Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 20/01/92
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM RASMI MERAIKAN
TUAN YANG TERUTAMA ENCIK VO VAN KIET,
PENGERUSI MAJLIS MENTERI-MENTERI
REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM
Tuan Yang Terutama Encik Vo Van Kiet,
Pengerusi Majlis Menteri-Menteri
Republik Sosialis Vietnam;
Puan Phan Luong Cam;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dengan rasa penuh gembira saya dan isteri ingin
mengalu-alukan kunjungan Tuan Yang Terutama, Puan Cam dan
ahli-ahli rombongan yang terhormat ke Malaysia. Lawatan
Tuan Yang Terutama ke Kuala Lumpur pada awal tahun lalu
masih lagi segar dalam ingatan saya. Walaupun pada ketika
itu, Tuan Yang Terutama memegang jawatan yang berbeza, namun
kita telah berpeluang mengadakan perbincangan dan juga
sempat bertukar-tukar pendapat yang berguna dan produktif
mengenai perkara-perkara kepentingan bersama. Kunjungan
Tuan Yang Terutama pada kali ini, walaupun singkat, memberi
peluang untuk kita sekali lagi memperbaharui perkenalan kita
serta mencari jalan untuk mengukuhkan lagi jalinan hubungan
dua hala kita.
2. Dalam perbincangan petang tadi, kita telah bersama-sama
bertukar-tukar pendapat dan mengutarakan buah fikiran yang
bernas dan baru khususnya dalam bidang kerjasama ekonomi dua
hala supaya dapat mewujudkan kerjasama yang lebih dinamik
dan bermakna antara Malaysia dan Vietnam. Saya percaya
masih ada banyak lagi peluang yang belum diterokai
sepenuhnya. Malahan kejayaan-kejayaan yang dicapai setakat
ini merupakan sebahagian kecil sahaja daripada potensi yang
ada. Sebenarnya, masih banyak lagi yang boleh dilakukan dan
kita mestilah mengeksploitasi peluang-peluang ini dengan
sepenuhnya. Masa yang paling tepat untuk kita mencapai
matlamat ini ialah sekarang.
Tuan Yang Terutama,
3. Walaupun kejayaan-kejayaan yang kita capai di dalam
hubungan dua hala agak sederhana, namun kita telah mencapai
beberapa kemajuan yang menggalakkan semenjak tahun-tahun
kebelakangan ini. Buat permulaan langkah-langkah
melonggarkan sekatan-sekatan perjalanan oleh kedua-dua
negara dan hubungan udara antara Kuala Lumpur dengan
Bandaraya Ho Chi Minh dan di masa yang akan datang hubungan
dengan Hanoi, telah dan akan membantu menggalakkan hubungan
yang lebih erat di antara rakyat kedua-dua negara. Jalinan
hubungan ini telah menyumbang ke arah mempertingkatkan lagi
kesedaran dan persefahaman di antara rakyat kedua-dua
negara. Saya berasa gembira bahawa lebih ramai rakyat
Malaysia kini melawat Vietnam dan ada di kalangan mereka
yang telah mengkaji peluang-peluang perniagaan yang terdapat
di sana. Ini adalah suatu perkembangan yang menggalakkan.
Saya berharap ahli-ahli perniagaan Vietnam juga akan melawat
Malaysia untuk meninjau kemungkinan-kemungkinan perniagaan
di sini.
4. Dalam usaha Malaysia untuk meluaskan kerjasama dengan
Vietnam, kami telah menubuhkan Konsulat di Bandaraya Ho Chi
Minh tahun lalu yang merupakan konsulat negara ASEAN yang
pertama di Bandaraya itu. Kami juga telah menggalakkan
badan-badan Kerajaan dan sektor swasta untuk melibatkan diri
dalam peluang-peluang perniagaan yang ditawarkan oleh
Vietnam. Perjanjian kontrak pengeluaran bersama yang
ditandatangani oleh PETRONAS dan PETROVIETNAM baru-baru ini
membuktikan lagi minat dan keyakinan ahli perniagaan
Malaysia terhadap Vietnam. Kerajaan Malaysia akan terus
memberi galakan kepada usaha-usaha seumpama ini. Adalah
diharapkan perjanjian-perjanjian yang akan ditandatangani di
masa hadapan akan memberi dorongan yang lebih kuat kepada
usaha kerjasama ekonomi di antara Malaysia dengan Vietnam.
Dalam hal ini, kita patut meneliti dengan serius lain-lain
kemungkinan untuk menggalakkan lagi hubungan perdagangan
terus, perkapalan, hubungan udara dan lain-lain bidang
hubungan kerjasama ekonomi di antara kedua-dua negara.
Malaysia ingin melihat hubungan dua hala dalam berbagai-
bagai bidang yang sedang berjalan ataupun yang akan
dijalankan berdasarkan kepada asas-asas yang kukuh, saling
percaya mempercayai dan setiakawan antara rakyat kedua-dua
negara.
