Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 06/06/92
Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT
PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN
SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN
BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah,
Ampun Tuanku,
Dengan hormat dan penuh takzimnya patik bagi pihak
Kerajaan dan seluruh rakyat, serta diri patik sendiri, mohon
menyembah setinggi-tinggi tahniah Ke bawah Duli Yang Maha
Mulia Tuanku sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku
hari ini. Patik sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu
wa Ta'ala semoga Duli Tuanku serta Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Bainun dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan
hidayahNya, mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua
sentiasa berada di dalam kandungan sihat serta penuh
kesejahteraan dan kedaulatan.
Ampun Tuanku,
2. Syukur alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia
Allah Subhanahu wa Ta'ala negara terus berada dalam keadaan
yang aman, tenang dan makmur. Keadaan ini dapat terus
diwujudkan kerana rakyat berbilang kaum di negara ini lebih
mementingkan perpaduan, keharmonian dan kestabilan. Mereka
sedar bahawa hanya dengan terus bersatu padu dan hidup sal-
ing hormat menghormati antara satu sama lain baharulah
negara dapat mengatasi segala masalah perkaumam. Kestabilan
politik yang dialami oleh negara telah membolehkan Kerajaan
dan rakyat jelata menumpukan sepenuh tenaga terhadap
pembangunan ekonomi yang lebih pesat. Negara juga bernasib
baik kerana telah dihindari daripada malapetaka yang besar
sepertimana yang melanda lain-lain negara.
3. Berkat usaha gigih Kerajaan, rakyat dan masyarakat
peniaga dan pengusaha ekonomi negara terus mengalami
pertumbuhan yang memuaskan tahun lalu. Walaupun pada tahun
ini kadar pertumbuhan dijangka lebih sederhana, ianya masih
tetap kukuh dan stabil. Keadaan ini akan membolehkan
Kerajaan meneruskan usaha-usaha membangunkan negara dengan
pesat. Bagi menjamin negara akan terus membangun selaras
dengan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju,
Kerajaan akan terus mengamalkan sikap liberal terhadap
pelaburan. Di masa yang sama, sektor swasta akan terus
digalakkan untuk memainkan peranan penting sebagai jentera
penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Dengan
pengurusan ekonomi yang bijak, kesanggupan rakyat untuk
terus berusaha dengan gigih untuk meninggikan produktiviti
serta kecekapan dan kesediaan sektor swasta menerokai
pasaran-pasaran baru bagi barang-barang keluaran Malaysia,
patik yakin negara akan terus mengalami pertumbuhan ekonomi
yang baik.
4. Untuk memastikan keadaan ekonomi, sosial dan politik
negara tidak kucar-kacir, semua pihak hendaklah bekerjasama
dalam usaha-usaha mempertahankan sistem undang-undang.
Undang-undang di negara ini perlu dipatuhi dan dihormati
oleh semua. Tanpa menghormati pentadbiran dan sistem
undang-undang, kita tidak mungkin stabil dan berjaya sebagai
sebuah negara yang disegani oleh masyarakat antarabangsa.
Aturan-peraturan Kerajaan dan sistem pentadbiran dan
penguatkuasaan undang-undang harus dipatuhi jika masyarakat
yang adil hendak diwujud. Pihak Kerajaan dan rakyat
sekalian berasa bangga kerana Duli Yang Maha Mulia Tuanku
menyokong kuat terhadap keluhuran undang-undang di negara
ini.
Ampun Tuanku,
5. Pembangunan merupakan satu istilah yang mempunyai
banyak dimensi dan pada lazimnya bererti juga perubahan
sosial. Perubahan yang berlaku kadangkala mempunyai kesan
yang negatif pada golongan-golongan tertentu walaupun ia
membawa kebaikan kepada keseluruhan masyarakat dalam
jangkamasa yang panjang. Kesabaran rakyat Malaysia menjadi
faktor yang penting bagi kejayaan sesuatu perubahan.
6. Dalam konteks ini Kerajaan akan berusaha menentukan
supaya pembangunan yang wujud di negara ini adalah positif
dan seimbang. Dasar-dasar dan program-program yang dibentuk
akan dipasti mencapai matlamat akhir, yakni pertumbuhan
diikuti dengan pengagihan yang saksama tanpa menjejas mana-
mana pihak. Patik yakin kita mampu mencapai matlamat-
matlamat yang telah dirancangkan dalam Dasar Pembangunan
Nasional dan Rancangan Malaysia Keenam.
7. Selain daripada itu, dasar-dasar Kerajaan juga
menentukan supaya rakyat bersikap cermat dan tidak boros
dalam membelanja pendapatan mereka. Sikap yang boros akan
mendatangkan keburukan kerana ia akan menyumbang kepada
inflasi, di mana peningkatan pendapatan hanya menjadikan
rakyat lebih miskin. Ini disebabkan kejatuhan nilai
matawang terutama jika produktiviti tidak meningkat. Namun
patik yakin rakyat negara ini berfikiran waras dan tahu akan
keburukan tabiat boros berbelanja, tidak menabung, dan tidak
meningkatkan produktiviti.
8. Patik bagi pihak Kerajaan berasa bangga Duli Yang Maha
Mulia Tuanku mengambil berat serta menunjukkan minat yang
mendalam terhadap perjalanan pentadbiran negara dan dalam
hal ini Tuanku sanggup membuat lawatan ke negara-negara
asing demi mempereratkan hubungan negara ini dengan negara
berkenaan. Dengan wujudnya ikatan persahabatan di antara
Malaysia dengan negara-negara asing, patik yakin kita akan
berjaya menentukan keamanan bukan sahaja tercapai di rantau
ini tetapi juga menyumbang kepada keamanan dunia.
Perhubungan yang baik ini juga akan dapat meningkatkan lagi
perdagangan dua hala dan seterusnya mempastikan perkembangan
ekonomi negara kita.
9. Malaysia akan terus memainkan peranan cergas di
peringkat antarabangsa. Kita akan terus menjalinkan
perhubungan erat dengan seluruh negara di dunia terutama
dunia ketiga. Demi kedaulatan negara dan keadilan, Malaysia
akan terus menyuarakan pandangannya terhadap isu-isu yang
dianggap penting kepadanya. Dalam penyelesaian masalah
antarabangsa serta pembentukan Orde Baru Dunia, Malaysia
akan meneruskan sokongannya kepada Bangsa-bangsa Bersatu.
10. Patik dan rakyat sekalian berbangga dengan usaha dan
teladan yang ditunjuk oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan
Tuanku Bainun dan sukacita memaklumkan bahawa rakyat dan
kakitangan Kerajaan berazam berusaha dengan lebih gigih lagi
untuk memastikan pembangunan yang pesat dan kemakmuran
negara ini.
Ampun Tuanku,
11. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini bagi
pihak Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patik sendiri
patik dengan penuh hormat dan takzimnya memohon menyembah
ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Ke bawah
Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Raja Yang Memerintah.
Ampun Tuanku.
|