Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JITRA, KEDAH DARUL AMAN
Tarikh/Date : 16/01/92
Tajuk/Title : PERASMIAN KILANG TAKAGI (MALAYSIA)
SDN. BHD.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan
Syarikat Takagi (Malaysia) Sdn. Bhd. kerana menjemput saya
untuk merasmikan kilangnya di Bandar Darul Aman pada hari
ini.
2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada syarikat Takagi
kerana mengambil keputusan menempatkan kilangnya di kawasan
perindustrian Bandar Darul Aman. Langkah ini adalah satu
keputusan yang berani dan bijak -- berani kerana yakin
dengan masa hadapan syarikat di negeri Kedah dan bijak
kerana tidak mengikuti jejak langkah syarikat-syarikat lain
yang biasanya menumpukan perhatian kepada kawasan-kawasan
yang lebih maju. Dengan kemajuan seimbang yang sedang
dilaksanakan di seluruh Malaysia, saya yakin lambat-laun
kesangsian para pelabur terhadap sesuatu lokasi kilang tidak
akan menjadi masalah di dalam membuat keputusan menempatkan
kilang mereka.
3. Faktor utama yang mungkin mendorong Syarikat Takagi
menempatkan kilangnya di Bandar Darul Aman ialah wujudnya
bekalan para pekerja yang sesuai untuk operasinya, iaitu
mengeluarkan "earthenware figurines" khusus untuk pasaran
eksport. Ini bermakna syarikat memerlukan para pekerja yang
serasi dengan industri seramik yang mementingkan kualiti dan
memerlukan kesabaran serta minat kepada bidang kraftangan
yang halus.
4. Saya percaya syarikat ini tidak akan menghadapi masalah
kerana faktor-faktor ini merupakan sebahagian daripada ciri
kebudayaan kita yang semulajadi memandangkan bidang
kraftangan adalah satu-satunya kebanggaan negara kita. Ini
terbukti dengan wujudnya sejak berkurun lagi hasil
kraftangan tradisional kita seperti pottery, tenunan
songket, ukiran kayu, keluaran-keluaran emas, perak, tembaga
dan juga batik.
5. Adalah satu perkembangan yang menggalakkan bahawa
industri barangan seramik kini telah mula bertapak di
Malaysia secara besar-besaran. Ianya dipelopori oleh
syarikat ternama Franklin Porcelain dari Amerika Syarikat
dengan tertubuhnya kilang mereka di kawasan perindustrian
Kulim pada tahun 80-an. Dengan perlaksanaan projek tersebut
dan disusuli pula dengan projek pembesarannya beberapa tahun
berikutnya, keupayaan para pekerja Malaysia di dalam bidang
ini tidak menjadi tanda tanya lagi. Seperti di dalam
industri-industri lain yang berkembang di negara ini,
pengusaha-pengusaha Jepun telah mula mengorak langkah untuk
mendirikan projek-projek berasaskan seramik di Malaysia.
6. Perkembangan ini didorongi oleh faktor kos.
Sepertimana yang kita sedia maklum, kos pengeluaran di
negara Jepun telah melambung naik. Bagi syarikat-syarikat
seperti Takagi, yang sebahagian besar pasarannya bergantung
kepada permintaan Disneyland, mereka tidak ada jalan lain
melainkan memindahkan operasi mereka ke negara-negara
membangun seperti Malaysia. Sungguhpun Malaysia kini tidak
lagi boleh dianggapkan sebagai negara kos rendah, saya amat
gembira terdapat banyak lagi syarikat seumpama ini bercadang
mendirikan kilang mereka di Malaysia.
7. Selain daripada Syarikat Takagi, yang mana pelaburan
modalnya adalah sebanyak M$12 juta, pelaburan modal di dalam
industri ini dari tahun 1980 hingga bulan November 1991
berjumlah M$166.4 juta. Daripada jumlah tersebut, M$118.5
juta atau 71.2 peratus adalah sumbangan pelaburan asing,
majoritinya syarikat Jepun. Sungguhpun angka-angka ini agak
kecil jika dibandingkan dengan angka-angka bagi industri-
industri lain seperti elektronik, kesannya adalah besar
daripada segi 'spin-off effects'. Di samping itu, ia juga
mengharumi nama Malaysia di pasaran dunia dan hakikat ini
tidak harus dipandang ringan. Sejumlah 15 buah projek yang
diluluskan sejak 1989 dijangka memberi peluang pekerjaan
kepada hampir 4,000 orang rakyat Malaysia. Syarikat Takagi
misalnya akan menambah tenaga pekerjanya dari 275 orang pada
masa sekarang kepada 800 orang menjelang 1996.
