Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PWTC, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	10/01/92 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS KONGRES EKONOMI 
			BUMIPUTERA KETIGA 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
wa   Ta'ala   kerana  dengan  limpah  kurniaNya  dapat  kita
berkumpul di Dewan ini  sempena  perasmian  Kongres  Ekonomi
Bumiputera Ketiga.
2.   Kongres   yang   ketiga  ini  amat  penting  kerana  ia
merupakan satu forum  untuk  melahirkan  hasrat,  pandangan,
syor dan cadangan bagi meningkatkan penglibatan dan prestasi
Bumiputera   dalam  bidang  perniagaan  dan  perusahaan  dan
mewujud serta membangunkan satu Masyarakat  Perdagangan  dan
Perindustrian Bumiputera (MPPB) seperti yang disyorkan dalam
Dasar  Pembangunan  Nasional  (DPN).   Mewujudkan masyarakat
Bumiputera   yang   lebih   aktif   dalam   perniagaan   dan
perindustrian  menjadi  lebih  mendesak  memandangkan negara
kini mempunyai matlamat untuk menjadi negara maju  menjelang
tahun  2020.    Kita tidak mahu melihat Bumiputera berada di
peringkat  kaum  membangun  yang   mundur   apabila   negara
meningkat menjadi negara maju.
3.   Kesedaran  bahawa  orang  Melayu jauh ketinggalan telah
lama  dirasai.     Sebelum  negara   mencapai   kemerdekaan,
penyertaan  dan  penglibatan  orang  Melayu  dalam  aktiviti
ekonomi boleh dikatakan tidak wujud  sama  sekali.    Ketika
zaman  penjajah,  usaha pembangunan penjajah menitikberatkan
eksploitasi sumber  hasil  negara  bagi  kepentingan  mereka
tanpa  menghiraukan  agihan  kekayaan  ekonomi negara secara
adil kepada  rakyat  berbilang  kaum.    Penekanannya  lebih
tertumpu  kepada  pembangunan infrastruktur untuk memudahkan
pengeluaran hasil industri milik  penjajah.    Bahawa  dalam
proses  ini  orang  Melayu  semakin ketinggalan dalam bidang
perniagaan dan perusahaan tidak di  anggap  sebagai  masalah
Kerajaan.
4.   Apabila  orang Melayu membantah penubuhan Malayan Union
kerana akan melemahkan lagi kedudukan mereka, pihak penjajah
cuba menyejukkan perasaan  orang  Melayu  dengan  menawarkan
sebuah  agensi  pembangunan desa, iaitu Rural and Industrial
Development Authority atau RIDA.  Pihak penjajah  menganggap
lima  juta ringgit untuk RIDA memadai bagi mengatasi masalah
ekonomi orang Melayu.
5.   Sekarang kita telah merdeka 34  tahun  dan  kita  telah
membentuk berbagai-bagai dasar, mengadakan peruntukan ribuan
juta  ringgit,  menubuhkan beberapa bank serta agensi-agensi
khusus, dan mengadakan kongres-kongres ekonomi,  konvensyen,
woksyop  dan  lain-lain  lagi.    Namun  masalah  penyertaan
Bumiputera dalam bidang ekonomi masih belum selesai.
6.   Betapa besarnya masalah ekonomi  Bumiputera  ini  dapat
dilihat  daripada peristiwa 13 Mei 1969.  Walaupun peristiwa
ini  lebih  merupakan  peristiwa  politik,   sebenarnya   ia
menunjukkan  kebimbangan  orang  Melayu  khususnya  terhadap
kedudukan  ekonomi  mereka  jika  mereka  kehilangan   kuasa
politik.    Jika  orang Melayu yakin kedudukan mereka begitu
kukuh  daripada  segi  ekonomi,  mereka  tidak  akan   mudah
bertindak seperti pada 13 Mei, 1969.
7.   Oleh  itu  sebagai satu cara untuk menstabilkan politik
di Malaysia,  langkah-langkah  telah  diambil  selepas  1969
untuk  mengimbangkan  kedudukan  ekonomi  Bumiputera  dengan
bukan Bumiputera melalui Dasar Ekonomi Baru atau DEB.
8.   Tidak  ada  siapa  yang  dapat  menafikan  bahawa   DEB
berkesan  dan  berjaya  meningkatkan  penyertaan  Bumiputera
dalam bidang ekonomi melalui pendekatan serampang dua  mata,
iaitu  membasmi  kemiskinan  dan menyusun semula masyarakat.
Walaupun matlamat 30 peratus Bumiputera dalam bidang ekonomi
tidak tercapai, pencapaian 20 peratus adalah  satu  kejayaan
yang  besar.    Harus  diingat  bahawa  20 peratus merupakan
peningkatan hampir 1000  peratus  daripada  2  peratus  yang
dimiliki oleh Bumiputera sewaktu DEB dimulakan.  Pertumbuhan
ekonomi negara pada masa yang sama adalah dalam lingkungan 7
peratus  setahun atau hampir 300 peratus dalam jangkamasa 20
tahun.  Jika dihalusi lagi 20  peratus  bahagian  Bumiputera
adalah  daripada ekonomi yang telah tumbuh empat kali ganda,
dan bukan 20 peratus daripada ekonomi tahun 1970.
9.   Kita boleh berpuas hati dengan pencapaian  yang  tinggi
ini  tetapi  pencapaian  ini  dibuat dalam konteks yang luar
biasa, keadaan yang sengaja  diada-adakan  dan  bukan  dalam
konteks  ekonomi  biasa.    Kebanyakan pencapaian ini adalah
hasil peranan badan-badan amanah yang ditubuh oleh  Kerajaan
sebagai  kepentingan Bumiputera.   Yang bakinya adalah hasil
peluang perniagaan dengan Kerajaan yang diberi khusus kepada
Bumiputera.  Sebagai contoh hampir semua kontrak binaan bagi
Bumiputera adalah projek Kerajaan.  Hampir tidak ada kontrak
yang diperolehi oleh Bumiputera dalam pasaran luar Kerajaan.
Hanya dalam  bidang  profesional  sahaja  terdapat  kejayaan
Bumiputera dalam pasaran terbuka.
