Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SUBANG HI-TECH INDUSTRIAL PARK BATU
TIGA, SHAH ALAM,SELANGOR
Tarikh/Date : 17/12/91
Tajuk/Title : PERASMIAN KILANG CHUNGHWA PICTURE
TUBES (M) SDN. BHD.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan
Chunghwa Picture Tubes (M) Sdn. Bhd. kerana menjemput saya
untuk merasmikan pembukaan kilangnya hari ini.
2. Saya difahamkan bahawa syarikat Chunghwa mempunyai
sebuah kilang lagi di Kampar yang mengeluarkan "colour and
monochrome electron guns" dengan pelaburan modal dalam
lingkungan $40 juta ringgit serta memberi pekerjaan kepada
700 orang rakyat tempatan. Di atas usaha-usaha ini saya
mengucapkan syabas kepada syarikat ini kerana telah menyahut
seruan kerajaan Malaysia supaya menceburi diri dalam bidang
keluaran barang-barang berteknologi tinggi. Kesanggupan
syarikat ini menempatkan kilang yang melibatkan "input"
teknologi canggih di satu kawasan luar dari Lembah Kelang,
Pulau Pinang ataupun Johor Bahru juga harus diberi pujian.
Ini adalah satu contoh yang harus diteladani oleh pengusaha-
pengusaha lain kerana ianya menunjukkan dengan jelas bahawa
lokasi sesebuah projek itu tidak seharusnya menjadi faktor
utama di dalam menentukan kejayaan. Apa yang lebih penting
ialah kesanggupan pekerjanya untuk mempelajari tugas masing-
masing untuk menjayakan usaha itu.
3. Malaysia kini boleh berbangga dengan kejayaannya dalam
bidang pembuatan barang-barang elektronik. Ini berasaskan
dasar dan usaha-usaha Kerajaan semenjak awal dekad 70an.
Sungguhpun demikian dan atas kesedaran bahawa untuk terus
maju lagi negara kita harus mengubah haluan selaras dengan
arah aliran kehendak pasaran, maka tumpuan yang lebih
diberikan sekarang kepada sub-sektor elektrik dan elektronik
yang melibatkan input teknologi yang tinggi serta mempunyai
nilai ditambah yang lebih besar.
4. Antara barangan keluaran Malaysia yang menguasai
pasaran dunia sekarang ialah penghawa dingin bilik atau
"room air conditioners", yang mana Malaysia merupakan
pengeluar dan pengeksport kedua terbesar di dunia. Saya
yakin dengan usaha yang lebih gigih kita akan dapat mendu-
duki tangga teratas sekali tidak lama lagi.
5. Apa yang tidak diketahui umum ialah bahawa Malaysia
kini sedang mengorak langkah untuk menjadi pengeksport utama
peti televisyen ke pasaran dunia. Hasil usaha gigih
syarikat-syarikat pengeluar yang yakin dengan suasana
pelaburan negara ini, sejumlah 3.5 juta unit peti televisyen
berbagai jenis bernilai M$1.4 ribu juta ringgit telah
dieksport pada tahun 1990. Saya yakin bahawa dengan
rancangan pembesaran keupayaan syarikat-syarikat yang sedia
ada serta terlaksananya kelak projek-projek baru, jumlah
keluaran negara boleh mencapai 10.5 juta unit, ataupun tiga
kali ganda.
6. Apabila ini tercapai sekaligus ia akan membuka peluang
pasaran yang besar bagi ketiga-tiga syarikat yang diluluskan
untuk mengeluarkan "colour cathode ray tubes", termasuk
syarikat Chunghwa Picture Tubes. Di samping itu, ianya akan
menggalakkan syarikat-syarikat seumpamanya untuk menempatkan
projek mereka di negara kita memandangkan jumlah keupayaan
tiga syarikat itu tidak sampai tiga juta unit setahun.
7. Keluaran ini merupakan satu-satunya komponen utama di
dalam sebuah peti televisyen kerana pada purata ianya satu
pertiga daripada harga "ex-factory" seunit. Oleh kerana
"colour cathode ray tubes" adalah keluaran yang agak besar
dan mudah pecah, amat wajar sekali kilang pembuatannya
ditempatkan berhampiran dengan kilang-kilang pembuatan
televisyen. Berdasarkan hakikat ini, sektor ini diramalkan
mempunyai masa depan yang cerah di samping menggalakkan
aktiviti-aktiviti sampingan seperti "tiub-tiub kaca" dan
komponen-komponen persis atau precision. Ini termasuk
"shadow masks" dan komponen untuk "electron guns". Saya
difahamkan permohonan Syarikat Nippon Electric Glass telah
diluluskan untuk mengeluarkan "glass tubes".
8. Kemajuan sedemikianlah yang diharap-harapkan untuk
sektor pembuatan negara kita kerana ianya melambangkan
kemampuan kita untuk menjadi pembekal utama barang-barang
bermutu tinggi. Dengan terlaksananya projek "glass tubes"
ini nanti, matlamat kita untuk mengeluarkan televisyen yang
boleh dikatakan seratus peratus "Made-in-Malaysia" akan
menjadi kenyataan.
