Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC),
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 15/03/92
Tajuk/Title : SEMPENA HARI PENGGUNA SEDUNIA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat
sejahtera.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat
Dato Abu Hassan kerana menjemput saya ke majlis Hari
Pengguna Sedunia ini dan seterusnya merasmikannya.
2. Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kedudukan dalam
masyarakat adalah pengguna yang menggunakan barangan atau
perkhidmatan atau kurniaan alam semulajadi. Pengguna adalah
asas segala kegiatan ekonomi. Justeru itu, Kerajaan telah
menubuhkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-
Ehwal Pengguna. Kerajaan adalah committed dalam menjaga
kepentingan pengguna. Sambutan Hari Pengguna Sedunia pada
15 Mac ini mencerminkan commitment ini.
3. Sebagai pengguna, kita mempunyai tanggungjawab terhadap
kualiti hidup kita sendiri. Di samping itu semua pengguna
juga terlibat dalam pembekalan khidmat dan barangan.
Sepertimana kita mahu segala khidmat dan barangan yang kita
guna hendaklah berkualiti, demikian juga apabila kita
menjadi pembekal khidmat atau barangan, khidmat dan barangan
kita hendaklah berkualiti. Kita tidak akan mempunyai
kredibiliti jika kita hanya menekankan kualiti bagi diri
kita, tetapi kita tidak menekankan kualiti bagi orang lain
yang secara langsung atau tidak langsung menjadi pelanggan
kita.
4. Jika kita sentiasa sedar bahawa setiap pengguna adalah
juga pembekal dan kita mengutamakan standard yang tinggi,
sama ada kita mengguna atau membekal, maka masalah khidmat
atau barangan kurang bermutu tidak akan timbul. Yang
menyebabkan timbulnya masalah mutu rendah ialah pengguna
kerap lupa mengenai soal mutu apabila ia memberi khidmat
atau membuat barangan yang akan diguna oleh orang lain.
5. Pengguna memang sudah lama merasa tidak puas hati
dengan mutu barangan atau khidmat yang mereka dapati.
Tetapi hanya dalam tiga dekad yang lepas sahaja baharulah
pengguna menuntut keadilan secara tersusun dengan mengadakan
persatuan-persatuan pengguna. Dengan berkembangnya gerakan
pengguna, maka pembekal terpaksa menentukan pembekalan
mereka menepati prestasi yang dijanjikan. Di samping itu
mereka terpaksa meningkatkan standard bekalan mereka
sepanjang masa. Dengan itu kualiti hidup turut meningkat.
6. Di zaman perdagangan bebas antarabangsa ini, satu
perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengguna tempatan
ialah berkenaan dengan "dumping" barangan yang bermutu
rendah dan barangan yang merbahaya di negara-negara
membangun. Pendapat di kalangan pembekal di negara maju
ialah pengguna di negara-negara miskin tidak "sophisticated"
dan tidak mempunyai pilihan. Justeru itu, barangan yang
tidak bermutu atau merbahaya, seperti jentera yang mudah
rosak atau mencemar alam sekitar atau ubat-ubatan dan racun
serangga yang bahaya yang tidak lagi dibenar di negara maju,
dihantar ke negara membangun. Hanya kesatuan pengguna yang
bertanggungjawab sahaja yang boleh mengenalpasti barangan
seperti ini dan bertindak terhadapnya.
7. Sementara persatuan pengguna boleh memainkan peranan
yang penting bagi melindungi hak pengguna, persatuan juga
harus bertanggungjawab pada setiap tindakan atau kempen yang
diambil. Ini adalah oleh kerana persatuan boleh merugikan
peniaga dengan mudah. Jika tindakan persatuan tidak
diasaskan kepada kajian yang cermat, maka ramai peniaga yang
tidak bersalah akan rugi. Umpamanya apabila satu persatuan
pengguna mendakwa bahawa daging lembu yang dijual dicampur
dengan daging binatang lain, bukan sahaja pengimport yang
mengalami kerugian, tetapi penjual karipap di tepi jalan
juga kerugian. Kerugian ini menjadi sia-sia apabila
akhirnya didapati dakwaan terhadap daging lembu ini tidak
berasas.
8. Oleh kerana persatuan pengguna berpengaruh maka ia
menarik minat orang politik dan orang asing. Dengan ini
berlakulah kegiatan yang tidak ada kena mengena dengan hal
ehwal pengguna. Ada persatuan pengguna yang menghasut
rakyat supaya menghalang pembangunan kononnya kerana akan
mencemar alam sekitar. Ada persatuan yang sanggup menerima
bantuan luar untuk memburukkan nama negara sendiri.
Kegiatan yang seperti ini mencemar dan merosakan kredibiliti
dan kekesanan persatuan pengguna. Pemimpin yang
memperalatkan persatuan untuk tujuan lain harus disingkir
dari persatuan.
9. Sejak 1985, Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengiktiraf
bahawa pengguna perlu dilindungi. Dengan itu garis panduan
telah diadakan bagi menentukan prinsip dan objektif asas
perlindungan pengguna. Pada bulan Julai 1988 Majlis Ekonomi
Sosial Bangsa-bangsa Bersatu atau United Nations Economic
and Social Council (ECOSOC) telah menerima resolusi menggesa
negara-negara menentukan dasar kepenggunaan dan menggubal
undang-undang berkaitan dengan keselamatan dan perlindungan,
kepentingan pertubuhan-pertubuhan pengguna, pendidikan
pengguna dan pampasan serta kerjasama antara Kerajaan di
peringkat antarabangsa untuk membanteras 'double standard'
dan 'dumping' yang berlaku dalam dunia perniagaan.