10.  Oleh  kerana  pencapaian  20 peratus adalah hasil usaha
dan iklim yang bukan semulajadi, maka  kemampuan  Bumiputera
bersaing  dan mengekalkan hak dan bahagian mereka jika iklim
biasa dikembalikan adalah disangsi.   Bahkan pada  pandangan
Kerajaan  hampir  semua 20 peratus milik Bumiputera ini akan
hilang  jika  perlindungan  yang  ada  sekarang  dihapuskan.
Besar  kemungkinan  kita  telah  mencapai 30 peratus seperti
matlamat DEB tetapi 10 peratus daripada yang diperolehi oleh
Bumiputera itu telah dijual balik  kepada  bukan  Bumiputera
untuk mendapat keuntungan cepat.
11.  Penyakit  ini  perlu diakui jika kita betul-betul ingin
mengubatinya.   Perlindungan politik seperti  yang  terdapat
sekarang  bukanlah  perkara yang kekal.   Hari ini sudah ada
orang Melayu yang  sanggup  mengenepikan  kepentingan  orang
Melayu  kerana ingin tempat tertentu bagi diri sendiri.  Dan
orang Melayu pun bukan bersatu hati tetapi semakin  berpecah
dan  lebih asyik bersengketa sesama sendiri.  Dalam pada itu
ada pula jenis orang Melayu yang memandang ringan  apa  yang
ditafsir  sebagai  kejayaan  di dunia dan sanggup melemahkan
diri sendiri dan  orang  Melayu  demi  kepentingan  kononnya
perjuangan keIslaman mereka.
12.  Memandangkan   kepada   keadaan  dan  aliran  ini  maka
Bumiputera perlu mampu bersaing dalam bidang perusahaan  dan
perniagaan  tanpa  apa-apa perlindungan dalam pasaran biasa.
Langkah  pertama  untuk  meningkatkan  kemampuan  Bumiputera
dalam  bidang  ekonomi  ialah  dengan mengenali dan mengakui
akan adanya kelemahan atau penyakit-penyakit yang  menyerang
mereka.    Selagi  mereka  tidak  sanggup  mengenalpasti dan
mengakui penyakit-penyakit ini selama itulah ubat yang tidak
tepat  akan  digunakan  atau  bukan  penyakit  sebenar  yang
diubati tetapi symptomnya sahaja.
13.  Apakah  dianya  penyakit  yang perlu diubati?  Penyakit
utama ialah kurang keyakinan bahawa Bumiputera boleh berjaya
tanpa  keistimewaan-keistimewaan  tertentu.    Tuhan   tidak
menjadikan Bumiputera kurang sempurna daripada manusia lain.
Mereka  sempurna  dan  berwibawa.    Kelemahan dan kegagalan
mereka  adalah  disebabkan  sikap  dan   pendekatan   mereka
sendiri.    Inilah  penyakit  yang memerlukan pengakuan oleh
mereka.
14.  Memang pahit untuk mengakui hakikat ini.   Jika  mereka
cuba  menipu  diri  seperti  orang  yang  mengidap  penyakit
jantung meyakinkan diri bahawa ia  "terkena"  atau  "dibuat"
orang  dan dengan itu perlu diubati oleh bomoh dengan jampi,
maka keadaannya tidak akan  dapat  dipulihkan.    Sebaliknya
dengan  menerima  bahawa  penyakitnya  serius dan memerlukan
pembedahan yang besar, maka kemungkinan  ia  dipulih  adalah
lebih  baik.    Demikian juga dengan penyakit yang menyerang
Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan.    Mereka
boleh  memulihkan  diri  jika  mereka mengakui bahawa mereka
kurang yakin kepada  diri  sendiri.    Jika  masalah  kurang
percaya  kepada  kebolehan  diri  ini  dapat  diatasi,  maka
sebahagian  besar  daripada   halangan   terhadap   kejayaan
Bumiputera akan dapat dihapuskan.
15.  Selepas   negara   mencapai   kemerdekaan   dan  teraju
pemerintahan dipegang sendiri oleh rakyat, dan orang  Melayu
dan  Bumiputera  memegang tampok yang besar, keinginan untuk
sama-sama menikmati hasil pembangunan  negara  seperti  kaum
lain  telah  meningkat.    Berikutan daripada keinginan ini,
Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama telah diadakan  pada
tahun  1965  dan  Kongres  Ekonomi Bumiputera kedua diadakan
pada tahun 1968 bagi membincang dan merenung hakikat sebenar
kedudukan Bumiputera daripada segi ekonomi.  Hasil  daripada
Kongres pertama, MARA telah muncul menggantikan RIDA sebagai
agensi  untuk  menggerakkan masyarakat Melayu dan Bumiputera
dalam bidang perdagangan dan perindustrian.  Di samping itu,
penubuhan Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) dan beberapa
perbadanan dan syarikat-syarikat lain juga jelas membuktikan
betapa Kerajaan sanggup menerima dan melaksanakan  keputusan
Kongres bagi membela nasib Bumiputera.
16.  Kedudukan  dan  pencapaian  ekonomi Bumiputera   sekali
lagi mendapat perhatian  serius  selepas  peristiwa  13  Mei
1969.    Analisis  terhadap  sebab-sebab tercetusnya rusuhan
kaum  menunjukkan  bahawa  salah  satu  faktor   asas   yang
menggugat   keharmonian   kaum  di  negara  ini  ialah  soal
ketidakseimbangan ekonomi antara mereka.  Hasil  perundingan
yang  mendalam  di  kalangan  Bumiputera sendiri dan juga di
kalangan bukan  Bumiputera,  ialah  lahirnya  Dasar  Ekonomi
Baru.
17.  DEB  digubal  bertujuan  memperbaiki  ketidakseimbangan
antara kaum terutamanya daripada segi agihan kekayaan negara
dan membasmi kemiskinan.   Ia merupakan satu  "social  engi-
neering exercise" yang berani bagi mana-mana masyarakat.