5. Kami telah mengikuti dengan penuh minat perkembangan-
perkembangan positif yang telah berlaku di Vietnam semenjak
pelancaran dasar "Doi Moi" atau "Renovasi" pada hujung tahun
1986. Peralihan kepada ekonomi bebas sememangnya akan
menimbulkan kesulitan pada peringkat awal. Meskipun begitu,
saya yakin Tuan Yang Terutama akan dapat mengatasi halangan-
halangan tersebut dengan jayanya. Malaysia mengalu-alukan
dasar "Doi Moi" Vietnam. Sebagai sahabat dan jiran dekat
Vietnam dan selaras dengan sokongan kuat kami bagi kerjasama
antara negara selatan-selatan, Malaysia sentiasa bersedia
untuk bekerjasama rapat dengan Vietnam dalam bidang-bidang
yang Malaysia mempunyai pengalaman, kepakaran dan kemampuan.
Tuan Yang Terutama,
6. Lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia adalah tepat
pada masanya, iaitu pada ketika perubahan-perubahan pesat
sedang berlaku di arena politik antarabangsa. Kita di
rantau ini tidak dapat lari daripada kesan perubahan-
perubahan ini. Isu Cambodia yang sangat rumit kini
nampaknya akan mencapai penyelesaian. Apabila ini berlaku
negara-negara di rantau ini akan dapat menumpukan perhatian
dan sumber kepada usaha-usaha yang lebih konstruktif. Kita
menjangkakan Vietnam dan negara-negara Indo-China yang lain
mampu untuk mencapai pembangunan yang pesat mulai sekarang.
Dengan ini rantau ini akan bertukar menjadi satu kawasan
pertumbuhan yang lebih dinamik dan berupaya memainkan
peranan yang berkesan dalam ekonomi dunia.
7. Malaysia sangat menghargai kemerdekaannya. Tetapi
kemerdekaan tidak seharusnya terbatas kepada arena politik
semata-mata. Kemerdekaan juga mestilah merangkumi bidang
ekonomi. Namun ini tidak bermakna negara merdeka perlu
mengeluarkan segala keperluan negara sendiri. Dalam dunia
moden sekarang negara-negara tidak dapat mengelak dari
bergantung antara satu sama lain. Tetapi adalah perlu untuk
benar-benar merdeka perhubungan ekonomi tidak digunakan
untuk tujuan menekan mana-mana negara. Hanya dengan
mempunyai ekonomi yang mantap dan mengadakan perhubungan
persahabatan dengan negara-negara jiran sahajalah tekanan
dapat dielakkan.
Tuan Yang Terutama,
8. Dunia hari ini sedang mengalami perubahan yang besar.
Corak kerjasama serantau dan antarabangsa yang baru telah
muncul. Walau bagaimanapun, pertelingkahan yang serius dan
ketidaksamaan masih wujud dalam perdagangan dan sistem
ekonomi antarabangsa. Di samping itu, syarat-syarat baru
sedang dikenakan dan ini boleh membantut pertumbuhan negara-
negara membangun. Justeru itu, saya percaya kerjasama yang
lebih rapat di antara negara-negara ini amat perlu apabila
menghadapi cabaran-cabaran yang sama. Negara-negara di
rantau ini perlulah menyelaraskan usaha-usaha mereka untuk
mengembangkan hubungan ekonomi sesama sendiri. Dalam
konteks ini, kami telah mencadangkan Perundingan Ekonomi
Asia Timur (EAEC). Walaupun penjelasan dan jaminan ikhlas
telah beberapa kali dibuat bahawa EAEC bukanlah sebuah blok
perdagangan, ada pihak-pihak yang masih enggan menerima
bahawa EAEC adalah majlis perundingan. Saya ingin
menegaskan sekali lagi di sini bahawa EAEC merupakan satu
mekanisma perundingan yang akan membolehkan negara-negara di
rantau Asia Timur berbincang dan menyelaraskan pendapat-
pendapat mereka mengenai hal-hal yang menghalang aliran
bebas perdagangan antarabangsa. Ianya bersesuaian dengan
GATT dan tidak pernah bertujuan untuk menjadi satu blok
perdagangan eksklusif. Kita berasa pasti Vietnam
memahaminya dan kita berharap Tuan Yang Terutama akan
menyokong forum yang tidak merbahaya ini.
9. Sekali lagi, saya ingin melahirkan rasa gembira kami
kerana berpeluang untuk meraikan Tuan Yang Terutama dan Puan
Cam serta ahli-ahli rombongan dari Vietnam sebagai tetamu
kami. Saya berharap Tuan Yang Terutama dan Puan Cam akan
berasa senang sepanjang lawatan ini walaupun program lawatan
yang telah disediakan agak padat.
|