Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PASIR GUDANG, JOHOR
Tarikh/Date : 16/04/92
Tajuk/Title : PERASMIAN PEMBUKAAN KILANG TITAN
HIMONT HIMONT POLYMERS
Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada
pihak pengurusan Syarikat Titan Himont Polymers (M) Sdn.
Bhd. kerana menjemput saya untuk merasmikan pembukaan kilang
induknya pada hari ini.
2. Pembukaan kilang ini melambangkan kemajuan setapak lagi
negara kita ke arah matlamat mencapai tahap sebuah negara
industri. Saya difahamkan kilang ini yang mengeluarkan
'polypropylene resins', iaitu bahan utama dalam pembuatan
barang-barang plastik, merupakan fasa pertama di dalam
rancangan keseluruhan syarikat untuk mendirikan sebuah
kompleks barang-barang berasaskan petrokimia. Apabila dua
lagi kilang berasingan yang akan mengeluarkan 'high and low
density polyethylene' dan 'ethylene/propylene' mula
beroperasi tahun hadapan, bukan sahaja jumlah modal projek
ini akan melebihi seribu juta ringgit, tetapi juga Malaysia
akan menjadi di antara pengeluar bahan plastik yang utama di
rantau ini.
3. Projek raksasa ini mendapat restu pihak Kerajaan
berasaskan dua faktor penting. Pertama ialah ianya memberi
dorongan kepada perkembangan industri plastik negara ini
yang kini mula berkembang pesat. Faktor yang kedua ialah
ianya merupakan sebahagian daripada industri petrokimia yang
boleh menggunakan gas asli sebagai 'feedstock'.
4. Sepertimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum,
negara kita mempunyai rezab gas asli yang banyak. Pada
tahun lepas keluaran gas asli negara dianggarkan 7,600 juta
tan, bernilai M$3,845 juta, kebanyakannya dalam bentuk gas
asli cecair (LNG) yang dieksport ke Jepun dan Korea Selatan.
Menjelang tahun 1995, jumlah pengeluaran gas asli cecair
kita dijangka meningkat kepada 11,500 juta tan.
5. Di bawah Rancangan Malaysia Keenam, gas asli dijangka
akan memainkan peranan yang lebih penting di dalam sektor-
sektor komersil, industri, pengangkutan dan sektor domestik.
Menjelang tahun 1995, gas asli dijangka mencapai tahap 39
peratus daripada bekalan bahan bakar komersil utama termasuk
penjanaan kuasa letrik, manakala tahap penggunaan minyak
mentah akan menurun kepada 52 peratus. Ini bermakna
pengaliran tukaran asing untuk membeli minyak akan
berkurangan sementara hasil daripada eskport gas dan minyak
tempatan akan meningkat.
6. Rasional penggunaan gas asli ialah oleh kerana rezab
minyak mentah negara hanya dapat bertahan lebih kurang 15
tahun manakala rezab gas asli kita dijangka bertahan selama
satu abad. Daripada segi kebersihan alam sekitar,
penggunaan gas asli sebagai bahan bakar adalah lebih bersih
daripada minyak mentah. Berasaskan faktor-faktor ini, pihak
Kerajaan menggalakkan industri yang menggunakan gas asli
sebagai bahan mentah atau bahan api dan aktiviti-aktiviti
yang berkaitan dengan gas asli. Di dalam hal ini PETRONAS
dijangka melabur lebih daripada M$3,000 juta untuk projek
pembesaran kompleks LNG di Bintulu serta mendirikan projek-
projek petrokimia, termasuk pengeluaran baja,
'polypropylene' and polyethylene resins' secara usahasama
dengan syarikat-syarikat 'multinationals'.
7. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk
mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan kongsi di dalam
projek ini yang melibatkan syarikat-syarikat antarabangsa
dari Taiwan, Australia/United Kingdom, Amerika
Syarikat/Itali dan juga Malaysia. Peranan rakan kongsi dari
Malaysia melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) ialah
untuk mempelajari selok-belok industri ini dengan tujuan
untuk menambahkan lagi pengetahuan anak watan kita dalam
satu-satunya industri yang benar-benar 'capital-intensive'.
Saya rasa bahawa untuk mencapai taraf negara industri, tidak
ada jalan lain melainkan melabur wang ringgit dan tenaga
kita untuk mempelajari dengan mendalam sektor industri di
mana kita kurang kepakaran. Kita yakin dalam jangkamasa
satu dekad pelaburan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan
ekonomi dan kecanggihan industri Malaysia. Ini selaras
dengan pendekatan yang ditekankan di bawah Rancangan
Malaysia Keenam (RM6), iaitu memesatkan lagi perkembangan
Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan juga mengembangkan
industri-industri tempatan yang berteknologi tinggi dan
canggih.
8. Di dalam hal ini kita harus mencontohi negara Taiwan
yang telah melabur beribu juta wang ringgitnya untuk membeli
teknologi asing serta melatih rakyatnya untuk mengendalikan
aktiviti meningkatkan kepakaran tempatan. Kini satu pertiga
daripada jumlah eksport Taiwan merupakan barangan berasaskan
ataupun berkaitan dengan petrokimia. Oleh yang demikian,
amat wajar sekali Malaysia memaksimakan nilai ditambah
sumber asli kurniaan Tuhan demi masa hadapan rakyatnya.
9. Akhir kata, saya harap agensi-agensi Kerajaan sama ada
di peringkat Persekutuan mahupun negeri akan menentukan
bahawa projek-projek syarikat ini dan semua projek
perindustrian swasta diberi sokongan yang sewajarnya agar
semuanya dapat dilaksanakan secepat mungkin. Ini juga
ditujukan kepada projek-projek raksasa anjuran PETRONAS dan
syarikat-syarikat asing yang lain. Asalkan syarat-syarat
asas dipenuhi, iaitu ianya tidak menjejas alam sekitar dan
projek tersebut membawa manfaat jangka panjang kepada negara
dan rakyat, kita harus membantu perlaksanaannya.
10. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan kilang 'polypropylene resins' Syarikat Titan
Himont Polymers (M) Sdn. Bhd.
|