18.  Pertumbuhan   ekonomi   dalam   era   DEB  telah  dapat
meningkatkan penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam  ekonomi
negara   keseluruhannya.     Agihan  kekayaan  berasas  "kek
ekonomi"  yang  membesar  tidak  menjejaskan  jumlah  mutlak
kekayaan kaum-kaum lain dan juga penguasaan saham oleh orang
asing  di  negara ini.  Dalam erti kata lain, Malaysia telah
menghadapi masalah  perbezaan  ekonomi  antara  kaum  dengan
mengubalkan  dasar  dan  program  yang  radikal tetapi adil.
Rampasan harta seperti disesetengah negara  tidak  dilakukan
di bawah DEB.
19.  Pelaksanaan  DEB telah banyak membawa kemakmuran kepada
Bumiputera dan juga kaum-kaum lain di  negara  ini.    Usaha
membasmi  kemiskinan  di  kalangan  semua  kaum di bawah DEB
telah menghasilkan kejayaan yang besar.    Kadar  kemiskinan
negara  telah  dapat  dikurangkan  dengan banyaknya dan pada
masa  ini  terdapat  hanya  kira-kira  seratus  enam   puluh
sembilan ribu isirumah yang masih dikategorikan sebagai mis-
kin.    Daripada  jumlah  ini  pula, hanya kira-kira seratus
empat puluh tiga ribu isirumah sahaja yang  dianggap  benar-
benar  miskin atau dikategorikan sebagai keluarga termiskin.
Malangnya apabila para pengkritik membincangkan DEB,  mereka
menumpukan   hanya   kepada  agihan  saham  syarikat  besar.
Peluang  pelajaran,  subsidi  berbagai-bagai  jenis,  tabung
pinjaman,   biasiswa   dan  galakan  kepada  industri  untuk
mengatasi  pengangguran,  pertambahan  berbagai-bagai  jenis
perniagaan kecil tidak disebut sama sekali.
20.  Kita  harus  sedar  bahawa  penghapusan kemiskinan amat
penting dalam proses pencapaian matlamat  penyusunan  semula
masyarakat,   lebih-lebih   lagi   untuk  mewujudkan  sebuah
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera  (MPPB).
Hanya   jika   masyarakat  dapat  melepaskan  diri  daripada
belenggu kemiskinan barulah ia mampu menyusun langkah  untuk
mengambil   peluang-peluang   perniagaan  dan  perindustrian
dengan lebih berkesan.  Sebaliknya usaha-usaha yang  terlalu
tertumpu  kepada  strategi  menyusun semula dan menggalakkan
pembangunan  usahawan  mungkin   akan   menyebabkan   jurang
perbezaan  ekonomi di kalangan masyarakat Bumiputera sendiri
menjadi lebih besar.  Oleh kerana itulah  Kerajaan  sentiasa
memberi   penekanan   terhadap   pembangunan   infrastruktur
terutamanya di kawasan luar bandar di  mana  terdapat  ramai
yang  miskin.    Tidak ada negara lain di dunia yang membuat
peratusan  peruntukan  sebesar   Malaysia   untuk   membasmi
kemiskinan.
21.  Peranan  pertumbuhan ekonomi dalam menjayakan kedua-dua
matlamat DEB adalah kritikal.  Agihan kekayaan  tidak  boleh
dilakukan  jika  ekonomi tidak tumbuh.  Agihan kekayaan yang
sedia ada hanya akan menjadikan  semua  pihak  sama  miskin.
Dalam  keadaan  semua  pihak  miskin,  punca  kewangan untuk
membasmi kemiskinan atau menyusun  semula  masyarakat  tidak
akan  ada.    Segala-galanya bergantung kepada kesihatan dan
pertumbuhan ekonomi.
22.  Usaha menyusun semula masyarakat telah  banyak  memberi
pengajaran  kepada kita.   Daripada segi pemilikan kekayaan,
khasnya  dalam  sektor  korporat,  kita  dapati   masyarakat
Bumiputera    mampu    mencapai    satu   peningkatan   yang
membanggakan, iaitu daripada tahap 2 peratus pada tahun 1970
kepada 20 peratus pada tahun 1990.
23.  Pencapaian Bumiputera dalam bidang  pembangunan  sumber
manusia  dan  gunatenaga  adalah  baik.    Pada  tahun 1970,
peratusan Bumiputera dalam  bidang-bidang  profesional  yang
berkaitan   secara   langsung   dengan  bidang  perdagangan,
perindustrian dan perkhidmatan  seperti  arkitek,  jurutera,
akauntan  dan  peguam amatlah kecil.   Pada tahun 1990, kita
telah  berjaya  meningkatkan  peratusan   Bumiputera   dalam
bidang-bidang  berkenaan.    Di  samping itu, jumlah pelajar
Bumiputera  yang  telah   memasuki   bidang-bidang   latihan
teknikal  dan  kemahiran  juga telah meningkat.   Sungguhpun
peningkatan jumlah ini masih jauh  lebih  rendah  berbanding
dengan  bukan  Bumiputera, jumlah ini tidak mungkin tercapai
jika tidak kerana DEB.  Kebanyakan daripada Bumiputera  yang
mendapat  pelajaran  tinggi  datang daripada keluarga miskin
atau yang tidak  mampu.    Sekaligus  ia  menafikan  tuduhan
kononnya  DEB  menguntungkan  keluarga  kaya  atau  keluarga
tertentu sahaja.
24.  Namun daripada  segi  hakmilik  dan  penyusunan  semula
gunatenaga,  adalah  jelas bahawa hasrat DEB untuk membentuk
satu masyarakat perdagangan dan  perindustrian  di  kalangan
Bumiputera belum tercapai.  Sungguhpun daripada segi jumlah,
bilangan syarikat yang dimiliki oleh Bumiputera di kedua-dua
sektor korporat dan bukan korporat telah meningkat, bilangan
tersebut  sebenarnya  kecil daripada segi saiz dan perolehan
jika  dibandingkan   dengan   yang   dimiliki   oleh   bukan
Bumiputera.    Dalam  industri-industri perkhidmatan seperti
dagangan  borong  dan   runcit,   perkhidmatan   perkapalan,
perhotelan  dan penginapan, pengangkutan dan industri kecil,
peningkatan kepada 34 peratus pemilikan Bumiputera  daripada
segi  bilangan  pada  tahun  1988,  tidak  diimbangi  dengan
perolehan  daripada  perniagaan  yang  hanya  berjumlah   21
peratus.    Ini mungkin kerana jenis perniagaan dan industri
yang dipilih oleh Bumiputera tidak produktif atau lemah.
