Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN SAN CHOON, WISMA MCA, JALAN 
			AMPANG, K.L 
Tarikh/Date 	: 	22/06/92 
Tajuk/Title  	: 	KONVENSYEN CUEPACS YANG KE-19 



 
(Teks dibaca oleh Dato' Lim Ah Lek, Menteri Sumber Manusia)
     Yang   Amat   Berhormat   Perdana  Menteri  minta  saya
menyampaikan salam hormat dan  perasaan  dukacitanya  kerana
tidak  dapat bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan pagi ini
di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.   Yang  Amat
Berhormat minta saya menyampaikan ucapannya di pagi ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Saya   mengucapkan  terima  kasih  kepada  Jawatankuasa
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan  Awam
atau  CUEPACS  kerana  menjemput saya berucap dan seterusnya
merasmikan Konvensyennya yang ke-19.   Saya  percaya  banyak
perkara  akan  dibincangkan  oleh  ahli-ahli  dan diharapkan
Konvensyen ini akan dapat  melahirkan  rumusan-rumusan  yang
bermanfaat bukan sahaja kepada CUEPACS khususnya tetapi juga
kepada perkhidmatan awam amnya.
3.   Kerajaan   menghargai   peranan   yang  dimainkan  oleh
CUEPACS.  Di samping menjaga dan memperjuangkan  kepentingan
ahli-ahlinya,   CUEPACS   juga  telah  membantu  mengekalkan
perhubungan perusahaan  yang  baik  dengan  pihak  Kerajaan.
Saya   gembira  kerana  CUEPACS  telah  dapat  menyelesaikan
sebarang masalah melalui perundingan dan bersedia  bertolak-
ansur dalam menyelesaikan berbagai-bagai isu.
4.   Saya  juga  gembira  bahawa  kepimpinan CUEPACS terdiri
daripada mereka yang bertanggungjawab,  matang,  berpatutan,
tidak  ekstrim  dan  sensitif  terhadap  kepentingan negara.
Kepimpinan semacam ini  tidak  bermakna  kepimpinan  CUEPACS
tidak  berkesan,  kerana  CUEPACS  telah  membuktikan bahawa
banyak  perkara  berhubung  dengan   hak   dan   kepentingan
kakitangan  dalam perkhidmatan awam telah dapat diselesaikan
dengan baik tanpa sikap konfrantasi.
5.   Bagaimanapun, saya  merasa  amat  dukacita  kerana  ada
segelintir    pemimpin    kesatuan    sekerja   yang   tidak
bertanggungjawab  serta  lebih  mementingkan  diri   sendiri
daripada  nasib  kaum pekerja.   Pemimpin-pemimpin ini lebih
berminat  bermain  politik  sehingga  sanggup   mengenepikan
kepentingan   negara   asalkan   matlamat   peribadi  mereka
tercapai.    Justeru  itu,  mereka  sanggup  menabur  fitnah
memburuk-burukkan   negara   sendiri  di  kalangan  kesatuan
sekerja antarabangsa.   Mereka tidak menghiraukan  sama  ada
tindakan  mereka  akan menjejaskan ekonomi negara atau nasib
kaum pekerja Malaysia.
6.   Justeru itu, sudah tiba masanya bagi ahli-ahli kesatuan
sekerja   di   negara   ini    mengkaji    tindakan    tidak
bertanggungjawab    segelintir   pemimpin-pemimpin   mereka.
Mereka  tidak   harus   membiarkan   pemimpin-pemimpin   ini
memburukkan imej negara semata-mata kerana pemimpin-pemimpin
berkenaan  mempunyai  matlamat  peribadi.    Hanya pemimpin-
pemimpin  yang  bertanggungjawab,  bebas  daripada  pengaruh
politik  dan  tidak  mementingkan  diri  sendiri sahaja yang
patut dilantik memimpin kesatuan-kesatuan sekerja.
