Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : IPOH, PERAK DARUL RIDZUAN Tarikh/Date : 05/05/92 Tajuk/Title : PERHIMPUNAN HARI BELIA 1992 DAN PELANCARAN ANUGERAH REMAJA PERDANA Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah rahmat dan hidayahNya, saya dapat bersama-sama tuan-tuan, puan-puan dan saudara-saudari sekalian dalam Majlis Perhimpunan Hari Belia 1992. Perhimpunan ini diadakan untuk memperingati kita semua akan peranan dan sumbangan belia dalam pembangunan negara di masa yang lepas dan di masa akan datang. Orang dewasa hari ini adalah belia di masa dahulu dan belia hari ini akan menjadi orang dewasa di masa yang akan datang. Hakikat bahawa belia adalah satu fasa dalam kehidupan manusia perlu diingat sepanjang masa. 2. Belia adalah "conscience" masyarakat yang mampu memperingati akan idealisma yang sepatutnya dipegang oleh masyarakat sepanjang masa. Di masa remaja belia belum terdedah kepada keburukan sifat-sifat manusia dan dengan itu mereka masih yakin kepada kemampuan manusia menghayati segala yang baik atau ideal. Justeru itu, mereka tidak curiga dan tidak berasa mereka hipokrit apabila menegur penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat. Walaupun akhirnya apabila mereka dewasa mereka akan terjebak dalam amalan buruk yang dikecam oleh mereka, tetapi teguran dan peringatan belia sedikit-sebanyak berkesan dalam mengekalkan pegangan masyarakat kepada nilai-nilai ideal dan murni. 3. Masyarakat tidak harus bersikap sinis terhadap teguran belia. Jika semasa muda anggota masyarakat sudah tidak percaya kepada kebaikan dan keikhlasan manusia, maka apabila dewasa, pegangan mereka kepada yang baik dan ideal akan luput sama sekali. Dengan itu masyarakat akan runtuh. 4. Di zaman ini, tekanan yang dihadapi oleh belia adalah lebih mencabar. Belia hari ini terdedah kepada berbagai budaya dari seluruh dunia. Jika dahulu didikan dan contoh terhad kepada ibu-bapa, guru dan masyarakat setempat, hari ini melalui media cetak dan letronik, dan kemudahan merantau ke seluruh dunia, pendedahan tidak ada hadnya. Tidak semua yang didedahkan kepada belia adalah buruk. Tetapi kerapkali sukar bagi menentukan yang mana yang baik dan yang mana yang buruk. Di samping itu, bukan semua daripada budaya tempatan adalah baik dan perlu dikekalkan. Dilema belia ialah bagaimana membuat pilihan antara budaya tempatan dan asing. Jika pemilihan yang dibuat silap maka akan buruklah masa de- pan negara dan bangsa. Sebaliknya jika pilihan yang tepat dibuat maka bangsa dan negara akan memperolehi kebahagiaan. 5. Hari ini kita sedang melihat budaya masyarakat yang maju melalui perubahan yang radikal. Dahulu masyarakat ini mencapai kemajuan yang pesat kerana mereka mengutamakan nilai dan budaya yang sesuai dengan kemajuan. Mereka beragama, mengutamakan maruah, berdisiplin, rajin dan berani. Mereka menghormati institusi keluarga dan bersopan- santun dalam pakaian dan tingkah-laku. Masyarakat mereka tertip, tersusun dan teratur. Justeru itu masyarakat mereka maju dan kemas. 6. Hari ini semua budaya dan nilai-nilai lama telah diganti dengan satu nilai sahaja, iaitu kebebasan bagi setiap individu. 7. Mengikut budaya barat zaman ini, individu adalah raja dan bebas daripada sebarang larangan dan peraturan. Seseorang harus membuat apa sahaja mengikut kehendak hatinya. "Do your own thing" dijadikan slogan. Dengan itu yang menjadi mangsa pertama ialah agama. Dengan tidak lagi takut kepada balasan terhadap kesalahan yang dibuat maka institusi perkahwinan dan keluarga diketepikan. Bersekedudukan menjadi amalan biasa. Anak tidak lagi kenal bapanya. Amalan homosex diterima dan diiktiraf oleh undang- undang. 8. Nilai dan budaya masyarakat ini bertukar sehingga yang buruk dianggap baik dan yang baik dianggap buruk. Bersopan- santun, kemas berpakaian, tertib dan berkelakuan senonoh digantikan dengan apa sahaja yang menidakkan nilai lama. Keganasan, jenayah, penggunaan dadah dan berbagai-bagai amalan yang jijik dibangga dan diterima oleh masyarakat. 