25.  Dalam  sektor  perdagangan  borong  dan  runcit   pula,
daripada   kira-kira  dua  ratus  sepuluh  ribu  lesen  yang
dikeluarkan oleh  Pihak  Berkuasa  Tempatan  di  Semenanjung
Malaysia  pada  penghujung  tahun  1990,  hanya  28  peratus
dimiliki oleh peniaga-peniaga Bumiputera.   Daripada  jumlah
ini, kebanyakannya merupakan perniagaan kecil-kecilan.
26.  Saiz  perniagaan Bumiputera purata adalah kecil.  Kira-
kira 77 peratus daripada usahawan Bumiputera yang  berdaftar
sebagai   pembekal  dengan  Kementerian  Kewangan  mempunyai
purata  modal  berbayar  kurang  daripada  tiga  puluh  ribu
ringgit.    Kebanyakan  daripada  kontraktor-kontraktor yang
berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor  adalah  di  dalam
kelas  F.    Walaupun  ini  mungkin  disebabkan  oleh kurang
kemudahan  kredit,  tetapi  prestasi   kebanyakan   daripada
kontraktor    Bumiputera   yang   kurang   baik   menghalang
peningkatan mereka ke kelas yang lebih tinggi.   Dengan  ini
pembekalan  dan  kontrak  oleh  Bumiputera  dengan  Kerajaan
berjumlah hanya antara 12 hingga 15 peratus  daripada  nilai
keseluruhan kontrak Kerajaan yang ditawarkan.  Sementara ini
menafikan   tuduhan   bahawa   DEB  menyekat  peluang  bukan
Bumiputera,  hakikatnya  ialah  kualiti   dan   daya   saing
Bumiputera dalam bidang ini masih rendah.
27.  Dalam  konteks  pembangunan  yang  agak pesat, Kerajaan
telah memperuntukkan sebanyak lapan  ratus  lima  perpuluhan
enam  juta ringgit di bawah Rancangan Malaysia Keenam kepada
Kementerian Perusahaan  Awam  untuk  berbagai-bagai  program
yang  bertujuan  meningkatkan  kemampuan usahawan Bumiputera
melalui latihan  dalam  bidang  keusahawanan  yang  meliputi
bidang  urusniaga,  peningkatan  motivasi serta bagi membina
sikap yang lebih positif sebagai usahawan  serta  penyediaan
kemudahan-kemudahan  seperti  ruangniaga,  kemudahan bantuan
modal serta perwujudan peluang-peluang perniagaan.
28.  Di samping itu Kerajaan juga  telah  mengadakan  Tabung
Pemulihan Usahawan bagi membantu memulih pengusaha-pengusaha
Bumiputera  yang  terjejas  oleh  kemelesetan  ekonomi  pada
pertengahan tahun 80an.   Bersama-sama  Permodalan  Nasional
Berhad  (PNB),  Kerajaan  juga  telah  menubuhkan Perbadanan
Usahawan Nasional Berhad  dengan  modal  permulaan  sebanyak
tiga ratus juta ringgit bagi memajukan lagi skim latihan dan
pembangunan  usahawan  Bumiputera.   Daripada segi kemudahan
kewangan, terdapat juga kemudahan pinjaman  daripada  sektor
bank  yang  cukup  untuk  membantu  perkembangan  perniagaan
Bumiputera.     Selain   daripada   itu,   usahawan-usahawan
Bumiputera  juga  telah  memohon  pinjaman daripada beberapa
skim lain seperti Tabung Khas Pelancongan, Tabung Penyusunan
Semula Industri dan  Tabung  Projek  Perumahan  Terbengkalai
yang  diwujudkan  khas  untuk  aktiviti-aktiviti  perniagaan
tertentu.
29.  Justeru itu  masalah  kemudahan  kewangan  tidak  harus
disalahkan   dalam   usaha   mewujudkan  pengusaha-pengusaha
Bumiputera yang dinamis.   Peluang-peluang  yang  disediakan
patut   direbut  oleh  kaum  Bumiputera  dengan  rasa  penuh
tanggungjawab dan usaha yang lebih gigih demi untuk kebaikan
negara dan kaum Bumiputera amnya.
30.  Dalam bidang penyediaan kemudahan kontrak  kepada  kaum
Bumiputera, Kerajaan telah mengkhususkan 30 peratus daripada
nilai kerja bagi sesuatu agensi dikhaskan kepada Bumiputera.
Kerajaan  juga  mengagihkan kontrak-kontrak kerja yang tidak
melebihi $50 ribu ringgit kepada  pihak  Bumiputera.    Bagi
perolehan-perolehan  bekalan  dan  perkhidmatan, kontraktor-
kontraktor  Bumiputera   telah   diberi   keutamaan   harga.
Kerajaan  juga telah mengkhaskan beberapa bidang tertentu di
dalam perolehan  Kerajaan  untuk  disertai  oleh  Bumiputera
sahaja.    Dalam  kes-kes tertentu, Kerajaan sanggup memberi
kontrak-kontrak secara  rundingan  terus  kepada  pengilang-
pengilang,  pengimport  atau  "franchise holder" Bumiputera.
Dan pendahuluan 15 peratus diberi sebelum pun apa-apa  kerja
dijalankan bagi satu-satu kontrak.
31.  Jelas  bahawa  berbagai-bagai usaha telah diambil untuk
meningkatkan  lagi  penyertaan  Bumiputera  dalam   lapangan
perniagaan  dan  perindustrian agar tidak ketinggalan dengan
kaum-kaum  yang  lain.     Tetapi   pencapaian   Bumiputera,
terutamanya  di  dalam  membekal  Kerajaan masih belum boleh
dibanggakan.  Banyak projek terbengkalai, tidak dilaksanakan
atau dijual terus kepada bukan Bumiputera.