7.   Para pekerja juga harus berhati-hati  terhadap  anasir-
anasir  yang  ingin  melihat  Malaysia  gagal dalam usahanya
menjadi sebuah negara maju.    Kejayaan  Malaysia  di  dalam
bidang  ekonomi,  terutama  sektor  pembuatan,  bukan sahaja
telah  mengkagumkan  banyak  negara,  tetapi  juga   mungkin
menimbulkan rasa iri hati di kalangan sesetengah pihak.  Ini
kerana  Malaysia  kini dilihat sebagai sebuah negara pesaing
yang boleh mengancam lain-lain negara dalam merebut  pasaran
dunia.    Sebagai  pesaing bagi banyak keluaran, sudah tentu
ada pihak yang tidak mahu melihat kita berjaya.  Pihak-pihak
ini akan menggunakan apa jua helah untuk menggagalkan  cita-
cita kita ingin terus maju.
8.   Dalam   usaha  kita  mencapai  Wawasan  2020,  kesatuan
sekerja mempunyai peranan yang penting.    Kesatuan  sekerja
boleh  membantu  negara  menjadi  sebuah  negara maju dengan
menentukan iklim pelaburan Malaysia yang menggalakkan  tetap
terpelihara.    Ini  boleh  dilakukan  dengan mengekal serta
meningkatkan  lagi  keharmonian   perusahaan   di   kalangan
pekerja-pekerja kita.  Di samping itu, kesatuan sekerja juga
boleh  membantu  meninggikan lagi kecekapan dan produktiviti
para pekerja negara ini.  Saya yakin ini akan tercapai  jika
para  pekerja  kita sentiasa berdisiplin, berusaha gigih dan
amanah.
9.   Walaupun ahli-ahli CUEPACS terdiri daripada mereka yang
berkhidmat di sektor awam, ini tidak bermakna peranan mereka
kurang penting daripada pekerja di sektor swasta.  Ini ialah
kerana  sektor  awam  yang  lemah   yang   disebabkan   oleh
kakitangan  awam  yang  kurang  cekap,  kurang  disiplin dan
kurang produktif akan juga memberi kesan buruk kepada  iklim
pelaburan  negara.  Justeru itu, peranan yang dimainkan oleh
ahli-ahli CUEPACS ke arah menjadikan Malaysia sebuah  negara
maju  adalah  sama  penting dengan pekerja-pekerja di sektor
swasta.
10.  Kerajaan memberi  perhatian  berat  kepada  meninggikan
produktiviti  dan  mutu perkhidmatan sektor awam.  Dalam hal
ini adalah diharapkan CUEPACS akan sentiasa memberi sokongan
terhadap  usaha-usaha  untuk  meningkatkan  lagi  kecekapan,
produktiviti  dan  mutu  perkhidmatan awam.   Usaha-usaha ke
arah mencapai matlamat ini perlu terus digalakkan demi untuk
kecemerlangan sektor awam.
11.  Masanya sudah sampai  bagi  kesatuan  sekerja  mengkaji
semula objektif-objektifnya selain daripada isu periuk nasi.
Selaras dengan perkembangan dan kemajuan di semua aspek maka
adalah  sesuai  bagi  kesatuan  sekerja menumpukan perhatian
terhadap peningkatan taraf ahlinya  daripada  segi  kemajuan
sosial,  peningkatan  pemikiran dan pengetahuan.   Dalam hal
ini pihak kesatuan  hendaklah  memberi  pendidikan  mengenai
aspek-aspek   yang   lain   seperti  ekonomi,  produktiviti,
kualiti, kepenggunaan, alam sekitar dan sebagainya.
12.  Kita tidak mahu kaum pekerja  di  Malaysia  ketinggalan
dalam  pemahaman  aspek-aspek seperti ini yang penting dalam
usaha untuk membawa negara mencapai taraf kemajuan  terutama
dalam  perindustrian  yang tinggi.  Malahan, aspek-aspek ini
terutama  sekali   alam   sekitar,   ekonomi   pasaran   dan
kepenggunaan   akan   menjadi   semakin   penting  dan  akan
mempengaruhi perkembangan pembangunan dan kemajuan  sesebuah
negara di tahun-tahun terakhir abad ini dan abad ke-21.
