memanfaatkan sumber tenaga
kita sendiri untuk faedah rakyat dan negara.   Dan  bertolak
dari usaha yang telah dijalankan ini, Insya-Allah penggunaan
gas  asli  akan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian
rakyat negara ini tidak lama lagi.
20.  Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah  kepada
syarikat  MMC Gas Sdn. Bhd. yang telah berjaya memasang paip
36 diameter sepanjang  730  kilometer  merentasi  hutan  dan
sungai dalam jangkamasa yang dijanjikan.
21.  Akhir  kata  saya  mengucapkan  tahniah kepada PETRONAS
atas kejayaannya melaksanakan projek PGU II ini dalam tempoh
dan belanjawan yang ditetapkan.
22.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya  merasmikan  Sistem
Penggunaan Gas Semenanjung Peringkat II ini.
     Wabillahi    taufik    wasalamualaikum   warahmatullahi
wabarakatuh.

 
 



 
Google