32.  Kita boleh  terus  menyalahkan  Kerajaan  atau  meminta
supaya   lebih  banyak  lagi  usaha  dibuat  untuk  menolong
Bumiputera.   Tetapi dapatkah kita  meyakinkan  diri  bahawa
masalah  kegagalan  Bumiputera  boleh  diatasi hanya melalui
tindakan Kerajaan?   Tidakkah ada  apa-apa  yang  boleh  dan
patut  dibuat oleh Bumiputera sendiri?  Tidakkah ada apa-apa
kelemahan di sisi Bumiputera sendiri yang menyebabkan mereka
tidak dapat menggunakan  segala  yang  diperuntukkan  kepada
mereka?
33.  Kerajaan  sedia dipersalahkan jika kegagalan Bumiputera
adalah kerana tindakannya. Tetapi jika kontrak  yang  diberi
kepada  Bumiputera  tidak  dilaksanakan  oleh  mereka,  atau
dijual  atau  disub-kontrakkan   sepenuhnya   kepada   bukan
Bumiputera  yang  kemudiannya tidak menerima bayaran, apakah
dengan  menyalahkan  Kerajaan   prestasi   Bumiputera   akan
diperbaiki?    Apakah  Kerajaan  yang  tidak  mahu bertindak
terhadap Bumiputera jenis ini kerana  takut  tidak  popular,
boleh   dianggap  sebagai  sebuah  Kerajaan  yang  baik  dan
berkemampuan untuk memperbaiki prestasi Bumiputera?
34.  Perkara-perkara ini perlu direnung oleh peserta-peserta
Kongres ini.   Pepatah berkata bahawa  tidak  ada  faedahnya
cuba  menegakkan  benang  yang  basah.    Mereka  yang tidak
sanggup menghadapi  kebenaran  tidak  akan  dapat  mengatasi
masalah  mereka.    Selama  70 tahun Kerajaan Komunis Russia
menipu diri dengan keengganan mereka mengakui bahawa  sistem
mereka  menghasilkan  kesan  yang buruk.   Tetapi yang buruk
tidak juga menjadi baik kerana  keburukannya  tidak  diakui.
Akhirnya  apabila terpaksa mengakui kegagalan sistem mereka,
"nasi sudah menjadi bubur".
35.  Perlukah kita  menunggu  sehingga  keadaan  tidak  lagi
dapat    dipulihkan   sebelum   kita   mengakui   kebenaran?
Sepertimana juga penjajahan kita oleh Portugis, Belanda  dan
Inggeris,  bukan  semua  kerana  salah mereka, demikian juga
kedudukan ekonomi Bumiputera tidak boleh disalahkan  semata-
mata  kepada  penjajah,  Kerajaan, kaum lain, sistem, iklim,
dan semua pihak selain daripada diri kita sendiri.
36.  Sebenarnya jika kita ikhlas dan sanggup memeriksa  diri
sendiri  akan kita dapati bahawa banyak kelemahan yang boleh
kita atasi sendiri bagi menjayakan  diri  kita.    Antaranya
ialah  sikap  untuk  "cepat kaya" tanpa risiko.  Sindrom ini
yang masih berleluasa dapat diperhatikan apabila  Bumiputera
merelakan  kaum  lain menggunakan nama mereka sama ada dalam
pembelian saham-saham yang dikhaskan kepada Bumiputera  atau
untuk   mendapatkan  lesen  dan  permit.    Cara  ini  tidak
mempunyai risiko dan pendapatan  datang  dengan  cepat  atau
"upfront".    Malangnya  cara ini akan mengekalkan kejahilan
Bumiputera dalam pengurusan perniagaan.
37.  Modal adalah satu  masalah  yang  dihadapi  oleh  semua
peniaga.    Tidak  ada  peniaga  di mana-mana yang mempunyai
cukup  modal.    Modal  pinjaman  pun  tidak  pernah  cukup.
Kurangnya modal bagi Bumiputera berlaku daripada sebelum ada
MARA,  Bank  Bumiputra  dan  bermacam-macam  tabung Kerajaan
sehinggalah semua kemudahan ini diadakan.    Jika  berbagai-
bagai  tabung  diadakan  lagipun  masalah  kurang modal akan
terus melanda peniaga Bumiputera.   Jika  ditunggu  sehingga
ada  modal  yang cukup, maka tidak ada perniagaan yang boleh
diadakan.  Hanya ada satu cara sahaja  bagi  masalah  kurang
modal,  dan  caranya  ialah  dengan  menyesuaikan perniagaan
dengan modal dan bukan  modal  dengan  perniagaan.    Insya-
Allah,  jika  perniagaan  berjaya  dan  semua hutang dibayar
mengikut jadual, mendapat  modal  yang  cukup  akan  menjadi
mudah.    Nothing  fails like failure, nothing succeeds like
success.
38.  Namun  Kerajaan  bersedia  untuk  menimbang  apa   juga
cadangan   untuk   mengatasi  masalah  kekurangan  modal  di
kalangan Bumiputera.
39.  Keyakinan akan kemampuan  diri  perlu  disertai  dengan
penerimaan  bahawa  jalan  yang  mudah  dan cepat tidak ada.
Untuk mengatasi kelemahan Bumiputera dan  mencapai  kejayaan
kesabaran  dan ketekunan diperlukan.  Mereka yang ingin kaya
cepat akan jatuh dengan teruknya.  Dan ini telah kita  lihat
berkali-kali  berlaku.    Mungkin  ada  yang  percaya bahawa
kemalangan yang menimpa orang lain tidak akan  menimpa  diri
sendiri.   Kepercayaan ini adalah khayalan semata-mata.  Apa
yang berlaku kepada orang lain kerana amalan yang tidak baik
akan berlaku juga  kepada  diri  sendiri  jika  amalan  yang
serupa diamalkan.
40.  Kesabaran  adalah penting dalam mencapai kejayaan dalam
bidang perniagaan  dan  perusahaan.    Biar  lambat  asalkan
selamat  bukan pepatah kosong.  Mereka yang mudah tawar hati
tidak akan berjaya.  Kekayaan yang datang dengan mudah  akan
pergi  dengan  mudah.    Matlamat kita bukan pencapaian tiga
puluh peratus buat beberapa  ketika  tetapi  pemilikan  yang
berkekalan.  Hanya dengan menjual saham atau AP atau kontrak
yang  diterima  daripada  Kerajaan  boleh memberi pendapatan
yang diidami tetapi daripada  segi  agihan  kekayaan  kepada
Bumiputera,  perbuatan  itu menghalang matlamat kaum bangsa.