13.  Sebagai  contoh,  soal  alam  sekitar telah menjadi isu
sejagat yang amat  penting  hingga  satu  persidangan  dunia
mengenainya  diadakan  di  Rio de Janeiro, Brazil, baru-baru
ini untuk memutuskan bagaimana hendak menyelamatkan bumi ini
daripada kerosakan dan  malapetaka.    Istilah-istilah  atau
ungkapan-ungkapan seperti "global warming", "bio-diversity",
"common   heritage",   "sustainable  development",  "climate
change" dan sebagainya semakin menjadi bahan bualan semenjak
beberapa tahun lalu.   Justeru  itu,  amatlah  penting  kaum
pekerja  di  Malaysia mengikuti perkembangan yang berlaku di
sekeliling mereka yang boleh memberi kesan baik  atau  buruk
terhadap pembangunan negara.
14.  Begitu  juga  dalam  soal  pasaran  bebas dalam ekonomi
dunia.   Pasaran bebas dunia  kini  terancam  dengan  adanya
usaha  oleh  negara-negara  utara dan maju hendak mengadakan
pakatan untuk menyekat kemajuan  ekonomi  dunia  ketiga  dan
negara-negara  membangun  termasuk Malaysia.  Mereka berbuat
demikian kerana bimbang dan tidak mahu melihat negara-negara
membangun  yang  sudah  mulai  hendak  bergerak  ke  hadapan
bersaing  dan  mengatasi  mereka.    Oleh  itu, kaum pekerja
hendaklah mengenali perkembangan  seperti  ini  kerana  jika
ianya  berlaku  ekonomi negara yang banyak bergantung kepada
pasaran luar  akan  terjejas.    Dan  seterusnya  pendapatan
negara  akan  berkurangan dan kedudukan kewangan negara akan
turut terancam.  Dengan ini pendapatan pekerja, baik  sektor
awam atau swasta, tidak mungkin meningkat.
15.  Aspek-aspek  lain seperti produktiviti dan kualiti yang
memang sudah ditekankan oleh Kerajaan semenjak  dahulu  lagi
dalam  usahanya  meningkatkan  kecekapan jentera pentadbiran
awam hendaklah  diperdalami  dan  dihalusi  lagi  oleh  kaum
pekerja.  Ini  kerana  produktiviti dan kualiti bukan sahaja
setakat   menyelesaikan   tugas   mengikut    jadual    atau
menghasilkan  kerja yang lebih banyak pada masa yang singkat
atau mengelakkan pembaziran.  Ia adalah lebih daripada itu.
16.  Kaum pekerja hendaklah juga peka  dengan  aspirasi  dan
harapan  rakyat.    Kehendak dan keinginan rakyat kini bukan
sahaja berbeza tetapi juga kian  meningkat.    Mereka  tidak
mudah  menerima  sesuatu  itu tanpa soalan.  Ini menunjukkan
penduduk Malaysia berkemampuan  membuat  keputusan  sendiri,
lebih berani, berdikari dan bijak.
17.  Inilah   yang   harus   difahami   oleh   kaum  pekerja
terutamanya yang berhubungan atau berurusan langsung  dengan
rakyat.   Rakyat tidak boleh dipermain-mainkan dan hendaklah
dilayani dengan baik, penuh mesra dan segera.    Perhubungan
pekerja-pekerja  di  dalam  perkhidmatan  awam dengan rakyat
hendaklah  sentiasa  erat  dan  terus  dipupuk  agar   usaha
pembangunan  Kerajaan demi faedah rakyat juga dapat berjalan
lancar.
18.  Bagaimanapun, saya merasa agak  dukacita  kerana  masih
ada  segelintir  pekerja  awam  yang tidak menjalankan tugas
mereka dengan baik dan sempurna.    Ini  telah  mengecewakan
rakyat  yang  berurusan  dengan  mereka.   Perkara ini jelas
dapat dilihat melalui surat-surat yang ditulis  oleh  rakyat
kepada  akhbar-akhbar.   Mereka kecewa kerana masalah mereka
tidak dapat atau lewat diselesaikan atau  tidak  dipedulikan
oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
19.  Ini  termasuklah  soal-soal jalan-jalan yang berlubang,
bekalan air yang putus, pembuangan sampah, rawatan perubatan
dan pengangkutan awam yang tidak memuaskan.  Sekali  pandang
perkara-perkara  seperti  ini  adalah remeh-temeh dan kurang
penting.  Tetapi, yang sebenarnya soal seperti  inilah  yang
harus diutamakan kerana ianya menyentuh kehidupan rakyat.
