Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : AUDITORIUM BESAR, ANGKASAPURI,
KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh/Date : 01/07/92
Tajuk/Title : PERASMIAN PELANCARAN PROGRAM
"RUMAHKU SYURGAKU"
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan
limpah kurnia dan rahmat-Nya kita dapat berhimpun di audito-
rium ini pada malam ini. Saya mengucapkan terima kasih
kepada pihak penganjur kerana memberi penghormatan kepada
saya untuk melancarkan suatu program yang amat bermakna
kepada negara.
2. Dalam usaha membangunkan negara, kita mestilah sentiasa
peka kepada tujuan hidup kita yang bukan semata-mata untuk
memenuhi keperluan kehidupan. Matlamat kita membentuk
negara maju ialah untuk kesejahteraan di dunia dan juga
akhirat. Untuk itu kita mestilah mengimbangi kehidupan kita
dengan keperluan kebendaan dan kerohanian bagi mencapai
tahap kesejahteraan yang sebenar. Kita tidak seharusnya
terikut-ikut dengan cara hidup barat, yang walaupun telah
mencapai tahap negara maju dari segi perkembangan ekonomi
dan teknologi, tetapi mengalamai keruntuhan moral dan
kesejahteraan kerohanian. Keruntuhan moral dan kerohanian
ini sudah menjadikan masyarakat mereka tenggelam punca dan
tidak tentu haluan. Tidak syak lagi bahawa keruntuhan moral
dan panduan hidup akan merosakkan pembangunan mereka
akhirnya.
3. Salah satu akibat yang nyata daripada keruntuhan moral
dan kerohanian di negara-negara maju di barat ialah
keruntuhan institusi keluarga. Keluarga adalah suatu unit
yang penting dalam masyarakat. Keluarga menentukan asas-
asas yang mulia untuk kehidupan dapat diteruskan. Tanpa
keluarga tidak akan ada kesinambungan nilai hidup di
kalangan generasi yang menurut. Dengan itu segala-galanya
dilakukan mengikut nafsu individu semata-mata. Masyarakat
yang dipenuhi dengan anggota yang hanya mengikut nafsu tidak
akan tenteram dan tidak mungkin maju-jaya.
4. Keruntuhan moral dan kehancuran institusi keluarga
berpunca dari pengabdian barat kepada kebebasan yang tidak
terhad. Apa sahaja boleh dibuat sebagai hak individu dalam
masyarakat bebas. Dengan itu segala nilai yang dimuliakan
oleh masyarakat digugur dan diganti dengan nilai-nilai yang
bertentangan. Demikian jika dahulu ibu bapa dihormati,
sekarang mereka tidak diindahkan, jika dahulu ketertipan
disanjung, sekarang ketidaksiuman diagung-agungkan, jika
dahulu pasangan bagi lelaki ialah wanita, sekarang tanpa
segan-segan dipamirkan cinta antara lelaki dengan lelaki.
Proses keruntuhan ini akan terus berlaku kerana falsafah
kebebasan tanpa had masih dipuja.
5. Oleh kerana ancaman terhadap kekeluargaan oleh falsafah
barat inilah maka Kerajaan memberi perhatian yang lebih
serius kepada keluarga dan peranannya dalam masyarakat kita.
Kerajaan bukan sahaja berusaha untuk mempertahankan
institusi keluarga tetapi untuk meningkatkan kualiti
keluarga melalui berbagai agensi dan program supaya keluarga
lebih mampu mengecap hasil pembangunan negara.
6. Melalui program pembasmian kemiskinan, Kerajaan telah
mengenal pasti keluarga-keluarga termiskin dan berusaha
sedaya upaya membantu mereka supaya bebas dari belenggu
kemiskinan. Di dalam hal ini pendekatan Kerajaan terhadap
masalah kemiskinan tidak hanya dilihat dari sudut kebendaan
semata-mata, tetapi kemiskinan itu dilihat juga daripada
segi kualiti manusia yang menyeluruh. Ini termasuklah
kemiskinan ilmu pengetahuan, kerendahan moral, adab dan
kesopanan yang mana semua ini mempunyai kesan terhadap
kesejahteraan masyarakat dan negara.
7. Hasrat Kerajaan untuk mewujudkan masyarakat penyayang
tidak akan tercapai sekiranya individu yang menjadi elemen
terpenting dalam masyarakat membelakangkan sifat-sifat
positif yang sepatutnya mereka miliki. Oleh itu sifat-sifat
mulia yang dianjurkan oleh Islam seperti sayangkan negara,
cintakan keluarga, rajin dan tertib, berdaya saing, bertolak
ansur, tidak mensia-siakan masa dan sebagainya perlu
dipraktik lebih daripada yang diperkatakan.
8. Begitu juga hasrat negara untuk melahirkan masyarakat
yang prihatin dan produktif menjelang tahun 2020 tidak akan
menjadi kenyataan sekiranya ibu bapa berpendapat bahawa
semua usaha ke arahnya adalah tanggungjawab Kerajaan.
Sebenarnya ibu bapa hari ini mempunyai peranan yang penting
untuk memahami hasrat negara dan dengan itu menolong
membentuk peribadi generasi muda supaya sesuai dengan
perubahan-perubahan yang akan berlaku menjelang tahun 2020.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Anak merupakan amanah dari Allah kepada kita semua.
Oleh itu para ibu bapa perlu menjaga amanah tersebut dengan
betul dan cermat supaya ia tidak mendatangkan mudarat kepada
semua pihak. Pelancaran program Rumahku Syurgaku tepat pada
masanya di waktu Kerajaan sedang menyusun strategi dan
perancangan menuju ke arah negara maju.
