Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RTM
Tarikh/Date : 31/12/91
Tajuk/Title : SEMPENA TAHUN BARU 1992 MELALUI
RADIO DAN TV (RTM)
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam
sejahtera.
Bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wa Taala kerana
sekali lagi kita dapat menyambut tahun baru dalam keadaan
aman dan stabil. Tahun 1991 bagi Malaysia telah berakhir
tanpa sebarang masalah atau tragedi yang besar.
2. Ketenteraman dan keselesaan yang kita nikmati sekarang
adalah hasil daripada kestabilan politik dan sosial kerana
rakyat di negara ini tidak bersikap pelampau dan pasukan-
pasukan keselamatan dan keamanan pula menjalankan tugas
mereka dengan penuh tanggungjawab. Bukan mudah bagi satu-
satu negara berbilang kaum hidup rukun damai serta saling
hormat-menghormati. Tetapi kita telah membuktikan kemampuan
kita.
3. Sekarang dunia akui bahawa Malaysia lebih mampu dan
lebih berjaya mencapai perhubungan baik di antara kaum
daripada negara-negara berbilang kaum lain. Salah satu
sebab kejayaan kita ialah rakyat Malaysia menghargai
keamanan dan kestabilan sebagai nikmat yang mesti
dipelihara. Dengan itu kita membendung perasaan perkauman
dan kita pupuk sikap toleransi terhadap cara hidup masing-
masing. Di hampir seluruh negara tidak ada percubaan untuk
memaksa budaya sesuatu kaum ke atas kaum lain. Di negara
ini di mana Islam menjadi agama rasmi, tidak adanya paksaan
memanglah secucuk dengan ajaran Islam. Perlembagaan negara
juga menjamin agama dan budaya lain boleh diamalkan tanpa
gangguan.
4. Sepanjang tahun 1991 beberapa perkara penting telah
diperkenalkan. Antaranya ialah Wawasan 2020, Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) dan Rancangan Malaysia Keenam
(RM6). Semua ini bertujuan menentukan satu sasaran atau
target bagi semua rakyat.
5. Wawasan 2020 bertujuan membawa negara kepada tahap
kemajuan yang setaraf dengan negara-negara maju. Ini tidak
bermakna kita ingin kepada keadaan seperti keruntuhan moral
dan keangkuhan kuasa yang melanda sesetengah negara maju.
Yang kita maksudkan ialah kebolehan, pengetahuan dan
kecekapan serta taraf hidup yang sama atau lebih baik
daripada negara maju.
6. Tujuan kita ialah kemajuan material yang diimbangi
dengan pembangunan rohani serta pengekalan nilai-nilai murni
kita. Ini akan membebaskan kita daripada pergantungan
sepanjang masa kepada ilmu dan kebolehan serta kekayaan
negara-negara maju. Selagi kita jahil dalam bidang-bidang
pengetahuan dan kecekapan yang terdapat di zaman ini, selama
itulah kemerdekaan kita mudah digugat dan kita terpaksa
tunduk kepada kuasa asing.
7. Membentuk sesuatu matlamat atau wawasan adalah perkara
yang amat mudah. Siapa sahaja boleh mencipta cita-cita
besar. Tetapi di antara cita-cita atau wawasan dengan
kemampuan mencapainya terdapat lurah yang amat dalam dan
lebar serta rintangan yang amat besar. Oleh itu perkara
yang harus dipersoalkan ialah apakah Malaysia dan rakyatnya
yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum mampu membangunkan
negara secara terus-menerus selama 30 tahun untuk mencapai
taraf negara maju wawasan kita?
8. Jawapannya boleh didapati daripada rekod kita setelah
34 tahun merdeka. Pada tahun 1957 penduduk Persekutuan
Tanah Melayu seramai enam juta mempunyai pendapatan per
kapita sebanyak M$775 ringgit.
9. Selama 34 tahun merdeka bilangan rakyat bertambah
kepada 18 juta dan pendapatan per kapita meningkat kepada
M$6,781 ringgit; kenaikan hampir sembilan kali ganda.
Pertambahan penduduk boleh mengurangkan pendapatan per
kapita. Tetapi kita berjaya meningkatkannya.
10. Jelas sekali dalam masa 34 tahun kita telah berjaya
meningkatkan pendapatan per kapita, yang dianggap sebagai
ukuran pembangunan, sebanyak hampir sembilan kali ganda.