20.  Bayangkanlah,   sekiranya   rakyat  di  seluruh  negara
menghadapi masalah-masalah  seperti  yang  disebutkan  tadi.
Tuan-tuan  dan  puan-puan fikirkanlah sendiri akibatnya jika
masalah-masalah yang dianggap kecil ini  terkena  pada  diri
sendiri, kerana pekerja juga boleh menjadi pelanggan di masa
dan  tempat  yang lain.   Sepertimana kita tidak suka diberi
layanan buruk, begitu juga kita harus jangan memberi layanan
yang buruk kepada sesiapa.
21.  Justeru itu, kaum pekerja hendaklah sentiasa  peka  dan
sedar   terhadap   masalah-masalah   yang  dihadapi  rakyat.
Bagaimanakah  kita  hendak  mengorak  langkah   lebih   jauh
sekiranya   masalah-masalah   seperti   ini   tidak  diatasi
bersungguh-sungguh dengan segera?
22.  Inilah peranan  yang  harus  dimainkan  oleh  pemimpin-
pemimpin  kaum pekerja.   Sebagai pemimpin, mereka hendaklah
membantu   membentuk   jentera   Kerajaan   atau    struktur
perkhidmatan  awam yang mantap, melalui pekerja-pekerja yang
komited, jujur, insaf, rajin  dan  mengutamakan  rakyat  dan
negara dalam mencurahkan khidmat dan tugas mereka.  Pemimpin
dan  kaum pekerja yang hanya mementingkan diri sendiri tidak
mempunyai hak dan tempat  untuk  terus  duduk  dalam  sektor
perkhidmatan awam.
23.  Kita mahu sektor perkhidmatan awam mendapat kepercayaan
dan  dihormati  oleh  semua  rakyat.    Dan  ini tidak boleh
diperolehi dengan mudah atau begitu sahaja.    Kaum  pekerja
sendiri  kena  berusaha  kuat  dan  gigih  untuk mendapatkan
pengiktirafan daripada rakyat.
24.  Mengenai imbuhan tahunan atau  bonus  di  bawah  Sistem
Saraan  Baru (SSB) ia akan dilaksanakan oleh Kerajaan tetapi
tertakluk kepada faktor pencapaian prestasi  ekonomi  negara
serta kedudukan kewangan negara bagi tempoh yang berkenaan.
25.  Dalam   keadaan   ekonomi  yang  turun-naik  pembayaran
imbuhan tahunan  ini  bukanlah  suatu  perkara  yang  tetap.
Pembayaran  berkait  rapat  dengan  hasil pendapatan negara.
Jika bayaran dibuat sebagai bayaran tetap maka ia  merupakan
gaji  yang  dibayar  lewat.    Ini  bukanlah  tujuan imbuhan
tahunan.  Ia tidak menjadi satu insentif  bagi  pegawai  dan
kakitangan Kerajaan.
26.  Di   sini,   saya   ingin  mengambil  kesempatan  untuk
mengucapkan tahniah kepada bakal Presiden CUEPACS yang  baru
Encik  Mohamad  Mat  Jid  yang telah dipilih untuk menerajui
badan pekerja ini.   Kepada Encik Mohamad  Abas  pula,  saya
ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah di
atas kejayaan beliau memimpin CUEPACS.
27.  Akhir  kata,  saya sekali lagi mengucapkan terima kasih
kepada CUEPACS kerana menjemput saya ke Majlis  ini.    Saya
percaya  konvensyen  ini  akan  mendatangkan  manfaat kepada
CUEPACS khususnya, kepada kaum  pekerja  dan  kepada  negara
amnya.
28.  Dengan   ini   saya   dengan   sukacitanya   merasmikan
Konvensyen CUEPACS ini.

 

 



 
Google