Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM),
SINTOK, KEDAH
Tarikh/Date : 07/05/92
Tajuk/Title : SEMINAR KEBANGSAAN BEKAS PERAJURIT
MALAYSIA: PEMBANGUNAN KE ARAH
WAWASAN 2020
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan limpah dan taufikNya saya dapat bersama-sama
tuan-tuan dan puan-puan di majlis ini. Saya juga ingin
mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk Seminar
Kebangsaan Bekas Perajurit Malaysia kerana menjemput saya
untuk merasmikan Seminar ini.
2. Saya merasa bangga di atas kehadiran tuan-tuan dan
puan-puan pada hari ini kerana ini menunjukkan sokongan
tuan-tuan dan puan-puan terhadap program yang dijalankan
bersama oleh Persatuan Bekas Perajurit Malaysia dan
Universiti Utara Malaysia. Saya yakin dengan adanya
sokongan sektor swasta dan juga agensi-agensi Kerajaan, sem-
inar kebangsaan ini akan dapat menghasilkan cadangan-
cadangan yang bernas yang boleh meningkatkan lagi taraf
hidup bekas perajurit di negara ini.
3. Kita sama-sama maklum bahawa angkatan tentera Malaysia
merupakan tulang belakang pertahanan negara. Anggota-
anggota tentera memainkan peranan penting dalam menjamin
keamanan dan kestabilan negara dan membolehkan negara
menjadi maju dan makmur.
4. Walaupun jasa dan khidmat bakti anggota angkatan
tentera amat besar tetapi terdapat sedikit kelainan di
antara anggota-anggota angkatan tentera dengan ahli-ahli
perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan yang beruniform yang lain
seperti anggota-anggota polis, perkhidmatan penjara dan
sebagainya. Oleh kerana askar dikehendaki terdiri daripada
orang yang muda yang mampu memikul senjata dan bertugas
dalam keadaan yang mendesak, maka jangkamasa untuk
berkhidmat sebagai anggota tentera adalah terhad kepada 21
tahun melainkan bagi pegawai kanan. Ini bermakna askar
biasa akan bersara dalam umur yang muda di waktu mana mereka
masih mampu bekerja. Mereka tidak diberi pencen tetapi
hanya saguhati serta latihan dalam jurusan yang boleh
membantu mencari kerja dan pendapatan. Dengan itu usaha dan
pertimbangan istimewa diberi oleh Kerajaan untuk mereka
mendapat lain-lain kerja atau kemudahan seperti lesen dan
sebagainya. Sudah tentu tidak semua yang akan mendapat
kemudahan-kemudahan ini. Begitu juga bagi kumpulan yang
termasuk di dalam peringkat yang kedua yang berpencen dalam
lingkungan umur antara 41 hingga 45 tahun terpaksa juga
mencari pekerjaan yang lain bagi menampung kekurangan
pendapatan selain daripada pencen yang diterima oleh mereka.
5. Dari zaman ke zaman, terutama di negara-negara yang
mempunyai angkatan tentera, soal kebajikan bekas perajurit
ini ditimbulkan. Selalunya di sesebuah negara yang baru
sahaja melalui peperangan dan jikalau keadaan ekonomi
negaranya kucar-kacir, bekas perajuritlah yang menghadapi
kerumitan hidup.
6. Di negara di mana peperangan berlaku buat masa yang
panjang, bekas perajurit terpaksa berbuat apa sahaja untuk
menyara hidup dan mereka di antara perajurit yang memihak
kepada pihak musuh pula sungguh sukar hendak mendapat
pekerjaan dan ramai di antara mereka merana. Di antaranya
ialah mereka yang kehilangan anggota.
7. Bekas perajurit di Malaysia bolehlah dikatakan lebih
beruntung daripada bekas perajurit di negara-negara lain
oleh sebab jumlahnya tidak begitu ramai, dan Kerajaan mampu
memberi berbagai-bagai bentuk bantuan. Dengan ekonomi yang
kukuh peluang pekerjaan bagi mereka yang berminat dan mampu
adalah mencukupi. Oleh yang demikian, kebajikan mereka
tidaklah menjadi masalah yang tidak dapat diatasi.
8. Dengan itu masalah yang dihadapi oleh Persatuan Bekas
Perajurit di negara kita ini ialah untuk menjamin keselesaan
hidup ahli-ahlinya setanding dengan taraf ekonomi negara
yang berkembang.