Lebih sedih lagi ialah  pendapatan  yang  diperolehi  secara
mudah ini tidak kekal.  Yang kaya cara ini akan menjadi mis-
kin dan merana semula.
41.  Dalam  usaha  untuk  menambah  peluang bagi Bumiputera,
Kerajaan memberi banyak keistimewaan  kepada  mereka.    Ini
termasuklah   lesen,   permit   import,  kontrak,  pinjaman,
peluang, tempat, tawaran yang rendah dan  wang  pendahuluan.
Jika  semua  ini diguna dengan baik dan diurus dengan cekap,
pencapaian DEB mungkin lebih daripada 30  peratus.    Tetapi
kita  semua  tahu  apa yang berlaku.   Dalam keinginan untuk
meraih kekayaan dengan cepat segala lesen, peluang,  kontrak
dan  lain-lain  lagi  didagangkan.    Akibatnya  hasil  yang
terbesar diperolehi oleh  pihak  lain.    Dengan  ini  bukan
sahaja    jurang   perbezaan   Bumiputera/bukan   Bumiputera
dikekalkan tetapi menjadi lebih jauh lagi.
42.  Sebaliknya jika ada kesabaran dan ketekunan dan  segala
peluang   diguna   dan  diurus  dengan  baik,  bukan  sahaja
pendapatan yang lebih besar akan didapati, tetapi  kecekapan
yang  diperolehi  akan  meningkatkan  daya  saing Bumiputera
dalam  pasaran  terbuka.    Dan  ini   bermakna   penyertaan
Bumiputera dalam perdagangan akan terus dikekalkan.
43.  Perniagaan  dan  perusahaan memerlukan etika yang baik.
Ada yang berpendapat  bahawa  ramai  pengusaha  dan  peniaga
berjaya kerana menipu.  Tidak sesiapa dapat menafikan bahawa
ada  daripada  peniaga  dan  pengusaha yang kaya raya kerana
menipu.  Antara mereka ialah Robert Maxwell, Charles Keating
Junior, Ivan Boesky, Michael Milken dan lain-lain.   Mungkin
ada yang belum dikesan.
44.  Namun  lebih ramai yang berjaya kerana usaha yang gigih
dan kejujuran.   Walaupun  mungkin  ada  orang  yang  secara
semulajadi  cekap  dalam bidang perniagaan tetapi bagi siapa
sahaja pengalaman yang baik dan berpanjangan tetap  berkesan
mencanaikan kecekapan.  Kelulusan Masters in Business Admin-
istration  atau  MBA  baik sebagai asas tetapi pengalamanlah
yang akan memberi hasil daripada pelajaran  pengurusan  asas
ini.   Dan pengalaman memerlukan masa dan pendedahan.  Sebab
itu kesabaran adalah penting.
45.  Ada negara yang bertindak menukar Kerajaan atau Perdana
Menteri apabila prestasi negara merosot.   Mungkin  prestasi
yang  merosot  ini  disebabkan  oleh  Kerajaan  atau Perdana
Menteri.  Tetapi jika kemerosotan prestasi  disebabkan  oleh
sikap  rakyat atau kelemahan mereka, penukaran Kerajaan atau
Perdana  Menteri  tidak  akan  berjaya  memulihkan  prestasi
negara.
46.  Demikian  juga  ada  negara  yang  berpendapat  ekonomi
negara boleh diperbaiki  melalui  dasar  atau  undang-undang
atau  cukai  atau  faedah pinjaman.   Jika benarlah perkara-
perkara ini sahaja yang menyebabkan prestasi  merosot,  maka
perubahan   kepada   perkara-perkara   ini   mungkin   dapat
memulihkan keadaan.   Tetapi  jikalau  kelemahan  berada  di
tempat  lain,  sebarang  perubahan  dasar atau undang-undang
tidak akan membawa apa-apa kesan.
47.  Kita perhatikan bahawa peralihan  yang  radikal  sedang
berlaku  dalam perdagangan antarabangsa.  Negara-negara yang
dahulunya   mengeksport   barang-barang   buatan    sekarang
mengeskport  bahan  mentah.    Sebaliknya negara-negara yang
dahulunya mengeksport bahan mentah kini mengeskport  barang-
barang  buatan  yang canggih.  Dengan ini negara-negara yang
dahulunya pengeskport barang-barang buatan cuba  menggunakan
kuasa  politik  untuk kononnya membuka pasaran yang tertutup
kepada barang-barang  mereka.    Tetapi  sebenarnya  barang-
barang  mereka  sudah  tidak competitive, baik daripada segi
harga atau pun kualiti.
48.  Sekali lagi kita lihat contoh bagaimana  penyakit  yang
diubati  dengan ubat yang tidak tepat atau tidak kena, tidak
dapat memulihkan keadaan.  Kelemahan negara-negara  industri
lama  ialah  mereka sudah hilang sifat-sifat yang menjadikan
mereka pengeluar barang-barang  yang  bermutu  dengan  harga
yang  berpatutan.   Sekarang mereka sudah tidak lagi compet-
itive dan paksaan politik tidak akan  menyelesaikan  masalah
mereka.    Hanya  dengan  memperbaiki mutu dan harga barang-
barang  mereka  baharulah  mereka  dapat  menembusi   semula
pasaran yang mereka telah hilang.
49.  Demikian  juga dengan masalah prestasi Bumiputera dalam
bidang  ekonomi.    Kerajaan  boleh  membuat  berbagai-bagai
dasar,    undang-undang   dan   menyediakan   bermacam-macam
kemudahan.   Sedikit sebanyak  tindakan  Kerajaan  ini  akan
membantu  pencapaian yang diharapkan.  Tetapi jika kelemahan
yang ada pada Bumiputera  tidak  diatasi  sebarang  tindakan
Kerajaan   tidak   akan   menyelesaikan  masalah  penyertaan
Bumiputera dalam perdagangan dan perindustrian.
