Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RTM
Tarikh/Date : 04/04/92
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1412
HIJRAH/1992 MASIHI
Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd
Syukur alhamdulillah, umat Islam di negara ini selamat
menunaikan ibadat puasa dalam keadaan yang tenang dan
sempurna. Selama sebulan kita bukan sahaja telah berjaya
menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak kurang pentingnya
kita telah berjaya menahan nafsu dalam berbagai-bagai
keadaan supaya kita menjadi insan yang lebih insaf, bertaqwa
dan bersyukur. Di masa yang sama kita berjaya meneruskan
tugas-tugas dan kerja-kerja harian kita yang mana ini
tentulah memberikan lebih keinsafan tentang betapa ringannya
kehidupan biasa kita berbanding dengan mereka yang terpaksa
bekerja dalam kelaparan dan kehausan. Mereka yang berhenti
bekerja dan tidak menjalankan perniagaan mereka supaya
memudahkan puasa tidak akan tahu sepenuhnya tentang beratnya
kehidupan orang yang terpaksa terus bekerja dalam kelaparan
dan kehausan.
2. Ibadat puasa bukanlah semata-mata untuk mendapat pahala
kerana tidak makan dan minum siang hari di bulan Ramadan.
Puasa membantu membentuk peribadi yang mulia seperti
bersabar, bertimbang rasa, tidak membazir dan berdisiplin.
Berpuasa juga mengajar kita supaya sedar dan insaf terhadap
penderitaan dan kesulitan yang dihadapi oleh orang miskin
dan yang kurang bernasib baik. Dengan berpuasa kita dapat
merasa sedikit betapa peritnya hidup dalam kelaparan dan
kemiskinan. Di samping itu, kita diingatkan bahawa segala
kemewahan, kesihatan dan kehidupan di dunia ini adalah untuk
sementara sahaja, dan dengan menerima hakikat ini kita akan
bertambah insaf, lebih bertimbang rasa dan lebih bersyukur.
Masyarakat penyayang akan lebih mudah dibentuk dengan ibadat
puasa ini.
3. Sepertimana lazimnya, Hari Raya Aidilfitri di negara
ini disambut dengan meriah oleh kaum muslimin dan muslimat.
Ini kerana Hari Raya menandakan kejayaan kita menguji
ketabahan diri serta kemampuan kita melawan tekanan-tekanan
nafsu. Dengan itu kita berhak dan harus menyambutnya dengan
perasaan riang dan gembira. Tetapi kita hendaklah merayakan
hari ini dengan cara yang bersopan-santun, mengunjungi satu
sama lain serta bermaaf-maafan. Hari Raya, seperti juga
berpuasa, mempunyai hikmah dan keistimewaannya sendiri.
Antaranya ialah budaya kunjung-mengunjungi di Hari Raya yang
menyumbang kepada keharmonian dan kestabilan yang kita
nikmati di negara ini.
4. Sempena Hari Raya ini marilah kita banyak bersyukur ke
hadrat Ilahi kerana limpah nikmat dan rezeki yang di
curahkanNya kepada kita semua. Kita telah berjaya mencapai
pembangunan yang pesat di dalam berbagai-bagai bidang di
samping menikmati kestabilan politik dan kemajuan ekonomi.
Semua ini tidak mungkin wujud kalau tidak kerana keazaman
dan kegigihan rakyat yang mahukan keamanan dan
kesejahteraan. Marilah kita kekalkan keadaan harmonis ini
dan elakkan diri daripada berkonflik supaya keamanan yang
dituntut oleh agama Islam terus terpelihara.
5. Mengenai ekonomi, kita telah berjaya mencapai kadar
pertumbuhan yang menggalakkan. Inflasi dan pengangguran
pula dapat dikawal. Keadaan ekonomi yang baik ini
membolehkan rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang
tinggi. Kedudukan kewangan negara yang kukuh juga telah
membolehkan kakitangan Kerajaan menikmati gaji baru. Kita
yakin jika rakyat Malaysia terus berusaha bersungguh-sungguh
serta meningkatkan lagi produktiviti dan berani menghadapi
segala cabaran, negara akan terus mencapai kemajuan yang
lebih pesat dan kita semua akan mendapat nikmat yang
bertambah. Kerajaan telahpun melaksanakan Dasar Pembangunan
Nasional (DPN) dan Rancangan Malaysia Keenam (RM6) demi
untuk membangunkan lagi negara. Melalui penggunaan
teknologi baru, peningkatan kemahiran pekerja-pekerja serta
penambahan dan pemulihan infrastruktur, kita yakin negara
kita akan terus membangun dengan pesat. Namun yang
terpenting sekali ialah pengetahuan, ketekunan dan disiplin
rakyat. Negara yang sudah maju sekalipun akan runtuh jika
rakyat kehilangan moral dan tidak dapat mengawal diri.