9. Sumbangan pelabur-pelabur Taiwan terhadap kemajuan
sektor elektrik dan elektronik negara ini adalah besar,
khususnya daripada segi merubah struktur industri
elektronik. Selain daripada projek "cathode ray tubes" ini,
keluaran-keluaran lain yang mula diterokai oleh syarikat
Taiwan termasuk "multi-layer PCB", 'ferrite cores",
komponen-komponen komputer dan alat-alat kawalan
keselamatan.
10. Satu aspek yang menarik mengenai pelaburan dari Taiwan
ialah majoriti daripadanya adalah sumbangan syarikat-
syarikat kecil dan sederhana, berbanding dengan sumbangan
oleh gergasi "multinationals" dari Jepun dan Amerika
Syarikat. Ini bermakna daripada segi jumlah pelaburan modal
dan "input" teknologi, kebanyakan projek tersebut mampu
disertai oleh rakyat Malaysia dan secara langsung membuka
peluang kepada syarikat-syarikat tempatan mempertingkatkan
lagi pencapaian mereka daripada aspek proses pembuatan,
pengurusan dan pemasaran. Terpulanglah kepada rakyat
Malaysia mengejar teknologi dan memberanikan diri untuk
memasuki bidang yang mempunyai masa depan ini.
11. Sudah lebih dua dekad Kerajaan berusaha untuk menarik
pelaburan asing ke negara ini, terutamanya sektor industri,
dengan menyediakan berbagai-bagai tarikan seperti galakan-
galakan cukai dan juga dasar-dasar ekuiti yang menguntungkan
syarikat-syarikat berorientasikan eksport. Berasaskan tahap
pencapaian ekonomi kita kini, amat jelas sekali dasar-dasar
dan skim galakan tersebut telah berjaya mencapai matlamat
asalnya.
12. Namun demikian, sejajar dengan matlamat baru yang
dirangka bagi Malaysia menjelang tahun 2020, masanya sudah
tiba bagi kita mengkaji serta menilai semula dasar ini.
Keutamaan kita ialah memilih jenis pelaburan yang bermodal
intensif dan berteknologi tinggi, iaitu kita perlu memasuki
era perindustrian yang selektif. Galakan berlebihan yang
berterusan akan mengurangkan kecekapan syarikat dan menjejas
daya saingan di pasaran antarabangsa.
13. Saya difahamkan kajian semula dasar ini telah
menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan para pelabur.
Ingin saya jelaskan bahawa galakan cukai boleh disamakan
sebagai "icing on the cake", Apa yang lebih penting ialah
mewujudkan suasana pelaburan yang sihat dengan menentukan
bahawa "non tax-incentives" seperti ekonomi yang kukuh;
kestabilan politik yang mantap; kerjasama serta persefahaman
yang rapat di antara jentera Kerajaan dan pihak sektor
swasta dan kedudukan sumber manusia yang selaras dengan
kehendak industri. Semua ini terdapat di Malaysia.
14. Oleh yang demikian saya amat sukacita dengan sambutan
yang ditunjukkan oleh pelabur-pelabur asing dan juga
tempatan yang sentiasa menyokong usaha-usaha Kerajaan untuk
mempertingkatkan lagi kemajuan ekonomi negara ini. Saya
boleh memberi jaminan bahawa dasar-dasar yang akan
dirumuskan tidak akan dilaksanakan tanpa mengambil kira
maklumbalas daripada sektor swasta kerana Kerajaan sedar
bahawa sektor swasta merupakan jentera penggerak ekonomi
kita ke arah pencapaian matlamat negara untuk menjadi sebuah
negara yang bertaraf maju.
15. Pihak Kerajaan juga akan meneruskan usaha-usahanya
untuk menyediakan infrastruktur yang cukup termasuk bekalan
tenaga manusia yang berpelajaran untuk keperluan sektor
industri dengan kerjasama sektor swasta. Di dalam hal ini,
Subang Hi-Tech Industrial Park merupakan satu contoh
kepekaan sektor korporat tempatan terhadap falsafah
"Malaysia Incorporated". Saya juga berharap syarikat-
syarikat lain mengikuti langkah Chunghwa Picture Tube dengan
mendirikan kilang-kilang mereka di kawasan-kawasan yang
kurang maju sebagai "catalyst" kepada perkembangan sektor
industri di negara.
16. Akhir kata, saya mengucapkan "selamat maju jaya" kepada
pihak pengurusan syarikat Chunghwa Picture Tubes (M) Sdn.
Bhd. dengan harapan bahawa ianya akan menyumbangkan lebih
lagi kepada perkembangan sektor elektronik negara kita dan
peningkatan pengetahuan teknologi canggih di kalangan
pekerja kita.
|