10. Pada masa ini para pengguna sudah menyedari bahawa
perlakuan atau tindak tanduk korporat boleh dipengaruhi
melalui pola pembelian dan pemilihan bagi barangan yang
dikeluarkan oleh pembekal-pembekal yang beretika dari sudut
sosial dan persekitaran.
11. Pengguna juga telah bertambah sedar bahawa masalah
mereka bukan sahaja terhad kepada pasaran tempatan, malahan
ianya tidak dapat diatasi dengan hanya mengambil tindakan
setempat. Penumpuan usaha di peringkat nasional dan
antarabangsa adalah penting untuk memastikan supaya kesannya
dapat memanfaatkan seluruh para pengguna.
12. Para pengguna sedar bahawa mereka perlu bertindak balas
terhadap kaedah dan amalan pemasaran moden yang semakin
kompleks dan mengelirukan. Mereka harus juga waspada
terhadap pembangunan teknologi yang membahayakan kehidupan
dan ekologi, amalan-amalan etika korporat dan kesannya ke
atas pengguna.
13. Dengan sofistikasi dan perkembangan pergerakan
pengguna, para pengusaha perlu sentiasa berpegang kepada
konsep harga yang adil dan memberi keutamaan kepada mutu dan
standard untuk setiap barangan dan perkhidmatan yang mereka
tawarkan. Ini adalah sealiran dengan konsep pemasaran moden
di mana pengguna perlu dianggap sebagai "king". Konsep ini
memang telah menjadi amalan pengeluar barangan di Malaysia
yang berorientasikan eksport.
14. Walau bagaimanapun, perkara ini belum lagi menjadi
amalan bagi segelintir pengeluar barangan dan perkhidmatan
untuk pasaran tempatan. Ini ternyata dengan terdapatnya
barang-barang yang bermutu rendah, barang-barang tiruan,
perkhidmatan lepas jualan yang tidak memuaskan dan bermacam-
macam lagi masalah yang membebankan atau menjejaskan
kepentingan pengguna tempatan. Disinilah terletaknya
peranan dan tanggungjawab persatuan pengguna.
15. Melalui nasihat dan tunjuk ajar persatuan pengguna,
pengguna boleh memainkan peranan penting bagi mempastikan
barangan atau perkhidmatan yang dijual kepada mereka
mempunyai mutu sepertimana yang dikehendaki. Pengguna boleh
memilih barangan atau perkhidmatan yang baik dan sebaliknya
boleh memulaukan barangan atau perkhidmatan yang tidak
bermutu. Kecuaian pembekal boleh didedah melalui media
massa dan Kerajaan boleh didesak supaya bertindak terhadap
pembekal. Dengan cara ini pembekal terpaksa menaikkan mutu
barangan atau khidmat mereka dan pengguna akan mendapat
"value for money" setiap masa.
16. Satu lagi tanggungjawab pengguna yang amat penting
ialah mengawal inflasi. Usaha-usaha Kerajaan mengawal
inflasi tidak akan berjaya jika para pengguna bersikap boros
dan sanggup membeli tanpa mengambilkira harga. Lebih buruk
lagi ialah amalan membeli lebih daripada kemampuan,
umpamanya melalui kredit mudah. Sebahagian daripada
kenaikan pendapatan perlu ditabungkan. Jika pengguna
berjimat-cermat dan selalu sedar akan kesan membeli-belah
yang tidak terkawal terhadap inflasi, kenaikan harga tidak
akan berlaku. Sebaliknya jika kerana mengejar barang tanpa
menitik-beratkan harga, inflasi berlaku, tambahan pendapatan
kerana kenaikan gaji atau keuntungan bertambah akan menjadi
sia-sia kerana dengan duit yang lebih, tidak ada tambahan
barangan atau khidmat yang akan diperolehi. Peningkatan
pendapatan hanya bermakna jika dengannya bukan sahaja
barangan dan khidmat yang lebih banyak dan lebih baik dapat
dibeli tetapi tabung simpanan atau pelaburan juga bertambah.
17. Persatuan pengguna, di samping menekan peranan pembekal
atau pengeluar barangan, penting juga mengingatkan pengguna
tentang tanggungjawab mereka terhadap diri sendiri. Justeru
itu, persatuan-persatuan pengguna perlu membantu Kerajaan
dalam usaha dan kempen untuk menstabilkan harga, mencegah
kegiatan menyorok barang-barang perlu, mengatasi masalah
barang-barang tiruan, penipuan timbang sukat dan sebagainya
selain daripada menyuarakan pandangan terhadap usaha-usaha
yang dijalankan oleh Kerajaan untuk melindungi pengguna.
18. Pendekatan yang biasa digunakan oleh pejuang-pejuang
konsumerisme pada masakini dan masa lalu ialah dengan
menyalahkan sistem pasaran atau sistem ekonomi atau juga
masyarakat pedagang kerana tidak beretika dan sentiasa
mengambil kesempatan tanpa mengambil kira kebajikan para
pengguna. Keadaan ini telah mula berubah secara beransur-
ansur sealiran dengan perubahan budaya masyarakat dan juga
pendekatan pasaran moden. Masyarakat peniaga telah mula
menerima hakikat bahawa pengguna adalah faktor terpenting
kepada 'survival' perniagaan mereka dalam jangkamasa
panjang.
19. Adalah diharapkan Hari Pengguna Sedunia yang kita
sambut ini akan meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran
rakyat mengenai peranan penting yang dimainkan oleh para
pengguna. Kerajaan sentiasa memberi perhatian berat
terhadap kepentingan pengguna kerana pengguna merupakan nadi
penggerak kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.
20. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis
Pelancaran Hari Pengguna pada pagi ini.
|