10. Al-Quran sebagai kitab panduan hidup kepada manusia
telah memberikan beberapa panduan kepada ibu bapa supaya
mereka tidak akan tergelincir dari jalan yang benar yang
diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dalam surah Luqman
ayat 13 Allah telah berfirman yang bermaksud :
"Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya,
semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak
kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan
syirik itu adalah kezaliman yang besar"
11. Demikianlah al-Quran menjelaskan bagaimana seorang bapa
yang mempunyai wawasan, memastikan hidup anak-anak mereka
berterusan di atas jalan yang benar dan mencapai kejayaan
iaitu melalui jalan yang diredhai oleh Allah.
12. Demikianlah juga kepada anak-anak yang merupakan
pewaris yang akan menerajui pimpinan negara di masa hadapan,
perlu mempunyai saksiah yang baik serta memiliki tingkah
laku yang terpuji terutama ketika berhadapan dengan orang
tua mereka. Hal ini kita dapat faham daripada firman Allah
dalam surah al Israa' ayat 23 yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan
hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya
sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
pemeliharaan mu, maka janganlah engkau berkata kepada
mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan
"ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,
tetapi katakan kepada mereka perkataan yang mulia."
13. Ajaran Islam mendidik manusia, bukan sekadar ibu bapa
yang perlu menanggung dan memelihara anak-anak mereka,
tetapi anak-anak juga perlu membalas jasa dan pengorbanan
ibu bapa mereka terutama setelah ibu bapa mereka lanjut
usia. Budaya yang suka menghantar orang-orang tua ke rumah-
rumah kebajikan dirasakan tidak sesuai dengan budaya timur
apatah lagi dengan ajaran Islam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Masyarakat yang berkasih sayang adalah lahir dari
rumahtangga yang aman damai. Ianya akan meghasilkan
produktiviti yang baik, membolehkan suami bekerja dengan
tenang dan isteri melaksanakan tugas dengan sempurna dan
dengan itu menghindarkan segala sengketa. Dengan yang
demikian ekonomi rumahtangga dan negara akan meningkat.
15. Faktor terpenting ke arah mewujudkan rumahtangga
bahagia adalah faktor didikan dan asuhan. Bagi seseorang
muslim, didikan Islamlah yang menjadi teras utamanya.
Apabila setiap anggota dalam rumahtangga terutama anak-anak
dan isteri diberi pemahaman yang secukupnya tentang peranan
dan tanggungjawab mereka, Insya-Allah akan terbinalah sebuah
rumah yang boleh diisytiharkan sebagai Rumahku Syurgaku.
Faktor-faktor lain yang perlu dipupuk dalam menghayati
keluarga bahagia ialah kejujuran, keikhlasan, tolong
menolong dan bertolak ansur. Begitu juga mereka perlu ada
sifat "bersyukur" dengan apa yang dikurniakan kepada mereka.
Dengan sifat ini bukan sahaja hati manusia akan merasa
tenang dan aman bahkan akan mendorong mereka bekerja
bertungkus lumus memerah tenaga bagi mencapai kejayaan hidup
yang lebih sejahtera dan cemerlang. Firman Allah yang
bermaksud: "Sekiranya kamu bersyukur nescaya kami akan
tambahkan rezeki kamu berlipat ganda".
16. Saya amat gembira kerana sejak akhir-akhir ini banyak
kursus dan latihan pra perkahwinan telah diadakan sama ada
dianjurkan oleh Kerajaan atau pihak swasta. Kerajaan
menghargai sumbangan pihak swasta dan orang perseorangan ke
arah mewujudkan rumahtangga yang sempurna. Kita percaya
kursus atau seminar yang dianjurkan itu sedikit sebanyak
mendatangkan faedah kepada bakal-bakal suami atau isteri.
Saya harap tidak ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan
ini dengan menjadikan kursus perkahwinan sebagai suatu
"bisnes".
Tuan-tuan dan puan-puan,
17. Masalah-masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat
hari ini adalah berpunca dari kurang didikan dan asuhan
agama. Kita sering mendengar kes-kes penderaan dan
penganiayaan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa. Di
manakah letaknya isi hati dan perasaan kemanusiaan mereka,
sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Selain daripada itu perlu diingat bahawa penderaan terbesar
yang dilakukan terhadap anak-anak bukan sekadar penderaan
fizikal, tetapi tidak memberi didikan agama yang sewajarnya
kepada mereka juga tergolong dalam kategori penderaan.
18. Saya menaruh harapan penuh kepada barisan pemuda
harapan bangsa supaya matlamat Wawasan 2020 menjadi agenda
utama dalam perjuangan mereka. Pergerakan belia dan pemuda
di semua peringkat sepatutnya merancang berbagai aktiviti
dan program bagi mencapai matlamat tersebut. Mereka
sepatutnya menjadi jurucakap Kerajaan dalam mempertahankan
wawasan tersebut sekiranya ada pihak-pihak yang cuba
menggagalkannya.
19. Saya menyeru kepada semua pihak supaya memainkan
peranan masing-masing ke arah mewujudkan keluarga bahagia,
kerana keluarga merupakan unit terpenting dalam masyarakat
yang boleh menentukan arah dan arus pembangunan masyarakat
berkenaan. Sama ada kita berjaya menjadi negara maju atau
tidak banyak bergantung kepada kualiti keluarga Malaysia.
20. Begitu juga saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru
semua Kerajaan Negeri supaya mengambil inisiatif untuk
melaksanakan program Rumahku Syurgaku di peringkat negeri.
21. Saya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala agar
usaha murni ini diberkati dan mencapai objektifnya. Dengan
lafaz "Bismillahirahmanirahim" saya dengan sukacitanya
melancarkan program Rumahku Syurgaku.
Wassalamualaikum Warahmatullah wabarakatuh.
|