Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGUNAN UMNO, JALAN TUANKU ABDUL
RAHMAN, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/03/92
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN INSTITUT TEKNOLOGI
TUN ABDUL RAZAK
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada
Koperasi Usaha Bersatu Majlis Berhad atau KUB kerana memberi
penghormatan kepada saya untuk merasmikan Institut Teknologi
Tun Abdul Razak pada petang ini. Syabas diucapkan kepada
KUB kerana berkat kegigihan dan kebulatan tekad, akhirnya
impian untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikannya
sendiri kini menjadi kenyataan.
2. Dengan penubuhan Institut ini KUB berjaya memenuhi
salah satu daripada objektif penubuhan koperasi ini yang
termaktub di dalam undang-undang kecilnya, iaitu "membantu
antara satu sama lain dan memajukan pelajaran di kalangan
anak-anaknya".
3. Kerajaan memang mengalu-alukan penubuhan Institusi
pendidikan oleh pihak swasta seperti Institut Teknologi Tun
Abdul Razak atau ITTAR ini. Lebih-lebih lagi ia diilham dan
dilahirkan oleh sebuah koperasi yang didukung oleh orang
Melayu.
4. Orang Melayu pada amnya beranggapan bahawa bidang
pendidikan adalah tanggungjawab Kerajaan. Anggapan
sedemikian ialah kerana sejak negara merdeka tanggungjawab
ini telah dipikul oleh Kerajaan, bahkan boleh dikatakan
bahawa Kerajaan telah memonopoli bidang ini dari segi
menyediakan belanjawan yang besar untuk sekolah-sekolah,
universiti atau biasiswa.
5. Di suatu masa dahulu, sekolah-sekolah swasta hanya
segelintir sahaja bilangannya. Sekolah-sekolah swasta ini
ketika itu tidak mempunyai imej yang begitu baik kerana
kebanyakan pelajar di sekolah-sekolah ini terdiri daripada
mereka yang tidak berpeluang menyambung pelajaran di
sekolah-sekolah bantuan Kerajaan disebabkan tidak
memperolehi kelulusan yang baik dalam peperiksaan.
6. Tetapi pada hari ini, keadaan telah berubah. Ekoran
dasar liberal Kerajaan dalam bidang pendidikan, institusi-
institusi pendidikan swasta seperti kolej atau maktab tumbuh
dengan banyaknya dengan menawarkan pelbagai kursus separa
profesional dan juga profesional.
7. Nyatalah daripada jumlah pengambilan pelajar,
institusi-institusi swasta yang tumbuh dalam beberapa tahun
ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Ini ialah
kerana penubuhan institusi-institusi swasta ini adalah untuk
memenuhi kehendak-kehendak pengetahuan yang amat mendesak
atau "the great thirst for knowledge" di kalangan penduduk
negara kita sekarang. Ramai rakyat kita kini mengejar
pengetahuan dan kecekapan bagi melengkapkan diri mereka
untuk menyahut cabaran pembangunan negara yang pesat,
terutama dalam bidang perindustrian yang memerlukan begitu
banyak tenaga terlatih dalam bidang pengurusan, teknologi,
kemahiran dan sebagainya.
8. Dasar meliberalisasikan bidang pendidikan di negara
kita pada hari ini adalah suatu perkembangan yang bukan
sahaja tidak dapat dielakkan tetapi, yang lebih penting,
suatu perkara yang amat diperlukan. Tidak ada Kerajaan di
mana-mana pun yang mampu mengadakan semua keperluan
pendidikan dalam semua bidang. Oleh kerana negara sedang
membangun dengan pesat dan menumpu kepada bidang industri
maka keperluan bagi berbagai-bagai jenis kecekapan juga
meningkat dengan pesatnya. Dalam keadaan ini pihak swasta
diperlukan menampung apa yang tidak dapat disediakan oleh
Kerajaan kerana belanjawan Kerajaan tetap terhad.