8. Daripada segi nilai eksport barangan 'ceramic
figurines' pula, ianya telah meningkat dengan pesat dari
M$50.6 juta pada tahun 1990 kepada hampir M$70 juta pada
tahun 1991. Ini berpandukan kepada statistik masakini serta
mengambilkira jumlah pengeluaran dan penjualan projek-projek
yang sedang beroperasi dan yang akan dilaksanakan kelak.
Jika diambilkira bahawa sebahagian besar daripada barangan
ini akan dijual di Disneyland serta di kedai-kedai eksklusif
di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Australia dan Kanada,
imej Malaysia sebagai pengeluar barangan bermutu akan
diperkukuhkan lagi.
9. Bagi menentukan bahawa momentum yang kini telah
mencapai satu tahap yang menggalakkan dapat dipercepatkan,
industri seramik negara ini harus diberi tumpuan serta
bimbingan yang serius. Ini berdasarkan dua faktor penting.
Satu daripadanya ialah negara kita mempunyai sumber
"kaolin", iaitu bahan utama di dalam pembuatan barangan
seramik. Saya difahamkan "deposit kaolin" terdapat di
kawasan Bidor-Tapah di Perak, kawasan Jemaluang di Johor dan
juga di Sarawak. Oleh itu tindakan yang segera perlu
diambil untuk memastikan Ceramic Technology Centre (CTC)
yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Perak menjadi realiti
secepat mungkin. Dengan adanya infrastruktur serta
kemudahan-kemudahan sokongan seperti kawasan perindustrian
khusus untuk industri seramik dan pusat Penyelidikan dan
Pembangunan atau R & D, ini akan mencerminkan komitmen
Kerajaan Malaysia kepada kemajuan dan perkembangan industri
seramik.
10. Faktor yang kedua ialah penyertaan rakyat Malaysia di
dalam industri yang merupakan pelbagaian kepada aktiviti
yang telah lama disertai oleh syarikat-syarikat tempatan,
iaitu barangan berasas tanah liat. Syarikat-syarikat
tempatan perlu memandang jauh di dalam merancang strategi
korporat jangka panjang masing-masing kerana dalam abad ke
21, "scenario" perdagangan antarabangsa akan bertukar wajah
selaras dengan perkembangan serta pergolakan politik dunia
semasa. Justeru itu, untuk memastikan penyertaan yang lebih
bermakna oleh syarikat tempatan di dalam arena perdagangan
antarabangsa menjelang tahun 2000, proses pelbagaian seperti
ini amat penting. Adalah malang sekali jika kita berpeluk
tubuh sahaja dan membiarkan syarikat-syarikat asing
menggunakan sumber tempatan dan mendapat keuntungan
daripadanya.
11. Sungguhpun buat masa kini kebanyakan syarikat pengeluar
barangan seramik menggunakan bahan-bahan mentah diadun yang
diimport, saya percaya dengan bertambahnya bilangan
syarikat-syarikat pengeluar barangan seramik kelak, akan
tiba masanya apabila jumlah keperluan mereka terhadap bahan-
bahan mentah itu akan membuka peluang penubuhan kilang
pemprosesan berbagai jenis "formulated clay mixture" yang
diperlukan. Di dalam hal ini, saya ingin menyarankan supaya
syarikat-syarikat tempatan yang telah lama berkecimpung di
dalam bidang industri barangan tanah liat mengkaji dengan
lebih mendalam peluang-peluang yang kini kian terbuka dalam
industri barangan seramik.
12. Kerajaan sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengusaha-
pengusaha, khususnya daripada segi peranan mereka sebagai
pelopor di dalam bidang industri baru. Ini sekaligus akan
menjadi pendorong kepada bukan sahaja syarikat-syarikat
asing lain tetapi juga membuka mata syarikat tempatan kepada
peluang-peluang yang wujud di dalam sektor pembuatan.
13. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kilang
Takagi (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan harapan segala
rancangannya akan terlaksana dengan jayanya.
|