6. Kita di Malaysia sungguh bertuah jika dibandingkan
dengan rakyat negara-negara lain. Biasanya rakyat Malaysia
tidak tahu akan betapa baiknya kehidupan mereka di negara
ini sehinggalah mereka membaca dalam suratkhabar atau
melihat melalui kaca televisyen atau melihat sendiri keadaan
di negara-negara lain. Nasib rakyat di negara-negara
membangun seperti di Afrika, Amerika Latin dan negara-negara
di Eropah Timur adalah sangat memilukan. Kemudahan-
kemudahan paling asas seperti air dan elektrik, yang kita
anggap perkara biasa sahaja, hampir tidak wujud. Di
sesetengah negara majupun, kehidupan rakyatnya tidaklah
sebegitu bahagia seperti yang digambarkan. Ada rakyatnya
yang tidak mempunyai tempat tinggal dan makan minum mereka
ditanggung oleh rumah-rumah kebajikan. Di sesetengah negara
pula orang Islam ditindas sehingga tidak dapat mengerjakan
ibadah.
7. Dalam dunia yang serba moden dan kompetitif ini, umat
Islam hendaklah melipat-gandakan usaha untuk maju dalam
semua bidang selaras dengan kemajuan dunia hari ini. Kita
tidak mahu melihat umat Islam ketinggalan kerana kononnya
mengejar kebahagiaan di akhirat. Masyarakat Islam juga
tidak harus bersikap fanatik dengan membelakangkan pemikiran
yang waras. Islam tidak menyuruh kita mencipta, menambah
dan mewajibkan berbagai-bagai "ibadat" baru sehingga
memudaratkan kita. Jika majoriti orang Islam meninggalkan
kerja biasa mereka untuk melakukan "ibadat" ciptaan ini,
mereka akan menjadi miskin dan daif dan orang seperti ini
mudah diperalat dan ditindas oleh orang lain. Walaupun
hanya sekumpulan kecil sahaja yang membuat perkara ini,
beban kepada orang Islam lain akan bertambah. Sebaliknya
orang Islam lain pula tidak mampu memikul beban tambahan.
8. Umat Islam dan negara Islam tidak kurang kemampuan
untuk mencapai kemajuan yang tinggi. Persoalannya hanyalah
sikap kita. Umat Islam perlu mengubah sikap untuk bekerja
dengan lebih kuat, menguasai semua ilmu, meninggikan
produktiviti dan mengejar kebahagiaan di dunia bersama dan
seimbang dengan mengejar kebahagiaan di akhirat. Untuk maju
kita perlu mengembalikan semangat menimba ilmu dalam semua
bidang. Ini juga adalah selaras dengan cita-cita kita untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Ibadat yang diwajibkan tidak perlu dicicirkan kerana
mengejar kemajuan di dunia. Kedua-duanya boleh dikejar
bersama.
9. Dalam kita menyambut Hari Raya ini janganlah kita lupa
akan anggota-anggota pasukan keselamatan dan pekerja-pekerja
di jabatan-jabatan tertentu yang terpaksa menjalankan tugas-
tugas mereka pada hari yang mulia ini. Khususnya kita harus
ingat akan pasukan keselamatan kita yang sekarang bertugas
di beberapa buah negara lain untuk menjaga keamanan. Mereka
membawa kemuliaan dan kehormatan kepada kita dan negara
kita. Pengorbanan mereka hendaklah kita hargai sepenuhnya.
10. Saya ingin merayu kepada mereka yang menggunakan jalan
raya supaya berhati-hati. Lebih daripada sembilan puluh
peratus kemalangan jalanraya disebabkan oleh kesilapan
pemandu. Kita boleh mengelak daripada berlakunya kemalangan
dengan memandu dengan cermat serta bersabar sedikit.
Amatlah menyedihkan apabila pada hari perayaan, kita
mendengar kematian yang begitu ramai di kalangan pengguna-
pengguna jalanraya. Justeru itu berjaga-jagalah ketika
berada di jalanraya. Janganlah kerana ingin sampai lima
belas atau dua puluh minit lebih awal, akibatnya kita dan
keluarga menemui maut. Biarlah lambat sedikit, asalkan kita
boleh berhariraya dengan sanak saudara dan kemudian balik
bekerja. Saya berdoa semoga semua pemandu kenderaan di
musim Hari Raya ini akan bersabar, cermat dan berhati-hati
apabila memandu.
11. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat
Hari Raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat,
semoga kita semua mendapat taufik dan hidayat daripada Allah
Subhanahu wa Ta'ala. Saya juga berharap semoga kaum bukan
Islam akan memeriahkan Hari Raya ini dengan mengunjungi
rakan-rakan Islam mereka kerana ini akan mengeratkan lagi
persahabatan dan persefahaman sesama kita dan dengan ini
mengekalkan keamanan negara.
12. Akhir kata, saya serta keluarga saya memohon maaf,
zahir dan batin, atas apa jua kesilapan yang mungkin telah
kami lakukan. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd.
|