9. Penubuhan institusi-institusi pendidikan swasta dengan
sendirinya memperkenalkan elemen penswastaan ke dalam sistem
pendidikan negara, tanpa Kerajaan sendiri mengambil langkah
tertentu ke arah penswastaan itu. Ini berbeza dengan
penswastaan jabatan-jabatan Kerajaan seperti Telekom, Pos
atau Tenaga Nasional Berhad. Sumbangan sektor swasta yang
lebih besar dalam bidang pendidikan seperti menubuhkan lebih
banyak institusi pendidikan tinggi yang menawarkan kursus-
kursus yang kini kebanyakannya terdapat di luar negeri, akan
dapat mengurangkan pengaliran tukaran asing kita ke luar
negeri. Adalah diperhatikan bahawa pihak swasta lebih
berjaya mengawal perbelanjaan mengendalikan institusi
pelajaran berbanding dengan Kerajaan. Ini juga merupakan
satu keuntungan bagi negara kerana lebih ramai akan mendapat
pelajaran dari pelaburan yang lebih rendah.
10. Jika penswastaan ke atas agensi-agensi Kerajaan dapat
membantu mengurangkan belanjawan Kerajaan, maka penubuhan
lebih banyak pusat pengajian oleh sektor swasta, termasuk
oleh institusi pendidikan dari luar negeri, juga akan
membolehkan Kerajaan mengagihkan wangnya untuk keperluan
lain yang juga penting. Untuk menentukan standard dan
kualiti tidak terjejas kerana perkembangan institusi
pendidikan yang begitu pesat, Kerajaan ingin melihat program
kerjasama dengan pusat-pusat pengajian tinggi yang ternama
di seberang laut ditingkatkan.
11. Pada amnya, adalah lebih baik bagi para pelajar kita
menuntut di dalam negara mereka sendiri sehingga mereka
lebih dewasa dan mampu mempertahankan budaya mereka apabila
mereka pergi keluar negeri untuk pengajian yang lebih
tinggi. Terdapat banyak masalah di kalangan penuntut yang
terlalu muda apabila mereka terdedah kepada budaya asing.
Di samping itu kos pengajian tinggi akan dapat dikurangkan
dan negara akan berupaya mengeluarkan lebih banyak tenaga
mahir yang diperlukan.
12. Dalam menyediakan tenaga mahir untuk memenuhi kehendak
pasaran pekerjaan, pihak swasta lebih berupaya memainkan
peranan yang berkesan kerana ia fleksibel dalam merangka
sesuatu pendekatan mengikut keperluan tenaga manusia
berbanding dengan sektor awam.
13. Walaupun Malaysia mengamalkan Dasar Pelajaran
Kebangsaan, Kerajaan mempunyai pandangan yang luas dan
pragmatik. Hasrat Kerajaan ialah untuk menyediakan
pendidikan yang berkualiti selaras dengan matlamat Wawasan
2020. Ini adalah kerana maruah dan kehormatan yang
diperolehi oleh sesuatu bangsa bergantung kepada kejayaan
dan kekuatan bangsa itu dan bukan kepada desakan supaya ia
dan kebudayaannya dihormati. Dengan menguasai segala ilmu
yang penting dan dengan itu mencapai kemajuan yang tinggi
kebudayaan bangsa akan turut dihormati dan berdayamaju.
14. Saya merasa bangga kerana Institut Teknologi Tun Abdul
Razak ini dalam hanya beberapa bulan sahaja penubuhannya
telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada
masyarakat, khasnya orang Melayu. ITTAR juga merupakan satu-
satunya sekolah yang mengadakan program kerjasama dengan
sebuah kolej di luar negeri, iaitu Institute of Higher Edu-
cation di United Kingdom, tanpa menjejaskan penggunaan
Bahasa Malaysia dalam mengendalikan kursus-kursusnya.
15. Saya penuh yakin bahawa Institut Teknologi Tun Abdul
Razak, dengan mengambil nama seorang negarawan yang ulung,
Allahyarham Tun Abdul Razak yang semasa hayatnya telah
mencurahkan jasa yang tiada terhingga di dalam bidang
pendidikan, akan mampu untuk "live up to its name", dan
bersama-sama membawa negara ke arah masa depan yang lebih
gemilang.
16. Dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan
sukacitanya merasmikan Institut Teknologi Tun Abdul Razak.
|