Untuk Wawasan 2020 kita perlu tingkatkan pendapatan per
kapita sebanyak lapan kali ganda dalam 30 tahun. Jika
rekod kita menjadi pedoman, pencapaian matlamat kita
bukanlah mustahil.
11. Tetapi ini tidak bermakna bahawa hanya dengan usaha-
usaha biasa, kita boleh mencapai matlamat Wawasan 2020.
Banyak faktor lain yang akan menentukan prestasi kita
termasuk pasaran dunia, politik dalam dan luar negara,
kecanggihan ilmu, persaingan yang lebih hebat dalam pasaran
antarabangsa dan sekatan oleh negara-negara maju.
Pembangunan tidak berlaku dengan sendirinya. Dasar serta
usaha yang gigih adalah diperlukan.
12. Justeru itu, kita harus sedar akan betapa pentingnya
kita mengamalkan nilai-nilai dan cara-cara yang boleh
menjayakan kita. Berjaya atau tidaknya seseorang, atau satu
kaum, atau satu bangsa bergantung kepada sifat-sifat yang
ada kepada individu, kaum ataupun bangsa itu. Jika pihak-
pihak ini tidak rajin, tidak jujur, tidak mempunyai
pandangan yang jauh, tidak tertib dan tidak mempunyai etika
yang mulia, mereka tetap akan gagal.
13. Sebab itu ada bangsa yang dahulunya mundur, kemudian
menjadi maju dan sebaliknya ada bangsa yang dahulunya maju
kemudian menjadi mundur. Jika diteliti kita akan dapati
maju-mundurnya sesuatu bangsa itu disebabkan oleh etika dan
nilai-nilai yang diamalkan oleh mereka. Apabila etika yang
baik yang diamalkan semasa maju digugurkan, lambat-laun
bangsa itu akan mundur. Sebaliknya, apabila etika mulia
diserapkan ke dalam budaya bangsa yang mundur, dalam jangka
masa yang singkat bangsa itu akan maju. Demikian juga
dengan kaum atau individu.
14. Oleh itu, Malaysia yang ditakrif negara membangun mampu
mencapai taraf negara maju jika kita sanggup mengamalkan
etika kerja dan sifat-sifat yang mulia.
15. Sementara etika kerja boleh menjayakan sesuatu bangsa
dalam pekerjaan; keselamatan dan kestabilan negara juga
memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Sesebuah
negara atau masyarakat hanya akan selamat dan stabil jika
rakyatnya mempunyai sifat-sifat kesederhanaan.
16. Kita harus ingat bahawa dalam mana-mana masyarakat pun
tidak ada sesiapa yang akan mendapat semua kehendak hatinya.
Dalam masyarakat yang terdiri daripada hanya satu bangsa
pun, tidak terdapat persetujuan seratus peratus mengenai apa
jua perkara. Sudah tentu ada pihak yang tidak puas hati
dengan tuntutan pihak lain. Dengan itu perselisihan faham
akan berlaku. Apatah lagi dalam masyarakat berbilang kaum
seperti Malaysia.
17. Jika ada sikap yang rasional serta perasaan
bertanggungjawab dan bertimbangrasa, maka perbezaan pendapat
tidak akan membawa rusuhan. Sebaliknya akan wujud
kesanggupan untuk bertolak ansur. Ini membolehkan
ketenteraman wujud dalam negara.
18. Sifat-sifat ini terdapat di kalangan rakyat Malaysia
dan ianya perlu ditingkatkan supaya keamanan dan kestabilan
yang begitu penting untuk pembangunan negara akan
berterusan. Dengan ini juga, kita dapat mengelakkan
daripada berlakunya rusuhan. Ini adalah lebih baik daripada
terpaksa mengawal rusuhan setelah ianya berlaku.
19. Tiga puluh tahun bukanlah satu jangkamasa yang panjang.
Tetapi ramai daripada kita tidak akan ada pada tahun 2020.
Dengan itu apa yang dirancangkan ialah untuk generasi muda.
Tetapi ini tidak bermakna mereka yang tidak mungkin
menikmati kemajuan pada tahun 2020 tidak perlu bekerja keras
untuk matlamat ini. Satu daripada sifat yang mulia ialah
tidak mementingkan diri sendiri tetapi sebaliknya
mengutamakan masa hadapan bangsa dan negara. Namun
sepanjang proses kemajuan ke arah mencapai matlamat Wawasan
2020, banyak nikmat akan diperolehi.