50.  Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga ini  bukan  dirancang
oleh  Kerajaan.    Idea ini datang daripada Dewan Perniagaan
dan  Perindustrian    Melayu.    Kerajaan  hanya   mengambil
bahagian.    Oleh  kerana  Kongres  Pertama dan Kedua adalah
anjuran Kerajaan, tidak dapat tidak,  peranan  dan  sokongan
Kerajaan  untuk  Kongres kali ini juga diperlukan.  Bukanlah
menjadi niat Kerajaan  untuk  menghalang  kritikan  terhadap
Kerajaan kerana pencapaian yang rendah bagi Bumiputera dalam
bidang  ekonomi.    Kerajaan sedia mendengar segala kritikan
dan menerima usul-usul dan cadangan-cadangan yang dihasilkan
oleh Kongres ini.  Sepertimana pihak peniaga  dan  pengusaha
Bumiputera   perlu   berterus-terang,  Kerajaan  juga  perlu
berterus-terang jika  semua  pihak  ingin  mendapat  manfaat
daripada Kongres ini.
51.  Atas  cadangan Kerajaan, Kongres ini disertai juga oleh
bukan Bumiputera.  Ini ialah kerana bukan  Bumiputera  boleh
memainkan   peranan   yang   penting   bagi   menjaya   atau
menggagalkan segala rancangan  untuk  mengimbangkan  ekonomi
Bumiputera dengan bukan Bumiputera.  Dengan penyertaan bukan
Bumiputera,  kita berharap mereka akan lebih memahami hasrat
Kongres ini dan dengan itu  mereka  akan  memainkan  peranan
yang lebih positif.
52.  Satu daripada sebab kegagalan DEB ialah pendekatan yang
diambil  oleh  bukan  Bumiputera.    Mereka lebih suka rakan
Bumiputera mereka  tidak  menerima  risiko  perdagangan  dan
tidak  aktif  dalam pengurusan.   Dengan ini, selama-lamanya
peniaga Bumiputera akan  jahil  dan  akan  terus  bergantung
kepada mereka.
53.  Mungkin  dengan ini mereka akan beruntung tetapi dengan
ini juga mereka akan dibebankan dengan DEB demi DEB  selama-
lamanya.    Adalah  lebih  baik bagi mereka menentukan rakan
Bumiputera  mereka  menyertai   secara   bersungguh-sungguh.
Mereka  tidak  akan  rugi kerana risiko akan ditanggung juga
oleh rakan Bumiputera mereka.
54.  Kerjasama Bumiputera dengan bukan Bumiputera memerlukan
toleransi dan kesabaran.   Adalah didapati  bahawa  syarikat
Bumiputera   sukar  membesar.    Ini  ialah  kerana  apabila
seseorang rakan atau pekerja berpendapat ianya  sudah  cukup
cekap,  maka  ia akan meninggalkan syarikat untuk menubuhkan
syarikatnya sendiri.   Jika  rakan  kongsi  atau  majikannya
bukan   Bumiputera,   lebih  banyak  alasan  didapati  untuk
berpisah.  Oleh sebab itu  jarangkali  terdapat  perkongsian
Bumiputera  dengan  bukan Bumiputera yang kekal.  Dengan itu
kesempatan untuk rakan Bumiputera belajar adalah terbatas.
55.  Masalah ini perlu diatasi.  Syarikat besar diakui lebih
mampu berjaya  daripada  syarikat  kecil.    Dalam  beberapa
bidang   perusahaan  tidak  ada  tempat  sama  sekali  untuk
syarikat  kecil.    Justeru  itu,  Bumiputera  dengan  bukan
Bumiputera  perlu  belajar  bekerjasama  dan  bersikap lebih
toleran terhadap masing-masing.  Dengan cara  ini  baharulah
dapat   diadakan   perkongsian   yang   bermakna  di  antara
Bumiputera dan  bukan  Bumiputera  dan  masing-masing  dapat
mempelajari kecekapan masing-masing.
56.  Kerjasama  Bumiputera  dengan  bukan  Bumiputera  bukan
sahaja baik dalam usaha  mencapai  matlamat  DEB  dan  Dasar
Pembangunan  Nasional  (DPN)  tetapi juga baik untuk politik
dan negara.  Hakikatnya ialah kita  tidak  boleh  mengadakan
dua  ekonomi  yang  berasingan  dalam negara kita.   Ekonomi
Bumiputera  dan  bukan  Bumiputera  mestilah  diintegrasikan
untuk mengelak perasaan iri hati bagi mana-mana pihak.
57.  Justeru  itu  penyertaan bukan Bumiputera dalam Kongres
ini adalah penting.  Mereka mempunyai peranan dalam  Kongres
ini   dan   dalam  perlaksanaan  resolusi-resolusi  tertentu
Kongres ini.
58.  Mungkin ini dianggap terlalu  optimistik  tetapi  dalam
apa  juga rancangan atau pendekatan kita perlu kepada "opti-
mism".  Tanpa harapan besar tidak mungkin beberapa rancangan
kita mencapai kejayaan. Cita-cita dan harapan besar -- ambi-
tion  and  high  expectation  yang   munasabah   --   adalah
sebahagian daripada apa juga rancangan.
59.  Kongres  Ketiga ini diadakan sejurus selepas pelancaran
DPN bagi menggantikan DEB.  Antara matlamat utama DPN  ialah
mewujudkan    Masyarakat   Perdagangan   dan   Perindustrian
Bumiputera (MPPB).  Sudah tentu Kerajaan  mempunyai  peranan
yang  besar  dalam  mewujudkan  MPPB ini.   Sudah tentu juga
masyarakat Bumiputera mempunyai  pendapat  berkenaan  dengan
peranan  dan tindakan yang harus diambil oleh Kerajaan.  Dan
Kerajaan memberi pengakuan akan menimbang dengan  sewajarnya
segala  cadangan  berkenaan apa yang perlu diperbuatkan oleh
Kerajaan untuk mewujudkan MPPB  dan  melaksanakan  apa  yang
mampu dibuat olehnya dengan bersungguh-sungguh.
60.  Tetapi  yang  harus  diingat  ialah  yang  akan menjadi
anggota MPPB ini ialah individu  Bumiputera.    Bukan  semua
Bumiputera  akan  menganggotainya.    Hanya sebilangan kecil
Bumiputera sahaja yang akan menjadi  anggota  golongan  ini.