9. Dengan runtuhnya cara dan nilai yang murni, masyarakat yang dahulunya begitu kemas dan maju sudah mula luntur dan lemah. Kemampuan untuk bersaing sudah merosot dan tanda- tanda keruntuhan masyarakat sudahpun ternampak. 10. Malangnya oleh kerana perubahan nilai dan budaya ini berlaku dalam masyarakat yang dahulunya maju dan menjadi contoh yang kita tiru, maka masyarakat kita terus meniru juga perubahan ini tanpa mengambilkira akan kesannya. Oleh kerana masyarakat membangun seperti kita belum mempunyai kekuatan ketahanan, penerimaan amalan dan budaya buruk daripada masyarakat maju akan membawa kesan yang lebih buruk kepada kita. 11. Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun yang ingin mencapai tahap kemajuan yang tinggi. Menerima cara dan budaya yang membawa kemajuan daripada negara yang maju memang waras. Tetapi kita harus kenal dan faham apa yang sedang berlaku sekarang dalam masyarakat maju. Mereka sedang menuju kepada kemunduran dan kehancuran kerana mereka taksub dengan prinsip kebebasan individu dan telah mengugurkan nilai-nilai dan budaya lama mereka. Kita tidak harus menjadikan mereka contoh bagi kita. Sepatutnya kita terus pegang kepada budaya dan nilai lama yang jelas membawa kemajuan kepada mereka. 12. Kebebasan yang tidak terhad yang dipuja oleh bangsa- bangsa Barat akan membinasakan kita dan menyebabkan kita ketinggalan selama-lamanya. Kita harus mengekalkan aspek- aspek nilai dan budaya lama kita yang menghormati peraturan- peraturan dan sekatan terhadap kebebasan di paras yang manasabah. Institusi-institusi seperti keluarga dan perkahwinan, perlu dihormati dan disanjung tinggi. Bersopan santun dan beradat resam, disiplin dan ketertipan perlu dikekalkan. 13. Yang penting ialah mengenali apa yang harus ditapis dan dikikis bukan sahaja daripada pengaruh budaya dan nilai asing tetapi daripada budaya dan nilai asli kita. Seperti juga kita harus sedar nilai-nilai dan budaya buruk yang melanda masyarakat maju adalah tidak baik bagi kita. Kita juga harus kawal dan sedar bahawa ada di antara budaya dan nilai-nilai asal kita yang buruk yang menyebabkan kita tidak mencapai kemajuan dahulu. 14. Tekanan kepada budaya dan nilai hidup ini adalah pent- ing kerana kita ingin mencapai kemajuan yang tinggi yang digambarkan oleh Wawasan 2020. Jika nilai hidup dan budaya kita tidak sesuai, sebarang dasar dan peruntukan oleh Kerajaan tidak akan berkesan dalam menuju ke matlamat kita. Jika kita asyik dengan keseronokan semata-mata, malas, tidak disiplin, dan tidak menghormati peraturan-peraturan baik daripada segi pakaian atau kekemasan tubuh badan maka kita tidak mungkin akan maju. 15. Untuk maju kita perlulah membendung nafsu dan mengamalkan nilai dan budaya yang mulia yang memelihara maruah dan kehormatan bangsa. Ada masanya untuk berseronok dan ada masanya untuk bekerja. Kebebasan diri secara tidak terhad akan mengekalkan kita sebagai bangsa yang mundur dan terhina. 16. Belia yang akan mewarisi negara ini akan bertanggungjawab terhadap pencapaian Wawasan 2020. Mereka tidak harus membenar diri mereka diresapi budaya dan nilai hidup kebaratan yang sudah tidak sesuai dengan kemajuan. Mereka hendaklah mendisiplinkan diri mereka dan sanggup melawan arus pemikiran dan budaya asing yang jelas sudah melampaui batas walaupun mereka dicap ketinggalan zaman. Kebebasan bukan matalamat kita. Kebebasan adalah alat untuk kebahagian dan kemajuan. Sepertimana kita bebas untuk meniru kita juga harus bebas untuk tidak meniru dan mengekalkan identiti kita, jika dengannya kita akan mencapai kebahagian dan kehormatan. 17. Belia hari ini harus faham hakikat ini dan menyediakan diri untuk memastikan Wawasan 2020 menjadi kenyataan. Wawasan 2020 adalah untuk belia hari ini dan belia hari esok. 18. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan perhimpunan Hari Belia 1992 dan Pelancaran Anugerah Remaja Perdana serta Malaysia sejagat.