9. Oleh kerana negara kita stabil dan ekonominya kukuh dan
ramai yang berasa terhutang budi kepada perajurit serta
ramai yang bermurah hati, kita boleh mengadakan tabung
kutipan derma bekas-bekas perajurit yang berkemungkinan
mendapat sumbangan daripada para dermawan.
10. Kerajaan pula, melalui Kementerian Pertahanan, menjamin
agar semua perajurit yang akan bersara disediakan latihan
dalam pelbagai bidang mengikut kecenderungan masing-masing
supaya mereka memiliki kebolehan tertentu apabila bersara.
Bahkan mereka diberi peluang melengkapkan diri sebelum
bersara oleh kerana kita tahu, jikalau mereka mengganggur,
seisi keluarga akan mengalami kesempitan hidup.
11. Semenjak tahun 60an lagi, pihak Kerajaan, badan-badan
berkanun serta swasta telah mengutamakan pengambilan
kakitangannya daripada kalangan bekas perajurit. Begitu
jugalah dengan kemudahan-kemudahan pinjaman untuk memulakan
perniagaan atau perusahaan. Bahkan ada di antara pengusaha
dan peniaga bekas perajurit telah berjaya hingga menjadi
jutawan. Contoh kejayaan ini, antara lain, ialah di bidang
peniagaan runcit, perusahan makanan dan minuman, khidmat
sekuriti dan juga di bidang pelancongan.
12. Yang sebenarnya, bekas perajurit kita berdedikasi dan
latihan mereka sebagai perajurit memberi sikap dan kebolehan
yang amat sesuai untuk menghadapi cabaran hidup.
13. Sifat-sifat mulia ini yang disemat ke dalam kehidupan
perajurit juga boleh menjadi asas kepada segala kejayaan.
Kebanyakan bekas perajurit yang mencebur diri dalam
perniagaan, perusahaan dan kerja-kerja lain yang telah
berjaya, tidak langsung mendapat latihan dalam pengurusan
kewangan atau dalam menggendalikan perusahaan.
14. Tetapi oleh kerana disiplin diri, semangat dan hati
yang cekal serta teliti terhadap perkembangan kerjayanya
akhirnya mereka berjaya. Dengan semangat yang kuat dan
disiplin diri mereka berjaya menghadapi segala kerumitan
perniagaan tanpa mengalah dan jatuh bangkrap. Mereka cepat
memulihkan semula perniagaan dan perusahaan mereka.
15. Untuk memenuhi kehendak Wawasan 2020 yang penting ialah
semangat berdikari. Selama ini Kerajaan telah menunjuk arah
dan menyediakan segala kemudahan latihan dan peluang untuk
meningkatkan pencapaian diri dalam semua bidang. Menjelang
2020 terpulanglah kepada setiap individu untuk mengesan
peluang-peluang untuk diceburi. Saya yakin saudara-saudara
sekalian sedar dan nampak bahawa peluang-peluang ini semakin
bertambah di sekeliling kita.
16. Sepertimana yang telah saya sebutkan tadi, masalah yang
dihadapi oleh Persatuan Bekas Perajurit berkisar kepada
peningkatan keselesaan hidup ahli-ahlinya di dalam
masyarakat yang meningkat mewah. Saya yakin Persatuan yang
bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia untuk
menganjurkan seminar ini akan membuahkan idea-idea baru
untuk dilaksana dan diambil tindakan.
17. Perajurit dilatih bertahun-tahun "menggempur" musuh dan
semangat menggempur ini hendaklah ditimbulkan dengan lebih
hebat lagi untuk mencari peluang bagi keperluan diri sendiri
dan keluarga. Apa yang diperlukan ialah mengubah sasaran
kita dan kali ini yang hendak kita gempur ialah untuk
mendapatkan peluang-peluang yang boleh menguatkan lagi
ekonomi bekas perajurit hingga tercapai matlamat Persatuan
boleh menyara hidup bekas perajurit dan keluarga seperti
juga kakitangan Kerajaan yang berpencen.
18. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua
pihak yang telah menjayakan seminar pada pagi ini dan dengan
ini saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Kebangsaan
Bekas-bekas Perajurit.
Wabillahi taufik walhidayah wassallamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|