Dan mereka ini perlu mempunyai kebolehan-kebolehan tertentu.
61.  Masalah  yang  akan dihadapi ialah bagaimana menentukan
siapa  yang  harus  dibantu  oleh  Kerajaan  supaya  menjadi
anggota  MPPB  ini.   Apakah dapat kita mengenalpasti mereka
melalu minat mereka, atau kelulusan mereka, ataupun  ukuran-
ukuran  lain?  Walau apapun kriteria yang digunakan akan ada
mereka yang kecewa kerana kononnya ada pilih kasih.
62.  Sebelum daripada ini tidak ada  mana-mana  negara  atau
masyarakat yang secara sengaja cuba mewujudkan satu kumpulan
pedagang  dan  pengusaha  daripada kalangan rakyatnya.  Jika
ada pedagang dan pengusaha, mereka wujud dengan  sendirinya,
setelah   berjaya   mengatasi   bermacam-macam  masalah  dan
rintangan.
63.  Keputusan  untuk  sengaja   mengadakan   kumpulan   ini
bermakna  pilihan perlu dibuat melalui kriteria tertentu dan
kemudian bantuan perlu diberi.   Tidak  mungkin  semua  yang
berminat akan dipilih.
64.  Permodalan  Nasional Berhad sudahpun memulakan usaha ke
arah ini.   Adalah jelas  bahawa  bukan  sahaja  minat  yang
diperlukan,  tetapi  juga  kemampuan kewangan dan pengalaman
pengurusan.    Ini  bermakna  hanya  mereka  yang   sudahpun
menunjukkan prestasi yang memuaskan dan sanggup melabur wang
sendiri  yang  akan  diberi  pertolongan  tertentu.    Untuk
menentukan  mereka  ini  mampu  menghadapi   realiti   dunia
perniagaan, bantuan yang diberi ini pun bukanlah percuma.
65.  Pendekatan  ini  adalah  jauh berbeza dengan pendekatan
semasa DEB dilaksanakan.   Di masa DEB,  kelayakan  mendapat
bantuan  bergantung sama ada calon itu Bumiputera atau tidak
sahaja.  Adalah jelas pendekatan  ini  mudah  disalahgunakan
dan tidak berjaya mewujudkan MPPB.
66.  Kerajaan sebenarnya sudah mengenalpasti banyak lapangan
dan jurusan yang berpotensi bagi penyertaan Bumiputera, sama
ada  yang kecil atau yang besar.  Seperti juga dengan bidang
kerja,  pertemuan  minat  dengan  peluang  menjadi  masalah.
Kebanyakan  daripada  bidang yang dikenalpasti mungkin tidak
diminati oleh individu Bumiputera.  Malangnya jika  individu
Bumiputera   mahu   membuat  apa  yang  diingininya  sahaja,
perwujudan  MPPB  tidak  akan  berkesan.      Justeru   itu,
Bumiputera   hendaklah   sanggup  menyesuaikan  diri  dengan
peluang dan bukan sebaliknya.
67.  Satu Kongres  Bumiputera  tidak  mungkin  menyelesaikan
atau   mengenalpasti  semua  masalah  Bumiputera.    Mungkin
Kongres  ini  akan   diturut   dengan   lain-lain   Kongres,
konvensyen, woksyop dan sebagainya.
68.  Bahayanya  ialah  terlalu banyak perbincangan, usul dan
desakan tidak akan memberi masa untuk  melaksanakan  apa-apa
keputusan  dengan  berkesan.    Sementara  kita  harus  kaji
pencapaian dari semasa ke semasa, kita  juga  harus  memberi
masa yang mencukupi bagi pelaksanaan membuahkan hasil.
69.  Satu pendekatan yang dipersoalkan ialah penswastaan dan
kesannya  terhadap  penyertaan Bumiputera.  Memandang kepada
kelemahan  Bumiputera,  ada  kemungkinan  penswastaan   akan
menambah   bahagian   bukan   Bumiputera   dan   menjejaskan
pencapaian DEB.
70.  Sebenarnya cadangan penswastaan  hanya  dibuat  setelah
badan-badan  kepentingan  Bumiputera,  umpamanya  PNB, sudah
mencukupi  dan  berkemampuan.     Sehingga   kini   bahagian
Bumiputera   tidak   terjejas  kerana  penswastaan  walaupun
peningkatannya  terjejas   sedikit   kerana   ada   individu
Bumiputera  termasuk  pekerja  yang mencari keuntungan cepat
dengan menjual saham mereka.
71.  Tetapi  daripada   penswastaan   banyak   peluang   dan
pengalaman  dalam  bidang  pengurusan  dan  perniagaan telah
diperolehi oleh  Bumiputera  dan  mereka  telah  membuktikan
kebolehan mereka.  Dengan perkataan lain, proses penswastaan
juga   menolong  mengenalpasti  mereka  yang  boleh  menjadi
anggota MPPB.  Justeru itu Kerajaan akan  meneruskan  proses
penswastaan   yang   jelas  membawa  lebih  banyak  kebaikan
daripada keburukan, lebih-lebih lagi dalam keadaan  Kerajaan
tidak  mampu menanggung beban pembiayaan kemudahan awam yang
selalu rugi.  Penswastaan sebenarnya telah  menolong  proses
pembangunan   yang  diperlukan  untuk  menjayakan  DEB,  dan
diyakini akan menjayakan DPN.
72.  Kekhuatiran terhadap penswastaan dalam  usaha  mencapai
matalamat  DPN  tidak  harus  ada.    Pandangan yang positif
hendaklah ditunjuk oleh Bumiputera dan mereka harus  mencari
peranan   dan   peluang   dalam   proses  penswastaan  untuk
menjayakan lagi DPN.
73.  Akhir kata saya berharap  Kongres  ini  dapat  berjalan
dengan  baik  dan  mencapai  matlamatnya.   Saya mengucapkan
ribuan terima kasih kepada semua pihak yang  terlibat  dalam
menjayakan Kongres.
74.  Dengan  ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres
Ekonomi Bumiputera yang Ketiga ini.
     Wabillahitaufik       walhidayah       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google