20. Bagi generasi muda, mereka akan menikmati sepenuhnya
kemajuan yang dirancangkan, Insya-Allah. Tetapi mereka
hendaklah ingat bahawa mereka mesti bersedia untuk terus
memajukan negara setelah matlamat 2020 dicapai. Untuk ini
segala sifat yang mulia perlu dipupuk sehingga menjadi
sedarah-sedaging dengan mereka. Insya-Allah jika sifat-
sifat yang mulia tertanam secara mendalam dalam hati
sanubari mereka, kemajuan yang dicapai akan berkekalan.
21. Kerajaan akan memainkan peranannya dengan bersungguh-
sungguh dalam usaha memajukan negara. Tanggungjawab
Kerajaan memang banyak terutamanya perkara-perkara yang
hanya Kerajaan sahaja boleh melaksanakan. Sudah tentu dalam
proses demokrasi jika Kerajaan bertukar-tukar, pencapaian
Wawasan 2020 tidak dapat dijamin.
22. Kerajaan yang ada sekarang sedia menerima teguran dan
sanggup bertindak mengikut pendapat yang bernas dalam
usahanya untuk menjayakan Wawasan 2020. Sebenarnya apa yang
telah dilakukan oleh Kerajaan adalah hasil kesanggupan
Kerajaan membentuk pendekatan-pendekatan berdasarkan
cadangan-cadangan baru dari dalam dan luar Kerajaan. Adalah
jelas bahawa sikap terbuka Kerajaan membawa manfaat kerana
umum mengakui bahawa Malaysia membangun dengan lebih pesat
daripada kebanyakan negara lain.
23. Sikap terbuka Kerajaan akan diteruskan tetapi Kerajaan
juga tidak akan lupa akan tanggungjawabnya terutamanya
mengenai keselamatan dan kestabilan negara. Orang asing
tidak berhak menentukan apa yang baik untuk negara ini.
Hanya warganegara Malaysia sahaja yang berhak dan mereka
boleh menyuarakan pendirian mereka dengan cara yang tertib
khususnya melalui proses pilihanraya yang diperuntukkan oleh
Perlembagaan.
24. Semua yang kita rancang dan kita usahakan adalah
ikhtiar. Manusia yang dikurniakan dengan akal fikiran dan
tenaga tidak harus menunggu segala-galanya datang bergolek
kepada mereka. Manusia perlu berfikir dan berusaha sebagai
penghargaan kepada segala kurniaan Tuhan. Hanya setelah
segala ikhtiar dibuat baharulah kita boleh berkata bahawa
sesuatu itu telah ditakdirkan.
25. Inilah yang dibuat oleh Kerajaan. Percubaan untuk
mengasingkan orang Islam daripada proses pembangunan ke arah
Wawasan 2020 kerana kononnya Wawasan itu tertumpu hanya
kepada kebendaan, merupakan satu usaha untuk mengekalkan
orang Islam dalam keadaan mundur dan daif seperti yang
dikehendaki oleh musuh-musuh Islam. Tidaklah keterlaluan
jika kita berkata bahawa mereka ini, secara sedar atau tidak
sedar, bersubahat dengan musuh-musuh Islam. Dakyah mereka
ini menjadi lebih buruk apabila mereka sendiri mendapat
nikmat daripada pembangunan yang mereka kecam. Sebenarnya
Wawasan 2020 bertujuan mengimbangkan pembangunan material
dengan pembangunan rohaniah seperti yang dikehendaki oleh
agama Islam. Jika pada tahun 2020 kebolehan dan taraf hidup
orang Islam di Malaysia masih di tahap sekarang, kita
khuatir iman mereka akan tergugat. Harus diingat bahawa
kemiskinan adalah hampir kepada kekufuran.
26. Pada 1 Januari 1992 semua rakyat Malaysia haruslah
membuat resolusi untuk menjayakan segala tugas yang
dipertanggungjawabkan kepada mereka supaya prestasi tahun
kedua dalam usaha kita ke arah Wawasan 2020 terus meningkat.
27. Marilah kita, semua rakyat Malaysia daripada semua
kaum, berganding-bahu dan berusaha dengan bersungguh-sungguh
untuk Bangsa Malaysia dan Negara Malaysia.
28. Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada
semua rakyat Malaysia, dan saya berdoa semoga tahun 1992
akan membawa kita semua kepada kehidupan yang lebih bahagia
dan kepada tahap pencapaian pembangunan yang diperlukan
untuk menjayakan Wawasan 2020.
|